Saturday, June 17, 2017

Sebuah Kota Terpinggir di Bukit Fraser


              Dalam cuti sekolah ini, aku dan keluarga tidak pergi jauh, hanya melancong ke Bukit Fraser yang biasa disebut-sebut. Bukit Fraser terletak di Pahang; aku pun duduk di Pahang, jadi padaku, Bukit Fraser tidak istimewa pun apakah yang dapat dimainkan di atas sebuah bukit? Melihat-lihat alam semula jadi sahaja, bosan. Lebih-lebih lagi, adik-adikku tentu meluangkan masa bosan mereka dengan menekan-nekan telefon pintar, jadi apakah makna cuti ini?

            Itu bisik hatiku tetapi aku tidak mengendahkan bisik itu. Aku menghadapi cuti ini dengan senyum. Aku tidak menghendaki bahawa cuti ini bernoktah dengan kebosanan. Sekalipun pelancongan dengan keluarga kekurangan gurau senda, tidak seseronok pelancongan dengan saudara mara yang suka merepek dan tertawa sehingga terngangalah mulut, kasarlah laku, aku tetap ingin bersama dengan keluarga sejenak padahal aku selalu tinggal di luar, belajar di pusat pelatihan guru, jarang-jarang bergaul dengan keluarga. Dalam cuti ini, aku hendak membuang segala-galanya di belakang: telefon pintar, keresahan, dunia yang kejam aku hanya ingin menikmati kabus yang mengaburi wajah gunung yang indah, mendengar rentak air terjun dan menghidu keharuman pokok rimbun.

            Penaikan bukit bukan perkara yang mudah. Aku berasa tertekan untuk ibu yang berusaha menaiki bukit. Jalan di bukit berliku-liku dan terlalu sempit. Ibu terpaksa memerah segala tenaga pada kemudi kereta untuk memusingkan kereta ke kiri, seterusnya ke kanan dan ke kiri lagi. Aku menduga bahawa ibu pasti sedang menahan angin yang sedang menekan hatinya. Kesian ibu: ibu terpaksa mengulang perbuatan yang sama untuk 45 minit membelok ke kiri, membelok ke kanan. Aku pun bermula tidak sabar kerana asyik melihat pokok besar yang sama, dinding bukit yang sama, jalan sempit yang sama, entah bilakah kami sampai ke puncak! Lebih-lebih lagi, jalan bukit ini sangat suram dan sunyi tiadalah orang yang melalui jalan itu kecuali beberapa buah kereta yang ditemukan di pinggir jalan, seakan-akan kami sedang menuju jalan mati atau jalan yang tiada sempadannya sehingga kami sesat di hutan yang tidak pernah diteroka itu. Dahsyat lagilah hatiku yang terbayang bahawa sebuah kereta bertentangan arah kepada kami sehingga terjadilah perlanggaran yang ngeri!

            Setelah kami terlelap, terbangun, terlelap, terbangun sepanjang perjalanan menaiki bukit, akhirnya sebuah dunia baharu terbentang di hadapan mata kami. Kami seakan-akan sudah menemukan sebuah kota yang terpinggir, yang tidak pernah didiami beribu-ribu tahun. Sebuah dinding jam tersergam megah di atas lantai yang ditinggikan di tengah kota itu yang dipagari oleh pagar putih sebagai lambang kota Bukit Fraser. Dinding itu dipanjat rumput rumpai sehingga tidak kelihatan lagilah warna asal. Di dunia itu, terdirilah perpustakaan, kedai makan, hotel, pejabat pos tetapi semua bangunan itu yang tidak dihinggapi setitik debu itu telah ditutup, tidak dikendalikan bertahun-tahun. Aku sudah mengagak bahawa suasana demikian sunyi sepi kerana Bukit Fraser tidak sama menarik dengan Tanah Tinggi Genting yang mempunyai roller coaster, Tanah Tinggi Cameron yang mempunyai ladang hijau yang luas dan diamankan dengan kabus samar-samar yang sejuk. Di tepi yang tidak jauh dari dinding jam, terdirilah sebuah hotel putih yang bernama Puncak Inn. Hotel yang bercat putih seluruhnya itu seperti bangunan zaman penjajahan Inggeris. Hotel itu mempunyai sebuah kedai kopi yang dihias dengan meja yang serba putih dan kaca-kaca yang jernih.

            Kami membimbit bagasi, beg plastik, beg galas lalu memanjat tangga ke bilik hotel kami. Aku agak terperanjat kerana hotel itu tidak menyediakan lif. Kesianlah orang yang tinggal di tingkat keempat. Tangga itu memanjang ke puncak dan terdapatlah cabang-cabang jalan ke kiri dan ke kanan di satu tingkat. Setiap tingkat itu terbuka, disinari mata hari, diapungi selapis udara bukit halus yang dingin segar, diteduhi daun yang lebat. Jalan lurus ke tingkat ketiga, bilik kami itu sunyi sepi. Bangunan itu tentu dibiarkan bertahun-tahun sehingga pengurus di bawah pun malas mengendalikan bangunan itu. Namun begitu, yang mengajaibkan daku bahawa bangunan itu masih suci daripada kotoran dan keuzuran.

            Kami paling menyukai bilik hotel kerana berasa seperti berpindah ke rumah baharu. Tercium oleh akulah bau lantai petak dan perabot kayu putih baharu. Adik bongsuku terus mendapatkan lalu membaringi katil, merasai keempukan katil putih itu. Aku pula meraba-raba butang televisyen. Bilik itu seperti bilik orang kaya, terjaga dengan kemasnya: papan penyokong katil yang berkilat, televisyen dinding baharu, pasu bunga kecil yang menawan hati tersusun di atas meja bawah televisyen, kipas hotel mewah yang berbilah enam. Apabila ibu memberi tahu kami bahawa kami akan bertolak tidak lama lagi, punggungku sudah melekati sofa sehingga hatiku malas hendak keluar. Aku hanya hendak leka melayan Jacky Chan di dalam bilik tetapi pada masa yang sama, aku sedar bahawa tujuan utama kami keluar melancong, bukan terperuk di dalam bilik kecil.

            Apabila aku hendak ke tandas, aku terlihat seekor monyet yang menjenguk ke dalam dari tingkap terbuka! Monyet itu merenung aku sahaja dengan dua biji matanya yang hitam besar, seakan-akan kali pertama melihat manusia! Maka kalutlah aku memikirkan bahawa monyet itu akan merebut pisang kami, memanjat belakangku lalu mencalar tanganku. Dengan kelam-kabutnya, aku menggertak monyet itu sekuat-kuatnya: “Keluar, keluar!” sambil menggamit tangan menyuruh monyet itu keluar. Monyet itu seolah-olah tidak paham tentang bahasa, mengangkat sebelah kaki lagi ke atas tingkap, ingin melompat ke dalam bilik kami. Bapaku yang berani lekas berlari kepada monyet itu lalu mengusir monyet itu dengan suara “whoosh!”. Binatang berbulu itu lekas melompat dari tingkap ke atas atap lalu berpaling kepada kami bersama kawan-kawan lain. Ibu ayah mentertawakan aku pengecut. Adik bongsuku yang pendek dan baru berusia 10 tahun itu mentertawakan aku yang mencuba berkomunikasi dengan monyet tetapi gagal.

            Acara pertama kami menunggang kuda. Penunggangan kuda, pada aku, tidak berapa seronok kerana aku tidak dapat membuat apa-apa selain termenung di atas
kuda dan melihat pemandangan yang terhad. Lebih-lebih lagi, saudara-maraku tidak hadir, tidak dapat bersenda  dan menjeritkan keterujaan dengan daku, oleh itu ombak hatiku mendatar sahaja. Walau bagaimanapun, hatiku masih berdenyut-denyut apabila aku terbayang bahawa aku terjatuh dari kuda yang begitu tinggi. Kami berkereta ke tapak penunggangan kuda yang terletak di jauh dari penginapan kami. Apabila kami sampai di sana, hatiku berdengus kerana seorang pun tidak ada di sana. Yang ada hanya daun yang diterbangkan angin. Adakah itu tempat terbiar? Mengapakah usahawan tidak mengalu-alukan kami dengan tangan terbuka? Adakah sikitnya pelanggan bermaksud terbiarnya tempat?


              Sana begitu sunyi sehingga kuda-kuda gemuk mengunyah biji-bijiannya perlahan-lahan dengan mata yang hampir terlelap. Kami menjenguk kaunter tetapi sebuah kepala orang pun tidak dijumpai. Akhirnya, seorang penjaga yang selekeh keluar dari rumah rehatnya yang duduk di sebelah kandang kuda. Rupanya seperti orang yang baru bangun daripada tidur. Dengan suara seperti orang yang bosan singgah di sini kerana terlalu sepi sehingga jemu akan kehidupan, dia memberitahukan harga menunggang kuda. Sepanjang perjalanan, aku duduk dengan adik bongsu, melambai-lambaikan tangan dengan muka yang ditegaskan. Aku sengaja merupakan ketua negara Amerika Syarikat supaya ditertawakan oleh ibu bapa. Sekurang-kurangnya, cutiku tidak begitu bosan. Itu sahajalah penunggangan kuda selepas aku dan adik kecil menunggang kuda, sampailah giliran adik sulung pula. Adik sulung memang terkenal oleh keragu-raguannya: semasa ditanyai, dia pasti mengeluarkan nada ragu-ragu yang rendah dan kasar: “Er...”; beberapa kali dipanggil dan ditanyai baru berkeputusan menunggang kuda. Semasa menunggang kuda, yang kedengaran beberapa kali ketawa kecil ibu untuk menutup keseganan sedang pokok-pokok sahajalah yang melambai kepada kami di sana. Bapa pula mengukirkan senyum, mungkin kerana dapat merdeka daripada kerja yang selalu merimaskannya untuk masa seketika.

            Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke bawah bukit untuk memanah. Aku tidak berminat memanah pun malah membenci sukan lasak kerana aku seniwan, bukan peminat sukan. Namun begitu, aku tidak pernah memanah, jadi aku ingin mencuba kegiatan itu. Lebih-lebih lagi, aku akan berlagak pandai memanah di hadapan adik walaupun aku tidak tahu supaya maruahku terpelihara. Namun begitu, aku takut juga: aku takut bahawa panah itu mengenai dan menembusi tanganku. Pasti terlalu sakitlah tulang yang tertembus itu! Maka kami datang ke bawah atap yang teduh. Di hadapan atap teduh, terbentanglah padang memanah yang ada papan sasaran. Beberapa batang busur tersimpan di dalam bekas, seperti batang golf. Seorang pemuda yang agak kacak dan lemah lembut bertutur mengajar aku memegang busur dengan kesabaran. Aku memegang busur, mengikut perintahnya tetapi gayaku masih pelik sehingga adik curi-curi tertawa di belakang.

            “Berdiri senget, tangan mesti tegak memegang busur. Tariklah anak panah ini hingga pipi,” abang itu mengajarku.

            Aku sudah berdiri senget tetapi turut senget memegang busur itu.

            “Tangan mesti tegak, tangan mesti tegak...ah, macam ini,” abang itu tentu sedang merungut dalam hati.

            Bukan akulah yang tidak dapat tegak memegang busur, Pak Cik tetapi daya tarikan busurlah yang berat! Aku menegakkan busur, menarik anak panah dengan tanganku yang bergetar. Kebetulanlah bahawa ibu menangkap gambar bahawa bahuku mengecut ketika aku menarik busur sehingga adik mengejek aku pengecut.

            Sukan dan aktiviti luar lebih dihandali oleh adik. Sekalipun adik tidak pandai dalam pelajaran, dia pandai dalam mainan komputer dan sukan luar, seperti bola keranjang dan bola tampar. Cara pemegangan busurnya pun menyegakkannya sebagai pahlawan yang berburu di hutan. Dia tegak memegang busur, badannya condong ke tepi, matanya ditajamkan, ditujukan tepat kepada sasaran, bagai harimau yang sudah menyasarkan mangsanya. Tanpa setitis peluh mengaliri pipi, dia menarik lalu melepaskan anak panah. Anak panah terus tepat mengenai ruang tidak jauh dari titik tengah. Aku ternganga. Ibu bapa pula bertepuk tangan untuknya sambil memuji: “Hebat!”

            Begitu sikitlah yang kami mainkan. Kami pulang ke hotel setelah habis menunggang kuda dan memanah semasa mata hari melindungi wajahnya di balik bukit dan cahaya kejingga-jingaannya memancar dari kaki langit. Aku berasa bahawa kami seolah-olah petugas yang berlaku: “Oh, habislah tugas kami, jom buat tugas yang lain; oh, habislah tugas ini, jom balik.” Oleh itu, aku mengerti bahawa untuk kami menyeronokkan cuti tidak mudah sekali. Kami perlu ada semangat membara dan gurau senda. Keluarga kami kekurangan itu tetapi aku menyenangi kesederhanaan itu.

            Pada waktu malam, kami makan “makan malam berlilin”. Kami meminjam cahaya bulan selain lampu suram yang mengindahkan suasana. Tiang jam yang dipenuhi rumput itu yang hanya dapat dilihat bayangnya itu sunyi menjaga malam. Angin sepoi-sepoi bahasa membelai permukaan kulit, menyertakan kedinginan yang sederhana dan meresapi hati. Aku tersenyum sambil mencucuk ubi kayu goreng dengan garpu, menikmati persamaan keluarga yang lama tidak diusahakan kerana aku lama membelakangi telaga rumah, menetap di luar untuk berguru dengan pakar.

            Pembacaan malam sangat menenangkan hati. Sebelum makanan dihidangkan, aku membaca majalah Solusi yang kuambil dari para-para lobi hotel. Dengan meminjam cahaya bulan yang suram, aku membaca majalah. Itu alaman seronok yang aku tiru daripada wayang. Aku suka menikmati keromantisan cahaya bulan, laksana pasangan kekasih yang mendahagai waktu perseorangan mereka. Tidak lama lagi, tukang pesan yang berbaju kemas menghidangi kami nikmat-nikmat-Nya yang berasap: ubi kayu goreng yang rangup, ikan lembut yang berendam di dalam kuah ikan manis yang pekat, telur dadar dan yang paling aku gemari, ayam goreng limau yang tidak tertahan oleh aku apabila aku melihat kuah limau yang kuning pekat sehingga air liur pun memasami mulut dan bertakung di dalam mulut. Setelah menyebatikan ikan lembut dengan air liur, aku memasukkan ayam goreng limau pula yang pekat cecairnya ke dalam mulut, merasai kerangupan setiap sudut ayam berserta kemasaman kuah limau yang cukup. Aku memejamkan mata. Bunyi mengunyahku rangup dan jelas. Ubi goreng yang berisi menghangatkan tekak; segelas jus tembikai membahagiakan hati. Aku tidak terperi kebahagiaan makan bersama keluarga bawah cahaya yang suram yang menghasilkan suasana romantis itu.

            Kami kembali ke zaman kanak-kanak: duduk di atas tilam bersama untuk menonton televisyen pada waktu malam selepas makan malam. Aku dan adik menonton Dory, cerita ikan yang beringatan lemah sehingga sesatlah dia daripada ibu bapa. Pada pukul 9.00 malam, ibu bapa sudah terlelap di atas katil manakala aku dan kedua-dua orang adikku masih duduk di hadapan tetingkap televisyen. Sebenarnya, wayang itu habis awal, dalam sekitar 9.30 malam hingga 10.00 malam. Rasa mengantuk cepat menguasai badan sehingga aku terpaksa menguap sekali demi sekali. Oleh itu, aku tidak mempedulikan adik yang biasa berjaga malam yang sedang menyapukan jari telunjuknya pada skrin telefon bimbit. Mataku terpejam tetapi otakku masih belum berehat. Bibirku terangkat, tersenyum apabila terbayanglah babak-babak terharu Dory dalam benak. Entah pukul berapa, bunyi televisyen tidak kedengaran olehku lagi...

            Semasa mata hari pukul 8.30 pagi mencerahkan langit yang bertemankan kicau burung, aku sudah tersenyum bangun daripada mimpi dengan akal yang segar. Pagi ini kemuncak acara pelancongan kita pada kali ini kerana kita akan berkayak. Sungguhpun kami tidak sabar ingin berkayak, langkah aku dan kedua-dua orang adik terheret ke lantai apabila kami disuruh berjalan ke Alan’s Water, tempat berkayak. Aku mengetahui bahawa kedua-dua orang adikku yang malas, yang hanya hendak terperuk di dalam bilik untuk bermain telefon bimbit benci berjalan kaki, terutamalah adik bongsuku yang rupanya seperti awan kelam yang bakal hujan sekarang. Aku reda sahaja akan keputusan ibu, menggesa jiwaku yang layu dalam gajet dan alat elektronik berdamping dengan alam semula jadi: dengan daun hijau yang menitiskan embun; dengan pokok redup yang menyegarkan udara pagi. Semasa berjalan, aku teringat bahawa nabi-nabi dan raja-raja dahulu juga berjalan untuk membina kerajaan yang berbatu-batu jauhnya. Jadi, tidak mungkinlah manusia sekarang tidak dapat memanfaatkan kakinya untuk berjalan jauh. Mata hari menyelinap antara daun, corak daun menghiasi jalan. Bunyi serangga yang pelik seakan-akan tidak mengalu-alukan kami. Aku pun mencontoh bunyi serangga yang seperti bunyi katak itu sehingga tertawalah adik-adikku.

            Akhirnya, kami sampai juga ke Alan’s Water sesudah berjalan agak jauh pada rasa aku. Pintu Alan’s Water yang berkekisi hitam sudah bersinar-sinar, mengalu-alukan kedatangan kami. Yang pertama kita lihat setelah melangkah masuk ke Alan’s Water tasik yang terbentang luas dengan pantulan cahaya pada riak-riak tasik. Tasik itu sungguh mejelis: wajah jernihnya memantulkan daun pokok yang lebat, pondok kecil pada permukaan. Di tepi tasik, adalah pondok berkayak. Sana seperti taman Cina kuno yang penuh bunga harum dan pokok redup. Di suatu sudut tasik, terkumpullah ikan yang pelbagai warna dan saiz badan. Kami mengayuh sampan dahulu sebelum menyuap ikan. Sampan itu digerakkan oleh kipas di bawah dasar sampan yang disebabkan oleh kayuhan kaki pada kayuh yang berbentuk daun. Semasa berkayuh, aku yang nakal paling suka mencari tempat yang tiada sempadan dan sunyi, jadi aku pun mengayuh kayuh daun ke satu tempat yang kita dapat membelok ke kanan yang tiada ketahuan pemandangannya. Adikku ikut sahaja, ingin tahu tentang tempat misteri itu juga. Apabila kami menghampiri tempat itu, otakku membayangkan pusaran air dahsyat yang dapat menarik sampan kami ke bawah dasar yang tidak terduga dalamnya. Maka aku menekan batang gear sampan ke kanan sekuat-kuatnya untuk berpusing 360 darjah.

            “Eh, berhati-hati! Ranting kayu!” adikku menjerit.

            “Ranting kayu? Apakah yang besar sangat halnya tentang ranting kayu?” aku tidak paham.

            Rupa-rupanya, adikku takut bahawa ranting kayu yang menghalang tepi jalan akan tersangkut di bawah kipas bawah sampan sehingga sampan tidak dapat bergerak dan tenggelam. Dahsyat jugalah pikiranku itu! Kami pun berusaha menekan batang gear ke kiri, berkayuh secepat mungkin untuk mengelakkan ranting setan yang membawa musibah.

            Maka bertemulah sampan aku dan adik dengan sampan ayah dan adik bongsu. Aku membuat lagak ingin melanggar sampan mereka. Ayah tersenyum sehingga memperlihatkan gigi, mentertawakan aku yang sudah berusia 19 tahun tetapi masih keanak-anakan. Adik bongsuku pula memperlihatkan dua biji gigi arnabnya sambil berteriak: “Woi! Jangan langgar!” Ketawanya yang berdekah-dekah menandakan bahawa dia menikmati keseronokan itu.

            Penyuapan ikan mainan kami sejak kecil lagi. Aku terpuas apabila melihat bahawa ikan berebut-rebut makanan, berlanggar-langgar dengan mulut masing-masing. Kami membeli sebungkus butir makanan ikan yang membusukkan tangan daripada seorang Pak Cik yang juga menjaga sampannya. Adik bongsuku tertabur butir yang terlalu banyak di satu kawasan sehingga air berkocak, ikan saling menghimpit. Adikku berdekah-dekah semasa melihat sekawan ikan tidak berakal yang berebut-rebut beberapa butir makanan yang tidak bernilai itu. Aku yang bijak pula menabur beberapa butir di sudut sini, di sudut sana supaya ikan yang sesak nafas dapat beredar, pergi ke kawasan yang lebih damai untuk menikmati masa mengisi perut bersendirian. Aku kadangkala menabur butir yang banyak di suatu kawasan untuk sengaja melihat ikan yang meronta-ronta dengan ekor yang cergas dikibas ke atas permukaan ayat untuk berenang ke arah makanan itu. Kawan ikan itu terlalu lapar sehingga mengikut manusia ke mana-mana. Asalkan manusia berdiri di tepi tasik, ikan pasti berduyun-duyun, mengangakan mulut, seakan-akan sedang berkata: “Nak makan, nak makan!”

            “Kesianlah ikan, kan? Sesetengah ikan hanya sempat merebut sebutir makanan, tak kenyang langsung,” aku berkata kepada ibu.

             Kesianlah aku terhadap ikan yang tidak dapat mengenyangkan perutnya setiap hari oleh butir makanan yang begitu sikit dilemparkan oleh pelawat. Keadilan tidak wujud di tasik itu. Ikan yang kecil berlanggar, menghalang ikan bermisai besar yang bergerak lambat, menyerapkan butir makanan ke dalam mulut dengan kelajuan sepintas kilat.

            Tiba-tiba, aku menyedari bahawa diri begitu bahagia kerana mendapat makanan tiga tempoh sepenuhnya sarapan, makan tengah hari, makan malam. Sandwicku juga disapu dengan kaya dan mentega oleh ibu! Nasibku lebih bahagia seribu ganda jika dibandingkan dengan nasib ikan di tasik. Ikan di tasik beratus-ratus ekor banyaknya tetapi yang merasai nikmat makanan mungkin 1 % ekor sahaja. Keadaan lebih teruk lagi apabila tiadalah pelawat dan penjaga yang menabur makanan ke tasik. Ikan-ikan itu terpaksa kelaparan dari siang hingga malam. Nasib baiklah ikan-ikan itu ada ingatan tiga saat sahaja sehingga dapat melupai kelaparan dan bangkit semangat, terus berenang.

            Oleh itu,...

            “Mak, boleh tak membeli makanan ikan lagi?” aku tersengih.

            “Baiklah, lima bungkus lagi awak beli itu had ya!” ibu berkata sambil menghulurkan lima ringgit.

            Hentian kami terakhir dalam pelancongan ini taman strawberi. Taman strawberi tidak luar biasa padaku tetapi lebih baiklah aku berjalan di taman strawberi yang dipenuhi bunga yang warna-warni dan daun yang kehijau-hijauan yang menyelesakan mata dan batin daripada memaksakan semua cahaya nuklear yang merosakkan mata hari demi hari daripada telefon bimbit. Aku mengagumi bunga-bungaan di pasu yang hidup tenang di sini, tidak perlu merisaui apa-apa, hanya memejamkan mata, menikmati belaian lembut angin siang, menari dalam kedinginan angin malam. Bunga-bungaan yang sudah lama sunyi di sini pasti mengharapkan kedatangan orang yang meneliti keayuan mereka. Setelah kami berpusing sekeliling, kami pun balik ke penginapan.
            Pada pagi seterusnya, kami terpaksa melambaikan tangan kepada penginapan yang sangat aku rindui oleh dinding putih sucinya, televisyen dinding berkilatnya, laut katil empuknya, bau papan katil yang harum...segala-galanya. Pelancongan ini memang berlalu amat pantas, tidak sempatlah kami menjalani setiap ceruk yang ditutupi selapis misteri. Kalau ibu menanyai aku sama ada cuti itu menarik, aku akan melengkungkan kening, menaikkan bahu lalu berteriak: “Macam ini saja?” Biarpun singkat, cuti ini tetap telah mengikis sebanyak sedikit debu dan daki yang bersarang dalam hati. Sekurang-kurangnya aku telah menyingkap tudung misteri sebuah kota terpinggir yang suci daripada tikaman peredaran masa di Bukit Fraser.


No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...