Tuesday, September 27, 2016

Kebenaran di Balik Tabir Bahasa

Bahasa oh bahasa
Betapa lamanya engkau hendak berselindung
di balik tabir yang ditutupkan mulut manusia
sehingga engkau tiada bernilai
sehingga engkau dilupai mayapada

Bahasa oh bahasa
sebetulnya engkau bukan sekadar deret bunyi
yang lahir daripada alat artikulasi
Hakikinya engkau pencatat sejarah, pencatat minit mesyuarat, wasilah perhubungan insan, arca sastera, pancaran budaya mulia...
dan berbagai-bagai lagi.

Bahasa oh bahasa
usahlah engkau malu bersembunyi lagi
Sesungguhnya engkau asas segala benda
di alam alamiah ini
Tanpa engkau
binatang dan tumbuhan hanyalah gambar
Tanpa engkau
kita hanya dapat berdiam
sambil kosong memandang mata masing-masing
tanpa barang fikir dalam batin
Tanpa engkau
ceritera manusia tiada tercatat
Hang Tuah tiada dapat bersilat
Amir Hamzah tiada terbantun pohon kurma
menewaskan pahlawan yan gagah-gagah dengan setumbukan dan pedang Sum-sum Kum-kum
Awang Sariyan tiada berdaya menyebarkan ilmu tatabahasanya
bagi menyedarkan marhaen
akan peri pentingnya bahasa
Segala-segala fikir, ujar, cetera, nama, citra
terungkap kerana dayamu, bahasa.

Wahai marhaen yang jahil
Usahlah engkau remehkan bahasa
kerana ialah pembina tamadun
penyatu bangsa
pencerita budaya
dan segala-galanya

Wahai marhaen yang jahil
Jikalau engkau mengabsahkan kepentingannya
Tinggikanlah martabatnya
Junjunglah bahasa Melayu ke jemala Malaysia
sehingga bersinar ke jagatraya
sehingga melekati mulut tiap-tiap hidupan
yang mengungkapannya, mengagungkannya
sehingga bahasa Melayu berkembang kepada bahasa terkenal
sebagai bahasa pokok
segala peri kehidupan.



Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...