Wednesday, April 4, 2018

Insan yang Memetik Bunga dalam Kekelaman Hari

     Beliau menjeling aku yang berulang-alik di kaunter peminjaman sepintas lalu. Aku ingin memulangkan buku tetapi pustakawan tiada. Kemudian, encik itu menggamit aku. Tidak kusangkalah bahawa encik itu membantu saya meminjam buku. "Letakkanlah buku di sini,  nanti esok datang ke pejabat untuk ambil. Ok ah?" Selepas itu, tuan yang berbangsa India itu menggenggam tanganku dengan mata tersenyum segaris lalu menggoyangkan tanganku dengan kesungguhan dan keikhlasan. Bayangan orang ramai yang berulang-alik; berpeluh di hadapan komputer riba itu melatari encik yang tersenyum; yang menggoyang-goyangkan tanganku dengan kesungguhan untuk menyatakan keikhlasannya membantu aku meminjam buku. Dalam senyumnya, hatiku bergenang simpati kerana terkelip-keliplah bayangan bahawa beliau mengusik gadis di dewan yang sunyi, seperti yang tergambar dalam fitnah mahasiswa. Aku tidak merasakan bahawa beliau orang begitu sebaliknya beliau orang yang sangat mesra.

     Di atas meja pejabat beliau, hanya adalah pen dan kertas. Dia mengambil buku notanya yang kecil untuk mencatat nombor telefon dan nombor kad pengenalan, langsung tidak memalaskan tangan dengan menggantikan telefon pintar. Dalam kecanggihan, aku menyaksikan seorang yang menghargai warisan. 

     Aku membayangkan senyumnya dalam kekelaman hari. Kertas-kertas yang tersusun kemas dan pen bergemerlapan yang duduk aman di atas meja cukup mengagumkan daku akan kegigihannya mencurahkan peribadi melalui pena. Maka dalam mataku, makin terserlahlah kesarjanaannya...

     Seorang gadis tersenyum sahaja, menyambut segala lakunya. Ketika dia memotong ramuan, dia tersenyum lalu tunduk dengan senyum sipunya; bahunya tergelincir seketika, menyambut laku memotong ramuan yang menjadi amanahnya dengan keterangan hati. Dia sangat manis dengan tudungnya yang tersimpul kemas pada pengepit yang berbentuk bintang berwarna perak. Aku membayangkan latar kesibukan orang ramai yang sibuk mengeluh, memaki kerja kursus yang berlambak dan keletihannya pada waktu malam larut walhal gadis itu tersenyum sahaja dan menggelincirkan bahunya; badannya tunduk, menyambut segala amanah dengan senyum manis—semanis simpulan tudung pada pengepit bintang. Aku tidak tahu bagaimanakah dia dapat menahan tekanan perasaan pada detik-detik resah tetapi aku tahu bahawa penghiasan senyum pada wajah ketika hati sedang berdarah itu sungguh susah...

     Aku berasa sangat bahagia kerana telah menemui insan istimewa yang memetik bunga dalam kekelaman hari. Aku memang ingin mencari orang begini kerana keindahan laku mereka melepaskan segala keluh dan kemasyghulan daku oleh tekanan hari-hari. Jarang-jarang aku menemui orang yang memetik bunga dalam kekelaman hari. Biasalah mereka sibuk merungut tentang peristiwa kian turun hujan dan sidaian-sidaian yang kian basah. Jarang-jarang; jarang-jarang sekali...

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...