Tuesday, February 20, 2018

Sangkar Hati

     Setiap orang ada sangkar hati. Setiap orang menyembunyikan sangkar hatinya. Sangkar itu dibayangi lapangan yang kelam. Tidak sangguplah mereka menjejak sana kerana pertapakan di sana hanya mengimbas trauma-trauma yang pernah dialami kembali. Pernahlah mereka terdera oleh kenangan silam yang amat dikhuatiri, dibimbangi, dirisaui serta ditakuti mereka itu sehingga tidak ingin mengalami kekelaman itu sekali lagi.

     Sejak aku melangkah ke Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, sebahagian besar kawasan di sini dibayangi kekelaman——kawasan kelam yang tidak berani dan tidak akan dijejak sekali-kali. Kenangan-kenangan yang kelam itu bertimbun makin hari makin banyak tanpa disedari kerana aku berusaha menyembunyikan segala yang tidak baik di balik hati. Ketika aku menapak kawasan itu, bergemalah kebimbangan dan kebingungan. Bergemalah perasaan yang tidak kusenangi itu. Akan buntulah aku. Akan tersepitlah aku antara dua keadaan yang amat mencemaskan daku. Tidak tahulah aku menyelesaikan masalah yang berselirat dan longgok kerja yang menimpa aku sekaligus. 

     Ruang kelam dalam sangkar hatiku mengingatkan daku kepada malam mengerjakan kerja kursus, menaip senarai nama, mencetak kertas kerja, kerja kursus.... Bukan kepalang letihlah malam-malam begitu! Bunyi keluarnya kertas daripada mesin pencetak, bunyi berpusing kipas, pandangan melayangnya kertas ke lantai, lagu yang bermain ketika aku sedang mengejar masa untuk menyempurnakan kerja kursus sementara mencuba menjauhi menyingsingnya fajar...(bahkan aku bertrauma akan sesetengah lagu: lagu senang hati yang kumainkan sewaktu aku menaip kerja kursus——lagu yang membuai hati asalnya itu telah menjadi titik melankolik dalam kehidupanku tidak semena-mena, kesian!) ——segala-galanya menjadi tanda datangnya kegelisahan trauma malam yang sibuk. Siapakah yang mengharapkan malam-malam yang begitu mendera jiwa yang ingin lena terus tetapi tidak dapat lena? Bunyi cengkerik menjadi gangguan; kesepian pun menjadi gangguan, tidak bermain sebagai seni lagi; sebagai keindahan. 

     Yang menitik dari dahi hanya peluh resah; yang bergenang dalam hati hanya tekanan perasaan. Itulah yang menjadi trauma hati. Itulah yang membentuk sangkar hati. Aku sungguh takut memulakan kerja pada waktu malam. Trauma itu telah menjadi semacam tenaga penghambat yang menghalang aku memulakan penaipan malam dengan keberanian menghadapi kesilapan masa silam. Penghambatan ini membawa aku mengimbas kembali malam-malam persediaan untuk Malam Ekspresi Budaya. Fuh, bukan kepalang letihnya! Selepas balik daripada perlatihan menari, aku harus bertemankan cengkerik malam untuk mengerjakan kerja kursus yang perlu dihantar esok lagi. Segala-galanya bermula daripada sifar dan aku harus sabar menempuh pemikiran yang kritis dan segala cabaran ini bersendirain. Otakku tidak dapat berputar pada waktu malam-malam! Aku memerlukan tenaga untuk berpikir; tenaga perlu dicas semula hingga penuh untuk aku meneruskan pemikiran; penulisan; perjuangan! Namun demikian, malam seolah-olah tidak memahamiku. Siapakah yang mengharapkan pagi yang bermandikan kedinginan yang menusuk sendi dan tulang? Siapakah yang sanggup menanggung keberatan tulang dan kemamaian setelah bangun pada waktu subuh daripada rehat dua jam? Tentulah kita tidak sanggup bahkan tidak reda! Namun begitu, itulah kehidupan——penuh keterpaksaan dan peluruan tanpa hala tuju. Malam membisu. Malam tidak menjawab seliratan masalahku. Aku kena menghadapi semua ini bersendirian. Ya, bersendirian. Pada waktu malam. Sungguh tercabarlah ketahanan daku. Sungguh sepilah dunia aku.  Ya, aku mengerti kehampaan itu bahkan itu menjadi trauma yang menyangkari hatiku.

     Kesibukan yang menyumbatkan seru dunia pada sela dua masa menyebabkan bahawa aku terpaksa mencuci baju pada waktu malam. Itu fobia aku juga. Mula-mula, aku senang hati mencuci baju pada malam sambil bersiul ria tetapi lama-kelamaan, ketika baju yang dicuci berlonggok setinggi gunung, barulah aku mengerti payahnya bertabah mencuci baju hingga selesailah kerja. Aku terpaksa mencuci baju pada waktu malam kerana badan tidak larat bangun daripada kelenaan petang di atas katil. Terlalu beratlah sendi tulangku yang tidak menjamah katil semalaman. Perlulah aku merehatkan tulang sendi yang keras. Setiap kali aku terbayang kesusahan menggosok baju pada waktu malam, datang setiap kali itulah fobia atau ketakutan menghadapi pencucian baju pada kala malam pada hari-hari sibuk seterusnya. 

     Tompok kelam dalam sangkar hatiku mengingatkan daku akan malam yang orang datang menggangguku. Aku paling pantang akan penggangguan orang lain ketika aku sedang serius, resah memikirkan sesuatu atau sedang mengerjakan sesuatu kerja yang akan dihantar esok. Aku takut bahawa orang datang ke bilikku. Ketuk pintu mampu menggelisahkan dan memayahkan sanubariku. Aku tidak mampu melayan orang walhal diri renyah. Kerana itu, aku suka mengasingkan diri daripada orang lain; terperuk berseorangan di dalam bilik. Aku menikmati kedamaian berseorangan. Pengganguan orang menjadi traumaku kerana kawan-kawanku yang melawatiku pasti meminta tunjuk ajar hingga malam-malam (12.00 pagi). Perasaan tertekan itu kembali dirasai lagi; bagai baru berlalu semalam. Aku tertekan kerana aku harus memulakan kerja malam-malam lagi. Pada malam ini, aku mungkin tidak sempat menyempurnakan semua perenggan; tidak sempat mencetak kerja kursus; tidak sempat menghantar kerja kursus. Nanti esok, aku tidak mendapat rehat yang cukup lagi. Aku menguap, menahan kuap lalu kalah kepada kuap lagi. Terpaksalah aku menahan kegatalan mata yang dipanjat urat-urat merah lesu. Terpaksalah aku sakit mata, menghadapi segala-gala ini bersendirian. Ya, bersendirian. Pada waktu malam. Siapatah yang rela mendengar rintih malamku? Jika aduanku tersahut, apatah yang dapat dibuat untuk mengurangi kelesuanku? Rintihku sia-sia. Kehidupan memang berlaku demikian. Kita tidak dapat membuat apa-apa.

     Kawasan kelam dalam sangkar hatiku mengingatkan daku akan kepayahan bersendirian. Perasaan bingung, sunyi tetapi dipaksa ceria itu masih kuingat. Terkedip-kediplah malam-malam membeli-belah bersendirian di KL Sentral selepas kawan balik ke rumah. Aku mengimbas kembali malam-malam perjalananku ke Amjal yang bertemankan bintik-bintik cahaya bangunan yang sunyi, lampu jalan yang sunyi, litupan gelap malam yang sunyi...aku bersendiri dari awal hingga akhir. Walaupun aku bertekad bersendirian untuk bertekad memelihara peganganku yang suci, menghindari monyet-monyet yang membencikan daku, aku masih mengharapkan renjisan mawar yang berladung sifat ambil berat dan kesayangan. Aku manusia biasa. Aku memerlukan renjisan kasih. Namun demikian, hatiku melawan pergaulan dengan orang-orang yang tidak sejalan dengan prinsipku. 

     Sangkar hati terdiri dalam hatiku. Sangkar hati itu membayangkan kawasan kelam yang dipenuhi ketidaktentuan. Itu ketakutan yang tidak terusir olehku. Aku hanya terpaksa bangkit lalu melawan ketakutan, kerisauan, kebingungan trauma yang sering berulang dalam babak kehidupan. Aku patut melawan ketakutan ini lalu keluar daripada lingkungan kelam sangkar hati. Tatkala aku bangkit lalu berani menghadapi sangkar hati ini, barulah kebingunan, kerisauan, kebuntuan, kebimbangan ini reda . Maka terbentanglah pantai kedamaian yang mengingatkan daku: rupa-rupanya kehidupan tidak serumit yang disangka.

1 comment:

  1. Sangkar hati yang perlu diubati dengan ketabahan jiwa membelah noda..

    ReplyDelete

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...