Tuesday, November 27, 2018

Satu Peringatan yang Indah

Aku masih ingat tentang satu peristiwa yang menghantuk kesedaran semua orang. Pada waktu dahulu, seorang kawan aku masuk ke rumah sakit kerana disahkan adanya ketumbuhan barah di dalam otak. Semua orang terkilan; tidak mampu mengatakan apa-apa. Ada yang meluru ke luar bilik kuliah untuk melepaskan air mata ketika menyambut berita WhatsApp tersebut; ada yang mengumat-ngamitkan doa sambil matanya bengkak merah sambil mengalirkan air mata; ada yang mengumpulkan kawan-kawannya untuk menulis doa kepada kawan daku itu dalam laman sesawang; ada yang terdiam sahaja, menahan gelora yang menghempaskan kepiluan bertalu-talu dalam laut hatinya. 

     Itulah kebesaran Allah. Itulah ketentuan-Nya. Tiada seorang pun yang dapat mengubah hakikat ini, hatta orang yang paling sombong yang mengakui bahawa diri berkuasa.

     Ajaibnya: langsung tidak terlukis awan mendung pada wajah kawan aku itu. Dia menghadapi semua orang dengan senyum simpul sahaja. Bersimpul kakilah ia di atas katil sambil mengedipkan mata dengan comelnya lalu ceria berkata: "Aku tak ada apa-apa, insya-Allah, akan sembuh cepat, jangan risau you ooools!" Kemudian, ia memeluk kawan rapatnya. Kawan rapatnya itu mengedutkan dahi sambil tersenyum semasa dipeluk; kedut dahinya itu hampir meramas air mata kerana dia terlalu kasihan akan nasib malang yang menimpa kawanku tiba-tiba. Kawanku itu macam sihat sahaja; yang berbeda hanya bibirnya yang sudah pucat dan wajahnya yang terlalu lesu untuk tersenyum. 

     Barah; barah, tahu! Itu bukan penyakit biasa-biasa. Itu penyakit yang memang akan menyeksa seseorang hingga tempoh mautnya jika sampai ke tahap keempat. Tetapi, luar biasalah semangat kawanku ini. Sampai waktu pembedahan, kawan daku yang sakit itu masih percaya kepada Allah. Tiada satu rungutan pun yang keluar dari mulutnya. Ceria sahajalah dia bagai purnama empat belas yang tergantung di langit malam di luar rumah sakitnya. Lidahnya dibasahi puji-pujian kepada Allah. Sekalipun seluruh nadi badannya terloncat-loncat gelisah sepanjang malam, alhamdulillah, dia berjaya mengharungi pembedahan dengan lancarnya; dia berjaya mengusir ketakutan dengan bertasbih kepada-Nya setiap saat dalam keadaan sedar semasa tempurung kepalanya dikerat terbuka dengan pisau yang tirus dan tajam. Sewaktu kepalanya sudah terdedah kepada udara, debu dan kuman, ketumbuhan itu pun dicabut dan dipotong oleh para doktor yang cekap dan tangkas. Bayangkanlah ketakutan yang amat sangat itu! Kalau ubat bius tiba-tiba hilang, betapa seksanya kesakitan yang hanya dapat diredakan dengan dia meronta sekuat-kuat hati...

     Dan, itulah perkara yang paling indah tentang Islam: iman; semata-mata iman.

   "Benarlah, dia insan pilihan-Nya. Sampai bilakah kita melupai Allah jika tidak diuji begitu? Entahkan esok, entahkan lusa nyawa kita sampai ke noktah, tetapi kita tidak bersedia. Sesungguhnya, Allah menguji kita untuk memudahkan kita ingat tentang-Nya." Saya terbaca pesan ini yang ditinggalkan oleh seorang kawan kepada kawan daku itu dalam Facebook.

     Allahuakbar. Betapa murninya, betapa sucinya dan betapa luhurnya niat orang Islam semasa mereka menghadapi penyakit berat yang ditimpakan-Nya. Biarpun bibir sudah pucat, wajah sudah kehilangan seri dan semangat untuk melukis riak, kawan aku itu masih memercayai adanya hikmah di balik bencana yang berat itu.

     Benarlah, Allah Maha Penyayang. Setiap ujian yang ditimpakan menyimpan hikmah yang terbaik untuk seseorang. Kita lemah. Kelaparan dan kedahagaan sahaja mampu membunuh kita. Kita memerlukan air, memerlukan makanan, memerlukan udara...dan segala-galanya itu anugerah Allah: kalau ditiadakan segala anugerah itu, kita mati juga. Untuk apakah kita sombong?

     Dan akhirnya, dia menahan kederitaan dengan cahaya iman sebagai suluh kekelaman hati sehingga sembuh. Alhamdulillah. Bukankah itu keistimewaan Islam: memandang segala peristiwa dengan kaca mata positif?


Thursday, November 22, 2018

Terakamnya Babak yang Membahagiakan

Pada 17 November 2018, hari Jumaat, terakamlah babak yang membahagiakan daku. Sekalipun menjadi pemerhati gelagat nakal mereka, aku tersenyum lega dan syukur. 

     Sudah setahun setengah kami bersama. Berbagai-bagai peristiwa suka duka, manis pahit, dengki-mendengki, salah-menyalahkan telah kami lalui. Kini, sekelip kenangan manis dirakamkan dengan kamera benak. Moga-moga kami sentiasa berpimpin tangan, melalui hujan dan ribut seperti saat ini...

     Alhamdulillah, Faal sanggup menjemput aku ke tempat makan hot pot. Kami bercadang mencelup sup periuk dengan sosej, daging dan kerang pada malam ini. Pertemuan malam ini diadakan untuk kami meraikan tamatnya penggal ketiga kumpulan C10. Di dalam kereta, Faal, seperti hari-hari biasa, menusuk telinga kami dengan suara nyaringnya apabila Ezzy mengusiknya. Dia selalu berteriak kelam-kabut macam ini; butir-butir perkataannya akan menjadi tidak keruan kerana terlalu cepat ditembakkan. Yusra juga, seperti tabiat biasanya, bahunya terenjut-enjut kerana berasa terhibur mendengar amukan Faal yang kelam-kabut.

     Faal ini, sebenarnya, jika diamati perangainya, tidak kasar pun. Dia bagai buah kelapa: keras di luar, lembut di dalam. Dia suka berterus terang tentang perasaannya; bukan orang yang suka melapis kelemahannya. Mulutnya bagai senapang mesin apabila dia berkongsi ilmu agama atau pelakon lelaki Korea. Tampaklah kesungguhannya menyampaikan sesuatu yang berfaedah. Aku menggeleng sahaja sambil pecah ketawa ketika memperhatikan gelagat comelnya itu. Sekeras-kerasnya wanita, ada tompok lembut di dalam hatinya juga. 

     Di tapak hot pot yang hanya menuntut RM30 daripada kami, memang kecohlah meja aku kerana Nania ada di tepi. Kekecohan itu terjadi kerana aku tidak pandai memasak telur. Aku melontarkan telur itu ke dalam kuali di keliling periuk hot pot itu sehingga kuning telur itu sudah lari bentuknya. Nania mengedutkan muka sambil tertawa, bertanya: "Apa ni, Pui?" Tambahan pula, Nania memang takut kepada percikan minyak. Dia menjerit dan segera mengecutkan tangannya ke dadanya apabila kedengaran desis percikan minyak. 'Haih, dia memang tidak pernah masuk ke dapur!' aku berpikir. Semua orang memandangnya dan dia memalukan kami sahaja. Walaupun begitu, aku tidak kisah. Aku berasa seronok kerana melihat rupa kecut Nania. Dia sangat lurus. Haha. 

     "Awak ni tak pandai masaklah!" Nania terus merungut. Aku tersengih. 

    Di meja aku, anda juga dapat menyaksikan bahawa Aiman sedang mengejek Pipah. Aiman membeliakkan matanya, menuturkan satu per satu kata sindiran terhadap Pipah yang 'lemah' dengan bibir yang diketap-ketapkannya. Dengan nada pura-pura, Pipah bertanya: "Kenapa meja aku kotor eh? Kenapa awak buang semua sampah ke meja aku?" Aiman pula menjawab: "Meja hang ni memang layak dikotorkan dan hang memang sesuai untuk benda-benda kotor macam ni." Memang terus terpancut air liur kami ketika kami menyaksikan gelagat 'pasangan manis ' (mereka memang suka bertengkar tentang yang bukan-bukan) yang suka berpura-pura bertengkar itu. Pipah berdiam sahaja sambil tersenyum, menahan geramnya, walhal pada hari-hari biasa, dia akan terus meluahkan 'perkataan lembut yang palsu' untuk membidas Aiman. Aiman pula tampak serius apabila memarahi orang, sedangkan dia hanya berpura-pura garang. Setiap kali setelah dia mencela orang, dia pasti terenjut-enjut bahunya dan ketawanya akan berterusan selama satu jam. Tambahan pula, matanya yang sentiasa ditemani gelang hitam itu mengkhianati kegarangannya yang dicuba ditonjolkannya sungguh-sungguh itu. 

     Yusra pemerhati yang paling setia. Dia menyandarkan dagunya pada tangan sambil mendengar bualan Pipah, Nania, Aiman. Yusra terkadang-kadang akan terus membeliakkan mata, mengangakan mulut, membuat muka pelik sambil mengatakan sesuatu jenaka lalu terkekeh-kekeh dan bahunya akan terenjut-enjut; seluruh badan kecilnya akan terenjut-enjut apabila dia berasa geli hati. Aku memperhatikan dia sahaja. Terbayanglah kelibat mulianya di dalam benakku. Dia sememangnya sahabat yang sangat bertimbang rasa. Bertuahlah Pipah, Nania, Ezzy, Faal kerana ada Yusra sebagai sahabat. Aku masih ingat tentang keadaan yang begitu meremukkan hati bahawa dia meluru ke luar bilik kuliah untuk menangis ketika mendapati bahawa Faal sudah memasuki rumah sakit. Pada masa itu, hatiku berkerunyut seperti kertas yang direnyukkan. Aku seolah-olah dapat merasai perasaan kaca terhempas ke batu itu.

     Aku juga terbayang bahawa saudara yang mulia ini pernah sabar memimpinku mengenal agama Islam. Dengan air muka yang tenang, dia menjelaskan keislaman kepadaku biarpun aku melontarkan pelbagai soal KBAT. Dialah teman istimewa yang menemani aku mendaki bukit, menuruni lurah pada saat-saat genting ketika pengislamanku hampir bocor. Alhamdulillah. Allah perancang yang Maha Bijaksana. Rancangan-Nya sentiasa sempurna.

     Meja lelaki senyap sahaja. Badrul Amin sebelah tangannya memegang telefon pintar yang menyiarkan perlawanan bola sepak, sebelah tangannya menyuap mulut. Badrul Naim pula beralih tempat ke tempat perempuan, berbual dengan Kuzek. Amirul pula senyap menjamu selera sambil membaca Instragram (Instagram teman wanitanya? Oops!). Said yang berbadan besar itu tidak berhent-henti menaruh daging, kerang di atas kuali. Kuali berdesis; asap tipis naik berkepul-kepul. Amirul menyertai pesta itu, turut menaruh daging dan kerang. Mereka memang pandai makan hot pot! Aku tidak mampu. Aku sudah muak! 

     Akhirnya, kami bergambar di hadapan kedai makan. Yang melucukan kami bahawa Aiman (rasanya, atau Nania?) memanggil pelayan sebagai "abang" terus supaya pelayan itu menolong kami menangkap gambar, tambahan lagi pelayan itu berbangsa Bangladesh (rasanya) dan kurang memahami bahasa kami. Selepas itu, terakamlah babak C10 yang amat membahagiakan orang.

     Alhamdulillah, pertemuan ini bukan kebetulan seperti perkataan Ebit Liew. Kami dipertemukan oleh Allah di tempat itu, pada masa itu, dengan kemesraan begitu dengan kesempatan yang sesuai. Aku bersyukur kepada Allah atas kebahagiaan yang dienugerahkan-Nya dan sungguh berasa bahagia menjadi sebahagian daripada keluarga ini. 14 ragam tersendiri telah melengkapi susun suai gambar pertemuan malam ini. Ah, akan kutiliklah kalian dengan pandangan mesra; akan kuterimalah kalian dengan pelukan terbuka. Mudah-mudahan hubungan kami terus laksana kuih muaci sampai penggal kelapan, insya-Allah!




     

Tuesday, November 13, 2018

Hidup Saling Bergantung

     Alhamdulillah, dengan berkat-Nya, aku dapat duduk semula di hadapan komputer riba untuk mengetik karangan peribadi ini. Rindu benar aku akan bunyi padat papan kekunci yang diketik: kalau satu hari aku tidak menulis, memang aku akan merasai sirnanya kekuatan kuasa menulis yang menyangga jiwaku sehingga jiwa merayau tanpa hala tuju. 

     Sebenarnya, diari ini sudah lama hendak aku siapkan. Kerana khuatir bahawa penulisan melalaikan daku akan tugas rasmi IPG, khuatir bahawa penulisan membazirkan masa mengulang kaji pelajaran dan mengerjakan amanah di IPG, aku mencari berbagai-bagai dalih untuk mengelakkan kerja yang tidak berfaedah ini. Tetapi, kalau tidak mengarang, aku mendapati bahawa aku kehilangan roh 'Pui Wen Hang' yang dapat menabur kata di langit senja, melakarkan kecintaan di atas pasir pantai. Aku akan kehilangan jati diri. Aku akan berasa kosong. Oleh itu, aku mengarang semula dan begitulah bunyi ceriteranya.

     Alkisah dulu, aku hendak berdikari dalam segala urusan kehidupan. Aku tidak hendak makan pandangan enteng orang lain; aku tidak hendak dibantah: noktah. Aku terlalu kerap telah dibasuh otak, dipaksa melakukan sesuatu yang tidak rela, seperti mencaci, dipaksa menjadi orang lain, ditekan oleh suasana sehingga terpaksa meniru langkah orang lain. Semua tekanan ini melenturkan acuan peribadi aku, menghilangkan tonggak prinsip yang paling penting yang membentuk acuan daku yang berdikari dan tabah. Aku berjalan ke Amjal sendiri, makan sendiri, membeli-belah sendiri, membeli makanan sendiri dan degil tidak menerima pertolongan orang lain menempah nasi untuk aku: perbuatan itu memalukan daku, seolah-olah aku kurang upaya. Tak payah!

     Aku akui bahawa kesombonganku melangit. Aura tegang itu berselisih bahu dengan orang lain setiap kali aku melewati mereka. Namun, setelah ditimpah kisah-kisah yang menundukkan daku kepada kuasa Yang Maha Esa, barulah aku malu kerana telah sombong selama ini. Baru kusedari bahawa aku tidak dapat membantu diri pun. Pada saat-saat susah itulah Allah menghantar sahabat untuk mengingatkan daku: aku tidak berseorangan dan jangan angkuh kerana pada saat-saat aku tumbang, orang yang kuangkuhilah yang akan membantu aku! 

     Aku masih ingat tentang malam itu. Aku tidak gerun langsung akan malam yang larut. Ingin aku siapkan buku log Bulan Sabit Merah atas kudrat sendiri sekalipun badanku ingin benar bergesel dengan katil, merasai kelenaan daripada bantal. Jia Wei memasuki bilik dan agak terperanjat ketika melihat bahawa aku masih menulis nota pada hari sebelum hari penghantaran buku log.

    "Cetaklah. Nah, buku log aku ada di sini, fotostat saja."

    Aku menggeleng sambil berterima kasih kepadanya.

  "Aiyo, engkau pasti perlukan buku log ni. Esok pulangkan kepada akulah." Aku membiarkan bahawa buku lognya terlantar di atas mesin pencetak hijauku sambil terus rajin menyalin nota daripada internet dengan tangan. Tidak akan sesekalilah aku meniru cara orang lain. Aku ada maruah. 

     Sampai pukul 4.00 pagi, naluri memberitahuku bahawa aku memang sudah tidak sempat menyiapkan keseluruhan nota buku log kalau terus berdegil begini. Bukankah pencetakan mempercepat kerja? Akhirnya, aku mengalah. Aku mengalah dan rebah dalam kelesuan jiwa dan raga. Terima kasih Jia Wei. Tetapi, aku tidak menyalin notanya, sebaliknya mencontoh caranya: mencetak nota. Argh, terasalah bahawa egoku ditewaskan, ditindas, dipijak-pijak begitu hina oleh kawanku yang awal menyiapkan buku log! Aku tidak reda, namun mesti menundukkan kepala kepada caranya juga kerana ini jalan terakhir! Aku mencetak nota terus daripada internet. Itu pun tidak mencukupi masaku menyiapkan buku log. Sampai pukul 7.00 pagi, aku masih mencetak nota. 

     Lamalah aku berdiam. Lamalah aku bertafakur sendirian dengan pandangan yang sayu dan hampa, Rupa-rupanya, kadang-kadang kita ingin bertabah, ingin kuat, tetapi Allah tidak mengizinkan kita. Maka kita kalahlah dengan sekalah-kalahnya, kalah kepada cara orang lain; hina sehina-hinanya, terpaksa tunduk kepada takdir-Nya. 

     Aku masih ingat tentang detik-detik yang mencemaskan daku sewaktu ujian menyimpulkan tali kian tiba. Kami berkhemah di Hutan Ulu Bendul, Negeri Sembilan pada masa itu untuk memenuhi kerja kursus Unit Beruniform. Ujian dijalankan pada waktu malam. Simpul manuk, ikatan balak, ikatan suraya...hanya pandai bermain di dalam kepalaku, tetapi tidak pandai diterjemahkan melalui tangan! Kegelisahan itu bukan kegerunanku yang paling mendahsyatkan daku. Sewaktu kembali ke khemah untuk mencari tali, aku mendapati bahawa taliku telah hilang!

     'Bertenang, bertenang.' Aku tidak gelisah kerana yakin akan rahmat dan kasih sayang Allah. Semua ini berlaku dengan hikmah. Hatiku tenang; lakuku hemat dan tangkas mencari tali yang hilang. Namun demikian, meski sudah beberapa kali berulang-alik dari dewan ujian ke khemah untuk membelek beg plastik dan mencari tali, aku masih tidak mengesan kewujudan tali itu. Aku bermula gelisah. Hatiku bermula bergoncang. Walaupun Allah merahmati aku, aku tahu bahawa aku masih perlu menaruh usaha untuk mencari tali itu semula. Allah tidak akan membantu seseorang jika seseorang itu tidak bergerak. Hal itu berlaku kerana kecuaianku dan Allah menghendaki aku bertanggungjawab. Aku masih tidak percaya. Sekalipun urat hijau sudah timbul pada tangan, aku masih rajin membelek setiap sudut beg plastik itu untuk memastikan bahawa taliku benar-benar hilang.

     Matilah, matilah. Aku ingat bahawa aku memang akan mendapat 0 dalam ujian mengikatkan tali itu. Reda sahajalah aku kepada-Mu, ya Allah. 

     Tetapi, rupa-rupanya tidak. Allah telah menghantar Amir untuk dia membantuku. 

   "Kenapa serabut sangat?" Amir yang melewatiku pada malam itu bertanya. 

   "Aku kehilangan tali," aku mencuba menenangkan suaraku, tetapi suaraku jelas tertekan oleh musibah yang besar. 

   "Alah...ambillah tali aku ni. Aku tak guna malam ni. Ujianku masa lain," Amir terus menghulurkan tali dengan wajah yang tenang dan endah tak endah. Pada malam itu, air mata kesyukuranku memang hendak menitis. Amir Syazwan yang kupandang rendah, yang selalu bersikap acuh tak acuhnya akan pelajaran, berbaring dan terlantar pada kerusi begitu sahaja pada tiap-tiap waktu kuliah; yang malas ingin membuka mulut, malas ingin memedulikan kuliah ganti dan hanya ingin tidur sepanjang hari itu, dengan murah hatinya, meminjamiku tali pada waktu aku leta dan susah! Ya Allah, betapa sombongnya aku akannya pada waktu dahulu sehingga berbagai-bagai sangka buruk tentangnya berkeliling dan meracuni pikiranku. Maka sejak hari itu, aku tidak berani memandang rendah orang lain. Mana tahu orang itulah yang kita perlukan pertolongannya ketika kita terpalit oleh kesusahan?

     Dari hari itu, aku selalu tersenyum sambil menundukkan kepalanya sedikit, menyapanya: "Amir." Aku tidak akan lupa bahawa orang yang kusangka teruk itu orang yang berjasa kepada aku yang hina kerana disesakkan angin sombong. Astaghfirullahalazim.

     Seorang yang berjasa kepadaku lagi Nabil Azfar. Hatiku sejuk ketika aku mengenang budiman itu. Orangnya begini: selalu hadir ke surau 10 minit sebelum azan dilaungkan; selalu mengedutkan dahi sambil menadah tangan, mengumat-ngamitkan sesuatu setelah bersolat, seakan-akan ada dosa yang besar yang diminta diampunkan; selalu bersendiri membaca al-Quran di surau; selalu memuat naik keagamaan dalam story sehingga semasa bercakap pun, dia tersenyum santun sambil bersuara rendah. Dia lain daripada yang lain sehingga Yusra yang sejawat dengannya sebagai Setiausaha Kelab Rakan Islah pun perasan dan dengan terharunya, dia bertanya: "Kenapa dia baik sangat?"

     Aku paling susah hendak menguasai kemahiran menyimpulkan tali. Pada malam ujian pada minggu perkhemahan unit beruniform, aku bercadang menangguk di air keruh, berpura-pura ahli mengikatkan tali semasa orang lain sedang sibuk mengikatkan tali juga. Namun begitu, Cik Asiah dapat mengesan bahawa aku lembap dalam hal mengikatkan tali lalu  menyuruh orang membantu aku.

     Mula-mula, aku memang tidak mahu bahawa orang membantu aku. Cukuplah aku dan Allah sebagai penolong. Tidak disangka bahawa setelah membelitkan tali berkali-kali, simpul dan ikatanku masih gagal. Maka, Nabil Azfar menghulurkan tangan. Dia sanggup mengorbankan kesibukan mengikatkan tali yang sempurna. Pada masa itu, aku memang terharu. Orang lain berkedut dahi, sibuk mengejar masa untuk lekas menyempurnakan ikatan dan simpul supaya mereka dapat menjulang tali yang sempurna berkilauan itu untuk pengaguman Cik Asiah. Nabil tidak. Dia sanggup memerlahankan langkah untukku; mengajarku cara mengikatkan tali yang betul. Sebagai akibat, penyimpulannya cacat tetapi dia hanya tersenyum apabila melihat kecacatan itu. Dia hanya menggaru kepala apabila Cik Asiah mengatakan bahawa simpulnya tidak kemas. Ya Allah, menyesalnya aku...menyusahkan orang saja aku. Pada masa itu, aku memang hendak mengorek tanah untuk menyembunyikan muka yang tidak tahu malu itu. Ahli surga; ahli surga di dunia, ya Allah!

     Kerana dia, ujian aku lulus. Aku dapat menangguk di air keruh namun aku kesal akan diri. Sampai sekarang, aku masih tidak dapat menghafal pengikatan tali. Aku juga malu kerana tidak menyantuni Nabil dulu. Tentu aku akan ingat menyapanya setiap kali menemuinya nanti. Dia orang yang berjasa besar kepadaku.

     Ada satu kisah lagi: kisah ada kasih yang bermuara di celah keruntuhan kota jiwa; ada kesayangan yang terselit di celah lalu-lalang manusia yang sibuk. Selepas minggu perkhemahan unit beruniform, kita sibuk dengan buku log: masing-masing sanggup bersengkang mata pada waktu malam, membiarkan bertaburannya kertas di atas lantai simen asrama; menggunting kertas dari 12.00 tengah malam sampai waktu azan subuh berkumandang. Di celah detik-detik yang merebahkan jiwa raga ini, aku menyaksikan bahawa Yusra sanggup menemani Kuzek ke Kowaris untuk membeli kertas balut untuk buku log. Yusra juga berjanji bahawa dia akan menemani Kuzek menghabiskan buku log pada malam itu juga, padahal dia juga sibuk dengan kerja kursus dan buku log! Ah, betapa murninya kasih persahabatan mereka, seperti pantun berikut:

    Malam-malam dingin rawan,
                     Bertiup pawana menggeletar badan;
Malam kelam ada teman, 
             Kasihnya setia tiada padan. 

     Ada daun kuning yang gugur ke atas tanah kering; ada kasih bening yang gugur di kota gering! Sekuat-kuatnya manusia, apabila tiba malam, jiwanya tetap merintih mencari seorang teman. Benarlah perkataan Hamka dalam buku Lembaga Hidup

"Sehingga seorang peneliti atau ilmuwan yang beroleh pendapat baru, tidaklah dia mendapatnya semata-mata daripada pencariannya sendiri, tetapi sebelumnya dia menyelidiki pendapat ilmuwan lain yang terdahulu, lalu dipersambungkannya dan dikiaskannya yang dibuatnya sekarang pada yang dibuat perdahulunya." - m/s 6

"...kerana tiap-tiap manusia itu tidak mampu hidup sendiri. Orang yang hendak hidup sendiri, ertinya ialah hendak membunuh dirinya." - m/s 9


     Tampaknya, aku tidak patut berdegil lagi. Sudah sampailah masa untuk aku membuka tangan, mengalu-alukan orang lain ke dalam duniaku. Kerana jasa budiman-budiman itu, banyak kejayaan yang telah saya kecap. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkah; kecil bakat kepandaian, pantun saya hadiahkan:

Hijau muda buah mempelam, 
              Tumbuh tinggi di atas bumbung;
   Tuan cahaya menyorot malam, 
         Budi tinggi hendak disanjung. 
     

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...