Wednesday, June 14, 2017

Tidak Sanggup Meninggalkan Tanah Kegembiraan Fana

     Aku tidak sanggup meninggalkan tanah kegembiraan itu —— memang tidak sanggup. Aku tidak terbayang tahap kesakitan roh setelah rohku dicabut daripada khayalan untuk ditapakkan di bumi kenyataan.

     Pada hari ini, aku bergembira dengan rakan kumpulan baharu. Aku mengenal perempuan yang cantik-cantik dan selalu tersenyum, suka bercakap dan bermesra dengan orang: perempuan rakan sekelas lama Jeffrey yang memakai gincu merah untuk diri kelihatan seperti wanita dewasa anggun ada; (Fariah?) yang matanya bulat melilau sekeliling, sangat comel ada; Naniah yang berlagak dingin, lawak tetapi sebenarnya hati hendak sangat bermesra ada; Khuzaimah yang selalu mengelipkan matanya yang bijak terang ada; Hanis yang tunduk malu, bermuka murung juga ada tetapi aku mengetahui bahawa dia ingin bergaul dengan kita, cuma dia menjaga batas lakunya dengan berpegang teguh pada syariat Islam.

     Aku lebih suka berkawan dengan perempuan kerana mereka sangat mesra, suka melukiskan senyum pada wajah semasa bercakap dengan daku. Aku berasa bebas berjenaka dengan mereka sekalipun tetap menangkap perkataan yang melangkaui batas kesopanan percakapan, tiada ketegangan; tiada kesyakan. Dengan lelaki, aku menjaga adab sedikit kerana takut melangkaui sempadan kesantunan agama Islam mereka, takut memijak pantang mereka. Maklumlah bahawa mereka tidak akan tergelak atau tergelak sambalewa sahaja apabila aku bergurau dengan mereka. Perempuan pula tidak sama: apa-apa pun digelakkan, sangat lurus.

     Aku memilih perwatakan sambalewa pada hari ini. Sebenarnya, kesambalewaan itu telah muncul dalam diri sekian lama, hanya ditunjukkan apabila aku tidak bertenaga melayan kesukaan kawan lagi. Aku tiada tenaga tetapi berlawak dengan kelemahan badan itu. Apabila kaunselor, Cik Sally bertanya: "Minta jelaskanlah maksud susunan barang awak." Dalam kelemahan, aku berani berdiri, menegakkan kepala lalu berkata: "Pada kami, barang yang paling penting pembacaan, jadi saya menetapkan buku ini pada kedudukan pertama. Menurut Islam, dalam wahyu pertama, Allah menyuruh umat-Nya membaca buku, haaa, jadi itulah yang terpenting. Dengan membaca buku, kita ada ilmu. Selepas itu, kita baru ada ilmu untuk mencari untung, jadi 10 sen yang kecil itu saya atur pada kedudukan kedua..."

     Sebelum aku sempat menghabiskan perkataan, kawan Islam aku pun meletakkan telapak tangan di tepi mulut lalu bersorak, bertepuk tangan dengan daya sekuat-kuatnya, memejamkan mata mengangakan mulut seluas-luasnya. Mereka tidak menyangka bahawa aku yang beragama Buddha begitu ahli dalam hal ehwal Islam. Aku memang arif pun kerana aku pernah membaca Sejarah Tingkatan 5 serta beberapa rangkap surah.

     Aku berjaya menggetarkan badan kawan dengan jenaka keterlaluanku ini. Sungguh gembiralah aku kerana dapat menyiram jiwa mereka yang hampir layu oleh kebosanan ceramah hari suai kenal.

     Selepas hari ini lepas, kita akan belajar seperti kebiasaan. Senyum dan gelak tidak dapat dilihat lagi tetapi kembali kepada wajah serius dengan buku di tangan dan mata yang sibuk melilau sekalian ilmu dalam buku itu. Aku tidak hendak melepaskan hari ini. Aku ingin bertapak di tanah kegembiraan ini selama-lamanya walaupun  kegembiraan itu fana. Namun begitu, dalam lubuk hati yang sedalam-dalamnya, aku, dengan rasional, menyedari bahawa kegembiraan tidak selalu ada, sementara sahaja. Yang lebih penting cara bahawa kita mengendalikan tekanan daripada kerja kursus yang berlambak-lambak pada suatu masa nanti.

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...