Saturday, April 7, 2018

Hari Kelam...Suara Celaka

     Pada hari ini, aku menjalani hari penuh kelam. Terpaksalah saya berjalan juga biarpun dirundung kekelaman perasaan kerana terdapatlah tiga kerja kursus yang perlu dihantar esok. Nasib baiklah aku sudah mencari maklumat! Namun begitu, hatiku masih memercayai bahawa aku tidak sempat menyiapkan tiga tulisan yang mudah itu.

     Mengapakah terjadilah perosotan keyakinan begitu mudah? Semalam, aku, dengan keyakinan yang penuh, memercayai bahawa dengan penaipan yang laju, aku dapat menyempurnakan karangan yang serba mudah itu. Semasa bangun pagi tadi, pada kira-kira  6.30 pagi, aku sudah tidak dapat menahan kantuk lagi. Pikiranku berbalam-balam dan pening. Aku ingin berjaga sampai 7.00 pagi kerana aku hendak menyapu dan mengemop lantai berasaskan rancangan semalam. Walau bagaimanapun, haruslah aku merehatkan minda yang berbalam-balam dan terhimpit itu supaya tidak jatuh sakit nanti. Sudah begitu keraplah aku mendera benakku begini! Maka aku tidur dengan bisik hati: "Aku tidur setengah jam sahaja dan aku akan bangun pada 7.00 pagi untuk memulakan pembersihan." Walau bagaimanapun, rancangan itu pasti tidak mungkin dinyatakan kerana aku pasti lebih degil menggeselkan badan pada katil yang begitu empuk dan mengimbau mimpi setelah puas melayan dering loceng yang begitu merimaskan daku itu.  

     Benar. Seperti yang kusangka, aku bangun pada 7.30 pagi. Setelah aku menggosok gigi dan mandi, jam pun sudah menunjukkan 8.00 pagi. Aku tidak membuat apa-apa lagi. Aku memandang tepi. Kawan sebilikku sudah mengetik karangannya sejak 6.30 pagi tadi. Aku tidak membuat apa-apa lagi. Ah, perlukah aku demikian risau? Jangan pedulilah! Aku menghibur diri dulu.

     Segala-galanya seperti sudah tidak sempat. Sepatutnya aku bangun pada 7.00 pagi kerana 8.00 pagi sudah mendekati 9.00 pagi; pemulaan tugas pada 9.00 pagi pasti suntuk untuk tiga kerja kursus! Aku kesal dan sesal namun apakah yang mampu dibuat? Aku bukan Allah, tidak dapat memutar jari penunjuk jam kembali. Aku memandang tepi. Si celaka itu masih mengetik karangannya lagi. Karangannya sudah panjang lebar. Dia sempat bergurau dengan daku. Guraunya kedengaran seperti ejekan kepada aku yang belum memulakan apa-apa lagi.

     Senanglah dia bergurau! Dia sudah hampir menyiapkan kerja kursus! Aku? Aku hanya mampu merintih di lembah tanpa mentari; membiarkan diri ditertawakan olehnya.

     Ah! Itu urusan orang lain. Aku harus mengikut rentak sendiri. 'Dengar lagu dulu,' aku malas berkata. Sudah hampalah aku akan masa yang suntuk itu. Sudah hilanglah perasaan yang berkobar-kobar semalam bahawa aku ingin melaksanakan kegemaranku—mengarang; mengarang yang berat sampai pening pada hari ini. Namun demikian, segala-galanya sudah kelihatan tidak mungkin lagi. Masa sudah lewat. Hari esok semakin pantas tiba. Terbentanglah senja dalam hati yang begitu menyayukan hati, yang langsung tidak seperti mentari pagi yang menyimbahkan harapan keemasan. Sudah terlewat. Aku terpaksa menguap pada malam-malam sambil bersengkang mata. Alah, sudah biasa! Tak mengapa! Aku lebih senang terhenyak selesa dalam kehampaan yang sudah terlalu biasa padaku itu.

     Aku tidak tahu mengapakah kepositifan semakin menghiris hatiku. Kepositifan itu seakan-akan suara yang sudah keputusan harapan; yang sudah melarat menjadi sesuatu yang lara dan hampa. Aku sudah tidak memunyai keyakinan terhadap diri. Terlalu angkuhlah aku semalam akan kemampuan daku. Aku memandang tepi. Si bijak itu masih mengetik karangannya, seperti arca yang tidak berperasaan—hanya jarinyalah yang bernyawa. Kemudian, seorang kawan di bilik sebelah berlari masuk ke dalam bilikku sambil menjerit resah: "Ah, aku belum siap!" Si bijak itu pun menyahut: "Ah, aku belum menyiapkan apa-apa lagi!" Aku tersenyum senget. 'Adakah ini gurau? Engkau berdua dah memulakan kerja, nak merintihkan apa lagi? Tak tahu bersyukur!' Aku sepatutnya merintihkan ayat yang menjatuhkan semangat itu tetapi...sudah. Tidak bergunalah aku mengejek mereka. Aku belum memulakan apa-apa lagi. Ini kenyataan; aku orang yang gagal jika dibandingkan dengan mereka. Kehidupan tidak memerlukan perasaan yang mencurah-curah untuk mewarnai kehidupan penuh dengan kemanusiaan. Kita harus berpijak di atas bumi kenyataan. Kita harus selalu meninjau diri. Jangan mudah terpengaruh oleh perasaan yang mudah mengalah!

     Aku tidak ingin lemah dan putus asa begitu mudah sebenarnya. Namun demikian, kelonglaian itu datang semula jadi. Mungkinlah ini hasil pengumpulan sikap mudah mengeluhku sejak sekolah menengah lagi malah sejak sekolah rendah lagi—aku tidak ingat. Aku hanya ingat bahawa kemampuanku begitu terbatas dan aku begitu tidak berguna. Aku hanya diperalat untuk memenuhi kerja mereka yang akan dihantar esok. Kebijaksanaanku sebenarnya tidak berguna kerana dunia pendidikan sekarang menuntut seni. Guru harus menghasilkan bahan bantu mengajar yang warna-warni. Aku tidak mahir. Semangatku terus putus, bagai tali timba perigi yang terus putus lalu jatuh ke dalam perigi sewaktu aku memikirkan penghasilan bahan bantu mengajar yang kononnya perlu kreatif, gempak dan tidak pernah ada di dunia ini. Teruslah aku putus asa. Aku paham. Aku bukan orang seni dan aku tidak ada kudrat daripada setiap urat pun untuk menggerakkan tangan yang tidak berseni itu. Kawan-kawanku semuanya bijak melakarkan seni pada bahan. Mereka sudah berada di landasan perdana pendidikan. Aku jauh ketinggalan di belakang; membisu dalam dunia sajak dan cerpen yang memampangkan keindahan dan kesayuan di mana-mana. 

     Tidak pernah dipujilah seni aku!

     Suara resah mereka: "Aku belum menyiapkan apa-apa lagi!" terus terngiang-ngiang di tepi telinga, seakan-akanlah mereka asyik mengulang keluh ini sekarang. Rimas. Palsu. 'Baik aku mendengar lagu dulu.' Aku menulikan telinga dengan fon telinga supaya tidak mendengar suara jahanam yang amat meremukkan semangat hari baharu itu. Suara celaka mereka membuat bahawa aku merasakan bahawa aku tidak mampu menyiapkan kerja esok. Jentera bekerja! Jentera tidak berbelas kasihan! 

     Ah, biarlah aku terus terhenyak dalam lagu! Lantak ah! Katakanlah bahawa aku sedang membazirkan masa; katakanlah bahawa aku tidak sempat menyiapkan kerja dengan wajah cemasmu yang hina! Sekurang-kurangnya lagu dapat mengubati kelaraan daku yang lemah; tidak seperti manusia yang selalu menjatuhkan semangat!

     Karangan ini pun ruang kelarian aku daripada ketidakbergunaan diri. 

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...