Thursday, June 22, 2017

Aku Masih Belum Paham

     Yeah! Kawanku sudah balik pada hari ini. Akhirnya, lampu akan dipadamkan pada 10.00 malam dan bukan 12.00 pagi lagi; tutur lucahnya pun tidak mengilukan telinga dan hati yang sedia tidak mahu mendengar tutur yang bersalahan dengan pegangan diri itu. Kebebasan sudah pulang kepadaku; aku dapat menguasai seluruh bilik.

     Ke manakah aku hendak pergi pada malam ini? Aku bebas ke mana-mana: Mid Valley, KL Sentral, SS2, Pasar Seni tanpa perlu mengawal kelaparan dan rasa benci itu di hadapan kumpulan kawan. Itu kebaikan persendirian. Dengan kawan, apa-apa suruhan mereka terpaksa kuakur: siapatah aku untuk aku membantah arahan itu? Aku tidak petah berkata; tidak pandai berlawak lucah; tidak pandai mengejek orang lain; tidak pandai mengajak orang lain swafoto. Jadi, aku tidak memunyai hak bercadang dan mengetuai mereka. Oleh itu, persendirian lebih selesa. Aku tidak kisah akan perjalanan yang bertemankan pacak lampu jalan yang memancarkan cahaya kejingga-jingaan sunyinya asalkan perwatakan diri sebenarnya ini dapat dipertahankan.

     Walau bagaimanapun, kawanku itu masih ada di IPG. Patutkah aku mengajak kawan itu? Tak naklah. Dia sopan kepada aku apabila kita bersemuka tetapi menangkap gambar di sana sini, kadangkala menyuruh orang menolongnya menangkap gambar malah ada syarat khusus yang 'ilmiah', sebagai misal, orang itu perlu menyengetkan kamera 45 darjah dan repekan sebagainya. Aku tidak suka akan orang riak. Baiklah aku menemani diri yang lebih suka akan kenyataan daripada tangkapan kamera.

     Aku berjalan ke KL Gateway untuk makan malam. Hatiku meronta-ronta sama ingin makan KFC atau makanan Cina. KFC akan merosakkan pinggang; makanan Cina lebih mahal. Namun begitu, hatiku asyik mengelipkan kilat gambar KFC yang lebih banyak kali daripada makanan Cina. Nafsu mengunyah kulit ayam goreng KFC lebih kuat namun aku berkeputusan membuang duri nafsu yang terpacak di tanah hati, memilih makanan Cina yang lebih sihat biarpun terpaksa mengorbankan RM 15. Apabila aku menaiki eskalator ke tingkat atas, aku menemuinya —— kawan berfesyenku yang suka memegang kamera itu. Aku lekas menuruni eskalator dan berlari ke bawah secepat mungkin. Malulah aku jika dia menanyaiku: "Bersendiriankah?" dengan mata terbeliak, seakan-akan menyindir aku yang pelik bersendirian.

     Meja-meja di KFC sudah dipenuhi. Kawan-kawan Muslimku berbuka puasa. Kalau aku dengan kawan, kawanku pasti mengamuk kerana tidak mendapat kedudukan sementara perutnya berkeroncong, menagih makanan. Aku tidak suka akan orang bodoh lahiriah. Kesabaran itu batiniah. Aku lebih suka menguji kesabaran diri ketika berhadapan dengan masalah. KL Gateway tak jadi, pergilah ke KL Sentral!

     Yang tidak kusukai tentang KL Sentral bahang udara di sana yang berkumpul daripada himpitan manusia. Terlalu banyaklah manusia di sana. Bukankah sana tempat membeli tiket sahaja? Adakah sana tempat membeli belah juga? Aku berasa pelik apabila mereka menjadikan KL Sentral tempat membeli belah kerana tempat itu sesak, susah mencari makanan dan hanya ada mesin tiket, kaunter tiket, KFC dan McDonald sahaja...apakah yang dihendaki orang ini di sana? Beg mahal, kedai buku, baju mahal? Kendatipun sana ada jualan-jualan sebegitu di NU Sentral, aku masih merasakan bahawa KL Sentral hanya tempat membeli tiket, tidak ada apa-apa lagi...

     Selamat Hari Raya! Ketupat yang bergantung pada tali di udara KL Sentral mengelipkan cahaya hijau kuning yang lebih terang daripada cahaya kelmarin. Pelbagai ragam manusia dijumpai: orang yang tidur bersandar pada dinding; orang yang lalu-lalang dengan muka serius; orang yang berbual dengan kawan dengan bagasi di tepinya; orang yang tunduk bermain telefon pintar dengan dahi berkedut. Aku tidak paham: mengapatah orang membuat keputusan hanyut dalam Facebook, Whatsapp sedang adalah orang yang di hadapan yang dapat diucapi "Selamat Hari Raya" dan menjadi teman berbual? Bukankah hari ini hari mulia yang patut dimanfaatkan untuk pengeratan silaturahim? Walau bagaimanapun, beberapa orang menghayati budaya itu. Aku melihat bahawa sekumpulan Mat Rempit saling mengucapkan "Selamat Hari Raya" lalu berceloteh kosong di tepi tangga; sekumpulan wanita jelita yang berkilat-kilat tudung dan bajunya juga tidak keberatan meluahkan "Selamat Hari Raya" kemudian cium-mencium pipi masing-masing dengan hati pemaaf. Begitu mulianya adat ini! Namun begitu, mulianya adat ini tidak dibenakan dan dirasai oleh hatiku yang sedang berdengus bosan itu.

     Aku berjalan bersendirian; melalui kedai demi kedai, tidak tahu hendak membeli apa, sekadar berjalan-jalan pun selesa. Sesungguhnya, kerenah manusia malas kuperhatikan: semuanya sama sahaja —— muka masam, muka hitam, muka serius pada waktu bermain telefon bimbit. Itu muka orang yang bersendirian. Aku tidak dikecualikan. Dalam perjalanan sendirian, aku meneroka tempat-tempat baharu. Oh, rupa-rupanya sini tempat mesin urut; oh, rupa-rupanya sini tempat membeli tiket ETS, aku pernah sampai di sini; oh, rupa-rupanya sebuah kedai buku juga ada di sini! Namun begitu, lebih lamalah aku berjalan, lebih tenggelam ke bawahlah hatiku yang muram. Aku tidak memunyai teman untuk mengongsikan ujar "Selamat Hari Raya" dan mengunjungi kedai demi kedai; aku tidak memunyai teman yang benar-benar tidak marah apabila aku salah masuk ke kedai makan yang sudah penuh sedang perutnya lapar. Aku paham: tiadalah manusia yang sempurna di dunia ini tetapi aku masih mencari-cari manusia sebegini.

     Semasa hendak balik, aku terserempak dengan dua rakan sekelasku yang kini sudah berganding bahu. Tahniahlah. Tiba-tiba, di belakangku kedengaran suara kawan yang sungguh masak pada telingaku. Aku berpaling ke belakang dan melihat bahawa orang yang selalu menggoyangkan kaki, bertutur dengan kemalasan, selalu mengacau badan kawannya itu sudah berpunya dan teman wanitanya antara senarai gadis cantik. Mereka tersenyum silu, terutamalah wanita itu yang tersengih malu. "Oh, dah besarlah engkau ni! Haha...," lelaki rakan sekelasku mengejek kawan itu.

     Perkataan rakan sekelasku tadi terngiang-ngiang dalam telinga: "Bersendiriankah?" Aku mengangguk dan dia pun tertawa beberapa dekah, seakan-akan tidak ada apa-apa pendapat lagi yang hendak diberikan kepada aku, tunggul kayu ini lagi. Dia sudah tahu bahawa aku ini penyunyi; aku tidak cemerlang kerana tidak tahu bergaul dengan orang lain. Apakah makna ketawa itu? Adakah dia mentertawakan aku yang berseorangan atau mengesiani aku yang berseorangan? Tidak kisahlah. Orang-orang di sini sana sudah memegang tangan. Banyak sekalilah kekasih yang memegang tangan yang melalui di sisiku. Namun begitu, hatiku suci daripada kecemburuan; hatiku jelas bahawa percintaan bukan segala-galanya. Pada aku,  percintaan itu kepura-puraan; percintaan itu kawalan: apabila kita sudah teman wanita, dia akan mengawal segala laku kita. Kita pula terpaksa berusaha mengekalkan sikap mulia di hadapannya dengan menahan kanak-kanak yang melompat dalam hati.

     Tidak cemburu? Menipulah aku. Aku langsung merasakan bahawa segala angin yang menyokong dalam sudah meresap keluar dari liang-liang romaku. Aku tidak berdaya berjalan lagi, entah kenapa: aku letih berjalan, merindui kerja yang belum disiapkan? Aku kesunyian? Aku menghendaki hawa yang dapat dihubungi hatinya? Bilatah aku dapat seperti mereka: menjumpai dia yang tercocok? Aku tidak tahu. Aku hanya mampu mengeluh. Orang lain sudah kaya raya, hati sudah dipenuhi kecintaan yang tidak kuerti sebenar-benarnya tetapi aku masih bujang, melayan kerenah sendiri.

     Aku mencari-cari kawan yang sanggup berjalan dengan daku di sana. Bodoh, kan? Aku terbayang bahawa aku terserempak dengan seorang Melayu, berbual-bual dengannya lalu berganding bahu dengannya ke kedai makan dengan hati terbuka. Walau bagaimanapun, bayangan itu lekas lenyap apabila aku di LRT. Semasa menaiki LRT, aku hanya hendak memegang tiang penyokong sambil tunduk melayan kesunyian diri dengan wajah muram. Biasalah orang LRT yang hanyut dalam dunia diri itu. Aku tidak ingin bersua dengan orang yang kukenal kerana mereka pasti menyindir aku: "Wah, orang pelik yang bersendirian! Sunyinya!"

     Telefon bimbitku berdering. Nada deringku lagu Teroesir - Kapal Van der Wijck. Aku mengeluarkan telefon bimbit dengan bergayanya kerana lagu kesukaanku yang klasik ini tentu tidak dihayati orang lain dan itu mengistimewakan daku. Aku bangga akan diri yang istimewa ini. Pada skrin telefon, terteralah nama "Ibu". Ibu menanyakan kepergian aku. Aku menipunya bahawa aku keluar dengan kawan-kawan sedang "kawan-kawan" yang kumaksudkan itu sebenarnya tidak wujud. Aku dengan hatiku sahaja yang bersama pada ketika ini.

     Peliknya hati ini: ingin bersendirian tetapi muram kerana bersendirian. Apabila terhimpit di tengah lautan kawan, aku sesak nafas, seksa mengawal kekesalan diri daripada perbuatan dan tutur lucah kawan yang tidak kusukai tetapi apabila kawan-kawan itu sudah tiada, aku ingin menghirup kemeriahan pula tetapi bukan dengan kumpulan kawan lucah itu; dengan seorang kawan jiwa sahaja yang memahami hatiku. Langkah berjalan ke atas bukit makin perlahan, tanggungan kecintaan kepada teman yang kucari-cari semakin berat; aku hanya ingin berbaring di atas katil, hanyut dalam kawasan keselesaanku. Apakah yang kuhendaki? Kawan atau persendirian? Aku masih belum paham akan diri yang pelik ini.
  

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...