Thursday, June 29, 2017

Sugus

     Sugus —— nama yang mesra pada waktu dahulu; nama yang kuingat sampai waktu kini.

     Aku masih ingat bahawa pada masa dahulu, ibu akan membelikan daku dan adik Sugus sebagai kunyahan pada masa senggang —— kunyahan yang tidak bermakna tetapi isi masa terluang yang memuaskan hati. Aku tidak berapa mengingat kenangan budakku tetapi apabila Sugus tersebut, kenangan menggambarkan empat orang budak yang kabur bawah terjahan sinar mata hari di kedai runcit Terengganu muncul dalam pikiranku. Seorang budak sedang memegang sebatang bungkus Sugus, berkongsi batang bungkus itu dengan tiga orang budak lain. Barangkalilah itu aku; barangkalilah peristiwa itu tidak pernah berlaku. Aku ingat jelas bahawa di tepi kedai runcit itu, sebuah peti aiskrim terdiri dan setandan pisang tergantung pada kayu melintang di atas.

     Ya, mungkinlah aku sudah melupai segala kenangan budak-budakku tetapi kunyahan Sugus masih mesra di dalam mulutku hingga tempoh sekarang. Selepas makan roti canai di Kedai Makan Alif, adik bongsuku yang gatal mulut membeli Sugus lalu mengunyah Sugus di kereta. Itu kebiasaan seorang kanak-kanak yang memang menyukai kemanisan. Pada hari-hari dahulu, aku tidak tertarik lagi oleh Sugus kerana Sugus terlalu biasa pada aku dan barangkali sudah besar, jadi tidak berapa suka mengunyah gula-gula lagi. Sungguhpun begitu, kinilah aku hendak mengimbas kenangan yang sudah terbenam bawah pasir kehidupan.

     Maka aku meminta Sugus daripada adik. Adik tentu berasa agak aneh kerana abangnya yang tidak suka makan gula-gula meminta gula daripadanya tiba-tiba. Aku mengunyah Sugus bersahaja, hanya ingin mencari rasa silam. Ya, rasa Sugus tidak pernah luput, tidak pernah berubah kerana peredaran zaman. Sugus masih begitu keras tetapi apabila dikunyah beberapa kali, menjadi anjal dan terpercik perisa oren yang tentu bercampur dengan air liur. Percampuran itu menjadikan Sugus jus oren yang istimewa. Aku pernah bertanya dalam hati: mengapakah kita meminum jus oren lagi sedang jus Sugus sudah ada? Itu pertanyaan yang membodohkanku barangkali. Mungkinlah Sugus sekarang tidak setebal Sugus dahulu tetapi rasa masih sama —— rasa keanak-anakan itu masih ada.

     Dulu, Sugus tidak penting pun dalam kehidupanku kerana terdapat di mana-mana dan ibu akan membelikan aku Sugus di mana-mana pun. Entah mengapa, sekarang, Sugus menandai keringkasanku pada zaman itu —— keringkasan seorang budak yang mudah puas akan kehidupan setelah Sugus dikunyahnya di dalam mulut. Dulu, nikmat itu kurasai dan dirasai adik sulung; sekarang, nikmat itu diwarisi adik bongsu yang sedang mengunyah Sugus sesuka hati dengan kedua-dua belah kaki diangkatnya ke atas tempat duduk. Barangkali kerana dirangsang oleh Sugus, adik menendang tempat duduk adik sulung di hadapan tiba-tiba lalu menyentuh tengkuk abangnya, ingin mengacau abangnya walaupun tahu bahawa diri akan digeletek oleh abangnya itu sebagai balas dendam. Selepas itu, adik sulung menoleh ke belakang dengan jelingan dan senyum jahat. Adik bongsu terkekeh-kekeh, mengetahui maksud jelingan dan senyum jahat itu. Maka adik sulung berpaling ke belakang, menghulurkan tangan tiba-tiba, ingin mencapai lalu mencuit pinggang adik bongsu tetapi adik bongsu tangkas mengelak dengan ketawa terkekeh-kekeh lagi lalu mengunyah Sugus semula, menunggu peluang mencuit tengkuk adik sulung lagi.

     Dunia mungkin sudah berubah; sudah rumit; sudah terdiri pencakar langit yang lebih banyak tetapi Sugus tetap semudah masa dahulu: kunyahan yang tidak bermakna tetapi memuaskan hati pada masa senggang sampai sekarang.

      

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...