Monday, June 19, 2017

Ketakutan Seorang Bangsa Pemenang

              Sorak penonton kedengaran dari setiap ceruk. Di atas pentas gusti, terdirilah seekor raksasa putih yang gempal perutnya sehingga perutnya labuh tetapi jangan dipandang rendahlah otot-otot tangannya yang besar dan tersembul. Keningnya putih dan tajam menegak ke bawah, memperlihatkan bahaya mendekatinya; matanya kecil dan melekuk ke dalam sehingga bahaya dan niat membunuh dalam sinar matanya yang tajam dan dalam tidak terduga. Raksasa yang berbadan besar dan gempal ditakuti oleh semua orang kerana badannya yang terlalu besar, seperti jentera yang direka khas untuk bertelagah. Brock Lesnar mengetapkan gigi, sedang menunggu musuh yang pernah mengalahkannya. Dia tidak sabar hendak menumpaskah musuh yang menjatuhkan maruahnya.

                Dia berdengus, tidak puas kerana musuhnya mengalahkannya dalam beberapa saat sahaja pada hari itu. Dialah yang memusnahkan kegemilangan seorang pegusti yang menang berpuluh-puluh kali di Wrestlemania, tapak gusti yang terakhir dalam setahun yang menentukan kemenangan mutlak tetapi dia kalah kepada seorang musuh yang baru kembali ke dunia gusti setelah berpuluh-puluh tahun kehilangan kabar!

                Maka bermainlah lagu ketampilan pegusti musuhnya. Lagunya umpama peluru demi peluru yang dilepaskan dari kawah meriam, menyebabkan berdentam dentumnya hati setiap orang. Setelah lagunya bermain seketika, maralah seorang yang bermisai putih di keliling mulutnya, otot kulitnya yang coklat beku tersembul pada tangannya dan perutnya yang berkilat-kilatan bawah cahaya. Pegusti botak itu tidak gentar berdiri di tengah bunga api yang khas terpancar kepadanya dari dua tepi. Setelah bunga api itu berhenti, dia mengangakan mulutnya, memukulkan tangannya ke udara, menunjukkan bahawa dia seekor margasatwa yang tidak sekali-kali patut digeramkan juga.

            Dialah Goldberg yang berasal daripada bangsa yang selalu menang —— hanya kalah lima kali dalam sejarah gusti tetapi tidak pernah kalah kepada Brock Lesnar yang menggetarkan sendi tulang semua pegusti. The Rock yang gemilang dalam pekerjaan gusti dan pelakonannya pun dihancurkan oleh Goldberg dengan satu Spear perbuatan meluru kepada seseorang lalu melanggar perutnya dengan kepala.

            Sorak yang lebih kuat dan padu kedengaran. “Goldberg, Goldberg, Goldberg,” penonton bersatu suara untuk menyorakkan namanya. Dia tampil ke pentas terburu-buru dengan pingat pinggang emasnya yang terpahatlah “World Universal Champion”, iaitu juara antara bangsa. Binatang yang terburu-buru ini juga tidak sabar melanggar perut Brock Lesnar untuk menamatkannya secepat mungkin agar sorak kemenangan menggegarkan dewan sekali lagi, seperti hari itu.

            Ya, dia tidak sabar hendak memalukan raksasa putih yang angkuh itu sekali demi sekali agar Brock Lesnar insaf dan menyembahnya. Dia menanggalkan lalu menjulang pingat emas pinggangnya untuk penyaksian semua penonton supaya mereka kenal akan raja mereka. Selepas itu, Goldberg menyerahkan pingat kepada pengadil.

            Sekarang Goldberg berada di puncak gunung. Semasa meninjau pemandangan bawah, adakah dia akan jatuh pada kali ini?

             Goldberg merenungnya sambil berdengus kuat. Dia cergas menarik tali pentas gusti yang anjal untuk memanaskan badan. Brock Lesnar pula mengetapkan giginya, mengembangkan dan mengecutkan pipinya. Dadanya yang membara bergetar, menyimpan api amarah yang marak.

            “Ting ting ting!” loceng pemulaan gusti telah berbunyi.

            Brock Lesnar, laksana singa yang baru mendapat kemaluan, ganas menyerbu belakang Goldberg, memeluk perutnya lalu melambungkannya ke belakang. Goldberg yang tumbang bangkit cepat tetapi dilambungkannya ke belakang sekali lagi. Kerana kepuasan yang meleleh dari dadanya, Brock Lesnar mengangakan mulutnya, mengangkat kedua-dua belah tangannya lalu menjerit angkuh kepada khalayak.

            Semasa dia mengagungkan diri, Goldberg mengambil kesempatan, segera bangkit lalu melanggar perut Brock Lesnar dengan kepala botaknya yang sekuat besi. Brock Lesnar tidak begitu mudah ditumpaskan, badannya dilindungi lapis demi lapis otot yang kental. Maka cepatlah dia bangkit. Namun demikian, margasatwa yang berkulit coklat itu melakukan Spear, iaitu perbuatan melanggar perut dengan kepalanya sekali lagi sehingga Brock Lesnar berguling ke bawah pentas. Brock Lesnar menekan perutnya, mengetatkan matanya yang terpejam di bawah pentas. Goldberg tidak hendak membazirkan masa. Kemenangan miliknya. Dia berguling ke bawah pentas juga, berlari selaju harimau bintang, memperlanggarkan kepalanya dengan perut gempal Brock Lesnar sehingga mereka berdua merobohkan bentang penonton, rebah bersama dengan wajah yang berkedut, menahan kesakitan.

            Sesudah itu, Goldberglah yang pertama bangkit, seperti kereta kebal yang tidak sakit langsung lalu menangkap kepala Brock Lesnar, menggulingkannya ke atas pentas. Brock Lesnar yang sedang tercungap-cungap di atas pentas dengan lengannya yang bertumpu pada lantai susah hendak bangun. Goldberg pula tidak sabar hendak menewaskannya. Dia hendak mengekalkan kejuaraannya selama ini. Goldberg tidak pernah menunggu orang; oranglah yang menunggu penewasannya. Dia lekas mendirikan Brock Lesnar lalu mengangkat seluruh badannya sehingga badannya terbalik, kakinya mencecah puncak awang-awangan dan kepalanya bersandar pada bahu Goldberg. Apabila Goldberg hendak menghempaskan badan Brock Lesnar ke lantai dengan Jack Hammer, perbuatannya yang menamatkan ‘riwayat’ seseorang pegusti di atas pentas, keajaiban berlaku...

            Brock Lesnar dapat menangkis perbuatannya dengan menggelongsor ke belakangnya lalu mengangkatnya. Dia tersenyum licik: kemenangan miliknya pada saat ini dan pada saat seterusnya, cahaya yang menyilaukan mata pada Goldberg akan langsung sirna dan Goldberg akan malu dalam dunia gusti oleh kekalahannya yang pertama kepada dirinya. Goldberg pasti sengsara dan mencuba rasa kekalahannya yang pertama! Itu hasrat Brock Lesnar. Brock Lesnar merehatkan seluruh badan Goldberg mendatar pada bahunya yang lebar. Penonton bersorak kuat, suasana bertambah ramai. Mereka mengharapkan tindak seterusnya F5, perbuatan penamat yang direka khas oleh Brock Lesnar.

            Goldberg tidak hendak kalah. Dia juara antara bangsa. Dengan mencontoh Brock Lesnar, dia meronta-rontakan kakinya, jatuh ke belakang Brock Lesnar. Brock Lesnar mengangakan mulut, memusingkan kepala, seperti orang bingung untuk mencari Goldberg yang hilang. Apabila dia berpaling ke belakang, badannya terus dilanggar dan terpelanting ke belakang oleh pelanggaran kepala Goldberg terhadap perutnya.

            Pada kali ini, kemenangan berpihak kepada Goldberg lagi. Tampaknya Brock Lesnar kehilangan daya ketahanan setelah dikenai Spear berkali-kali. Inilah masa yang paling sesuai untuk Goldberg melakukan Jack Hammer, iaitu perbuatan meletakkan tangan musuh di belakang bahu diri, mengangkat musuh dengan badan terbalik, kaki mencecah udara lalu menghempaskan badan musuh dengan hempapan dada ke pentas gusti.

            Sorak yang kuat menggegarkan dewan sekali lagi. Sekarang, kelihatanlah bahawa raksasa putih yang keputusan semangat berjuang itu sedang dijulang oleh margasatwa yang berkulit coklat itu. Pada saat seterusnya, pentas bergegar oleh kejatuhan seorang yang besar ke atas pentas. “Matilah awak!” hati Goldberg berteriak. Dia menjelirkan lidah kemenangan dalam hati.

            Tanpa melengahkan masa jaya, Goldberg menindih Brock Lesnar. Pengadil gusti lekas menjatuhkan badan ke depan, memukul pentas: “1,2...” Brock Lesnar menendang udara. Pengadil mesti memukul pentas tiga kali untuk memastikan bahawa yang berbaring di pentas itu benar-benar tumbang lalu menyerahkan kemenangan kepada yang menindih pebaring itu Malangnya kiraan tiga tidak sampai. Pada masa ini, ketakutan bangsa pemenang ini bermula menghantui hati.

            Goldberg melepaskan tindihannya terhadap Brock Lesnar. Dia mengedutkan dahi, membeliakkan matanya, merenung ke hadapan. Dia tidak percaya bahawa Jack Hammernya yang biasa memitamkan seseorang dapat ditangkis oleh Brock Lesnar! Bukankah Brock Lesnar dimatikannya dengan Jack Hammer sekali pada hari itu? Mengapakah dia ada semangat melawan pula pada kali ini?

            Renungannya menghilangkan kegagahan dan keyakinannya. Hatinya yang kukuh selama ini bergegar. Kehebatannya tergugat. Darah sejuk mengalir deras ke seluruh badannya dalam masa sesaat. Kemenangan yang diikat pada pinggangnya mungkin hilang sesaat kemudian. Dia paham benar bahawa orang yang pernah kalah teramat kuat semangatnya untuk bangkit semula.

            “Tidak! Aku akan mencuba merebahkannya sekali lagi!” Goldberg menjerit dalam hati. Dia tidak memercayai bahawa bangsa pemenang sepertinya tidak dapat menewaskannya.

            Kalau dia tidak menamatkan daya baki Brock Lesnar, dia pasti menjadi orang yang kalah selepas ini.

            Goldberg sudah bersedia dari satu ceruk pentas, ingin melakukan Spear. Peluhnya mengaliri kepalanya yang berkilat-kilat. Hatinya sungguh tidak yakin tetapi dia degil ingin melanggar Brock Lesnar. Maka Brock Lesnar bangun perlahan-lahan, memegang lututnya sambil tercungap-cungap. Kemudian, Goldberg berlari pantas kepada Brock Lesnar, ingin memecahkan perut gempalnya dengan kepala besinya. Tiba-tiba, penonton menjeritkan kehairanan mereka serentak. Rupa-rupanya, Brock Lesnar melompat ke udara dan Goldberg yang tersasul terlanggar kepalanya ke antara ceruk pentas.

            Hati Goldberg berdetik pantas. Matilah dia kali ini. Adakah dia masih dapat melawan kekuatan Brock Lesnar lagi? Kepalanya sungguh sakit sekarang. Badannya yang terlanggar ceruk pentas melemah. Apabila dia berpaling, dia tentu dikenai F5...

             Adakah kecerlangan jaya itu masih miliknya selepas saat ini?

            Sebelum Goldberg sempat berpaling, Brock Lesnar sudah penuh niatnya ingin membunuh Goldberg. Dia memeluk Goldberg dari belakang, melambungkannya ke belakang. Goldberg pantas berdiri, tidak mengakui ketumbangan tetapi Brock Lesnar melambungkannya sekali lagi. Pada kali ini, kebangunan Goldberg lambat sedikit tetapi dia tegas bangun. Dia memeluk belakang pinggang Goldberg sekali lagi lalu melambungkannya ke belakang. Brock Lesnar, bagai raksasa yang bercadang melemahkan sendi lawannya supaya lawannya tidak mampu meronta-ronta apabila Brock Lesnar mengenakan F5 kepadanya. Setiap kali bangun, Goldberg mengharapkan keajaiban keajaiban menukar keadaan sekarang. Oleh sebab ada harap, bangunnya Goldberg mantap dengan azam. Walau bagaimanapun, pada kali akhir bahawa Goldberg bangun dengan azam, Brock Lesnar terus melakukan perbuatan penamatnya F5 yang amat berbahaya itu dengan mengangkat Goldberg ke bahunya lalu memusingkannya,  menjatuhkannya badannya yang menghadap ke bawah ke lantai.

            Penonton paling suka menonton laku yang berbahaya, terutamalah laku paling berbahaya seperti F5!

            “1,2,3!” pengadil memukul pentas tiga kali. Kemenangan melayang dari sisi Goldberg, hinggap pada bahu Brock Lesnar.

            Penonton yang menyokong Brock Lesnar selama ini bersorak hingga had tekaknya. Sorak kemuncak seisi dewan menggegarkan dewan. Cahaya kamera berkelip-kelip, menangkap sejarah kekalahan pertama Goldberg kepada Brock Lesnar. Brock Lesnar tidak tersenyum tetapi membeliakkan matanya yang angkuh akan kemenangan, seakan-akan sedang memberi tahu sarwa penonton dan pegusi: “Aku pegusi terkuat yang tidak dapat dikalahkan selama-lamanya.” Sambil berdiri kaku, dia mengangkat tangan, rela dipakaikan pingat emas juara antara bangsa oleh pengadil gusti.

            Aku menutup tetingkap Youtube, kecewa melihat kegagalan Goldberg kerana Brock Lesnar pegusti angkuh yang aku benci yang patut diajar berkali-kali untuk dijinakkan. Namun begitu, tiadalah kemenangan yang kekal. Kegemilangan hanya sementara. Orang yang selalu menang, yang digelar bangsa pemenang, setinggi mana pun capaiannya, berdetiklah ketakutan juga dalam hatinya. Orang yang memanjat gunung yang lebih tinggi akan terhempas lebih kuat. Jadi, buat apakah kita hidung tinggi semasa menang?

            Aku percaya bahawa ketakutan Goldberg sudah reda sekarang: Ya, tentu malulah dia yang mencapai beratus-ratus kemenangan itu kerana rebah di bawah kaki Brock Lesnar tetapi sekurang-kurangnya dia dapat menghembus nafas tertekan daripada ketakutannya kepada kekalahan. Dia tidak perlu berusaha mengekalkan kejuaraannya lagi dengan terpaksa memecahkan kepala setiap kali dalam perlawanan untuk menumbangkan musuh sepenuhnya.

            Sekarang, sampailah masa untuk Brock Lesnar berhati-hati di sana sini dengan sentiasa bersiaga menghadapi sebarang ancaman yang dapat meragut pingat emas dari pinggangnya. Ya, sorak penonton lebih kuat sekarang apabila Brock Lesnar ‘dirajakan’ kerana mereka menyukai benda baharu, juara baharu. Sungguhpun begitu, adakah sorak penonton itu kekal untuk Brock Lesnar? Adakah sorak itu masih setia kepadanya apabila dia dikalahkan oleh orang lain yang lebih kuat; apabila dia dikalahkan oleh Goldberg sekali lagi? Hati Brock Lesnar berdetik tidak aman. Dia tidak dapat leka selagi dia johan.

            Itulah jiwa bangsa pemenang sudah memanjat puncak gunung tetapi takut ditolak orang ke bawah pada bila-bila masa. Selagi dia johan, selagi hatinya tidak aman.





























No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...