Friday, February 23, 2018

Terima Kasih, Kawan, kerana Meminjamiku Sehari

     Pada hari ini (Khamis, 22.2.2018), aku sangat gembira malah aku ingin merafakkan kesyukuran kepada-Nya di langit jauh sana kerana kurnia sehari yang mengubati jiwa yang menanggung beban.

     Sebelum itu, terlalu kecillah kemungkinan mendapat hari ini. Terlalu susahlah aku dapat memperuntukkan masa beriadah sekejap atas rancangan-rancangan yang teratur begitu padat sehingga tiadalah sela antara dua masa. Semua rancangan itu diatur dan rajin dilatih demi kejayaan acara masa hadapan. Sketsa Tahun Baharu Cina kerap diadakan demi pengarah acara memastikan kelancaran majlis pada masa hadapan dan persediaan yang cukup. Kami, persatuan yang terdiri daripada sahabat Cina bercadang menganjurkan majlis sambutan Tahun Baharu Cina yang diselitkan dalam atur cara perhimpunan bulanan Khamis pada 1.3.2018. Pada minggu lepas, pada hampir setiap malamlah kami berlatih sketsa hingga pukul 11.00 malam. Walaupun masa hanya seminggu, aura malam yang mudah menggamit keletihan tubuh dan kesedaran bahawa kerja kursus yang makin dekat belum diselesaikan dapat mengumpulkan tekanan sekaligus pada kala sepi. Aku masih ingat bahawa pada mulanya suatu malam, aku berpikiran positif, ingin menyelesaikan tiga tugas: kerja kursus, pembacaan Sejarah Melayu dan pembacaan Hikayat Musang Berjanggut dengan kesabaran meniti malam yang panjang; yang mudah sampai ke liang lahad yang dipusari kegelisahan akan kesuntukan masa tidur yang pasti mendatangkan seksa kuap demi kuap pada hari esok. Lama-kelamaan, masa meniti malam, hampir kepada kesuntukan: 1.30 pagi, hatiku sudah gelisah dan menyalakan amaran bahawa aku memerlukan rehat. Badanku perlu menjamah keempukan tilam. Badanku sudah terlalu lesu dan berkarat. Aku memerlukan rehat minda. 

     Kerana kerenyahan masalah yang pasang surut, terdampar berkali-kali ke pantai kehidupan yang damai pada asal, aku nekad memutuskan hari ini sebagai hariku. Aku masih ingat tentang perkataan seorang kawanku: "Pui, awak perlu memperuntukkan satu hari untuk diri: mengarangkah, membacakah, buatlah apa-apa yang disukai."

     Aku tidak kisah. Pada hari ini, aku hendak melepaskan diri daripada tahanan gunung tugas.

  Kini, kawan yang menasihatiku itu sedang berbasikal di hadapanku. Hudaina berpaling, menghulurkan senyum yang memantulkan sinar mentari petang. Pada hari itu, aku sangat gembira dan sangat syukur. Aku nekad menjayakan hari ini dengan permintaan kepada Allah terlebih dahulu dalam solat. Solat asar terlalu suntuk. Aku sudah berjanji kepada Hudaina bahawa aku akan menemuinya pada pukul 6.00 petang selepas perlatihan sketsa Raksasa Nian habis. Tidak kusangkalah bahawa perlatihan yang tamat pada 5.30 petang mulanya tamat pada 6.00 petang. Panjang lebar dan sungguh perlahanlah perlatihan sketsa itu meniti masa. Kerana janji; kerana nekad mengingini hari ini, aku tergesa-gesa berukuk dan bersujud di atas sejadah solat asar. Lafalku sempurna, kelajuan dicuba dikawal agar aku tidak menderhakai Allah; perbuatanku lengkap. Tidak jadilah penderhakaan Allah, bukan?

    Aku dan Hudaina berbasikal, mengelilingi tasik Universiti Malaya. Basikal membawa aku meredah alam. Pohon-pohon hijau berundur pantas. Aku menghirup nafas alam yang menyongsang. Sungguh segar. Sungguh semula jadi——tidak pernah dibuat-buat, laksana perangai manusia.  Alam sungguh mesra. Alam sangat sesuai diperkawani. Mengapakah aku tidak pernah menyedari hakikat ini sebelum ini? Di sepanjang perjalanan, Hudaina sungguh ceria. Hudaina sungguh semula jadi ketika berbual dengan daku dalam perjalanan. Tidak perlulah aku melindungkan kenakalan dan tutur sombongku yang bertujuan menghibur orang lain untuk menjadi orang asing yang tegang bicaranya dan taat lakunya. Hudaina juga tidak berselindung di hadapanku. Kami menjadi kawan baik mengikut kesemulajadian peredaran masa dan ketetapan Perancang. Aku berharap agar sembangan dan ejek satu sama lain akan meleraikan masalahnya; menceriakan kekelaman harinya. Aku berharap agar aku dapat sentiasa menggembirakannya pada hari-hari lain, seperti hari ini. Sangat bersyukurlah aku kerana menjalani hari yang beredar atas kemahuan sendiri; bukan atas ketetapan beku maktabku.

    Alangkah bebasnya hari-hari begini. Aku memejamkan mata, merasa hari ini. Sungguh beruntunglah aku kerana mendapat kurnia hari ini. Tidak mudahlah aku dapat memperuntukkan sela masa untuk diri dan riadah. Selepas kuliah tamat, masa sudah terlalu lewat untuk perjuangan menghabiskan tugas yang terkumpul: 4.30 petang dan aku perlu menghadiri perlatihan sketsa pula hingga 5.15 petang. Selepas habis berlatih sketsa Raksasa Nian, aku terlalu letih untuk membasuh baju dan memulakan kerja pula. Kerjaku berbaring di atas katil sambil melelepkan mata sahaja; membiarkan bahawa pikiranku berpusar-pusar di balik bantal yang empuk. Kerana terlalu letih, aku terdesa oleh keinginan melayan diri mengikut kehendak diri, maka aku leka dalam perdetikan waktu antara 7.00 malam dengan 9.00 malam. Pada pukul 9.00 malam, barulah keberatan belakang badan yang lesu makin reda dan aku kian memperoleh semangat mencuci baju. Pencucian baju pun memakan satu jam. Aku baru sempat memulakan kerja pada pukul 10.00 malam dan aku tidak suka kerana waktu itu sudah mendekati masa tidur. Terperam begitulah kekesalanku yang tidak terselesai setiap hari dan mesti diselesaikan pada hari ini juga!

     Sesungguhnya, alam kawan terbaik. Semasa meneliti tabiat semula jadi manusia: berjoging dengan fon telinga, berjoging dengan muka tiada perasaan, berjoging beriringan dengan kawan, mengangkat berat, mengayuh basikal alat sukan Universiti Malaya, aku mendapat kepuasan jiwa. Jiwaku puas ketika meniti segala laku yang semula jadi. Raga memerlukan makanan; rohani pun memerlukan santapan. Sebetulnya, itu santapan nikmat yang cukup mensyukurkan daku. Terima kasih Hudaina. Terima kasih, kawan, kerana meminjamiku sehari. 

  



      

     

2 comments:

  1. Haha..tak kusangka hari yang dipinjam itu amat bermakna ye pui...terbaikkkkk...

    ReplyDelete
  2. hi Pui!! tahniah!! harap teruskan semangat anda ye

    ReplyDelete

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...