Sunday, April 8, 2018

Aku Membenci Perpustakaan

     Aku membenci perpustakaan. Adalah beberapa kali bahawa aku sudah hampa akan perpustakaan malah tidak rela pergi ketika diundang oleh kawan-kawan. Apabila pergi bersendirian pun, hatiku membantah langkahku. Bergemalah semacam bantahan dan ketakutan akan dihampakan dalam hati terhadap perpustakaan.

     Di sana, aku telah mengalami kesunyian. Pernah adalah sekali bahawa aku sahajalah yang bersendirian di perpustakaan. Suara memuputnya angin pendingin hawa, hawa yang sejuk sekali yang memenuhi ruang perpustakaan, kulit buku yang hapuk baunya, kantuk yang semakin meminarkan mata terkubur dalam alam bawah sedar minda sebagai kenangan yang cukup ngeri dan sepi. Aku berasa ngeri akan kesepian itu, justeru mempersoalkan diri: bagaimanakah aku dapat hidup berseorangan dalam kesepian seperti ini? Aku bagai bayang yang seolah-olah wujud tetapi seolah-olah tidak wujud: terkedip-kedip antara kenyataan dengan khayal di menara keguruan ini. Tiadalah orang yang akan bersapa dengan aku. Tiadalah orang yang akan membisik-bisikkan kerajinanku melawati perpustakaan. Tiadalah orang yang akan menyebut namaku. Masing-masing ada kerja sendiri.

     Lihatlah jeliknya wajah-wajah di perpustakaan! Aku sudah muak menyusurgalurkan cerita pada muka setiap orang di sini. Orang yang datang ke sini pasti berwajah tegang, berlagak seperti dia sudah dihimpit kesempitan dan tekanan selama setahun. Ada yang suka berlagak seperti cendekiawan, mempamerkan mukanya yang redup dan busuk kepada orang lain. Ada yang serius membuat kerja—ini golongan sederhana—menopang dagunya sambil membaca buku di hadapan komputer riba yang terbuka dan hidup Ada orang yang berlaku seperti zombi—jari-jemarinya yang menari teruja di atas papan kekunci langsung tidak padan dengan mukanya yang dingin dan tiada riak perasaan. Asalkan dapat menyiapkan kerja, dia rela menjadi zombi sementara yang tidak disenangi orang lain. Orang begini sudah kekeringan zat kemanusiaannya! Ada pula yang merenung komputer riba dengan muka yang berkedut, seakan-akanlah satu huruf telah membencikan dia sehingga dia harus menjeling huruf itu dengan kebencian yang penuh, mengharapkan kehilangan huruf itu serta-merta. Pelbagai kerenah manusia yang kononnya "kecendekiawanan" di sini membencikan daku akan perpustakaan.

     Dalam ingatan saya, perpustakaan hanya tempat untuk orang yang menggaru-garu kepalanya dengan muka yang lebam kerana berasa meluat akan kerja kursusnya; tempat yang kedengaranlah keluh atau nafas yang berat merata-rata kerana keletihan dan tekanan menghadap komputer riba sepanjang hari; tempat untuk orang yang mencari masalah dengan membuang diri dalam tulisan yang rapi dan kecil itu, menertekankan diri dengan pencarian sumber yang bertaburan di dalam perpustakaan ini (penentuan sumber yang harus dicari lebih pening!). Tiadalah kenangan manis di perpustakaan. Aku masih membenci perpustakaan yang selalu menghadirkan tekanan, kesepian dan kelaraan walaupun bangunan ini pernah berjasa kepadaku; membekali aku sumber, menemaniku menyempurnakan karanganku bawah penjagaan hawa penyaman udara.

     Yang kurunsingi setiap kali aku mengunjungi perpustakaan bahawa aku mesti menyeimbangkan nafsu dengan tugasan. Aku paham benar bahawa aku melawati perpustakaan untuk mencari sumber bagi kerja kursus yang formal dan serius sifatnya tetapi hatiku masih gatal dan mendambakan persahajaan ketika terkedip dalam benaklah novel TiVi Shahnon Ahmad, novel Sampah Shahnon Ahmad, novel Interlok Abdullah Hussain yang menceritakan kegelisahan jiwa yang sudah berkurun-kurun ingin aku layari! Aku sungguh ingin membaca semua novel itu dalam sehari tetapi malangnya dan sedihnya aku yang menyedari bahawa aku tidak mampu! Aku hanya insan berkekurangan di sana sini yang tercipta oleh Allah yang sempurna! Buku terlalu banyak, tulisan terlalu rapi; mata terlalu berpinar-pinar, otak semakin pening! Kehampaan itu abadi dan mendap dalam wilayah bawah sedarku sehingga setiap kali menjenguk perpustakaan, pastilah aku berasa lemah dan tidak dapat melawan takdir kerana tidak dapat membaca buku yang digemari kerana pencarian  sumber kerja kursus terpaksa dipahat menjadi keutamaan.

     Bisik-bisik tentang kerja kursus yang sengaja diperlahankan pada waktu perbincangan memang merunsingkan daku. Sewaktu mencurahkan sekalian perhatian dalam tulisan, telingaku terpaksa mempertimbangkan bisik-bisik pendapat kawan yang berlainan sekali daripada caraku, seakan-akanlah aku sedang mengikut jalan yang salah dan markahku akan dipotong! Aku paling pantang bahawa orang memberikan pendapat ketika aku sudah membulatkan azam mengikut jalan yang telah kurancang. Aku akan meragui kebenaran jalanku dan menjulang jalan orang lain sehingga hatiku berkonflik: 'Adakah aku patut menukar caraku; mengikut caranya? Penukaran jalan karangan lagi mengerahkan peluh dan usaha! Memang menjadi ketakutan akulah bahawa orang berbisik-bisik, bertukar pendapat tentang kerja kursus sewaktu aku sedang mengetik kerja kursus dengan hati yang tenang akan kepercayaan akan kemampuan dan idea sendiri. Lebih teruklah dilema sanubariku ketika yang dibisikkan kerja kursus yang sedang kukarang kini!

     Pelawatan perpustakaan memerlukan keberanian. Aku perlu menghadapi kekecewaan dan kerimasan yang pasti melanda diri sewaktu kaki menapak perpustakaan dan hawa dingin mula menerpa wajah. Pada asalnya, aku menyukai perpustakaan kerana di sana, terselindunglah pelbagai karya agung (seperti Pelita Bahasa Za'ba, novel Salina A. Samad Said, buku bahasa lama Nik Safiah Karim, buku perancangan bahasa Asmah Haji Omar...) yang kulitnya sudah koyak, halamannya sudah kekuning-kuningan dan berbau hapuk (tetapi bersejarah dan berharga pada alat penciumku) yang sedang menanti pembongkaranku! Kini, kerja kursus yang lebih serius yang memerlukan daku memperalat perpustakaan telah menghakis keseronokan dan kesantaian membaca novel, jurnal bahasa dan buku tata bahasa (justeru masa pembacaan pun terhad; perlu bersaing dengan masa mencari sumber kerja kursus yang lebih berharga!). Kerana dilema-dilema demikianlah aku membenci perpustakaan. 

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...