Monday, June 26, 2017

Pengubahan yang Paling Berkesan: Jinak? Galak?

    Pada hari ini, aku bermesyuarat dengan Ustaz Gazis (nama palsu) tentang forum merokok yang bakal dijalankan. Tiba-tiba, muncullah seorang tegap dengan misai garangnya dari dalam pejabatnya dengan sampin yang mengeliling pinggangnya sebagai tanda bakal menyambut Hari Raya. Wajahnya tidak semuram wajahnya pada hari peperiksaan tetapi berkilat-kilat dengan senyum. Entah mengapakah anginnya begitu baik pada hari ini? Adakah Encik Badrul (nama palsu) akan naik angin lagi seperti hari itu?

     Setelah tamatnya peperiksaan pada hari itu...

     "Duduk semula! Duduk!" Encik Badrul menjerit dengan ketegasan kepada calon-calon peperiksaan yang lekas berdiri lalu berbuat kecoh selepas masa peperiksaan tamat.

     Kami terpinga-pinga, mengangakan mulut, tidak tahu tentang sebab bahawa Encik Badrul memerintah kita duduk semula tetapi aku dapat merasai bahawa perintah itu dikeluarkannya kerana adab kita...

     "Tahukah awak semua akan adab? Peperiksaan juga ada adab. Bolehkah awak semua bising selepas peperiksaan tamat? Kami telah mendapat laporan daripada atasan bahawa PPISMP tidak beradab...," Encik Badrul meleter tetapi setiap leterannya berhenti sejenak dengan ketegasan yang menghantuk hati kami.

     Aku paham tentang kemarahan Encik Badrul. Ketegasan Encik Badrul ada kebaikanwalaupun mendatangkan desas-desus bisik dengan muka semendung awan. Dia ingin mengubah adab buruk kami. Orang dahulu tidak laksana orang kini: mereka mengetahui adab kerana ibu bapa mereka begitu garang sehingga mereka akan diherdik dengan mata terbeliak yang merah bernyala apabila hampir mencucuk makanan dengan garpu sebelum ibu bapa mereka berbuat demikian. Sedang orang lain bermuka masam di bawah meja terhadap Encik Badrul, aku mengangguk kepada segala nasihatnya, seperti tidak bising sebelum meninggalkan tempat peperiksaan, menjaga adab terhadap pengawas peperiksaan dan...aku sudah lupa. Aku mencuba menangkap setiap baris nasihatnya tetapi aku pelupa yang tidak teringat perkataan seseorang ilmuwan selepas mengangguk sungguh-sungguh, mengeyakan pendapatnya.

     Pikiranku tidak menyerapi kenangan itu sepenuhnya kerana ketawa berdekah-dekah Encik Badrul menganggu khayalku. Dia meninggikan suara dengan senyum yang mengumpulkan kedut sebaris dua pada matanya, entah berjenaka tentang apa kemudian tertawa berdekah-dekah dengan suaranya serendah paluan gendang yang bertalu-talu. Aku merenungnya sementara Ustaz Gazis sedang menasihati kawanku tentang forum merokok. Telingaku sedar akan adanya suara Ustaz Gazis tetapi aku tidak menangkap perkataannya. Tumpuanku pada Encik Badrul. Aku tahu bahawa aku biadab kerana tidak memandang Ustaz Gazis. Setelah Encik Badrul ketawa, seorang dua kaki tangan perempuan yang berumur dalam lingkungan 40 tahun dipengaruhi ketawanya yang berjuntai di udara sehingga turut tertawa sambil melambai-lambaikan tangannya. Mungkinlah mereka hanya tertawa untuk melayan orang garang ini agar keadaan tidak seperti burung kakak tua yang memecahkan kesunyian udara. Barangkalilah mereka tertawa sambil berpikir: "Hahaha, lucunya tapi lawak tak jadi."

     Namun begitu, persoalan utamaku tidak terjelas. Aku menyetujui ketegasan Encik Badrul pada hari itu kerana ketegasan mampu menakutkan seseorang, seterusnya mengubah keburukannya. Sementelah itu, semua adab buruk yang dimarahinya, seperti bergegas menyandang beg lalu menjerit dan berbual bising, memang berlaku dalam kalangan kami. Hanyalah mereka yang lahiriah, memandang kemarahannya daripada segi luar akan menganggapnya sebagai "Pak Cik yang tidak pernah mengenal kasih sayang". Sesungguhnya, ketegasannya berpatutan. Sungguhpun begitu, aku pernah menyaksikan seorang pensyarah peramah yang sentiasa menyelami jiwa keremajaan, umpama tertawa tergigil seperti remaja; berjenaka kuat sehingga suaranya dilontarkan ke belakang dan menarik kegelian hati kami; mengajar kami menarikan tari kanak-kanak untuk mengusir kebosanan sekalipun tari itu memang membodohkan kami sehingga adalah yang menari dengan sendi yang lemah dan muka hitam. Ya, beliau pernah memarahi kami sesungguh-sungguhnya suatu kali sehingga kami tidak berani menggerakkan sebarang anggota badan kerana kami takut akan jelingan matanya yang mengancam kami, yang mungkin menusukkan celanya kepada batin yang sudah cedera sekali lagi. Herdik dan beliak matanya pada hari itu memang mengubah kami seratus peratus sehingga kami menghabiskan kerjanya tepat pada masa tetapi yang lebih penting, kami belajar dalam suasana santai dengannya dalam kebanyakan hari.

     Sifat periang pensyarah itu memengaruhi kami sehingga kami sentiasa cergas bergaul dengannya di bilik kuliah. Mata kami tidak pernah ingin lelap kerana menakuti bahawa kami akan terlangkau satu detik lucu. Pengajaran beliau sungguh mengesani kami. Beliau tidak mengajar, mengubah kami yang suka memberontak dengan memarahi kami, menakutkan kami semata-mata, umpama yang dilakukan oleh Encik Badrul. Cuba bayangkanlah keadaan kalau Encik Badrul mengajar kami. Adakah kami akan berubah setelah terpaksa menyumbatkan herdiknya kepada kemalasan kami berkali-kali ke dalam telinga setiap hari? Tidak. Itu akan memburukkan keadaan. Mahasiswa nakal akan terus mengumpat tentangnya dalam Whatsapp selagi Encik Badrul mengajarnya biarpun mereka duduk tegak dengan muka biri-biri di hadapannya sebaliknya mereka menghormati pensyarah periang yang tersebut itu sebagai insan yang menghormati maruah seseorang manusia, baik apabila bersemuka ataupun dalam Whatsapp. Pensyarah periang itu telah menelanjangkan sifat seorang manusia yang ingin berdekah-dekah setiap masa di samping menegakkan hati kepada pemelajaran yang serius. Ketawa berdekah-dekahnya, yang kedengaran seperti paluan kompang juga memengaruhi cara gelak kami dan menyebabkan bahawa kami ingin menghormati, mentaatinya secara tidak langsung.

     Ketegasan ada kebaikan; kelonggaran pun ada kebaikan. Ketegasan mengubah dan mengingatkan seseorang akan bahaya sesuatu kerana hati yang pernah ditusuki maki hamun itu tiba-tiba sedar benar dan menjadi berhati-hati; kelonggaran pula memengaruhi seseorang untuk seseorang berubah daripada kejahilan dalam gelak ketawa seorang pengasuh dalam kesantaian. Yang manakah yang lebih berkesan? Kalau seseorang pensyarah terlalu lembut dan suka berjenaka, mahasiswa yang kental kulitnya tetap melawannya dan memanjatnya juga; kalau seseorang pensyarah terlalu mementingkan adab sehingga kedudukan mahasiswa juga dikira setiap hari, hari-hari pemelajaran mahasiswa seperti paku yang dipukulkan pada papan hitam —— suara menukul yang mendatar terpaksa diserapkan tiap-tiap hari. Yang terbaik: tegas apabila seseorang berbuat salah; tertawa sehendak-hendaknya apabila belajar?

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...