Monday, May 3, 2021

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela? 

Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan perasaan ini. Aku seolah-olah merelakan kepergian kawan-kawan yang tidak sehaluan. Sudah lamalah aku terperuk dalam kesunyian dan nafas resah ketika berdamping dengan mereka. Akan tetapi, ketika melihat bahawa kelibat demi kelibat menarik bagasi ke kereta yang sarat dengan bagasi dan baju, aku semakin sedar bahawa aku hidup bersendirian seribu tahun lagi.

     Dari awal hingga akhir, aku dengan bayang-bayang. Aku sedar akan hakikat itu. Biarpun betapa banyak rakan yang masuk keluar dari bilik, aku tetap akan ditinggalkan dengan bayang-bayang sendiri. Masih ingat benar aku betapa jantung yang berharap ini diheret di atas jalan simen ke Amjal. Aku seolah-olah hidup derita dan bahagia bersama-sama bisik sendiri.

    "Seseorang itu tidak mati ketika menemukan ajal. Dia hanya disahkan mati ketika kehilangan harapan."

- Uchiha Itachi

    Entah berapakah kalinya hatiku sudah mati? Orang yang kuharapkan sudah kehilangan khabar. Kata-kata yang pernah mesra membisu begitu sahaja, dibawa masa tanpa jejak. Ruang sembang yang pernah ramai tinggal sunyi kini. Betapa degilnya aku tidak mahu menerima realiti bahawa aku telah benar-benar ditinggalkan, namun itulah realitinya. 

    Orang yang disayangi? Hah. Aku hanya menumpukan pandangan pada diri sendiri. Tiada sesiapa yang mampu mengail harapanku lagi. 



    

Tuesday, November 27, 2018

Satu Peringatan yang Indah

Aku masih ingat tentang satu peristiwa yang menghantuk kesedaran semua orang. Pada waktu dahulu, seorang kawan aku masuk ke rumah sakit kerana disahkan adanya ketumbuhan barah di dalam otak. Semua orang terkilan; tidak mampu mengatakan apa-apa. Ada yang meluru ke luar bilik kuliah untuk melepaskan air mata ketika menyambut berita WhatsApp tersebut; ada yang mengumat-ngamitkan doa sambil matanya bengkak merah sambil mengalirkan air mata; ada yang mengumpulkan kawan-kawannya untuk menulis doa kepada kawan daku itu dalam laman sesawang; ada yang terdiam sahaja, menahan gelora yang menghempaskan kepiluan bertalu-talu dalam laut hatinya. 

     Itulah kebesaran Allah. Itulah ketentuan-Nya. Tiada seorang pun yang dapat mengubah hakikat ini, hatta orang yang paling sombong yang mengakui bahawa diri berkuasa.

     Ajaibnya: langsung tidak terlukis awan mendung pada wajah kawan aku itu. Dia menghadapi semua orang dengan senyum simpul sahaja. Bersimpul kakilah ia di atas katil sambil mengedipkan mata dengan comelnya lalu ceria berkata: "Aku tak ada apa-apa, insya-Allah, akan sembuh cepat, jangan risau you ooools!" Kemudian, ia memeluk kawan rapatnya. Kawan rapatnya itu mengedutkan dahi sambil tersenyum semasa dipeluk; kedut dahinya itu hampir meramas air mata kerana dia terlalu kasihan akan nasib malang yang menimpa kawanku tiba-tiba. Kawanku itu macam sihat sahaja; yang berbeda hanya bibirnya yang sudah pucat dan wajahnya yang terlalu lesu untuk tersenyum. 

     Barah; barah, tahu! Itu bukan penyakit biasa-biasa. Itu penyakit yang memang akan menyeksa seseorang hingga tempoh mautnya jika sampai ke tahap keempat. Tetapi, luar biasalah semangat kawanku ini. Sampai waktu pembedahan, kawan daku yang sakit itu masih percaya kepada Allah. Tiada satu rungutan pun yang keluar dari mulutnya. Ceria sahajalah dia bagai purnama empat belas yang tergantung di langit malam di luar rumah sakitnya. Lidahnya dibasahi puji-pujian kepada Allah. Sekalipun seluruh nadi badannya terloncat-loncat gelisah sepanjang malam, alhamdulillah, dia berjaya mengharungi pembedahan dengan lancarnya; dia berjaya mengusir ketakutan dengan bertasbih kepada-Nya setiap saat dalam keadaan sedar semasa tempurung kepalanya dikerat terbuka dengan pisau yang tirus dan tajam. Sewaktu kepalanya sudah terdedah kepada udara, debu dan kuman, ketumbuhan itu pun dicabut dan dipotong oleh para doktor yang cekap dan tangkas. Bayangkanlah ketakutan yang amat sangat itu! Kalau ubat bius tiba-tiba hilang, betapa seksanya kesakitan yang hanya dapat diredakan dengan dia meronta sekuat-kuat hati...

     Dan, itulah perkara yang paling indah tentang Islam: iman; semata-mata iman.

   "Benarlah, dia insan pilihan-Nya. Sampai bilakah kita melupai Allah jika tidak diuji begitu? Entahkan esok, entahkan lusa nyawa kita sampai ke noktah, tetapi kita tidak bersedia. Sesungguhnya, Allah menguji kita untuk memudahkan kita ingat tentang-Nya." Saya terbaca pesan ini yang ditinggalkan oleh seorang kawan kepada kawan daku itu dalam Facebook.

     Allahuakbar. Betapa murninya, betapa sucinya dan betapa luhurnya niat orang Islam semasa mereka menghadapi penyakit berat yang ditimpakan-Nya. Biarpun bibir sudah pucat, wajah sudah kehilangan seri dan semangat untuk melukis riak, kawan aku itu masih memercayai adanya hikmah di balik bencana yang berat itu.

     Benarlah, Allah Maha Penyayang. Setiap ujian yang ditimpakan menyimpan hikmah yang terbaik untuk seseorang. Kita lemah. Kelaparan dan kedahagaan sahaja mampu membunuh kita. Kita memerlukan air, memerlukan makanan, memerlukan udara...dan segala-galanya itu anugerah Allah: kalau ditiadakan segala anugerah itu, kita mati juga. Untuk apakah kita sombong?

     Dan akhirnya, dia menahan kederitaan dengan cahaya iman sebagai suluh kekelaman hati sehingga sembuh. Alhamdulillah. Bukankah itu keistimewaan Islam: memandang segala peristiwa dengan kaca mata positif?


Thursday, November 22, 2018

Terakamnya Babak yang Membahagiakan

Pada 17 November 2018, hari Jumaat, terakamlah babak yang membahagiakan daku. Sekalipun menjadi pemerhati gelagat nakal mereka, aku tersenyum lega dan syukur. 

     Sudah setahun setengah kami bersama. Berbagai-bagai peristiwa suka duka, manis pahit, dengki-mendengki, salah-menyalahkan telah kami lalui. Kini, sekelip kenangan manis dirakamkan dengan kamera benak. Moga-moga kami sentiasa berpimpin tangan, melalui hujan dan ribut seperti saat ini...

     Alhamdulillah, Faal sanggup menjemput aku ke tempat makan hot pot. Kami bercadang mencelup sup periuk dengan sosej, daging dan kerang pada malam ini. Pertemuan malam ini diadakan untuk kami meraikan tamatnya penggal ketiga kumpulan C10. Di dalam kereta, Faal, seperti hari-hari biasa, menusuk telinga kami dengan suara nyaringnya apabila Ezzy mengusiknya. Dia selalu berteriak kelam-kabut macam ini; butir-butir perkataannya akan menjadi tidak keruan kerana terlalu cepat ditembakkan. Yusra juga, seperti tabiat biasanya, bahunya terenjut-enjut kerana berasa terhibur mendengar amukan Faal yang kelam-kabut.

     Faal ini, sebenarnya, jika diamati perangainya, tidak kasar pun. Dia bagai buah kelapa: keras di luar, lembut di dalam. Dia suka berterus terang tentang perasaannya; bukan orang yang suka melapis kelemahannya. Mulutnya bagai senapang mesin apabila dia berkongsi ilmu agama atau pelakon lelaki Korea. Tampaklah kesungguhannya menyampaikan sesuatu yang berfaedah. Aku menggeleng sahaja sambil pecah ketawa ketika memperhatikan gelagat comelnya itu. Sekeras-kerasnya wanita, ada tompok lembut di dalam hatinya juga. 

     Di tapak hot pot yang hanya menuntut RM30 daripada kami, memang kecohlah meja aku kerana Nania ada di tepi. Kekecohan itu terjadi kerana aku tidak pandai memasak telur. Aku melontarkan telur itu ke dalam kuali di keliling periuk hot pot itu sehingga kuning telur itu sudah lari bentuknya. Nania mengedutkan muka sambil tertawa, bertanya: "Apa ni, Pui?" Tambahan pula, Nania memang takut kepada percikan minyak. Dia menjerit dan segera mengecutkan tangannya ke dadanya apabila kedengaran desis percikan minyak. 'Haih, dia memang tidak pernah masuk ke dapur!' aku berpikir. Semua orang memandangnya dan dia memalukan kami sahaja. Walaupun begitu, aku tidak kisah. Aku berasa seronok kerana melihat rupa kecut Nania. Dia sangat lurus. Haha. 

     "Awak ni tak pandai masaklah!" Nania terus merungut. Aku tersengih. 

    Di meja aku, anda juga dapat menyaksikan bahawa Aiman sedang mengejek Pipah. Aiman membeliakkan matanya, menuturkan satu per satu kata sindiran terhadap Pipah yang 'lemah' dengan bibir yang diketap-ketapkannya. Dengan nada pura-pura, Pipah bertanya: "Kenapa meja aku kotor eh? Kenapa awak buang semua sampah ke meja aku?" Aiman pula menjawab: "Meja hang ni memang layak dikotorkan dan hang memang sesuai untuk benda-benda kotor macam ni." Memang terus terpancut air liur kami ketika kami menyaksikan gelagat 'pasangan manis ' (mereka memang suka bertengkar tentang yang bukan-bukan) yang suka berpura-pura bertengkar itu. Pipah berdiam sahaja sambil tersenyum, menahan geramnya, walhal pada hari-hari biasa, dia akan terus meluahkan 'perkataan lembut yang palsu' untuk membidas Aiman. Aiman pula tampak serius apabila memarahi orang, sedangkan dia hanya berpura-pura garang. Setiap kali setelah dia mencela orang, dia pasti terenjut-enjut bahunya dan ketawanya akan berterusan selama satu jam. Tambahan pula, matanya yang sentiasa ditemani gelang hitam itu mengkhianati kegarangannya yang dicuba ditonjolkannya sungguh-sungguh itu. 

     Yusra pemerhati yang paling setia. Dia menyandarkan dagunya pada tangan sambil mendengar bualan Pipah, Nania, Aiman. Yusra terkadang-kadang akan terus membeliakkan mata, mengangakan mulut, membuat muka pelik sambil mengatakan sesuatu jenaka lalu terkekeh-kekeh dan bahunya akan terenjut-enjut; seluruh badan kecilnya akan terenjut-enjut apabila dia berasa geli hati. Aku memperhatikan dia sahaja. Terbayanglah kelibat mulianya di dalam benakku. Dia sememangnya sahabat yang sangat bertimbang rasa. Bertuahlah Pipah, Nania, Ezzy, Faal kerana ada Yusra sebagai sahabat. Aku masih ingat tentang keadaan yang begitu meremukkan hati bahawa dia meluru ke luar bilik kuliah untuk menangis ketika mendapati bahawa Faal sudah memasuki rumah sakit. Pada masa itu, hatiku berkerunyut seperti kertas yang direnyukkan. Aku seolah-olah dapat merasai perasaan kaca terhempas ke batu itu.

     Aku juga terbayang bahawa saudara yang mulia ini pernah sabar memimpinku mengenal agama Islam. Dengan air muka yang tenang, dia menjelaskan keislaman kepadaku biarpun aku melontarkan pelbagai soal KBAT. Dialah teman istimewa yang menemani aku mendaki bukit, menuruni lurah pada saat-saat genting ketika pengislamanku hampir bocor. Alhamdulillah. Allah perancang yang Maha Bijaksana. Rancangan-Nya sentiasa sempurna.

     Meja lelaki senyap sahaja. Badrul Amin sebelah tangannya memegang telefon pintar yang menyiarkan perlawanan bola sepak, sebelah tangannya menyuap mulut. Badrul Naim pula beralih tempat ke tempat perempuan, berbual dengan Kuzek. Amirul pula senyap menjamu selera sambil membaca Instragram (Instagram teman wanitanya? Oops!). Said yang berbadan besar itu tidak berhent-henti menaruh daging, kerang di atas kuali. Kuali berdesis; asap tipis naik berkepul-kepul. Amirul menyertai pesta itu, turut menaruh daging dan kerang. Mereka memang pandai makan hot pot! Aku tidak mampu. Aku sudah muak! 

     Akhirnya, kami bergambar di hadapan kedai makan. Yang melucukan kami bahawa Aiman (rasanya, atau Nania?) memanggil pelayan sebagai "abang" terus supaya pelayan itu menolong kami menangkap gambar, tambahan lagi pelayan itu berbangsa Bangladesh (rasanya) dan kurang memahami bahasa kami. Selepas itu, terakamlah babak C10 yang amat membahagiakan orang.

     Alhamdulillah, pertemuan ini bukan kebetulan seperti perkataan Ebit Liew. Kami dipertemukan oleh Allah di tempat itu, pada masa itu, dengan kemesraan begitu dengan kesempatan yang sesuai. Aku bersyukur kepada Allah atas kebahagiaan yang dienugerahkan-Nya dan sungguh berasa bahagia menjadi sebahagian daripada keluarga ini. 14 ragam tersendiri telah melengkapi susun suai gambar pertemuan malam ini. Ah, akan kutiliklah kalian dengan pandangan mesra; akan kuterimalah kalian dengan pelukan terbuka. Mudah-mudahan hubungan kami terus laksana kuih muaci sampai penggal kelapan, insya-Allah!




     

Tuesday, November 13, 2018

Hidup Saling Bergantung

     Alhamdulillah, dengan berkat-Nya, aku dapat duduk semula di hadapan komputer riba untuk mengetik karangan peribadi ini. Rindu benar aku akan bunyi padat papan kekunci yang diketik: kalau satu hari aku tidak menulis, memang aku akan merasai sirnanya kekuatan kuasa menulis yang menyangga jiwaku sehingga jiwa merayau tanpa hala tuju. 

     Sebenarnya, diari ini sudah lama hendak aku siapkan. Kerana khuatir bahawa penulisan melalaikan daku akan tugas rasmi IPG, khuatir bahawa penulisan membazirkan masa mengulang kaji pelajaran dan mengerjakan amanah di IPG, aku mencari berbagai-bagai dalih untuk mengelakkan kerja yang tidak berfaedah ini. Tetapi, kalau tidak mengarang, aku mendapati bahawa aku kehilangan roh 'Pui Wen Hang' yang dapat menabur kata di langit senja, melakarkan kecintaan di atas pasir pantai. Aku akan kehilangan jati diri. Aku akan berasa kosong. Oleh itu, aku mengarang semula dan begitulah bunyi ceriteranya.

     Alkisah dulu, aku hendak berdikari dalam segala urusan kehidupan. Aku tidak hendak makan pandangan enteng orang lain; aku tidak hendak dibantah: noktah. Aku terlalu kerap telah dibasuh otak, dipaksa melakukan sesuatu yang tidak rela, seperti mencaci, dipaksa menjadi orang lain, ditekan oleh suasana sehingga terpaksa meniru langkah orang lain. Semua tekanan ini melenturkan acuan peribadi aku, menghilangkan tonggak prinsip yang paling penting yang membentuk acuan daku yang berdikari dan tabah. Aku berjalan ke Amjal sendiri, makan sendiri, membeli-belah sendiri, membeli makanan sendiri dan degil tidak menerima pertolongan orang lain menempah nasi untuk aku: perbuatan itu memalukan daku, seolah-olah aku kurang upaya. Tak payah!

     Aku akui bahawa kesombonganku melangit. Aura tegang itu berselisih bahu dengan orang lain setiap kali aku melewati mereka. Namun, setelah ditimpah kisah-kisah yang menundukkan daku kepada kuasa Yang Maha Esa, barulah aku malu kerana telah sombong selama ini. Baru kusedari bahawa aku tidak dapat membantu diri pun. Pada saat-saat susah itulah Allah menghantar sahabat untuk mengingatkan daku: aku tidak berseorangan dan jangan angkuh kerana pada saat-saat aku tumbang, orang yang kuangkuhilah yang akan membantu aku! 

     Aku masih ingat tentang malam itu. Aku tidak gerun langsung akan malam yang larut. Ingin aku siapkan buku log Bulan Sabit Merah atas kudrat sendiri sekalipun badanku ingin benar bergesel dengan katil, merasai kelenaan daripada bantal. Jia Wei memasuki bilik dan agak terperanjat ketika melihat bahawa aku masih menulis nota pada hari sebelum hari penghantaran buku log.

    "Cetaklah. Nah, buku log aku ada di sini, fotostat saja."

    Aku menggeleng sambil berterima kasih kepadanya.

  "Aiyo, engkau pasti perlukan buku log ni. Esok pulangkan kepada akulah." Aku membiarkan bahawa buku lognya terlantar di atas mesin pencetak hijauku sambil terus rajin menyalin nota daripada internet dengan tangan. Tidak akan sesekalilah aku meniru cara orang lain. Aku ada maruah. 

     Sampai pukul 4.00 pagi, naluri memberitahuku bahawa aku memang sudah tidak sempat menyiapkan keseluruhan nota buku log kalau terus berdegil begini. Bukankah pencetakan mempercepat kerja? Akhirnya, aku mengalah. Aku mengalah dan rebah dalam kelesuan jiwa dan raga. Terima kasih Jia Wei. Tetapi, aku tidak menyalin notanya, sebaliknya mencontoh caranya: mencetak nota. Argh, terasalah bahawa egoku ditewaskan, ditindas, dipijak-pijak begitu hina oleh kawanku yang awal menyiapkan buku log! Aku tidak reda, namun mesti menundukkan kepala kepada caranya juga kerana ini jalan terakhir! Aku mencetak nota terus daripada internet. Itu pun tidak mencukupi masaku menyiapkan buku log. Sampai pukul 7.00 pagi, aku masih mencetak nota. 

     Lamalah aku berdiam. Lamalah aku bertafakur sendirian dengan pandangan yang sayu dan hampa, Rupa-rupanya, kadang-kadang kita ingin bertabah, ingin kuat, tetapi Allah tidak mengizinkan kita. Maka kita kalahlah dengan sekalah-kalahnya, kalah kepada cara orang lain; hina sehina-hinanya, terpaksa tunduk kepada takdir-Nya. 

     Aku masih ingat tentang detik-detik yang mencemaskan daku sewaktu ujian menyimpulkan tali kian tiba. Kami berkhemah di Hutan Ulu Bendul, Negeri Sembilan pada masa itu untuk memenuhi kerja kursus Unit Beruniform. Ujian dijalankan pada waktu malam. Simpul manuk, ikatan balak, ikatan suraya...hanya pandai bermain di dalam kepalaku, tetapi tidak pandai diterjemahkan melalui tangan! Kegelisahan itu bukan kegerunanku yang paling mendahsyatkan daku. Sewaktu kembali ke khemah untuk mencari tali, aku mendapati bahawa taliku telah hilang!

     'Bertenang, bertenang.' Aku tidak gelisah kerana yakin akan rahmat dan kasih sayang Allah. Semua ini berlaku dengan hikmah. Hatiku tenang; lakuku hemat dan tangkas mencari tali yang hilang. Namun demikian, meski sudah beberapa kali berulang-alik dari dewan ujian ke khemah untuk membelek beg plastik dan mencari tali, aku masih tidak mengesan kewujudan tali itu. Aku bermula gelisah. Hatiku bermula bergoncang. Walaupun Allah merahmati aku, aku tahu bahawa aku masih perlu menaruh usaha untuk mencari tali itu semula. Allah tidak akan membantu seseorang jika seseorang itu tidak bergerak. Hal itu berlaku kerana kecuaianku dan Allah menghendaki aku bertanggungjawab. Aku masih tidak percaya. Sekalipun urat hijau sudah timbul pada tangan, aku masih rajin membelek setiap sudut beg plastik itu untuk memastikan bahawa taliku benar-benar hilang.

     Matilah, matilah. Aku ingat bahawa aku memang akan mendapat 0 dalam ujian mengikatkan tali itu. Reda sahajalah aku kepada-Mu, ya Allah. 

     Tetapi, rupa-rupanya tidak. Allah telah menghantar Amir untuk dia membantuku. 

   "Kenapa serabut sangat?" Amir yang melewatiku pada malam itu bertanya. 

   "Aku kehilangan tali," aku mencuba menenangkan suaraku, tetapi suaraku jelas tertekan oleh musibah yang besar. 

   "Alah...ambillah tali aku ni. Aku tak guna malam ni. Ujianku masa lain," Amir terus menghulurkan tali dengan wajah yang tenang dan endah tak endah. Pada malam itu, air mata kesyukuranku memang hendak menitis. Amir Syazwan yang kupandang rendah, yang selalu bersikap acuh tak acuhnya akan pelajaran, berbaring dan terlantar pada kerusi begitu sahaja pada tiap-tiap waktu kuliah; yang malas ingin membuka mulut, malas ingin memedulikan kuliah ganti dan hanya ingin tidur sepanjang hari itu, dengan murah hatinya, meminjamiku tali pada waktu aku leta dan susah! Ya Allah, betapa sombongnya aku akannya pada waktu dahulu sehingga berbagai-bagai sangka buruk tentangnya berkeliling dan meracuni pikiranku. Maka sejak hari itu, aku tidak berani memandang rendah orang lain. Mana tahu orang itulah yang kita perlukan pertolongannya ketika kita terpalit oleh kesusahan?

     Dari hari itu, aku selalu tersenyum sambil menundukkan kepalanya sedikit, menyapanya: "Amir." Aku tidak akan lupa bahawa orang yang kusangka teruk itu orang yang berjasa kepada aku yang hina kerana disesakkan angin sombong. Astaghfirullahalazim.

     Seorang yang berjasa kepadaku lagi Nabil Azfar. Hatiku sejuk ketika aku mengenang budiman itu. Orangnya begini: selalu hadir ke surau 10 minit sebelum azan dilaungkan; selalu mengedutkan dahi sambil menadah tangan, mengumat-ngamitkan sesuatu setelah bersolat, seakan-akan ada dosa yang besar yang diminta diampunkan; selalu bersendiri membaca al-Quran di surau; selalu memuat naik keagamaan dalam story sehingga semasa bercakap pun, dia tersenyum santun sambil bersuara rendah. Dia lain daripada yang lain sehingga Yusra yang sejawat dengannya sebagai Setiausaha Kelab Rakan Islah pun perasan dan dengan terharunya, dia bertanya: "Kenapa dia baik sangat?"

     Aku paling susah hendak menguasai kemahiran menyimpulkan tali. Pada malam ujian pada minggu perkhemahan unit beruniform, aku bercadang menangguk di air keruh, berpura-pura ahli mengikatkan tali semasa orang lain sedang sibuk mengikatkan tali juga. Namun begitu, Cik Asiah dapat mengesan bahawa aku lembap dalam hal mengikatkan tali lalu  menyuruh orang membantu aku.

     Mula-mula, aku memang tidak mahu bahawa orang membantu aku. Cukuplah aku dan Allah sebagai penolong. Tidak disangka bahawa setelah membelitkan tali berkali-kali, simpul dan ikatanku masih gagal. Maka, Nabil Azfar menghulurkan tangan. Dia sanggup mengorbankan kesibukan mengikatkan tali yang sempurna. Pada masa itu, aku memang terharu. Orang lain berkedut dahi, sibuk mengejar masa untuk lekas menyempurnakan ikatan dan simpul supaya mereka dapat menjulang tali yang sempurna berkilauan itu untuk pengaguman Cik Asiah. Nabil tidak. Dia sanggup memerlahankan langkah untukku; mengajarku cara mengikatkan tali yang betul. Sebagai akibat, penyimpulannya cacat tetapi dia hanya tersenyum apabila melihat kecacatan itu. Dia hanya menggaru kepala apabila Cik Asiah mengatakan bahawa simpulnya tidak kemas. Ya Allah, menyesalnya aku...menyusahkan orang saja aku. Pada masa itu, aku memang hendak mengorek tanah untuk menyembunyikan muka yang tidak tahu malu itu. Ahli surga; ahli surga di dunia, ya Allah!

     Kerana dia, ujian aku lulus. Aku dapat menangguk di air keruh namun aku kesal akan diri. Sampai sekarang, aku masih tidak dapat menghafal pengikatan tali. Aku juga malu kerana tidak menyantuni Nabil dulu. Tentu aku akan ingat menyapanya setiap kali menemuinya nanti. Dia orang yang berjasa besar kepadaku.

     Ada satu kisah lagi: kisah ada kasih yang bermuara di celah keruntuhan kota jiwa; ada kesayangan yang terselit di celah lalu-lalang manusia yang sibuk. Selepas minggu perkhemahan unit beruniform, kita sibuk dengan buku log: masing-masing sanggup bersengkang mata pada waktu malam, membiarkan bertaburannya kertas di atas lantai simen asrama; menggunting kertas dari 12.00 tengah malam sampai waktu azan subuh berkumandang. Di celah detik-detik yang merebahkan jiwa raga ini, aku menyaksikan bahawa Yusra sanggup menemani Kuzek ke Kowaris untuk membeli kertas balut untuk buku log. Yusra juga berjanji bahawa dia akan menemani Kuzek menghabiskan buku log pada malam itu juga, padahal dia juga sibuk dengan kerja kursus dan buku log! Ah, betapa murninya kasih persahabatan mereka, seperti pantun berikut:

    Malam-malam dingin rawan,
                     Bertiup pawana menggeletar badan;
Malam kelam ada teman, 
             Kasihnya setia tiada padan. 

     Ada daun kuning yang gugur ke atas tanah kering; ada kasih bening yang gugur di kota gering! Sekuat-kuatnya manusia, apabila tiba malam, jiwanya tetap merintih mencari seorang teman. Benarlah perkataan Hamka dalam buku Lembaga Hidup

"Sehingga seorang peneliti atau ilmuwan yang beroleh pendapat baru, tidaklah dia mendapatnya semata-mata daripada pencariannya sendiri, tetapi sebelumnya dia menyelidiki pendapat ilmuwan lain yang terdahulu, lalu dipersambungkannya dan dikiaskannya yang dibuatnya sekarang pada yang dibuat perdahulunya." - m/s 6

"...kerana tiap-tiap manusia itu tidak mampu hidup sendiri. Orang yang hendak hidup sendiri, ertinya ialah hendak membunuh dirinya." - m/s 9


     Tampaknya, aku tidak patut berdegil lagi. Sudah sampailah masa untuk aku membuka tangan, mengalu-alukan orang lain ke dalam duniaku. Kerana jasa budiman-budiman itu, banyak kejayaan yang telah saya kecap. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkah; kecil bakat kepandaian, pantun saya hadiahkan:

Hijau muda buah mempelam, 
              Tumbuh tinggi di atas bumbung;
   Tuan cahaya menyorot malam, 
         Budi tinggi hendak disanjung. 
     

Saturday, October 20, 2018

Gambaran dan Coretan Perasaan Sejenak Pesta-I 12.10.2018 (Jumaat)

Di sungai seekor burung pekaka,
   Bertenggek-tenggek menangkap ikan;
Ini padang kita bersua suka,
   Mencatat kenangan sesama taulan. 

Menjajar air di jalan raya,
   Penawar haus cuaca panas;
Ini pasar menjual kata, 
   Tidak kira dendam lepas.

Tepi telaga dara dipikat, 
   Duduk di bangku bercumbu-cumbuan;
Manusia harus bertopeng malaikat, 
   Demi menimba untung lumayan. 

Dalam keluarga ada nakalnya,
   Mengapa masih dibela manja;
Dalam lagu ada riangnya,
   Mengapa masih berair mata?

Sebuah bangunan megah terbina,
   Roboh kerana rangka yang semu;
Terlalu mencari sisi sempurna, 
   Sahabat sejati tidak ketemu. 
   

Wednesday, October 17, 2018

Persahabatan yang Tiada Galang Ganti

     Semanis kenangan terukir senyuman. Alangkah indahnya bayangan cogan kata yang menjadi tema Makan Malam Perdana tahun 2018 yang bertemakan taman itu.

     Sesungguhnya, aku berjaya melakarkan kenangan indah pada malam ini. Di antara laut manusia, aku mencari beberapa orang sahabat sejati dan bergambar bersama mereka. Aku ingin mengabadikan pengalaman suka duka bersama mereka dalam gambar.

     Senangnya hati aku apabila meniatkan perkawanan dengan siapa-siapa sahaja. Tiada musuh; tiada teman istimewa. Semua orang setara. Yang mengisi hati hanya air terjun kegembiraan yang mengalir dari puncak keikhlasan. Falsafah Yusra ini memang betul. Asalkan kita berniat baik, bersangka baik, sesiapa dalam majlis Makan Malam Perdana ini dapat dirangkul sebagai sahabat.

     Aku tidak perlu memedulikan sensitiviti antara lelaki dengan perempuan, apatah lagi fitnah yang akan dilontarkan oleh orang yang tidak mengenalku ketika aku berdua-duaan dengan perempuan. Aku mencari perempuan yang kusukai sebagai sahabat lalu bergambar dengannya: mudah. Aku tidak mengambil kesempatan kerana aku hanya ingin mencari keikhlasan. Beberapa orang kawan perempuan yang agak akrab dengan daku Atihra, Arifah (baru berkenalan), Kak Pavi, Hijanah dan Yusra. Aku bergambar sahaja dengan mereka: baik dengan kawan mereka atau berdua-duaan dengan kawan perempuan tersebut. Pada pandanganku, mereka hanya kawan yang senang aku gauli. Tiada maksud lain. Aku senang bersembang dengan mereka sehingga tidak takut berjenaka.

     Yusra—alangkah anehnya persahabatan kami. Kawan akrab bukan; orang asing bukan; jauh lagi kekasih! Kami hanya kawan yang belajar bersama di Perkim. Jarang-jarang kami berjalan bersama, bersembang bersama, jadi tidak dapat dikira kawan rapat. Kami sering bersembang tentang penulisan dan agama dalam WhatsApp pula, jadi tidak dikira orang asing. Apakah hubungan kita? Kawan biasa yang sama-sama memburu ilmu. Namun begitu, aku tahu bahawa persahabatan daku dengan dia tiada galang ganti di dalam hatiku. Ya. Telah aku menangkap gambar Makan Malam Perdana yang ketiga dengannya. Setiap kali Makan Malam Perdana, Yusra pasti tidak melepaskan peluang bergambar dengan daku. Aku sangat suka bahawa dia menghargaiku sebagai kawan. Inginlah aku berkawan dengannya sepuluh tahun lagi. Semoga kita dapat menangkap gambar Makan Malam Perdana pada tahun depan lagi. Insya-Allah!

     Semanis kenangan, terukir senyuman. Mudah-mudahan senyum sahabatku sentiasa abadi dalam gambar malah antara asam garam kehidupan!

Tuesday, October 16, 2018

Penyeri Kehidupan

     Pada asalnya, hati bergelumang dengan noda; pada asalnya, hati berlindung bawah cahaya suram. Hati ini asyik mempersalahkan diri yang tidak berguna. Sudahlah aku tidak tahu menghias sudut bergambar, inikan pula memotong acuan bunga. Oleh itu, sepanjang Shahrol sedang mengarahkan orang menghias sudut bergambar dan meminta pendapat mereka, aku merayau ke sana sini atau berdiam sahaja semasa Shahrol bertanya. Aku berasa sangat tidak berguna. Aku bukan guru yang serba boleh dan aku sungguh merasai kekurangan sendiri itu walhal guru harus memiliki sifat kreatif.

     Hatiku memang bergelumang dengan noda dan kekelaman. Aku melayan kebosanan sendiri sebagai akibat tidak dilayan oleh orang lain. Namun begitu, dua orang kawan menjadi penyeri kehidupan.

     "Abang Pui, tak ada kerja? Mari duduk, bantu kami memotong bunga."

     Atihra perempuan yang bercakap seperti lelaki yang sasa. Gaya berjalannya pun seperti Hudaina: gaya lelaki sasa. Dia sangat pandai bergurau dan tergelak. Ada-ada sahaja perkara yang ingin ditanyakannya, seperti petua saya menjadi dekan (sedangkan saya bukan), petua menulis cerpen yang baik, adakah kemasukan ke IPG itu atas paksaan atau kerelaan. Tidak pernah lekanglah air liur bualan di dalam mulutnya. Atihra mengingatkan saya tentang Hudaina. Sesungguhnya, dia kawan yang sangat mesra dan senang didekati.

     Arifah pula perempuan yang manis apabila tersenyum. Yang istimewa tentang dia bakat menulisnya. Ia mendapat naib johan dalam pertandingan cerpen hari kemerdekaan di IPG Kampus Bahasa Melayu yang bertemakan "Aku dan KBM". Bukan kepalang orangnya dia. Arifah juga sangat mesra kerana selalu tersenyum. Dia juga lemah lembut ketika bertutur, umpama wanita Melayu dahulu. Sangat gembira saya berkenalan dengannya. 

     Terima kasih, Atihra dan Arifah kerana bersembang dengan daku. Sekurang-kurangnya, dengan kehadiran mereka, aku masih merasai nilaiku sebagai manusia di Dewan Aminuddin Baki ini. 

Tuesday, October 9, 2018

Wanita Besi yang Memperjuangkan Cita-citanya

     Terpegun daku. Terpegun.

     Insan di hadapanku: Datin Mastura pernah hamil sambil belajar; hamil sambil berulang-alik dari menara tempat belajarnya ke asramanya!

     Aku tidak dapat membayangkan betapa susahnya seseorang mengandung sambil belajar. Sudahlah aku mengalami tekanan darah tinggi ketika menyalakan dian malam untuk menyiapkan kerja kursus, inikan pula seorang bakal ibu yang sedang mengandung? Bahang peluh, darah tinggi, kesesakan nafas yang dialami oleh Datin Mastura untuk beliau mengejar tempoh penyerahan kerja kursus semasa beliau mengandung...tidak terjangkau! Beliau menambahkan bahawa beliau sentiasa berjuang untuk menghantar kerja kursus lima hari sebelum tarikh penyerahan!

     Datin Mastura menceritakan bahawa setelah melahirkan anak, kerja pertama yang dilakukannya selepas kuliah tamat bukan tidur di asrama; bukan keluar ke MidValley tetapi mendapatkan anaknya. Beliau melarat sehingga membawa anaknya ke kuliah untuk belajar bersama-sama. Ibu muda ini harus menyusu anak sambil menelaah pelajaran. Takdir tidak memberikan pilihannya kepadanya. Ujian ini bukan tekanan pada pandangannya tetapi telah mencekalkan perjalanan kehidupan beliau sebagai guru yang bertanggungjawab dan berusaha.

     Ah, lihatlah sinar jayanya pada hari ini! Datin Mastura telah berjaya duduk di takhta Ketua Jabatan Pengajian Melayu. Kagumnya aku apabila meneliti wanita yang penuh dengan kisah peluh dan air mata di balik sikapnya yang melucukan kami itu.

     Kehidupan setiap hari Datin Mastura di kampusnya menaip kerja kursus. Datin berjuang untuk menyiapkan kerja kursus. "Jika dibandingkan dengan saya, kamu pun dah dikira senang kehidupannya," Datin Mastura mencebik terhadap kami. Kami pula? Kami mudah merungut, mudah mempersalahkan pensyarah dan mudah merintih pada tengah malam kerana kepenatan. Bagaimanakah Datin? Datin keras kepala ingin menyempurnakan amanahnya juga. Beliau sememangnya mempunyai puncak kecekalan yang tidak mampu kucontoh. Tiba-tiba, aku berasa hina di hadapannya. Aku ingin berubah dan meneladan beliau.

     Biarpun lelah dan tepu menaip kerja kursus setiap hari, menurut Datin Mastura, beliau sangat gembira menjalankan tugasnya, tambahan pula beliau suka mencabar diri melakukan yang mustahil. Kalau menerbitkan buku, beliau ingin menerbitkan buku ke peringkat antarabangsa. Peringkat kebangsaan tidak dipandang beliau kerana buku peringkat negara terlalu biasa, terlalu remeh. Datin Mastura juga mengatakan bahawa beliau hendak memperjuangkan sesuatu yang mustahil pada usia muda seperti kami ini.

     "Apa yang awak semua buat pada usia ini? Tahu berbaring di asrama sahaja, bermain telefon, relaks sahaja dan merungut," Datin Mastura menghantuk kami sekali lagi sementara memarahi Rancangan Pelajaran Harian kami yang teruk dan dibuat sambalewa.

     Aku malu. Bungkam aku sepanjang syarahan Datin Mastura. Kepalaku semakin tunduk, seiring dengan kesesalan. Aku tidak patut mudah mengalah. Aku tidak patut senang-lenang di katil sehingga menulis kerja kursus pada saat akhir. Aku tidak patut ada sikap mengambil mudah akan kerja kursus! Menyesal sungguhlah aku. Aku hendak berubah. Aku hendak menjadi Datin Mastura: tidak memberikan alasan untuk kepenatan!


   

Saturday, September 8, 2018

Menungan demi Menungan yang Mengebaskan Rasa...

     Sejak bilakah saya kehilangan minat mengajar; termenung tanpa makna kehidupan di hadapan semangkuk kuah cendawan yang saya minum sambil memikirkan tugas-tugas yang menerawang bertaburan di bimasakti fikiran? Saya memburu kehidupan tanpa rehat, mengulang rutin menghadap komputer yang sama setiap malam.

     Aku bermula memperhentikan langkah. Langkah yang berulang-ulang kumajukan ini kian mengaburkan pemandangan di tepi jalan yang kulewati. Aku kadang-kadang melangkah terlalu pantas dengan manik peluh gelisah sambil mendukung harap bahawa kesusahan menahan keadaan tercungap-cungap itu cepat selesai. Kerana itulah aku mengabaikan pemandangan tasik yang indah, yang sesekali berkocak oleh singgungan kaki bangau merah jambu. Terlalu gelisahlah aku memikirkan kerja yang bakal saya hadapi dalam masa yang panjang ketika mencuci baju; terlalu gelisahlah aku memikirkan kegiatan merentas desa untuk kerja kursus baharu yang bakal saya rintis esok...

     Rupa-rupanya, aku tiada masa memikirkan minat aku, impian aku dan segala yang ideal yang meromantikkan dan memenuhi rohani aku—secara pokoknya, saya tidak pernah meluangkan masa peribadi untuk diri sendiri bagi melayan mekarnya dan gugurnya bunga-bunga idealisme yang cukup membahagiakan rohani. Hati aku semakin kekosongan falsafah; hanya diisi dengan kegiatan amali yang tidak bersandar pada mana-mana falsafah yang idealis. Keadaan itu mengakibatkan bahawa aku menjadi jentera kehidupan yang hanya bergerak pantas demi perkesanan kerja dan puji atasan semata-mata sehingga tanpa kesedaran, kederitaan dan ketidakrelaan hatiku membuat kerja beransur-ansur hilang, diganti dengan kecekalan, diganti dengan kepudaran dan yang  menjadi korban senyumku.

     Aku mencuba bersengkang mata setiap malam untuk menyiapkan kerja kursus biarpun harap itu selalu tidak jadi kerana tidak tahan akan kantuk pada pukul 2.30 pagi. Kerja memang tidak akan habis tetapi azamku membulat tiap-tiap hari dalam bicaraku yang terkunci. Aku sudah letih hendak membuka bicara kerana tiada orang yang benar-benar memahami kederitaan yang kulalui. Lebih baiklah aku mengunci bicara; menggigit kelemahan untuk meneruskan kegiatan merentas desa kerja kursus yang makan masa sepanjang malam. Aku meluat terhadap kawan-kawan yang suka tersengih pada waktu akhir kerja kursus walhal kerja kursusnya belum siap, kawan-kawan yang mencetak kerja kursus pada saat akhir tanpa rasa malu akan kelembapan diri, kawan-kawan yang masih bergurau dan berpura-pura gembira, acuh tak acuh tetapi sangat tertekan, mengeraskan jari jemari di atas papan kekunci pada hari penyerahan kerja kursus (memang padan muka dia). Aku hendak meninggalkan dunia yang penuh dengan kegagalan dan kemalasan ini—akulah yang turut termasuk dalam senarai peserta yang gagal demikian. Ah, aku sudah bosan begini! Tidak pernahlah aku berjaya menyiapkan tulisan tepat pada masa; pastilah aku mengorbankan malam untuk menyempurnakan satu tulisan setiap kali; celaka!

     Kesedaranku kian lama kian kebas. Niat murni mendidik anak bangsa kian kabur dan kian dilupai di dalam hati. Yang penting sekarang menyiapkan kerja kursus, menyiapkan kerja kursus, menyiapkan kerja kursus...sudah lamalah aku tidak mengarang cerpen. Setiap kali menghadap komputer, ketakutan akan memenuhi jiwa. Aku takut bahawa aku mengarang cerpen sehingga lupa menyambung pengarangan tulisan ilmiah kerja kursus yang sepatutnya saya mustaidkan pada malam itu. Jadual yang kutetapkan pun tidak sempat kuikuti kerana satu kerja kursus makan masa tiga jam untuk pencarian maklumat sahaja! Pengarangan selalu melalaikan aku akan tugas inti; oleh itu, lebih baiklah saya berpijak di dunia nyata, melupai alam yang terlalu ideal, mengerjakan kejayaan bagai lembu yang membersihkan lalang di sawah di bawah matahari pagi yang terik. Itu lebih berlandas dan membimbing aku ke tangga kejayaan jika dibandingkan dengan penulisan yang hanya mendatangkan kepuasan tetapi tidak dinilai di institut keguruan aku.

     Aku ingat bahawa aku sudah menyukai ragam kehidupan merancang dan menaip kerja kursus yang tertib namun aku nyata lebih senang hati mencari tayangan YouTube santai yang membazirkan masa, lebih suka melayan kekosongan dan kesenggangan membaca cerita WhatsApp orang lain. Rupa-rupanya, aku ketandusan kebebasan melakukan kegemaran tanpa diikat oleh arahan dan tarikh tamat. Aku paling membenci tarikh tamat!

     Ah...sejak bilakah kerja yang terlampau banyak, yang kususun kemas sehingga menjadi tidak terlampau banyak; telah menjadi amanah positif yang kubiasai itu mengebaskan rasa sayangku kepada keluarga? Sejak bilakah aku lupa akan nikmat tersenyum ketika menilik bait sajak sendiri yang indah rasanya? Sejak bilakah hari-hari menapak rumput bersama "dia" semakin kabur dan pudar ketika aku semakin menumpukan perhatian pada pengarangan kerja kursus? Adakah jalan yang kujejak betul? Adakah kerasionalan tindakan mewakili segala-galanya dalam kehidupan pusat pengajian tinggi? Adakah percintaan itu haram; adakah penolakan penontonan wayang itu belenggu kebebasan diri yang tidak betul?

     Sejak bilakah aku merasakan bahawa ajakan nenek ke rumah mak saudara untuk pengisian hari cuti telah memberatkan langkahku, menambah keragu-raguan akan kemampuanku menyiapkan tiga kerja kursus dalam satu hari...?

     Aku tidak tahu. Sampai hari ini, hatiku menyatakan bangkangannya apabila aku hendak memulakan penaipan. Sebelum menaip kerja kursus di hadapan komputer riba, aku akan membaca novel. Dalam detik-detik yang berlalu itu, senang sahajalah hatiku tetapi apabila sudah tiba masa menghadap komputer, hatiku memberontak. Berontakan itu tidak hilang biarpun dicuba dirasionalkan, diceriakan dengan fikiran-fikiran positif dan khasiat markah yang cemerlang. Mungkinlah ini petanda bahawa aku tidak menjiwai keguruan dan tidak berapa suka mengendahkan kecomelan kanak-kanak kerana lebih suka berkhayal dalam penulisan. Di sekolah pun, aku takut akan murid-murid. Murid-murid pasti menyimpan udang di balik hati: termenung khusyuk kepadaku di hadapan namun di dalam hati, dia mencaciku—sama seperti manusia-manusia lain. Entahlah.

     Pada pandanganku, kerja rasmi dan minat mesti diseimbangkan. Namun begitu, berpaksi pada kehidupanku sekarang, tampaknya kerja rasmi lebih berat pada neraca saya. Kegiatan mengarang telah kujelikkan kerana selalu membawa padah—lewat menghantar kerja kursus. Aku ada mencuba meluangkan masa untuk mengarang cerpen atau rencana, iaitu sela masa yang terulang selepas aku menyiapkan esei. Namun begitu, sela masa itu tidak kunjung tiba. Setiap kali setelah aku menyiapkan esei, jam sudah menunjukkan 12.00 pagi atau 1.00 pagi dan semangat yang lemah memaksa aku tidur.

     Ya, aku mengakui bahawa makna kehidupanku semakin pudar, tidak sewarna-warni zaman dahulu. Kehidupan yang berulang-ulang telah melupakan aku mencari seri dalam keputihan cahaya...



   

Thursday, August 16, 2018

Menyaksikan Kekasihanan yang Tidak Terbantu

     Sharif ada kawan yang banyak. Selalulah dia keluar makan dengan kumpulan kawannya. Semasa makan, pastilah dia menangkap gambar untuk memberitahu kawan-kawan rapatnya yang lain untuk mencemburukan mereka. Kemudian, akan rancaklah kejadian saling mengejek dan berjenaka antara Sharif dengan kawan-kawan lelaki dan perempuannya. Namanya di pusat pengajian tinggi ini begitu lantang sehingga ada kawan perempuan Cina yang tidak segan silu, tidak mengira batas antara lelaki dengan perempuan, menghidupkan panggilan bersemuka. Tergelak-gelaklah Sharif kerana kebodohan laku kawan perempuannya itu.

     Sharif sihat sahaja. Orangnya pun baik sangat bahkan suka berjenaka dengan mengejek perempuan. Yang pelik tentang Sharif hanya gelung hitam di keliling matanya. Gelung matanya yang tebal itu selalu membuat orang lain merasakan bahawa Sharif tidak tidur seharian. Sharif pasti akan mengeluh: "Ah, mengantuklah!" di bilik kuliah. Entah apakah yang dilakukannya sepanjang malam? Mengapakah dia asyik tidak cukup tidur? Soal yang lebih penting yang menghairankan daku: kenapakah dia tidak mahu tidur awal-awal setiap malam? Pada suatu kali, aku pernah mendatangi biliknya pada pukul 11.30 malam untuk membuat kerja tutorial berkumpulan. Aku melihat bahawa dia bersenang-lenang sahaja, melunjurkan kakinya di kaki katil lalu bermain telefon, berjenaka dengan kawan-kawan lelakinya yang selalu membuat laku-laku yang melampau sehingga Sharif geli hati lalu tergelak-gelak bagai bola yang tidak berhenti-henti melantun di atas lantai. Tidak terasalah keletihannya bersengkang mata pada waktu malam namun pada hari esok, pastilah mata Sharif terkedip-kedip apabila merenung pensyarah dan perlahan-lahanlah mata itu akan terkatup kemas.

     Sharif orangnya baik. Dia selalu mendekati kawan perempuan untuk menolong mereka membuat slaid PowerPoint dalam kerja kumpulan. Setiap kerja berkumpulan pasti dibincangkannya dengan rakan sekumpulannya. Yang kurang tentang Sharif tabiat terbatuknya. Dia sering terbatuk-batuk tanpa sebab. Aku pernah menanyakan penyakitnya tetapi dia menafikan bahawa dia berpenyakit. Dikhabarkannya dengan senyum bahawa itu tabiat terbatuk-batuk itu tabiat semula jadinya: tidak ada apa-apa pun. Namun begitu, aku yang sering melihat terbatuk-batuknya itu hampir dapat merasai betapa kering dan sakitnya tekaknya.

     Dulu, apabila kita membaca doa, kita berasa tidak ada apa-apa. Wirid selepas solat itu kewajiban yang menghormatkan kita kepada Pencipta. Semasa berdiri sambil menahan kantuk semasa membaca doa qunut, kita meminta kesihatan, meminta rezeki, meminta pengekalan iman dalam hati...dan kekerapan berdoa itu sudah semakin menawarkan iman dalam hati bahkan menambah kepayahan menahan kesedaran sepanjang subuh. Maka itu, bahawa kita sekadar menadah tangan untuk berdoa sudah pun berpada untuk membuktikan bahawa kita beriman sedikit. Namun demikian, pada hari ini, setelah menyaksikan kejadian Sharif, barulah aku benar-benar merasakan betapa perlunya kita harus  berdoa kepada Allah, meminta kesihatan, meminta rezeki, meminta kekuasaan sepatah demi sepatah dengan jelasnya dan takzimnya kerana ini bukan perkara main-main...

     Sharif lain sikit pada hari ini. Pucat mukanya. Dia asyik terbatuk-batuk sehingga terpaksa menutup mulutnya untuk meringankan getaran badannya. Apabila mendengar syarahan pensyarah, Sharif tidak dapat bertahan lagi lalu mendongak, menyandarkan kepala pada kerusi dan bebola mata hitamnya terlontar ke balik mata ketika dia hampir memejamkan mata sebagai akibat rasa mengantuk yang amat sangat.

     "Awak tahu tak aku sudah makan berapa biji gula batuk?" Sharif memandangku dengan mulut terkatup dan mata yang tertancap tepat pada pandanganku. Aku dapat merasakan bahawa dia tidak berjenaka sekarang. Sharif memang semakin serius penyakitnya.

     "Jumpailah doktor," aku mencadangkan. Namun demikian, jawab yang selalu kudapat: "Tak, doktor berkata tak ada apa-apa. Ini bukan penyakit tapi memang lahir macam itu." Ubat tidak berguna; doktor pun tidak berguna. Apakah cara lain yang dapat meredakan penyakit teruk si pelawak yang amat dialu-alukan lelaki dan wanita nakal itu?

     "Bacalah ayat Quran, ayat penyembuh itu. Hanya Allahlah yang Maha Penyembuh," hanya nasihat itulah yang paling baik untuk memujuk hati rawannya.

     Sharif diam, memandang arah lain. Dia menerima nasihat aku tanpa membalas apa-apa pernyataan lucu lagi, seperti yang selalu dibuatnya dahulu. Rasanya dia memandang kehidupannya serius pada kali ini.

     "Awak tahu tak, semalam aku mengerjakan kerja kursus. Selepas itu, kepala aku memang sangat berat dan pening. Aku tak mampu lagi, jadi aku tidur dulu. Aku bangun, terus membuat kerja sedikit-sedikit tapi tertidur lagi. Pada waktu petang, aku tidur panjang tetapi selepas bangun malam, batuk aku semakin serius sampai tekak pun kering dan sakit. Aku tak tahu kenapa. Ah, tak tahulah macam mana nak meneruskan kerja kursus pada malam ini," Sharif meluahkan rungutannya dalam keadaan tidak bermaya.

     Aku menepuk-nepuk belakangnya, mencuba melembutkan hatinya yang tidak berdaya. Ya Allah, rawannya hati ketika aku mendengar luahan demikian. Seorang yang amat ceria, yang terbaring dalam kapukan seribu orang sahabat setia itu, tanpa kesediaan pun, tersungkur ke lembah takdir yang menyengsarakannya itu. Seri wajahnya memang sudah hilang. Gelung hitam matanya masih ada. Dia masih kelihatan begitu mengantuk seperti masa dahulu. Hanya yang berbeda sekarang bahawa Sharif sakit teruk.

     Aku lama berkedut dahi setelah menghantar Sharif pulang. Aku ingin dalam merenungkan kehidupan ini; kekurangan diri dalam kehidupan ini. Perlahan-lahan meresaplah rasa kerdil diri di hadapan Allah Yang Maha Besar. Makin jelaslah kesedaran dalam nurani bahawa rupa-rupanya, setiap tindak gerak kita, sakit sihat kita, sedih gembira kita dikawal sepenuh-penuhnya oleh Allah. Dahsyatnya Allah ini. Begitu megahlah kuasa-Nya. Dengan satu jentikan "kun fa ya kun", si Sharif yang ceria tidak mampu tergelak-gelak lagi. Dia hanya mampu menahan kantuk sambil membeliakkan bebola mata hitamnya, selepas itu dikejutkan oleh batuk hebat yang menyerangnya tiba-tiba. Dia hanya mampu terus terbatuk-batuk sementara menunggu masanya memuntahkan darah bawah deraan-Nya. Kawan-kawan di sampingnya pun tidak dapat membuat apa-apa. Kawan-kawan yang, pada masa dahulu, melafazkan ikrar setia akan ketawa bersama-sama Sharif, melepak bersama-sama Sharif, beriringan ke koperasi dengan Sharif selama-lamanya, kini, tidak berada di sampingnya lagi. Ke manakah perginya kawan-kawan yang berikrar setia pada suatu masa petang dulu? Semua orang sudah hilang. Itulah sebab bahawa manusia perlu bergantung pada Allah sahaja. Manusia memang tidak berkuasa saling membantu...

     Lamalah aku membancuh simpati untuk Sharif sementara menggaulkan ketakutan kepada Allah kembali...

Monday, June 11, 2018

Air Mata yang Mendap

     Tidakkah anda bosan?

     Dalam 24 jam, kita hanya berhadapan dengan telefon pintar. Diam sahajalah kita. Itu kerja kita setiap hari. Kita tergelak di hadapan pemapar telefon, dipandang nenek yang sedang melipat baju sebagai orang gila; kita murung di hadapan pemapar telefon, menunggu pesan ringkas yang tidak kesampaian—kadang-kadang menunggu orang khas itu sampai terlentang, meniarap, terlena...

     Diam. Diam sahajalah ruang tamu. Hanya kedengaranlah deru kipas. Hanya kipaslah yang tidak malu meluahkan pikirannya. Demikianlah kehidupan kita setiap hari—kita sedang teruja menunggu kemunculan berita yang menarik hati, pesan ringkas yang meromantikkan jiwa setiap hari yang tidak kesampaian. Walaupun kita tahu bahawa keindahan itu tidak kesampaian, kita masih degil melukiskan kemurungan pada wajah, setia menunggu perlakuan kemustahilan itu di hadapan pemapar telefon...

     Sedih...aku sedih sungguh ketika menyedari mutu kehidupan begini tetapi apatah yang dapat dibuat? Aku juga menurut arus yang sesat ini. Biarpun jiwa merintih rawan, aku masih menyeka air mata, terus tabah menunggu keajaiban di hadapan pemapar telefon pintar; terus menunggu keajaiban—entah apakah keajaibannya: ayat cinta? ayat manja? luahan hati kawan akrab? amukan tentang keduniaan?

     Aku masih berlumuran dengan kerawanan. Kadang-kadanglah aku hendak merobek hati yang dilanda kerawanan itu. Tidak berguna lagilah hati yang sering tidak bermaya itu. Orang yang ditunggu tidak kesampaian; berita yang menarik tidak disiarkan. Berita yang menarik? Berita menarik apa? Aku pun tidak tahu. Dunia terlalu membosankan daku.

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...