Tuesday, June 27, 2017

Mencari-cari

     Sambil duduk di sofa, aku menonton rancangan televisyen 90-an. Aku senang hati akan kualiti paparan yang buruk, jambul besar lelaki yang kolot, pakaian yang menutupi seluruh badan...dan pelbagai seni yang tentu tidak dihayati oleh manusia ikan sekarang. Babak demi babak berlegar dalam pikiranku. Mereka begitu gembira, begitu senang menari-nari, melonjak-lonjak mengikut rentak lagu sambil memeluk bahu kawannya, seakan-akan tidak membimbangi dunia yang mungkin kiamat esok. Aku melayan khayal sendiri, membiarkan khayal itu menerawang. Dalam khayal itu, aku mencari-cari...entah mencari apa. Aku sedang mencari sesuatu yang dapat mendamaikan gelora hatiku —— laut hati yang entah berkocak kerana apa?

     Aku suka berkhayal dalam wayang lama, mengharapkan bahawa diri menjadi watak wayang lama itu. Aku masih mencari-cari dunia yang sesuai bagiku. Dunia kini menggelorakan hatiku. Hatiku tidak aman oleh pesanan ringkas yang berbunyi bertalu-talu, memancingkan rasa ingin tahuku, mengganggu naluriku setiap hari sekalipun pesanan ringkas itu menyenangkan hati.... Ketika melihat bahawa lelaki dan perempuan yang berjambul besar itu melonjak-lonjak, mengikut rentak lagu sambil menyanyi serampangan, khayalku terpantul ke permukaan tasik dunia ini...

     Dunia sekarang terlalu malu saling memeluk. Mereka menakuti bahawa bancuhan keikhlasan tertuang terlalu banyak sehingga rupa telanjangnya berbuat malu di hadapan orang yang dipercayainya, sehingga orang yang dipercayainya mentertawakan kebodohannya, tidak menghargai
keikhlasan berlebihan yang tidak diperlukan itu. Lihatlah dunia 90-an. Mereka dapat berpeluk sambil bernyanyi, tidak menakuti bau busuk mulut masing-masing. Itulah persahabatan yang tidak berdinding.

     Aku ingin melihat bahawa seorang wanita yang sayu duduk di bawah lampu jalan kejingga-jinggaann sambil memeluk tubuhnya, menghadapi kedinginan ini berseorangan. Aku ingin melihat bahawa dia membelai dan melayan kemasyghulannya yang menerawang, meminjam cahaya bulan purnama sebagai teman sementara yang digantikan kepada teman lelakinya yang tidak berguna. Sekarang, manusia hanya berbaring dalam kegelapan, meminjam keempukan tilam sebagai pujukan dan tidak tentu menggesel skrin telefon, mengharapkan terusirnya kemasyghulan seiring dengan malam yang kian larut...

     Aku ingin melihat bahawa sekumpulan kawan yang duduk sejejer, menyanyikan karaoke sambil berlanggar bahu di dalam ruang yang sempit itu. Kawan-kawan itu tidak kisah sama ada bahunya dilanggar sekuat dan sesakit mana pun, asalkan mereka benar-benar bermesra —— benar-benar bermesra, benar-benar berlanggar bahu, bukan bermesra melalui perkataan yang tidak melambangkan suara hati dalam telefon yang kononnya pintar! Mereka tidak kisah betapa nyaringnya dan ngilunya nyanyi mereka, asalkan kemeriahan itu terus kekal dan membara, menyalakan obor remaja mereka. Sekarang, pengajakan keluar pun disusahkan dengan pelbagai alasan lapuk: "Aku malas"; "Kerja kursus"; "Sibuk". Yang diingini mereka terperuk di asramanya sambil menggosok telefon sehingga mereka berkesan  mengusir kebosanan yang bersarang, baru mereka mengangguk kepada undangan ke karaoke. Sarang kebosanan itu tidak akan dimusnahkan jika mereka tidak bergerak, tidak menyingkap jendela dunia luar!

     Aku ingin melihat bahawa lelaki menyorokkan bunga di belakangnya sambil memanjat tangga rumah kekasih wanitanya lalu menekan loceng. Aku ingin melihat betapa nyaringnya debar hati yang memukul dinding dalam badan lelaki itu semasa dia menunggu bahawa kekasihnya membuka pintu. "Kejutan!" lelaki itu menjerit sambil menghulurkan sejambak bunga mawar kepada perempuan yang memegang pipinya dengan mata terbeliak. Kemudian, mereka berpeluk-pelukan dan lelaki itu memusingkan badan kekasihnya yang yakin menggantungi dakapannya. Sungai percintaan mereka tidak terhenti begitu sahaja tetapi turut bersambung dengan lelehan sampul surat yang berisi suara batin masing-masing: betapa cintanya mereka antara satu sama lain, betapa rindunya mereka apabila mereka tidak dapat bertemu sehari, betapa dahaganya mereka akan sentuhan jiwa ketika mereka merenung cahaya purnama yang tidak bermakna apa-apa tanpa mereka bersama. Sekarang, yang meleleh hanya sesuatu yang tidak tersentuh; sesuatu yang tidak nyata. Pesanan ringkas yang berikut sepucuk demi sepucuk akan hilang dihimpit oleh pesanan lain pula. Di manakah jaminan kasih yang berpanjangan daripada pesanan ringkas yang tidak tersentuh itu?

     Aku ingin melihat bahawa sekumpulan kawan berduyun-duyun mendatangi seseorang kawan lalu menarik-narik kolar baju kawan itu sambil kecoh menanyakan rahasianya di menara yang dibelai angin. Yang tidak ingin kulihat bahawa seseorang lelaki yang tidak pernah keluar dari rumahnya berabad-abad gila dan cemas menaip sesuatu dengan mulutnya yang ternganga dan senyumnya yang separuh jadi, menanyakan rahasia kawannya dalam kumpulan Whatsapp. Biarpun sudah mengetahui rahasianya, adakah anda segembira saat bahawa anda menarik kolarnya,  mencabut rambutnya, menderanya supaya dia membongkar rahasia itu?

     Orang kini semakin kecut. Mereka tidak berani saling memeluk kerana takut dikecam sebagai orang yang menyukai jenis yang sama; mereka tidak berani kasar menarik kolar kawannya kerana itu biadab, tidak sopan dan mereka takut akan pemulauan kawan yang kecil hati itu; mereka tidak berani berlanggar bahu di karaoke kerana tidak ingin keluar pun ke karaoke! Untuk apakah mereka keluar sedang adanya nikmat di tangan! Whatsapp, nikmat tangan mereka itu kononnya dapat menyalurkan suara yang diikhlaskan daripada batin; dapat menjalin hubungan dengan pelbagai emoji yang tidak diberanikan pada muka pun semasa mereka bersemuka! Mereka sering mencari alasan untuk menikus, mengecut sehingga antara orang dengan orang, yang tinggal hanya kehormatan. Yang tidak senonoh digilakan dalam telefon pintar yang kononnya tidak mencela peribadi mereka kerana orang lain tidak sempat melihat ketidaksenonohan laku mereka dengan mata telanjang. Yang tidak senonoh hanya perkataan yang tertaip!

     Kawan-kawan. Lekapkanlah kek ke atas kepalaku —— lekapkanlah, aku membenarkan. Sesungguhnya, aku hanya ingin mendengar gelakmu sekali lagi —— sekali pun kupuasi. Dunia semakin sunyi, aku pun semakin layu. Aku semakin layu dihimpit kesunyian dunia yang terlalu serius sehingga manusia melindungkan kenakalan; menonjolkan sikap tunggul kayu yang hanya menurut perintah, yang mengantukkan semua orang. Sesungguhnya, dunia ini bukan zaman yang kucari-cari lagi. Aku masih mencari-cari; mencari-cari dunia nyata yang penuh kehangatan manusia...




    
    

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...