Tuesday, June 27, 2017

Kekemasan Bermula daripada Kekacauan

     Jejeren bintik cahaya lampu yang berselerak di jalan raya sebenarnya berasal daripada satu sistem yang kemas. Dapat ditafsirkan jugalah bahawa jejeren bintik cahaya lampu jalan itu membayangkan perselerakan yang kemudian membentuk satu sistem kemas. Bintik-bintik cahaya lampu yang berselerak sebenarnya menggambarkan bentuk jalan yang tertentu. Bintik-bintik cahaya yang melengkung ke atas menandai selekoh. Selekohlah sistem kemas yang diterangi bintik-bintik cahaya lampu yang kacau. Maka itu, segala kekemasan, seperti selekoh yang sempurna berasal daripada kekacauan, umpama jejeren bintik cahaya lampu jalan yang berselerak. Kekacauan membentuk kekemasan.

     Apakah yang kurepekkan ini? Susah dipahami, betul tak?

     Dengan ringkasnya, aku hanya hendak memberitahukan bahawa segala kekemasan yang disebut sistem itu bermula daripada pikiran dan keadaan seorang sarjana yang kacau.

     Pada suatu hari, semasa aku bercuti di rumah nenek yang berada di Terengganu, aku terkejut sekali lagi oleh lagak rajin adik sepupu perempuanku yang menyayangi telefon pintarnya  lebih daripada segala-galanya selama ini. Nota Sains terbentang kemas di hadapan matanya yang tidak menjeling nota itu sedikit pun sebaliknya dia sungguh-sungguh menulis jawab soal Matematik pada buku lain. Barangkali itulah yang dikatakan bahawa manusia tidak menghargai keindahan milikan di hadapan matanya, aku berpikir. Itu kepura-puraan juga —— menyombongkan nota yang kemas kepada orang lain untuk memercayakan orang lain bahawa dia rajin bahkan dia menambah-nambah seri lakonannya dengan membuat kerja rumah lain, aku mencebik dalam hati. Aku tenggelam dalam khayalku, berpikir: begitu mudahlah anak sekarang mendapat nota yang lengkap —— hanya dengan membayar duit tuisyen maka sampailah 'hidangan' yang setimpal bayaran itu.

     Nota yang bertaip kemas itu menyebabkan bahawa aku terbayang jejeren bintik cahaya lampu yang berselerak di jalan raya. Satu sistem yang tersusun berasal daripada kekacauan pikiran pengatur sistem itu. Nota juga sama. Aku dapat membayangkan bahawa guru tuisyennya sedang meramas-ramas rambutnya sambil memikirkan cara menyusun ilmu cariannya supaya maklumat-maklumat itu menjadi nota yang tertata mengikut bab yang berbetulan dengan sukatan pelajaran. Aku terbayang beberapa malamnya yang terpaksa disedarkan dengan cawan demi cawan kopi, dengan mata yang serik akan keterangan cahaya komputer riba, dengan lampu bilik yang sentiasa hidup dan jika lampu bilik dipadamkan, itu bermakna ketumbangannya ke dalam kawah kegagalan. Oleh itu, bayaran tuisyenlah ganjaran usaha guru itu.

     "Nota sekolahkah?" aku bertanya, mengingini kepastian sama ada guru sekolah begitu rajin.

     "Begitu lengkapkah nota sekolah?" dia menjelingku. Ejekannya itu seperti merendahkan taraf guru sekolahnya.

     Jawab itu membayangkan pikiran tetap seorang keturunan Y bahawa seseorang pelajar keturunan Y hanya perlu duduk di kerusi yang beralas empuk sambil menunggu terhidangnya sehelai kertas tebal yang berikat dengan ubat pengokot, yang lengkap semua maklumat sesuatu bab sehingga pelajar hanya perlu membenamkan hafalannya dalam semua maklumat yang, pada pendapat guru itu, tidak boleh ditinggalkan walaupun sepatah kata. Apatah erti pemelajaran kalau akal tidak dirangsang ? Gear jentera yang tidak digerakkan berkarat juga akhirnya. Lebih-lebih lagi, di manakah mungkinnya keadaan nota yang lengkap tanpa pencarian, pengumpulan dan penyusunan ilmu yang berterusan?

     Aku menyanggah pemelajaran berdasarkan nota guru. Itu seperti orang tidak berakal yang tugasnya hanya merakamkan semua maklumat itu dalam akal tanpa berpikir dan menapis maklumat yang 'terhidang'. Aku pernah menjadi perakam sehingga ayat yang kuperah daripada otak dipadamkan semata-mata kerana tidak bertepatan dengan ayat dalam nota dan jawab guru. Pemelajaran memerlukan pemikiran, bukan perakaman bulat-bulat daripada nota! Seperti yang telah dijelaskan awal tadi, kekemasan bermula daripada kekacauan. Untuk menjalin satu rangkai ilmu yang tuntas mengenai sesuatu bab pelajaran, kita bermula dengan meramas-ramas kepala, bengal memikirkan maklumat yang perlu diteroka di perpustakaan dan rujukan lain. Setelah mencari-cari maklumat dengan tidak tentunya —— tanpa hujung pangkalnya (perkara manakah yang bermula dengan susunan pikiran yang teratur?), kita mencatat maklumat yang berkaitan dengan pelajaran daripada rujukan. Selepas itu, kita merujuk beberapa buku lain untuk mengumpulkan maklumat yang lebih banyak dan untuk mengesahkan maklumat dahulu. Kemudian, kita menyusun maklumat itu mengikut urutan sukatan pelajaran dan maka terjadilah satu nota lengkap yang kemas, yang bermula daripada kekacauan yang bertalu-talu dikemaskan dengan usaha kita. Itulah pahaman yang benar mengenai sesuatu pelajaran.

     Kita memahami sesuatu pelajaran melalui pencarian, bukan hidangan nota yang berasap keluar dari ketuhar. Kita paham benar tentang pelajaran yang kita siasat dengan merujuk buku-buku di perpustakaan kerana setiap patah kata dicatat melalui coretan yang memunyai sentuhan khas kepada akal dan jiwa. Setiap sentuhan khas itu membawa kita kepada satu ingatan. Maka itu, tidak menghairankan kitalah bahawa orang yang menulis dan memetik ilmu daripada buku sehingga petikan itu berkumpul menjadi satu karangan yang rapi kata-katanya mampu menghafal semua pelajarannya tanpa merujuk nota lain pun.

     Adik sepupuku, mungkinkah satu nota yang begitu lengkap senang disediakan? Itu juga melalui penyiasatan orang dahulu. Siasatan orang itu menjadi ilmu yang tertera dalam buku teks. Orang berenang-renang ke tepian dahulu sebelum berakit-rakit ke hulu —— berenang sebelum mendapat kendaraan. Pelajaran sekarang begitu lancar dan sempurna kerana ilmu yang tersusun sudah dihidangkan dalam nota guru tuisyen. Jika segala-galanya tersedia, apakah kerja pelajar yang bertalian rapat dengan kata 'belajar'?

     Pemelajaran memang tidak mungkin lancar. Itu proses yang susah, yang bermula daripada semangat ingin tahu, kemudian diikut perujukan, pencatatan maklumat, penyusunan maklumat dan akhirnya terbentuklah nota yang lahir daripada ketuhar pahaman sendiri. Nota itulah sistem yang kemas. Sistem itu kemas itu bermula daripada pencarian yang kacau, yang tidak tentu. Tahukah anda bahawa apakah dan berapakah buku yang perlu anda rujuk untuk memahami sesuatu ilmu? Tidak tahu, kan? Jadi, terimalah kecacatan dunia ini; terimalah kenyataan bahawa segala-galanya tidak datang dengan kemudahan.

     Aku juga pernah mengharapkan bahawa bau asap minyak goreng dari dapur tidak melekati bajuku ketika aku turun dari tingkat atas rumah tetapi asap minyak yang terlalu halus untuk mengelakkan bajuku itu tetap tersebar, melekati bajuku, membusukkan daku dan menyesakkan hidungku. Itulah kecacatan zarah minyak yang tidak dapat dielakkan —— aku terima juga akhirnya.

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...