Tuesday, June 27, 2017

Hikayat Manusia Ikan

     Begitu mudah dicarilah kegembiraan. Kegembiraan hanya di hujung jari pada abad ke-21. Setelah seseorang kanak-kanak yang baru berusia lima tahun bangun, dia terus mencari I-Padnya kerana ingin melayari perkarangan mainan yang warna-warni. Seseorang remaja yang selalu meneriakkan keghairahan cuti, apabila apa-apa yang menarik perhatiannya di keliling rumahnya tidak ada, dia terus mengisi kebosanan itu dengan memeluk telefon bimbitnya. Asalkan tenggelam dalam kolam yang penuh manusia yang suka berbicara itu; asalkan tidak diganggu kebosanan dunia nyata, manusia abad ke-21 puas, tenang.

     Bagaimanakah tindakan seseorang kalau permainan itu terhenti? Keseksaan itu pasti bukan calang-calang keseksaan. Apabila seseorang ingin bebas daripada kolam laman sosial, dia akan berasa sesak nafas. Akalnya terkelip-kelip kilat gambar beri tahuan Facebooknya, pesanan ringkas Whatsappnya, wayang-wayang menarik yang belum sempat ditontonnya dalam Facebook. Kerana tidak tahan akan kerinduan itu, dia terpaksa melayan jalaran nafsunya, merendami kolam itu semula dan melupai bahawa dia hendak berehat; melupai niat ingin membuang ketagihan itu. Kalau dibuanglah telefon pintar dan I-Padnya, dia bagai ikan yang keputusan air. Khayal yang asyik berlegar dalam pikirannya menyeksakan batinnya, menyeru batinnya supaya dia mendapat telefon dan I-Padnya semula. Dia hendak mengawal nafsu batinnya yang meluap-luap bagai air panas yang mendidih berasap tetapi dia tidak dapat. Dia tidak dapat menguasai dirinya. Tangannya gatal dan tidak selesa apabila tidak memegang telefon pintar. Hatinya gatal dan disentap-sentap, mengeluarkan semacam suara rayuan yang ghaib, yang mengganggu kelenaan tidurnya, yang menganggu keinginan makan tengah harinya apabila dia tidak membaca pesanan ringkas terbaharu Whatsappnya. Itulah manusia abad ke-21 yang dicemeti oleh jentera. Dunia sudah terbalik. Tujuan penciptaan jentera sudah kesasar.

     Bersimpatilah aku terhadap saudara mara di kelilingku. Muka mereka bercahaya tetapi bukan disimbahi cahaya kegembiraan tulen tetapi cahaya buatan telefon pintar dan I-Pad. Pak Cik begitu asyik, adik-adik sepupu yang berusia dalam lingkungan enam hingga sembilan tahun pun begitu. Mereka benar-benar bagai ikan yang tidak dapat keputusan air sedang mereka dapat menghirup udara dunia. Mereka memilih penenggelaman kolam maya, tidak mempedulikan kewujudan udara semula jadi. Kenapa? Kerana itu cara yang menggembirakan mereka. Apabila kanak-kanak sepupuku hampa dimarahi ibunya, wayang Youtube yang lucu dapat menggelakkan mereka; gerak cergas dan gambar warna-warni I-Pad dapat memukau mereka, sementara melupakan  mereka akan kesedihan dunia yang begitu nyata. Bayangkanlah yang akan terjadi kepada mereka kalau mereka keputusan telefon pintar hanya untuk tiga hari —— bukan seminggu pun? Mereka pasti rela tidur tiga hari daripada menghadapi dunia ini dan berkongsi senyum dengan orang lain selama 24 jam. Pak Cikku, adik-adik sepupuku, adikku, ayahku, ibuku, Mak Cikku terlalu biasa akan kolam. Mereka melupai dunia yang perlu ditanggungjawabkan oleh mereka. Dunia terlalu tertekan pada Pak Cik dan Mak Cikku yang bekerja. Mereka selalu berkedut dahi, menggelengkan kepala apabila mengadukan kesombongan ketua syarikatnya, perlambakan kerja yang menimpa dada mereka yang sudah sesak pada asalnya, kelicikan teman sepejabat.... Mungkin baik jugalah untuk Pak Cik dan Mak Cikku yang bekerja ini berendam sejuk dalam kolam sebentar. Kesianlah mereka yang selalu ditumpahi darah caci maki.

     Pada suatu petang di kampung Terengganu, aku dan adik-adik sepupu perempuanku akan mengambil bola keranjang dan bola kanak-kanak ke gelanggang bola keranjang untuk melantunkan dan menendang bola —— melakukan apa-apa sahaja terhadap bola itu. Kadangkalalah kita menendang bola keranjang tanpa mempedulikan betul salah yang membelenggu kebebasan kami. Itu budaya kami dari waktu kecil aku lagi. Nasib baik kami masih mengekalkan budaya yang menghidupkan kami di dunia ini, bukan dalam kolam maya. Namun begitu, adik sepupuku yang sebaya denganku dan adiknya itu sudah malas tulang sendinya, tidak secergas dahulu. Pada masa dahulu —— pada masa bahawa pengaruh maya tidak begitu kuat,  mereka sanggup berlari pusingan demi pusingan di keliling gelanggang sambil mengejar bola yang dilarikan. Mereka tidak kisah akan tercungap-cungapnya. Sekarang, mereka kisah benar. Keletihan itu begitu pantang pada mereka sehingga sanggup dielakkan mereka hari demi hari kerana mereka dapat hidup dengan cara yang lebih mudah tanpa perlu seksa dengan perlatihan sukan, iaitu dengan duduk bersimpul sambil menggesel-gesel skrin telefon, membiarkan bahawa pikiran bebas menerawang mengikut kehendak dan khayal mereka.

     Itu kenangan kekuning-kuningan yang penuh senyum dan ketawa. Sekalipun terkelip-kelip dalam celah saku akal yang sarat keduniaan yang mengugut kenaifan, aku masih mengeluh apabila menyedari bahawa kebudak-budakan yang telanjang itu tidak dapat kembali lagi.

     Adik sepupu perempuan yang sebaya denganku itu menendang bola itu sekejap sahaja, barangkali sekali sahaja lalu kembali ke bulatan ghaib yang dilukisnya sambil memeriksa pesanan ringkas terbaharunya. Adiknya lebih teruk, hampir tidak melantunkan bola keranjang sekali pun. Dia lebih selesa ketawa kecil sambil menunjukkan berita lucu dalam telefonnya kepada kakaknya, iaitu adik sepupu yang sebaya denganku itu. Entah bilakah tercapainya impian betis berototnya? Yang cergas berlari, tidak tahu tertawa-tawa cemas akan apa itu hanya sekumpulan budak pendek sepupuku yang berusia dalam lingkungan enam hingga sembilan tahun. Ketawa mereka yang mengiringi bola yang dilarikan dan ditendang tidak menghiburku. Aku tidak tahu apakah yang patut dighairahi apabila sebiji bola dilarikan. Aku tidak berasa ingin mengejar bola, menjadi pemenang yang menguasai bola itu. Dulu, memanglah aku bangga menjadi johan yang menendang dan membawa bola sepak kanak-kanak itu sambil mengelak lincah sehingga kedua-dua orang adik sepupu perempuanku tidak dapat merebut bola itu. Sekarang, aku sudah melupai kebanggaan itu. Aku tidak dapat mencari keghairahan menjadi johan itu kembali. Barangkalilah aku sudah besar, sudah terpisah daripada darah daging seorang kanak-kanak. Pohon hatiku sudah melayu, barangkali.

     Apakah yang ingin kurintihkan lagi? Manusia sudah kalah. Adik sepupu pun membawa telefon bimbit ke gelanggang, nyata tidak selesalah dia kalau meninggalkan alam mayanya sekejap. Khayalnya tidak hendak bertapak di dunia nyata. Dunia nyata terlalu bosan; dibosankan oleh sekumpulan lain yang turut merenangi kolam maya dan pada kumpulan itu, dunia juga demikian bosan kerana dibosankan oleh sekumpulan lain yang turut berkhayal dalam alam maya...begitulah kebosanan dan kehilangan harap terhadap dunia merebak. Aku memahami seksanya batinnya tatkala dia tidak menggesel skrin telefon. Rasa itu seperti menjelajah dunia asing yang tidak selamat dan hendak kembali ke negara asal; rasa itu laksana ikan yang terkapai-kapai ekornya dan sesak nafas tatkala terkeluar dari air; rasa itu umpama kehilangan beruang yang dipeluk semasa tidur. Aku paham. Jangan ragu-ragu, aku paham.

     Aku juga seksa apabila mendirikan rancangan membaca buku untuk menenangkan gelora hati yang disebabkan pesanan-pesanan ringkas dalam Whatsapp. Pembacaan dapat mengubati kekacauanku kepada pesanan ringkas, pikiran daku. Memang dapat menganggu akulah pesanan-pesanan ringkas itu kerana aku ingin asyik mengejar dan mengikuti perkembangan baharu kawan-kawanku yang hanya tampaknya begitu mesra dalam alam maya. Itu satu-satunya peluang untuk aku merasai kemesraan mereka sedang mereka tidak berbual pun di bilik kuliah. Pada beberapa ketika, kata-kata buku yang dikesan oleh mata tiba-tiba tidak dimaksudi oleh akal. Kata-kata buku hanya kekal sebagai kata-kata, kulit yang tidak berisi. Akalku terkelip-kelip telefon pintar yang sengaja ditinggalkan di rumah dan pesanan ringkas yang mungkin berisi luahan cinta seseorang gadis terhadapku. Daging hatiku tertekan sehingga menjadi bentuk sebelah tangan yang terkapai-kapai, ingin mencapai telefon bimbit di atas meja rumahku yang jauh dari kampung yang kudiami sekarang. Mataku terlalu berat untuk terus menanggap kata-kata pada halaman buku yang telah kuning itu. Pesanan ringkas dalam Whatsapp seolah-olah lebih bermakna daripada kata-kata pada halaman kuning buku yang telah ketinggalan zaman itu. Pada detik itu, aku berasa seolah-olah telah membuat keputusan yang salah dengan meninggalkan telefon di rumah dan menyisihkan diri daripada dunia ini, menjadi orang aneh dengan membawa buku kuno yang tidak dibaca oleh orang zaman sekarang ini. Namun begitu, kesedaranku yang tinggi akan kebenaran itu memaksa aku terus melakukan perkara yang betul. Pembacaan dapat diisikan kepada masa lapang, kata hatiku. Itu tabiat orang zaman silam. Kita mesti mempelajari orang zaman silam kerana kitalah warisan orang silam. Itu pikiranku. Manusia zaman yang serba canggih ini bukan manusia yang jati tetapi ikan —— ikan yang mudah lemas tanpa air.

     Aku tahu. Aku tahu bahawa anda rela bermimpi dalam kolam maya kerana anda pernan ditoreh hati; pernah dikecewakan. Tali persahabatan yang suci, yang pernah teguh anda pegang itu sudah putus tiba-tiba kerana temanmu sudah mencari seorang kawan yang lebih lucah, lebih lucu sifatnya sehingga anda sendiri seakan-akan tidak berharga, umpama tunggul kayu yang lurus yang bosan digauli. Janji-janji manis yang sudah diabadikan pada suatu malam yang diterangi cahaya purnama dan disaksikan oleh bintang-bintang yang bertaburan di cakerawala sudah tidak dibenakan oleh lelaki sempurnamu yang bahunya sudah tidak seteguh bahunya masa dahulu, tidak dapat anda sandari lagi kerana bahunya sudah ditempah khas oleh wanita lain yang lebih tajam gemerlapan permatanya. Anda hampa. Hati anda sedang diparas. Perpisahan tiba-tiba itu begitu menganggu ketenangan rohmu, begitu menggigit kepercayaanmu, membingungkanmu, meragukanmu tentang erti kewujudan diri di dunia ini. Sungguhpun hati diparas berkali-kali, air mata tetap tidak dapat diparas keluar. Kelaraan itu terlalu biasa sehingga air mata tidak perlu dibazirkan, berpikirlah hatimu yang terlatih waras. Maka anda mencari-cari makna diri dalam kehidupan dan akhirnya, anda menemukan laman maya. Dalam laman itu, anda tidak akan dimaki, dihampakan, disekat. Anda bebas. Anda lebih senang mengalirkan suara batin melalui jari daripada melalui mulut. Anda lebih senang ketika tidak menghadapi manusia yang begitu meletihkan dan selalu menghampakan jiwa. Maka lebih relalah anda berkediaman di taman itu, biarpun taman itu menjadi kolam yang menenggelami anda sehingga lama-kelamaan anda menyesuaikan diri, menjadi ikan —— ikan yang malu dan kebuntuan perkataan apabila bersemuka dengan ikan ayu tetapi gila mencurahkan rasa dalam Whatsapp apabila bersendirian.

     Siapatah yang telah mengakibatkan bahawa seorang manusia yang waras, yang bertempiaran di bukit bukau yang hijau menikus sebagai ikan yang bergantung pada zat air? Manusia sendiri —— manusia tidak berperikemanusiaan yang menghampakan janji diri terhadap manusia lain.


    


No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...