Thursday, June 29, 2017

Mainan Amali yang Pernah Membosankan Daku...

     "Abang, mari bermain UNO!"

     "Abang, mari bermain Jutawan!"

     Itu rayuan adik bosan terhadap aku yang sedang berhadapan dengan komputer setiap kali, setiap hari pada waktu dahulu. Setiap kali mendengar rayuan itu, hatiku serta-merta lelah dan kering kerana UNO dan Jutawan terlalu bosan! Bayangkanlah: empat orang duduk di keliling papan Jutawan, pandang-memandang, mengulang laku yang sama, iaitu melemparkan kad. Menarik hatikah kehidupan seperti itu? Lebih-lebih lagi, aku sudah dewasa, tidak dapat merasai keghairahan bermain UNO dan Jutawan lagi seperti masa dulu. Pada masa dahulu, aku, adik sulung dan dua orang adik sepupu perempuan sanggup bersengkang mata sampai 12.00 tengah malam demi bermain Jutawan di bilik komputer mak saudara yang terletak di tingkat ketiga rumah. Aku masih mengingat suhu bilik yang sejuk itu. Oleh itu, aku mengangkat tangan atau terus terang berkata "tidak" kepadanya. Hati ini sudah melekat pada Facebook, jadi tentu seksalah darah daging yang dipisahkan berdikit-dikit daripada maya oleh orang lain.

     Sekarang, keadaan sudah terbalik. Adik bosan suka mengangkat kedua-dua belah kaki ke sofa sambil mengalaskan kakinya kepada papan mainan yang semacam I-Pad tetapi berjenama lain yang dipegangnya. Apabila aku meminta dia bermain UNO, dia tidak menjawabku sebaliknya terus terpesona oleh gerak-geri gambar tabletnya. Minatnya terhadap UNO barangkali sudah mengalir kering. Dia lebih suka akan mainan mujarad dalam papan mainan elektroniknya kini jika mainan mujarad dibandingkan dengan mainan amali seperti UNO. Dulu, dia mengalirkan minat yang tebal tetapi mungkin oleh penolakanku yang terus-terusan, dia membuang diri dalam alam papan mainan yang lebih menarik minatnya setelah minatnya mengembara di dunia sudah mengalir kering; setelah dia putus asa meminta penemananku dalam UNO dan Jutawan.

     Sekarang, akulah yang membeli UNO semula, mencuba memenuhi permintaannya masa dahulu tetapi tampaknya dia sudah mencari kecintaan yang lebih sesuai dengannya.

     Aku begitu berharap agar minatnya terhadap UNO masih mengalir. Aku begitu mengharapkan masa senggang yang tidak mencemaskan orang supaya orang tidak selalu cemas membelek WhatsAppnya pada setiap selang lima minit. Dulu, kami: aku, adik, abang sepupu dan dua orang adik sepupu perempuan dapat bermain Jutawan seharian tanpa gangguan telefon pintar, tanpa berasa jemu akan aturan mainan yang berulang-ulang. Sekarang, WhatsApp meresapi jiwa setiap makhluk bumi, sebati dengan erti manusia, menjadi penyakit yang tidak kita sedari pun. Kita cemas memindahkan setiap detik kehidupan dalam alam yang tidak tersentuh sehingga alam nyata kita abaikan kerana takut terlangkau satu detik yang menarik hati dalam maya khayalan; kita berdebar hati membaca setiap berita dan pesanan ringkas menarik dalam Facebook dan WhatsApp tetapi kita lupa bercakap dengan kawan yang mengajak kita ke rumah terbuka di hadapan mata, seakan-akan rumah terbuka itu dimaksudkan untuk penyelaman laut maya sekali lagi. Kita berasa sangat tidak selesa apabila meninggalkan alam palsu itu kerana segala detik kehidupan kita dan kawan sudah dimuatkan dalam sana sehingga tidak tinggallah apa-apa yang berbaloi dikenang dalam alam nyata. Tidakkah kita berasa begitu?

     Aku sendiri juga sedang mencuba membuang penyakit itu dengan menetapkan bahawa aku hanya boleh membaca pesanan ringkas pada pukul 9.00 malam. Ketagihan membaca pesanan ringkas itu menggigit aku setiap 15 minit. Aku mengakui titis ingin tahu yang mengocakkan tasik hati yang baru ditenangkan apabila terdengar seruan nada dering pemberitahuan WhatsApp. Nada dering itu bagai loceng yang membangkitkan hantu —— sungguh ajaib sehingga dapat menyeru hantu hati penagih WhatsApp yang baru kuusir semula. Penggera sahaja sudah mampu memancing kegatalan ingin tahu: ingin tahu sama ada aku dihantari pesanan ringkas kerana aku dipentingkan; ingin tahu sama ada gadis idamanku menghantar pesanan ringkas kepadaku tiba-tiba dengan berkat Tuhan...Ringkasnya, sungguh deritalah untuk aku bertahan sampai 9.00 malam! Aku mencuba meneruskan pembacaan novel itu tetapi sesekali dualah kata-kata yang tertera itu kehilangan makna. Aku menutup novel, mencari kegemaran lain dengan  membaca buku tebal antologi rencana Cina pula tetapi rencana-rencana itu tidak mencungkil keghairahan terus membaca cerita seterusnya pun. Aku jelas benar akan keinginanku dalam WhatsApp tetapi aku tahu bahawa kewarasan itu sebenarnya tidak waras; keinginan yang seakan-akan betul itu sebenarnya salah! Ketagihan akan mewaraskan segala tindak kita tetapi lama-kelamaan, kita akan mendapati kesalahan itu! Orang sekarang merasakan bahawa permainan telefon bimbit di meja bulat makan waras kerana setiap orang berlaku begitu tetapi lama-kelamaan, aku merasai kegilaan kehidupan begitu setelah mengerti bahawa manusia dapat membisu di samping manusia yang lain dengan cahaya telefon bimbit menerangi muka sehari suntuk! Oleh itu, aku sanggup menggeleng akan kederitaan sementara itu untuk bertahan hingga pukul 9.00 malam —— bukan bertahan kerana sudah lama tidak menyeksakan badan tetapi bertahan dengan satu matlamat yang agung.

     Begitu berharaplah aku agar adik masih suka bermain UNO. Mainan amali yang pernah membosankan daku menjadi makna penting yang hanya kuerti kini. Aku tidak ingin menjalani kehidupan yang tampaknya waras tetapi sebenarnya gila itu lagi. Aku lebih rela bosan dalam mainan amali seperti UNO daripada tersenyum sendirian di hadapan cahaya telefon.



  

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...