Tuesday, November 13, 2018

Hidup Saling Bergantung

     Alhamdulillah, dengan berkat-Nya, aku dapat duduk semula di hadapan komputer riba untuk mengetik karangan peribadi ini. Rindu benar aku akan bunyi padat papan kekunci yang diketik: kalau satu hari aku tidak menulis, memang aku akan merasai sirnanya kekuatan kuasa menulis yang menyangga jiwaku sehingga jiwa merayau tanpa hala tuju. 

     Sebenarnya, diari ini sudah lama hendak aku siapkan. Kerana khuatir bahawa penulisan melalaikan daku akan tugas rasmi IPG, khuatir bahawa penulisan membazirkan masa mengulang kaji pelajaran dan mengerjakan amanah di IPG, aku mencari berbagai-bagai dalih untuk mengelakkan kerja yang tidak berfaedah ini. Tetapi, kalau tidak mengarang, aku mendapati bahawa aku kehilangan roh 'Pui Wen Hang' yang dapat menabur kata di langit senja, melakarkan kecintaan di atas pasir pantai. Aku akan kehilangan jati diri. Aku akan berasa kosong. Oleh itu, aku mengarang semula dan begitulah bunyi ceriteranya.

     Alkisah dulu, aku hendak berdikari dalam segala urusan kehidupan. Aku tidak hendak makan pandangan enteng orang lain; aku tidak hendak dibantah: noktah. Aku terlalu kerap telah dibasuh otak, dipaksa melakukan sesuatu yang tidak rela, seperti mencaci, dipaksa menjadi orang lain, ditekan oleh suasana sehingga terpaksa meniru langkah orang lain. Semua tekanan ini melenturkan acuan peribadi aku, menghilangkan tonggak prinsip yang paling penting yang membentuk acuan daku yang berdikari dan tabah. Aku berjalan ke Amjal sendiri, makan sendiri, membeli-belah sendiri, membeli makanan sendiri dan degil tidak menerima pertolongan orang lain menempah nasi untuk aku: perbuatan itu memalukan daku, seolah-olah aku kurang upaya. Tak payah!

     Aku akui bahawa kesombonganku melangit. Aura tegang itu berselisih bahu dengan orang lain setiap kali aku melewati mereka. Namun, setelah ditimpah kisah-kisah yang menundukkan daku kepada kuasa Yang Maha Esa, barulah aku malu kerana telah sombong selama ini. Baru kusedari bahawa aku tidak dapat membantu diri pun. Pada saat-saat susah itulah Allah menghantar sahabat untuk mengingatkan daku: aku tidak berseorangan dan jangan angkuh kerana pada saat-saat aku tumbang, orang yang kuangkuhilah yang akan membantu aku! 

     Aku masih ingat tentang malam itu. Aku tidak gerun langsung akan malam yang larut. Ingin aku siapkan buku log Bulan Sabit Merah atas kudrat sendiri sekalipun badanku ingin benar bergesel dengan katil, merasai kelenaan daripada bantal. Jia Wei memasuki bilik dan agak terperanjat ketika melihat bahawa aku masih menulis nota pada hari sebelum hari penghantaran buku log.

    "Cetaklah. Nah, buku log aku ada di sini, fotostat saja."

    Aku menggeleng sambil berterima kasih kepadanya.

  "Aiyo, engkau pasti perlukan buku log ni. Esok pulangkan kepada akulah." Aku membiarkan bahawa buku lognya terlantar di atas mesin pencetak hijauku sambil terus rajin menyalin nota daripada internet dengan tangan. Tidak akan sesekalilah aku meniru cara orang lain. Aku ada maruah. 

     Sampai pukul 4.00 pagi, naluri memberitahuku bahawa aku memang sudah tidak sempat menyiapkan keseluruhan nota buku log kalau terus berdegil begini. Bukankah pencetakan mempercepat kerja? Akhirnya, aku mengalah. Aku mengalah dan rebah dalam kelesuan jiwa dan raga. Terima kasih Jia Wei. Tetapi, aku tidak menyalin notanya, sebaliknya mencontoh caranya: mencetak nota. Argh, terasalah bahawa egoku ditewaskan, ditindas, dipijak-pijak begitu hina oleh kawanku yang awal menyiapkan buku log! Aku tidak reda, namun mesti menundukkan kepala kepada caranya juga kerana ini jalan terakhir! Aku mencetak nota terus daripada internet. Itu pun tidak mencukupi masaku menyiapkan buku log. Sampai pukul 7.00 pagi, aku masih mencetak nota. 

     Lamalah aku berdiam. Lamalah aku bertafakur sendirian dengan pandangan yang sayu dan hampa, Rupa-rupanya, kadang-kadang kita ingin bertabah, ingin kuat, tetapi Allah tidak mengizinkan kita. Maka kita kalahlah dengan sekalah-kalahnya, kalah kepada cara orang lain; hina sehina-hinanya, terpaksa tunduk kepada takdir-Nya. 

     Aku masih ingat tentang detik-detik yang mencemaskan daku sewaktu ujian menyimpulkan tali kian tiba. Kami berkhemah di Hutan Ulu Bendul, Negeri Sembilan pada masa itu untuk memenuhi kerja kursus Unit Beruniform. Ujian dijalankan pada waktu malam. Simpul manuk, ikatan balak, ikatan suraya...hanya pandai bermain di dalam kepalaku, tetapi tidak pandai diterjemahkan melalui tangan! Kegelisahan itu bukan kegerunanku yang paling mendahsyatkan daku. Sewaktu kembali ke khemah untuk mencari tali, aku mendapati bahawa taliku telah hilang!

     'Bertenang, bertenang.' Aku tidak gelisah kerana yakin akan rahmat dan kasih sayang Allah. Semua ini berlaku dengan hikmah. Hatiku tenang; lakuku hemat dan tangkas mencari tali yang hilang. Namun demikian, meski sudah beberapa kali berulang-alik dari dewan ujian ke khemah untuk membelek beg plastik dan mencari tali, aku masih tidak mengesan kewujudan tali itu. Aku bermula gelisah. Hatiku bermula bergoncang. Walaupun Allah merahmati aku, aku tahu bahawa aku masih perlu menaruh usaha untuk mencari tali itu semula. Allah tidak akan membantu seseorang jika seseorang itu tidak bergerak. Hal itu berlaku kerana kecuaianku dan Allah menghendaki aku bertanggungjawab. Aku masih tidak percaya. Sekalipun urat hijau sudah timbul pada tangan, aku masih rajin membelek setiap sudut beg plastik itu untuk memastikan bahawa taliku benar-benar hilang.

     Matilah, matilah. Aku ingat bahawa aku memang akan mendapat 0 dalam ujian mengikatkan tali itu. Reda sahajalah aku kepada-Mu, ya Allah. 

     Tetapi, rupa-rupanya tidak. Allah telah menghantar Amir untuk dia membantuku. 

   "Kenapa serabut sangat?" Amir yang melewatiku pada malam itu bertanya. 

   "Aku kehilangan tali," aku mencuba menenangkan suaraku, tetapi suaraku jelas tertekan oleh musibah yang besar. 

   "Alah...ambillah tali aku ni. Aku tak guna malam ni. Ujianku masa lain," Amir terus menghulurkan tali dengan wajah yang tenang dan endah tak endah. Pada malam itu, air mata kesyukuranku memang hendak menitis. Amir Syazwan yang kupandang rendah, yang selalu bersikap acuh tak acuhnya akan pelajaran, berbaring dan terlantar pada kerusi begitu sahaja pada tiap-tiap waktu kuliah; yang malas ingin membuka mulut, malas ingin memedulikan kuliah ganti dan hanya ingin tidur sepanjang hari itu, dengan murah hatinya, meminjamiku tali pada waktu aku leta dan susah! Ya Allah, betapa sombongnya aku akannya pada waktu dahulu sehingga berbagai-bagai sangka buruk tentangnya berkeliling dan meracuni pikiranku. Maka sejak hari itu, aku tidak berani memandang rendah orang lain. Mana tahu orang itulah yang kita perlukan pertolongannya ketika kita terpalit oleh kesusahan?

     Dari hari itu, aku selalu tersenyum sambil menundukkan kepalanya sedikit, menyapanya: "Amir." Aku tidak akan lupa bahawa orang yang kusangka teruk itu orang yang berjasa kepada aku yang hina kerana disesakkan angin sombong. Astaghfirullahalazim.

     Seorang yang berjasa kepadaku lagi Nabil Azfar. Hatiku sejuk ketika aku mengenang budiman itu. Orangnya begini: selalu hadir ke surau 10 minit sebelum azan dilaungkan; selalu mengedutkan dahi sambil menadah tangan, mengumat-ngamitkan sesuatu setelah bersolat, seakan-akan ada dosa yang besar yang diminta diampunkan; selalu bersendiri membaca al-Quran di surau; selalu memuat naik keagamaan dalam story sehingga semasa bercakap pun, dia tersenyum santun sambil bersuara rendah. Dia lain daripada yang lain sehingga Yusra yang sejawat dengannya sebagai Setiausaha Kelab Rakan Islah pun perasan dan dengan terharunya, dia bertanya: "Kenapa dia baik sangat?"

     Aku paling susah hendak menguasai kemahiran menyimpulkan tali. Pada malam ujian pada minggu perkhemahan unit beruniform, aku bercadang menangguk di air keruh, berpura-pura ahli mengikatkan tali semasa orang lain sedang sibuk mengikatkan tali juga. Namun begitu, Cik Asiah dapat mengesan bahawa aku lembap dalam hal mengikatkan tali lalu  menyuruh orang membantu aku.

     Mula-mula, aku memang tidak mahu bahawa orang membantu aku. Cukuplah aku dan Allah sebagai penolong. Tidak disangka bahawa setelah membelitkan tali berkali-kali, simpul dan ikatanku masih gagal. Maka, Nabil Azfar menghulurkan tangan. Dia sanggup mengorbankan kesibukan mengikatkan tali yang sempurna. Pada masa itu, aku memang terharu. Orang lain berkedut dahi, sibuk mengejar masa untuk lekas menyempurnakan ikatan dan simpul supaya mereka dapat menjulang tali yang sempurna berkilauan itu untuk pengaguman Cik Asiah. Nabil tidak. Dia sanggup memerlahankan langkah untukku; mengajarku cara mengikatkan tali yang betul. Sebagai akibat, penyimpulannya cacat tetapi dia hanya tersenyum apabila melihat kecacatan itu. Dia hanya menggaru kepala apabila Cik Asiah mengatakan bahawa simpulnya tidak kemas. Ya Allah, menyesalnya aku...menyusahkan orang saja aku. Pada masa itu, aku memang hendak mengorek tanah untuk menyembunyikan muka yang tidak tahu malu itu. Ahli surga; ahli surga di dunia, ya Allah!

     Kerana dia, ujian aku lulus. Aku dapat menangguk di air keruh namun aku kesal akan diri. Sampai sekarang, aku masih tidak dapat menghafal pengikatan tali. Aku juga malu kerana tidak menyantuni Nabil dulu. Tentu aku akan ingat menyapanya setiap kali menemuinya nanti. Dia orang yang berjasa besar kepadaku.

     Ada satu kisah lagi: kisah ada kasih yang bermuara di celah keruntuhan kota jiwa; ada kesayangan yang terselit di celah lalu-lalang manusia yang sibuk. Selepas minggu perkhemahan unit beruniform, kita sibuk dengan buku log: masing-masing sanggup bersengkang mata pada waktu malam, membiarkan bertaburannya kertas di atas lantai simen asrama; menggunting kertas dari 12.00 tengah malam sampai waktu azan subuh berkumandang. Di celah detik-detik yang merebahkan jiwa raga ini, aku menyaksikan bahawa Yusra sanggup menemani Kuzek ke Kowaris untuk membeli kertas balut untuk buku log. Yusra juga berjanji bahawa dia akan menemani Kuzek menghabiskan buku log pada malam itu juga, padahal dia juga sibuk dengan kerja kursus dan buku log! Ah, betapa murninya kasih persahabatan mereka, seperti pantun berikut:

    Malam-malam dingin rawan,
                     Bertiup pawana menggeletar badan;
Malam kelam ada teman, 
             Kasihnya setia tiada padan. 

     Ada daun kuning yang gugur ke atas tanah kering; ada kasih bening yang gugur di kota gering! Sekuat-kuatnya manusia, apabila tiba malam, jiwanya tetap merintih mencari seorang teman. Benarlah perkataan Hamka dalam buku Lembaga Hidup

"Sehingga seorang peneliti atau ilmuwan yang beroleh pendapat baru, tidaklah dia mendapatnya semata-mata daripada pencariannya sendiri, tetapi sebelumnya dia menyelidiki pendapat ilmuwan lain yang terdahulu, lalu dipersambungkannya dan dikiaskannya yang dibuatnya sekarang pada yang dibuat perdahulunya." - m/s 6

"...kerana tiap-tiap manusia itu tidak mampu hidup sendiri. Orang yang hendak hidup sendiri, ertinya ialah hendak membunuh dirinya." - m/s 9


     Tampaknya, aku tidak patut berdegil lagi. Sudah sampailah masa untuk aku membuka tangan, mengalu-alukan orang lain ke dalam duniaku. Kerana jasa budiman-budiman itu, banyak kejayaan yang telah saya kecap. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkah; kecil bakat kepandaian, pantun saya hadiahkan:

Hijau muda buah mempelam, 
              Tumbuh tinggi di atas bumbung;
   Tuan cahaya menyorot malam, 
         Budi tinggi hendak disanjung. 
     

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...