Monday, June 26, 2017

Penderitaan Aku yang Bijak tetapi Derhaka

     Pada malam ini di asrama, aku sedang menelaah buku. Aku berazam dalam hati bahawa aku hendak menghidupkan gaya kehidupan 80-an yang hanya ada buku dan catur di tangan, tidak memiliki Internet yang dapat mengasyikkan keturunan abad ke-21 setiap hari, seperti jentera yang tidak berhati; kelainan tiada. Aku memaksa diri membaca, membaca dan membaca buku kendatipun hati sedang meneran angin bosan yang sedang naik dan memenuhi salur dari perut ke kerongkong. Hatiku yang terlalu damba akan jaya pembacaan ini tidak ingin mendengar sebarang gangguan pun yang dapat menghambat usaha keras ini, jadi, tidak peliklah bahawa perutku berangin —— angin tekanan. Aku menetapkan matlamat bahawa aku mesti membaca 10 halaman buku hikayat tipis ini sehari untuk memanfaatkan masa lapang dengan cara tersihat. Hatiku merintih: "Hang, bermainlah telefon! Tak ada salahnya melayari Facebook untuk seketika. Meringankan beban saja, kan? Buat apa sungguh-sungguh membaca buku? Nanti orang mengejek awak ulat buku lagi!" Aku sudah kebal akan hatiku ini. 'Peringangan' sementara pasti berpanjangan kepada keasyikan yang tidak terputus. Aku paham benar akan hatiku ini. Jadi, aku mengekang diri memegang telefon bimbit biarpun menjeling telefon bimbit sekalipun.

     "Hampir dicapai...hampir dicapai!" hatiku berteriak. Aku sudah membaca beberapa halaman yang mendekati bilangan 10 halaman. Batu hatiku turun sedikit, membiarkan angin menembusi perutku yang tertekan. Aku lega sedikit kerana berjaya membaca hampir enam muka surat. Aku puas berasa bahawa aku bagai cendekiawan yang membetulkan kaca mata sambil menelaah lautan ilmu yang dalam daripada buku yang berselerak di meja. Aku tidak serupa dengan orang lain yang dangkal —— hanya tahu membelek-belek Facebook yang memang serupa beritanya jika dibelek seribu kali. Entah-entah keselamatan apakah yang dicari mereka daripada Facebook dan Whatsapp yang tidak bermesej baharu dan berulang-ulang berita!

     Pada saat ini, telefonku berdering. Hatiku tersentak sejenak, terus terduga pemanggil itu. Dengan tangan yang berpeluh sejuk, aku melihat jam telefon bimbit. Jam menunjukkan 8.30 malam. Matilah, aku terpaksa menahan kemarahan lagi supaya tidak terlajak!

     "Helo? Ha, po (aku menggelar nenek "po" dalam bahasa Mandarin), helo," aku menyahut sapaan nenek dari hujung talian dengan nada selamba.

     "Hang (nama timang-timanganku "Hang") ah! Sudah makan? Awak berada di asrama sekarang?" nenek bertanya dengan semangat ingin tahu yang tidak pernah luput dari hari ke hari. Entah bagaimanakah nenek mengekalkan keingintahuannya setiap hari!

     "Ya, ya," aku hanya mampu mengeyakan pertanyaannya kerana kecuali "ya", aku tidak berdaya memikirkan ayat lain oleh kekacauan yang bergelora dalam hati sekarang. Cita-cita kecendekiawananku sedang diganggu!

     Selepas ini, nenek seakan-akan melengahkan masa perbualan, mencungkil masa yang lebih banyak dengan daku. Nenek mencari tajuk lain yang terlalu biasa padaku pula. "Rakan ada di bilik?"; "Kuncikan bilik rapat-rapat ya, nanti pencuri mencerobohi bilik sekali lagi. Nanti barangmu hilang sekali lagi. Awak pun tahu, kan, bahawa awak pelupa..."

     Tiba-tiba, aku diserang seribu pertanyaan sehingga hatiku semakin tertekan, bagai tuala yang dipulas. "Bersabarlah...bersabarlah," aku mencuba meredakan ketegangan hati yang kian meledak. Aku hampir menjerit kepada nenek, memperhentikan leternya tetapi aku sedar benar bahawa itu kederhakaan. Selain menjaga ilmu, aku perlu menjaga budi bahasa juga. Orang muda mesti menghormati dan menyopani orang tua. Kalau tidak berlaku demikian, aku akan dilaknat Tuhan dengan kilat atau direbus di dalam sup neraka.

     Tekanan hatiku tidak jadi meledak tetapi diteran berkali-kali lalu bertukar kepada suara rimas yang memunyai kebiadaban yang terendah: "Ya, ya, saya tahu nek, saya pandai menjaga diri, tak perlu mengingat-ingatkan saya selalu. Jangan risau, nek." Suaraku pada masa itu nyata kedengaran rimas dan tidak sabar. Hati nenek tentu tergetar oleh kekejaman itu...

     "O...tak apalah, Hang, saya cuma berbual-bual senggang saja. Maklumlah, popo (= kata bahasa Mandarin yang bererti nenek) tidak ada hal untuk dibuat, terlalu banyaklah masa senggang. Haha...baiklah, saya tak berbual lagi. Jaga diri baik-baik...ok...jumpa lagi," nenek tersengih. Gelaknya kekok dan dipaksakan di hujung talian untuk melayan aku, cucu yang derhaka, aku tahu. Aku tahu bahawa hati nenek tidak gembira tetapi hatiku yang tiba-tiba sedar akan kehampaan nenek dan kehinaan budiku tidak mampu memuntahkan apa-apa pujuk dalam beberapa saat perkataan "jumpa lagi" itu. Ingin kuteriakkan: "Saya tidak bermaksud begitu...." tetapi maruah yang menutupi lubuk hatiku yang terbenar memengaruhi aku hanya mengujarkan: "O, baik, jumpa lagi." Teranglah bahawa nafsu membaca bukuku lebih kuat mencengkam hati daripada simpatiku terhadap nenek sehingga aku hendak cepat menamatkan gangguan itu untuk meneruskan gaya kehidupan 80-anku yang kononnya berciri kecendekiawanan daripada pembacaan dan penyiasatan ilmu. Hatiku berasa adanya semacam hasrat yang tidak tersampai tetapi gagang sudah diletakkan nenek, meninggalkan kekaburan bunyi yang tidak bermakna.

     Yang lebih merupakan kejahatanku bahawa hatiku lega daripada tekanan setelah nenek meletakkan gagang kerana itu bermakna bahawa aku dapat terus menikmati persendirianku yang memerlukan tumpuan sepenuhnya untuk aku mencapai matlamat 10 halaman sehari. Namun begitu, hatiku bingung pada masa yang sama sambil memikirkan soal adab. Apakah guna rupaku yang bijak jika hatiku tersiratlah kebusukan? Nenek tentu menganggap kesambalewaanku dalam perbualan dengannya sebagai tabiat biasaku. Pada mata nenek, aku memang sambalewa sehingga bahawa tualaku hilang, dompet yang tercicir pun tidak kusedari.... Sungguhpun begitu, aku tahu bahawa hatiku ini derhaka. Aku tidak mengingini bahawa nenek membudakkan aku sehingga sentiasa tidak jemu mengingatkan aku akan kekurangan aku, iaitu pelupa setiap hari. Daripada suatu ceruk hati, aku yakin bahawa aku bukan pelupa sepenuhnya dan aku mampu berdikari mengendalikan kehidupan seharian. Aku bukan budak empat tahun, seperti sangkanya lagi. Aku tidak memerlukan peringatan. Oleh itu, sungguh-sungguhlah aku mengelakkan dan mengikis segala nasihat yang berbunyi kebudakan, seperti "jangan lupa sentuh-sentuhlah saku seluar untuk memastikan bahawa dompet masih ada..."

     Aku meletakkan buku di atas meja, tercungap-cungap daripada kegelisahan hatiku yang berpeluh. Aku bermula tidak mengenal diri sekarang. Adakah aku ilmuwan yang sopan atau sebenarnya ilmuwan yang dilapisi kesopanan tetapi berisi derhaka? Adakah aku budiman yang tersergam megah di puncak bukit atau serigala yang merangkak tamak? Tergamaklah aku derhaka terhadap nenek yang selalu bimbang mengikut dan memperhatikan aku yang berusia empat tahun yang memanjat sofa untuk mengambil kertas minyak lampu dinding supaya aku tidak jatuh! Kedut dahinya selalu terbayang jelas dalam ingatanku —— terlalu nyata, mustahil dipadamkan. Sekarang, bukan sahaja aku tidak mengurangkan kedut itu malah menambah kedut hatinya dengan suara rimas yang ingin segera menamatkan perbualan 15 minit itu. Apatah guna kebijakan jika seseorang tidak tahu tentang adab dan kelemahlembutan? Apatah guna kebijakan, apatah guna...

     Sampah —— semuanya sampah! Aku memukul kulit bukuku. Begitu dahsyatlah aku; yang lebih dahsyat bahawa nenekku tidak mengetahui bahawa aku ada hati yang demikian dahsyat! Orang mengenal aku sebagai pelajar sempurna yang bijak dan berbudi bahasa namun mereka tidak tahu tentang kederhakaanku terhadap nenek. Kesesalan berakar dan mencengkam hatiku yang terbayang hati nenek yang tertoreh sehingga berdarah. Begitu berdosalah aku yang daif ini!

     "Apatah guna kebijaksanaan kalau...kalau budi... budi bahasa demikian hina!" aku meregangkan seluruh badan, mengetapkan setiap kata sambil memukul-mukul tanganku sekuat-kuatnya dengan harapan bahawa aku dapat menghukum diri yang berhati serigala itu.

     Aku hendak memaksakan tangisan yang mungkin mampu meredakan kesesalan. Namun begitu, aku gagal. Tangisan hatiku tanpa suara dan air mata. Yang tergigil hanya hatiku yang hitam dan tidak berguna.

    

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...