Sunday, April 8, 2018

Aku Tidak Pernah Berasa Begini

     Aku tidak pernah berasa begini. Serius. Aku tidak pernah berasa demikian bebas.

     Rasa itu bagai hati yang berlumuran dengan debu merah telah disucikan daripada debu merah kehidupan, bangkit daripada lumpur kelesuan yang melekat lalu tumbuh subur dan bangga sebagai tunas hijau baharu yang segar di tengah langit biru saujana mata memandang.

     Alhamdulillah, kurnia Allah!

     Pada malam ini, biarpun ada kerja kursus, aku berhibur sahaja dengan Seng Fa dan Logen. Kami ketawa berdekah-dekah tentang tayangan penakutan orang dengan diri menyamar sebagai hantu, gadis gemuk yang meliang-liuk dengan keyakinan yang penuh dan lagu yang seni katanya lucah dan menggelikan hati. Langsunglah aku tidak hendak terikat oleh dering nurani bahawa kelucahan dan ketawa yang melampau itu tanda melupai Allah. Itu bukan tanda melupai Allah malah itu amal. Gurau memang tidak lepas daripada kelucahan dan kutuk terhadap seseorang; aku seronok sahaja tertawa dengan mereka sehingga ketawa kita bergema di lorong asrama! Allah pasti tidak mempersalahkan daku malah memberiku pahala kerana aku telah menggembirakan insan-insan yang terkulai layu itu. 

     Asalkan gembira, apatah salahnya kita bersenda tentang sesuatu yang hina, tambahan pula kita tidak benar bermaksud demikian, hanya berjenaka sahaja sebagai penghibur? Kita pun lahir dari tempat yang hina dan penuh dengan kecacatan!

     Terkediplah dan menjadi jelaslah bayangku yang tegak menghadap komputer pada waktu dahulu. Dulu, aku memang terlalu serius. Kalau tetamu datang pun, aku hanya mengerlingnya satu kali dengan wajah redup yang tertulis: "Jangan ganggu aku, aku ada kerja kursus." lalu mencurahkan tekanan pandanganku terhadap skrin komputer semula. Apatah salahnya kita menyimpang daripada kebiasaan, memecahkan perut dengan lawak-lawak bodoh walhal jiwa kita sudah demikian derita oleh lambakan kerja yang tidak pernah putus, bagai sungai duka yang mengalir panjang melarat?

     Kita sudah tidak dapat mengubah hakikat bahawa kita perlu menderita; maka ayuh kita menghebohkan malam ini!

     Aku menjenguk Aiman di aras bawah tadi. Memang meniarap beramai-ramailah Adi, Said dan Aiman. Bersepahlah buku dan kertas serta bantal pun. Terbentanglah komputer riba di atas bantal. Tenang sahajalah mereka melayan cahaya komputer yang menyilaukan mata pada malam-malam., justeru Said masih setia akan lawak-lawak bodohnya. Aku pun berasa senang dengan mereka. Sekurang-kurangnya, aku tidak begitu tertekan, perlu menelan suara rimas: "Aduh, kerja belum siap!" Kata-kata ejekan seperti: "Aku paling suka orang yang begini (menyiapkan kerja pada saat akhir) kerana ada orang menemani aku", "setan", "lambat buat kerja" dan sebagainya memang bebas keluar dari mulut, seterusnya memecahkan perut; membunuh keheningan yang seharusnya mendukacitakan insan yang tidak berpeluang menyelinap dalam tidurnya. Malam menjadi ramai; perasaan pun ceria dan kita dapat menghadapi malam yang melarat dengan hati yang geli, mengenang ayat-ayat bodoh yang pernah dituturkan di bilik kuliah dahulu.

     Bukankah sikap ini demikian menyenangkan hati? Selain memadankan diri dengan kenyataan, aku turut memperoleh kemerdekaan daripada jiwa yang layu, lara dan serius. Jiwaku bagai telah hidup semula; disucikan semula daripada debu merah kehidupan. Kini, aku lebih periang; malamku tidak kelam lagi. Siang sentiasa terang dalam hatiku biarpun malam sentiasa tiba dan menanti penemananku.

     Sekalipun letih, aku masih berasa berharga meluangkan masa dengan kawan-kawanku. Lebih pentinglah untuk kita memahat kenangan yang lucu dan manis sebagai imbasan kembali pada hari tua kelak, bukan? Aku tidak akan membiarkan bahawa tekanan dan lambakan kerja yang hambar ini menghimpit dan menjajah pemikiranku sehingga tiadalah kenangan yang berbaloi dicipta kelak; alangkah malangnya nasib orang tua itu pada masa itu: dia hanya dapat bersemadi di dalam keranda dalam air mata kesesalan.

     Bebas...riang! Aku tidak pernah berasa begini; serius!

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...