Thursday, June 22, 2017

Hakikat Iftar

     "Hadirin dipersilakan turun ke lobi untuk menjamu juadah iftar," pengacara mengumumkan.

     Hadirin sekalian lekas berdiri lalu berpaling, menuju pintu besar dewan. Berpusu-pusulah beberapa kakak gemuk dan abang yang kurus kering sebagai akibat mengikat perut menuruni tangga lalu menguasai meja demi meja. Mereka duduk dengan kawan rapat: Yusra, Lyana, Izzati, Mimi, Fatimah...semeja; Badrul Amin, Syed, Hariz, Badrul Naim dan pelawak-pelawak lelaki itu semeja; Albert, Chai Lee, Jackson, Seng Fa, Zheng Lian, Loon...semeja dan akhir sekali, tentulah Sharmila, Darshini, Tharshini, Nagulan, Jerry yang tidak dapat berpisah darah daging itu semeja! Aku pula berpaling ke kiri, ke kanan sambil berjalan perlahan, selangkah demi selangkah, dilepasi lautan orang yang sibuk dari hadapan, dari belakang, seperti mak cik yang membeli ikan sayur. Kepalaku mengintai kekosongan tempat; aku mencuba mencari tempat yang khas untukku. Pada hari ini, aku hendak duduk dengan kawan Muslim. Aku tidak hendak bermain perkauman dan terperuk dalam kawasan selesa selama-lamanya.

     Namun begitu, tempat duduk telah penuh. Puak masing-masing berjaya menambat kepudaran pergaulan —— berkongsi senyum dan gelak dengan orang yang sama sahaja setiap hari sehingga aku ingin muntah apabila melihat puak yang sama —— sama bosan, sama mempamerkan wajah awan kelam yang menjemui kehidupan IPG. Aku berjalan; ke sini, ke sana. Begitu panjanglah baris pelapar yang akan berbuka puasa sambil memusing-musingkan pinggan di tangannya.

     Kawan Muslimku sudah rapi di meja. Tidak meninggalkan tempat kosongkah mereka untuk aku? Aku sudah agak. 'Siapatah aku? Hanya daun yang terbang dalam angin; tergelak berdekah-dekah dengan mereka pada saat ini; saling membelakangi dan berpisah pada saat seterusnya. Itulah kelumrahan kuliah,' berpikirlah aku lalu terbahak sekali.

     Apabila melihat bahawa aku berjalan ke meja mereka, kawan-kawan Cinaku lekas mengalihkan pinggan mereka untuk mengosongkan satu tempat duduk yang sempit untukku. Sempitnya pergaulan mereka...hanya dalam kelompok sendiri. Bagaimanakah kepelbagaian dapat dicorakkan di Malaysia kalau kaum Cina hanya selesa membuka pintu hati kepada kaum Cina? Aku terpaksa duduk, memaksakan senyum kegagalan: gagal bergaul dengan kaum lain.

     Bagai budiman yang sedang mendukung niat suci, mencari kebenaran yang tidak tentu dalam angin yang tergesa-gesa menerbangkan segala daun gugur, aku berjalan dengan dua tapak tangan tergenggam lembut di belakang, memandang setiap kepala dengan sama ratanya, tersenyum kepada mereka yang melepasi aku. Apabila tiba di meja yang diduduki Fatimah, Wani, Lyana, Izzati, hatiku berdebar-debar: tidak kusangkalah bahawa C2 bersatu lagi. Hati mereka tidak berpisah. 'Senyum Wani selalu dengan C2,' aku tersenyum dalam seribu bahasa yang bungkam.

     "Hai, Pui! Puasa hari ini?" Lyana mengangkat kening, melebarkan senyum mata harinya kepadaku.

     "Puasakah?" senyum Wani bagai bunga raya yang berkembang pada pagi.

     "Berpuasalah, tentu," aku mendongak dengan bangganya tetapi aku tidak tahu hendak melanjutkan apa lagi. Hatiku sebenarnya malu walaupun aku bangga akan azam puasaku. Malulah aku yang bukan Muslim berlagak alim dengan berpuasa di hadapan mereka.

     Yusra hanya memandangku sekelip mata lalu terus berbual entah apa dengan Izzati. Izzati pula menyambut katanya dengan senyum. Kedengaranlah suara kuat Izzati, seperti kebiasaan. Entah apakah yang sedang diguraukan mereka? Kerana menyedari keasinganku, aku bangkit dari tempat duduk meja itu, meninggalkan mereka, mencari makanan.

     Akhir sekali, aku kena duduk dengan kawan sebangsaku yang serius juga. Mereka tidak memandangku pun, aku tahu. Hanya tahu berguraulah mereka dengan orang terkenal yang suka membuka aibnya di hadapan khalayak dengan berteriak apabila melihat wanita, mencemburui dan memburukkan lelaki yang mendekati bidadari yang diidamkan mereka dan saling mengejek —— ejekan yang sama kuning, sama bosan setiap hari. Yang tidak aku sukai tentang kumpulan Cina ini bahawa mereka tidak suka duduk di antara kaum lain, seakan-akan kaum lain itu kaca lut sinar, hanya merekalah yang wujud di sini. Aku masih mengingat satu pepatah mementingkan diri yang dituturkan mereka: "Cina sedikit bilangannya, jadi kita mesti perlu berpadu."

     Apatah daya? Aku Cina juga, kenalah duduk dengan Cina, kan? Itulah pikiran kawanku yang sempit, seperti parit yang hampir tersumbat oleh antara parit yang terlalu sempit itu. Kolot, dangkal, sombong! Itu bukan diriku. Diriku orang antara bangsa; dapat membuka hati kepada apa-apa Melayu, Cina, India. Telanjanglah hatiku; usah engkau risauilah bahawa aku melindungi sikap sebenarnya aku di hadapan engkau yang berbangsa lain untuk menjaga sensitiviti bangsa—— tidak! Tidak sekali. Aku ingin memesrai engkau semua. Ingin kuselidiklah dunia Hariz, Badrul Amin, Aiman, Adi, Syed, Badrul Naim, Muhammad Amirul; ingin kuselamilah dunia Jerry, Nagulan, Seva, Srigaanth, Sharmila, Pavitra Besar, Pavitra Kecil. Aku tidak hendak terhimpit dalam kumpulanku sahaja —— kumpulan bangsa Cina. Lihatlah dunia ini, lihatlah! Dunia ini maha luas, tidak sekadar mengisi kaummu. Usahlah kita hidup dengan sensitiviti kaum tetapi cuba kita tertawakanlah babak kelakar yang menggelikan hati bersama.

     Baik, aku kalah —— memang kalah dalam pergaulan dengan Hariz, Badrul Amin, Aiman, Adi. Itu bukan kali pertama. Aku menyedari kekekokan itu. Maka duduklah aku dengan Jackson, Albert, You Hang, Seng Fa, Zheng Lian; tersenyumlah aku kepada mereka; berdekah-dekahlah aku dengan mereka untuk melepaskan kesebakan hasrat yang tiada tercapai. Pada masa yang sama, aku meninjau meja lain, mengintai pakaian yang warna warni; mengintai solek yang memerahi dan mencahayai muka mereka yang soleh. Apakah yang dipikirkan dan dibincangkan oleh wanita? Aku melayan khayalan sendiri, terbayang bahawa aku duduk di antara dua kawan perempuan Islam dengan kot Barat hitam yang segak sambil menjawab soal-soal yang ditabur oleh dua orang perempuan yang lemah lembut tuturnya dan berpatutan lakunya dengan senyum seharum mawar.

     Saat yang kutunggu sampai juga. Aku hendak memperhatikan nilai iftar ini dalam mata mereka. Segelintir orang sudah makan habis, yang tertinggal di pinggan mereka hanya tulang ayam. Maka mereka terus bangkit dari meja dengan diam-diamnya lalu meninggalkan lobi tempat Iftar. Ya, aku sudah mengagak ketelanjangan manusia ini. Mereka datang hanya untuk makanan percuma. Semasa mendengar majlis, orang-orang itu bermain telefon bimbit, tidur sahaja; hanya memikirkan kepentingan diri. Sesungguhnya, aku tidak hendak meninggal. Maka menyelinaplah aku dalam kumpulan Seva, Nagulan, Jerry, Pavitra. Hatiku senang akan mereka. Tidak tahu mengapa, aku suka mengejek Pavitra besar yang gelaknya lebih lucu daripada jenaka. Gelaknya berdekah-dekah dan tinggi nadanya, menggatalkan hati setiap orang. Kawan India suka tertawa, mereka sangat periang. Sekalipun berada dalam musim kerja kursus; sekalipun dibebani tugas besar, Sharmila, Darshini, Tharshini dan Pavitra masih tertawa berdekah-dekah seperti orang gila.

     Aku menjeling meja itu —— meja yang diduduki kawan Cinaku itu: kosong. Mereka sudah beredar dengan kakak-kakak dan abang-abang Sarawak yang lain. Begitu realisitiklah kawanku. Begitu realisitiklah manusia. Gelak ketawa mereka hanya direlakan semasa makanan ada, kepentingan ada. Itulah yang tidak kusukai tentang manusia: setelah menguntung kepentingan orang lain sampai habis, mereka menyapu debu pada punggung lalu nyah.

     Namun begitu, aku agak terharu —— terharu melihat bahawa kawan Indiaku begitu berpadu, seperti keluarga besar yang tiada pertalian darah, saling tidak kisah akan latar masing-masing yang berbeda: sama ada yang miskin, yang kaya, yang ulat buku, yang suka mengejek orang lain...Tahniah! Tahniah kerana masih tinggal selepas iftar habis! Seva, Jerry, Nagulan, Jerry, Sharmila, Darshini —— engkau bukan datang untuk tujuan lahiriah yang cetek tetapi kepuasan batin yang sepenuh-penuhnya!


     Sesudah melihat sikap khalayak, aku tertanya-tanya: Apakah makna iftar? Majlis orang yang hina,  yang hanya mengerti kemewahan lahiriah? Ya, aku merasakan bahawa aku tahu memaknai iftar: mendengar majlis yang membosankan diri, makan lalu beredar.


 


    

    

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...