Friday, June 23, 2017

Wanita yang Berjalan dalam Angin

     Pusat pengajianku ada seorang wanita. Bibirnya halus, sehalus budinya dan matanya tajam memperhatikan laku setiap orang diam-diam. Menawanlah matanya, seperti ada sihir apabila dia memakai purdah. Aku yang Cina pun terpaksa berhenti lalu terpukau oleh matanya yang berahasia itu.

     Wanita itu seakan-akan bersendirian setiap hari walaupun dia kadangkala tertawa dalam kumpulannya. Dalam kumpulannya, dia memilih berdiam sementara kawan-kawannya saling memeluk dalam satu puak, membincangkan dan menertawakan apa-apa sahaja. Dia lebih selesa dalam kumpulan kecil. Aku masih ingat akan hari pembersihan gelanggang. Dia duduk dengan tangan santun diletakkan pada lutut. Matanya lembut sahaja jika dibandingkan dengan matanya yang tajam semasa dia berada di bilik darjah. Senyum ikhlas rela disumbangkannya pada masa perbualannya dengan seorang kakak. Geranganlah dia merasai keikhlasan orang lain kepada diri, maka senyumnya juga lembut, tidak dipaksakan.

     Dia langsung tidak kisah akan pandangan orang lain terhadap diri. Kiriman Facebooknya begitu banyak tetapi dua orang sahajalah yang menyukai kirimannya. Kirimannya begitu sunyi malah sampailah tahap bahawa tiadalah orang yang kisah akan beri tahuannya; tiadalah orang yang menyukai kirimannya. Dia terpinggir sepenuh-penuhnya. Sungguhpun hakikat begitu kejam, wanita yang bermisteri itu tidak kisah akan bilangan kesukaan; dia tidak menulis kiriman demi menjadi jutawan yang kaya bilangan kesukaan tetapi semata-mata kerana ingin menulis. Kebanyakan kirimannya bersifat batiniah, menyalurkan suara hatinya tetapi apabila menulis kiriman nasihat, seperti "Cintailah lelaki yang benar-benar mencintaimu, bukan lelaki yang mucintai sahaja", dia akan meletakkan emoji tergelak sedang aku tahu bahawa hatinya terasa —— pernah merasai kekecewaan khianat kekasih lamanya. Aku tahu.

     Pada hari mesyuarat Kowaris di Dewan Aminuddin Baki, dia rela menjadi pengira undi. Pada hari itu, gincunya sungguh merah dan tebal, mempamerkan kewanitaan yang mengagumkan hatiku. Aku kagum kerana dia pandai menjaga kewanitaannya sekalipun orang mungkin menikam belakangnya. Dia memang sunyi, aku tahu. Apabila suka relawan lelaki mengumumkan undi, sekalian hadirin lelaki dan perempuan tergelak berdekah-dekah dan terbongkok-bongkok sehingga gelak kita tinggi bergema di udara oleh kekekokan suka relawan lelaki itu tetapi apabila wanita itu mengumumkan undi, kita senyap sahaja sehingga yang kedengaran hanya suaranya yang jelas bergema di dewan besar itu. Semasa wanita itu berdiri, kawan wanita tepinya pun mengikis senyum gelinya untuk lelaki sebelum itu lalu menjelingnya, seakan-akan terapunglah semacam dendam antara mereka. Adakah persendirian itu salah? Mengapatah kalian diam? Kalian tidak menyenanginya? Mengapatah kalian, sarwa wanita yang jelita dan berbudi perlu memulaukannya?

     Walau bagaimanapun, riak wajahnya tenang sahaja. Dia mengumumkan bilangan undi dengan suara yang tenang dan berpatutan: tidak mengandung jenaka, tidak mengandung kemaluan. Wanita itu tentu sedang berpikir: "Aku hanya menjalankan tanggung jawab, bukan menghibur orang lain." Dia yang istimewa, tidak seperti orang lain yang berlagak malu untuk mengharapkan ketawa yang berjuntai-juntai di udara, hanya duduk diam dengan senyum sederhana yang dikuatkan oleh kemerahan samar-samar pada pipinya tatkala wanita lain sedang tertawa sehingga melonjak-lonjak dari kedudukan dalam majlis kerana menginginkan perhatian.

     Aku ingat bahawa dia manusia pelik di bumi ini sahaja tetapi tidak kusangkalah bahawa dia juga sama. Biasalah aku akan mengunjungi perpustakaan untuk membelek buku yang telah kuning dan rapuhlah halamannya untuk menghayati bau kesilaman itu. Terperanjatlah aku yang melihat bahawa dia sampai di sana lebih awal daripadaku. Pada masa itu, tiadalah kerja kursus, jadi dia tidak mungkin datang ke sana untuk merujuk buku. Hatiku mendetikkan keghairahan yang pantas apabila mengetahui bahawa dia sama dengan aku —— orang sunyi yang benar-benar menghayati pembacaan sebenar, iaitu membaca semata-mata kerana suka membaca, bukan membaca kerana maklumat banyak yang terdapat dalam buku perpustakaan dapat meninggikan markahnya dalam kerja kursus.

     "Eh, awak datang ke sini untuk apa?" aku mengujinya.
     "Hai Pui. Taklah, sekadar membaca saja. Nah, ini: etnik Sarawak. Wah, tengok...," dia pun membuka buku, tenggelam dalam khalayan sendiri sambil menunjukkan kata demi kata dan merungutkan istilah yang tidak kupahami.

     Sebenarnya, aku kesian ketika melihat persendiriannya. Bukankah dia memunyai kawan? Pada hari-hari biasa, dia berganding dengan kawan perempuannya. Mengapakah dia mesti mendera diri dengan bersendirian di perpustakaan seperti aku? Aku sudah biasa, entah-entah dia juga biasa?

     Dia wanita yang berjalan dalam angin —— terus berjalan dan berjalan sahaja, melalui orang ramai yang mengerutkan dahi, mengejeknya melalui jelingan yang berbunyi: "Eh, berpura-puralah dia, tidak hendak bercakap dengan orang lain!" Sekalipun angin itu hampir menerbangkannya ke kawah terdalam yang menyesatkan peribadi dirinya; sekalipun angin itu bertukar kepada ribut taufan, dia tetap di tanah, dia tetap melunaskan amal Allah sebagai hamba-Nya yang kerdil. Dia tahu bahawa dia kerdil, maka menjaga peribadi senyapnyalah dia. Wanita itu mengetahui bahawa kelahirannya ke dunia ini bukan untuk menghibur orang. Orang ramai itu ibarat angin, hanya bertiup melepasinya, tidak sanggup singgah untuknya. Dapat diibaratkan jugalah dia sebagai angin yang tidak kelihatan tetapi hanya dirasai kewujudannya oleh orang tetapi dialah wanita yang paling menawan dan penuh misteri padaku.

     Dia memakai purdah mungkin untuk mengelakkan fitnah kerana kemuliaan hatinya, tidak hendak menyengsarakan orang lain dengan orang lain atau dia sendiri perasan bahawa dia cantik? Dia juga mungkin memakai purdah untuk mengelakkan pandangan rendah orang lain; mungkin untuk melindungi diri yang kerdil ini...sesungguhnya, aku tidak terduga lautan hatinya itu —— hati wanita yang berjalan dalam angin malah menjadi angin itu sendiri.

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...