Monday, July 17, 2017

Dengung Loceng Rindu di Pangsapuri Mak Saudara

          Rumah baharu mak saudara terlalu besar. Di ruang tamu, lantai dibuat daripada hablur yang memantulkan cahaya. Di lelangit, terlekatlah sebuah pendingin hawa empat segi yang berkekisi yang hanya digunakan di pusat membeli-belah. Apabila anda duduk di sofa kulit yang berbentuk U itu sambil menonton acara televisyen yang melekat pada dinding, anda akan merasai hawa dingin dari atas kepala yang merebak ke seluruh ruang tamu, mencipta suasana yang begitu selesa untuk seseorang terlelap semasa menonton rancangan televisyen. Aku berasa gembira untuk mak saudara kerana akhirnya dia tidak perlu terikat oleh sewa pangsapuri dan memiliki rumah banglo sendiri yang mencakar sebidang tanah yang luas.
          
           Ya, rumah ini memang kaya; memang raya. Kalau pergi ke sana sini, aku pasti terbau kekayaan; bau udara segar yang berbaur dengan bau kulit sofa yang segar. Namun begitu, kesunyian bermula bersarang dalam hati apabila sekian lama menetap di sini. Beberapa kilat gambar terkelip begitu sahaja dalam gedung kenanganku komputer Windows XP di dalam bilik komputer, PS2 di ruang tamu sampingan tepi bilik komputer, bilik orang gaji, ruang tamu pangsapuri tempat bahawa aku selalu terlena setelah menonton Pink Panther hingga 12.00 malam. Ya, aku mengakui bahawa aku sesungguhnya merindui kenangan perhubungan bersama di pangsapuri lama. Begitu besarlah rumah ini tetapi perhubungan kami sekarang begitu terpencil, hati begitu kecil...
            
           Aku paling rindu akan tingkat ketiga pangsapuri mak saudara. Tingkat ketiga itu tempat ajaib pada aku yang masih kecil pada masa dahulu. Rumah orang lain tiada tingkat ketiga, hanya rumah mak saudaralah yang ada. Lantai luar tingkat ketiga sempit sahaja, dilapisi kayu cengal yang berbau harum. Aku ingat akan bau itu sampai sekarang. Tingkat ketiga ada tiga buah pintu. Pintu kiri bilik “kakak” atau orang gaji; pintu tengah bilik komputer; pintu kanan ruang tamu kedua atau ruang tamu sampingan untuk tamu. Pada masa kecil, aku dan adik selalu terperuk di dalam bilik komputer untuk bermain komputer yang digerakkan oleh Windows XP. Aku merindui bunyi Windows XP. Bunyi itu mengingatkan daku kepada Zuma dan Pin Ball dua  mainan komputer yang merindukan daku kepada zaman kanak-kanakku.
            
                Pada masa kecil, aku dan adik yang nakal akan masuk ke bilik tidur “kakak” (orang gaji) untuk bermain. Bilik tidur kakak sebenarnya bilik membasuh pakaian yang ada mesin basuh bulat yang memusingkan segumpal baju. Lelangit bilik basuh itu berbau lembap, ada tingkap atap yang membiarkan penyelinapan cahaya. Kerana itu, tengah bilik itu selalu ada bulatan cahaya. Tali yang berselang-seli pula tergantung ke sana sini, penuh bajunya sehingga mukaku sering terlanggar baju itu. Pada waktu itu, Zhi Yu, saudara perempuanku akan memasuki bilik itu sambil tersenyum, bertanya: “Abang Hang, Abang Jie, apakah yang kalian buat di sini? Nanti aku memberi tahu kakak, ha....” Kami tidak peduli. Selepas itu, kami pun bermain bersama-sama, menyelak setiap baju yang berjuntai sambil berlari atau membongkokkan kepala lalu melepasi baju yang berjuntai itu.
            
            Bilik komputer itu dilapisi kayu cengal juga tetapi warna kayu cengal itu merah sedang kayu cengal di luar tingkat ketiga berwarna coklat muda. Bilik itu bagai tempat perlindungan sejuk kami, aku dan adik daripada gangguan tamu yang sering mengunjungi rumah mak saudara. Di kiri bilik itu, terletaklah sebuah sofa yang bergaris badan zebra hitam putih. Sofa itu sering menjadi tempat melompat aku dan adik. Kadangkalalah aku akan memukulkan “bantal zebra” itu ke atas adik dan adik juga berbuat begitu. Di hujung tengah bilik itu, sebuah komputer ada. Aku merindui bunyi penghidupan Windows XP yang sungguh istimewa itu dan juga butang Start hijau, gambar latar langit biru dan lembah hijau Windows XP. Komputer sekarang amat canggih tetapi terlalu canggih sehingga membosankan daku. Aku masih ingat bahawa aku dan adik akan bergilir-gilir bermain komputer itu. Aku kadangkala begitu berang akan adik yang berhadapan dengan komputer itu begitu lama sehingga aku tidak memunyai peluang bermain! Sebagai akibat itu, aku akan meleter dan merungut kepada adik, mencebirkan bibir, memaksa adik memberikan permainan kepada aku. Beberapa mainan menjadi nostalgiaku yang tidak terubat hingga kini: Zuma, mainan penembakan bola kepada bola yang sama warnanya; Pinball, mainan bahawa bola yang lincah memantul ke palang ini, lubang itu dengan sepasang palang di dasar yang perlu dikawal untuk mengekalkan bola itu, mengelakkan kejatuhan bola ke dalam lubang; Restaurant City, mainan restoran dalam Facebook dan sebagainya. Pendek kata, bilik komputer itu tempat bahawa aku dan adik meluangkan masa sehari.
            
               Bilik komputer itu ada sebuah pintu yang amat berahasia, yang dapat “menghantar seseorang ke surga” pada ingatan aku pada waktu budak. Pintu itu pernah dibuka sekali oleh mak saudara. Yang kulihat cahaya putih surga yang amat kuat sehingga mengaburkan mataku kepada pandangan luar. Dalam kesamaran, aku hanya melihat birai dan lorong di luar. Aku dan adik pernah tidak sengaja membuka pintu itu sekali. Pintu itu biasa terkunci. Apabila kami bertenjet-tenjet ke pintu itu lalu membuka tombol pintu, tiba-tibalah angin yang kuat menyerang rambutku dan menolak aku ke belakang. Cahaya putih yang amat terik muncul sekali lagi sehingga aku hanya melihat keputihan di luar. Aku dan adik ditakutkan oleh cahaya putih dan angin kuat yang ngeri itu, oleh itu kami lekas menutup pintu. Angin itu seakan-akan menegah pencerobohan kami ke tempat keramat itu. Hingga masa sekarang, aku masih tidak mengetahui rahasia yang terlindung di balik pintu itu. Adakah itu pintu ke alam lain; pintu ke surga; pintu ke neraka atau hanya lorong biasa yang dijalani untuk seseorang lari daripada kecemasan?
            
            Bilik komputer itu tidak sebesar begitu sahaja. Bilik di tepi bilik komputer lebih besar. Bilik di tepi bilik komputer sebenarnya ruang tamu kedua selain ruang tamu di tingkat dasar. Untuk memasuki ruang tamu itu, kami perlu membuka “pintu meluncur” yang besar sampai lelangit yang berbingkai putih dengan petak-petak separa lut sinar yang menyebabkan kesukaran pelihatan keadaan ruang tamu itu dari bilik komputer. Aku perlu menggunakan tenaga seluruh badan untuk menolak pintu besar itu, barulah pintu itu sanggup meluncur perlahan ke kanan payah! Ruang tamu itu juga berlantaikan kayu cengal yang berwarna coklat muda, seperti warna kayu cengal di lantai tingkat ketiga. Kenangan yang paling terang di sana bahawa aku bermain PS2 dengan adik dan Zhi Yu, adik perempuan saudaraku, anak mak saudara. Aku akan memasang dawai-dawai PS2 pada belakang televisyen. Proses itu amat melecehkan daku. Aku selalu terhenyak ke sofa apabila disuruh memasang dawai PS2 oleh adik. Aku akan memerintah adik berbuat demikian dan biasalah adik akan berdengus lalu akur sahaja. Aku suka bermain mainan elektronik gusti yang bernama WWE (World Wrestling Entertainment) dengan adik. Aku dan adik akan duduk di atas lantai kayu cengal yang amat mewah itu sambil menekan-nekan butang pengawal mainan.  Perbuatan pegusti-pegusti itu telah menjadi mainan tabiat dalam otakku sehingga aku dapat mencontoh setiap perbuatan seseorang pegusti kegemaran. Kenangan itu aku ingini sekali lagi di banglo mak saudara sekarang tetapi televisyen sering digunakan dan PS2 sering lupa dibawa, jadi tidak jadilah harap itu.
            
            Selain pintu ajaib di bilik komputer, ruang tamu itu juga ada keajaiban! Di belakang ruang tamu itu, adalah dapur yang berlantaikan petak-petak putih supaya lantai itu tidak rapuh setelah dititisi air. Kewujudan dapur itu tidak kami pahami kerana pada kami, dapur sudah ada di bawah, mengapakah dapur diperlukan di atas lagi? Siapakah yang akan membina dapur di atas rumah? Bukankah dapur di bawah rumah? Soal-soal itu menjadi simpul yang tidak terurai pada kami yang masih kecil. Pada waktu pagi, kami akan bermain di dapur ajaib itu. Zhi Yu akan menyertai kami. Di kiri dapur itu, sebuah meja makan ada; di kanan dapur itu, terdiri pulalah sebuah buah bar tempat bahawa orang minum arak. Buah bar itu tidak diduduki bekas-bekas arak tetapi di bawah buah bar yang ada almari, tersimpanlah pinggan-pinggan kaca yang digunakan oleh tetamu pada waktu penyantapan.
            
           Aku, adik dan Zhi Yu sering bersembunyi di balik buah bar itu sambil menyelak almari dan mengeluarkan pinggan demi pinggan lalu meletakkan pinggan-pinggan itu di atas meja kaca putih untuk merupakan bahawa kami akan makan masakan selepas ini. Aku sering membuka pili air untuk melihat keluarnya bongkah air ke sinki. Aku suka merenung air yang berputar-putar di keliling lubang lalu menyelinap ke dalam lubang. Lubang pili itu rahasia pada aku juga. Aku sering bertanya: ke manakah air itu pergi setelah memasuki lubang? Adakah dunia baharu di dalam lubang itu? Kadangkalalah aku, Zhi Yu dan adik akan menyemburkan air di dalam tapak tangan yang tertadah di bawah pili kepada satu sama lain sehingga berlari-lari dan berkejar-kejaran. Bongkah sinki itu sering ada titis-titis air besar yang berselerak sehingga mak saudara menaiki aras ini lalu bercekak pinggang kepada kami.
            
            Ruang tamu utama juga menjadi kerinduanku pada waktu senggang. Sambil duduk di kerusi beroda di dalam bilik komputer banglo luas yang berbau kayu cengal juga, aku terbayang ruang tamu pangsapuri yang menyelimuti badan itu. Aku masih mengenang bahawa aku akan berbaring di atas sofa sambil bersengkang mata di hadapan televisyen yang berkaki di atas meja hingga lewat malam, semata-mata untuk menonton kartun. Pada waktu itu, aku demam. Aku lupa akan masa bahawa aku terlena di atas sofa itu. Pada waktu malam, aku juga akan menonton televisyen bersama Zhi Yu yang kecil dan gempal pada waktu kecilnya. Aku masih mengingat pipi gemuknya. Kerinduanku terikat pada tiang masa itu pada masa bahawa aku, adik dan Zhi Yu hanya hendak duduk dengan bahu bertembung dengan bahu sambil menonton rancangan televisyen tanpa merisaui hari esok. Di kiri ruang tamu, adalah meja bulat hitam yang dibuat daripada batu. Setiap kali bahawa kami balik dari rumah orang lain, benda pertama yang kupandang meja bulat batu hitam itu. Beg plastik demi beg plastik belian pasti diletakkan di atas meja itu.
            
           Begitu inginnya hatiku akan masa bahawa kami banyak bergerak itu merebut komputer, meneroka pintu berahasia, bermain pili air, menonton televisyen, bermain PS2.... Sekarang, kami sudah besar: sudah memunyai dunia peribadi masing-masing; sudah memunyai kumpulan WhatsApp masing-masing. Tulang pun sudah berat, hanya hendak membebani kerusi sepanjang hari, malas bangkit untuk bersapa. Oleh itu, tidak menghairankan oranglah bahawa pergaulan kami terbatas kepada pergaulan dengan kawan-kawan dalam alam maya sahaja. Tanpa telefon bimbit dan I-Pad dalam dukungan, kita bagai ikan yang sesak nafas, tercungap-cungap kerana mendahagai udara dunia maya yang begitu sebati dengan kita. Kerana suka menyalurkan hati dalam kata, kita lupa berhubung dengan orang nyata di dunia nyata. Ya, rumah mak saudara kini begitu besar, begitu mewah, berdikari di sebidang tanah besar tetapi apakah makna kebesaran itu jika rumah itu sunyi sepi sahaja sekalipun ada manusia yang menginap di dalam? Di banglo yang maha mewah itu, kita mengabaikan kehadiran masing-masing, terhenyak di sofa dengan pandangan kepada cahaya telefon terpantul ke muka kita.
            
            Ya. Rumah kini lebih luas daripada pangsapuri dahulu tetapi hatiku terpencil di sini, besar di sana. Loceng rindu sedang berdengung, menyeru aku supaya aku kembali ke bilik komputer pangspuri itu...
           

            

Sunday, July 2, 2017

Suasana Pulang di Perhentian Kereta Api Tanah Melayu

     Di kejauhan, pencakar langit yang begitu kecil terdiri di bawah awan gemuk yang berkepul-kepul. Langit dilatari warna biru muda yang menenangkan pelihat. Ketenangan di langit tidak cocok dengan kesesakan di perhentian Kereta Api Tanah Melayu (K.T.M).

     Kesesakan di perhentian K.T.M. tidak huru-hara sebaliknya tenang kerana khalayak berdiri sambil merenung masalah kehidupan masing-masing untuk mengisi kekosongan penungguan. Orang ramai yang rapi berkumpul sedang menanti kereta api yang masih lama lagi kesampaiannya. Sementara menunggu kereta api, kelihatanlah bahawa perempuan-perempuan Melayu cergas menggerakkan kepalanya ke kiri, ke kanan sambil berbual supaya tidak dirayapi kekosongan semasa merenung hadapan yang tidak bermakna. Beberapa orang perempuan dan lelaki India pula duduk di tangga sambil mengunyah biji-bijian di dalam bungkusan. Seorang lelaki Melayu duduk di hadapan pagar dengan kaki berlipat, pandangannya ke hadapan tidak menghinggapi apa-apa pun: kosong, menerawang. Dapat kurasailah kebosanannya. Beberapa orang perempuan Melayu dan Cina pula tunduk sambil menggesel-gesel telefon bimbitnya, seperti amal biasa orang sekarang. Aku menduga bahawa rentak hati setiap pemulang ini tentu sayu tetapi di samping melayan kesayuan biola dalam hati, mereka ada keberanian untuk menghadapi tekanan kehidupan yang akan datang esok.

     Aku duduk di lantai belakang pagar juga lalu meletakkan bagasi yang begitu besar dan berat, melayan kehidupan tanpa hiburan; melayan kepudaran kehidupan dengan merenung lalu-lalang lautan manusia yang berulang-ulang dan tidak istimewa. Mata hari tiba-tiba memancar dari belakang. Aku menoleh, tidak dapat terus melihat mata hari yang begitu terik dan menyilaukan mata di tengah langit. Tengkuk dan tanganku merasai kesuaman yang agak panas, bukan kepanasan yang membakar kulit. Aku tidak paham mengapakah pengarang buku suka menyifatkan kepanasan mata hari sebagai kebakaran! Sekali kala terdengar oleh akulah deram kereta api dengan roda yang berguling-guling, memberikan rentak yang teratur kepada landasan. Walaupun rentak itu selesa dan teratur kedengaran, keresahan tetap tertanam dalam hati orang ramai yang tidak tahu menikmati bunyi alam semula jadi: apabila bunyi pergolekan roda itu teratur menghasilkan rentak, dengan semula jadinya, yang membimbit bagasi menguatkan pegangan; yang bertangan kosong segera membimbit beg batu mereka, takut bahawa mereka terlangkau kereta api yang datang setiap selang 15 minit. Sungguhpun begitu, bagasi mereka yang besar itu terjatuh ke lantai sekali lagi apabila mereka mendapati bahawa itu hanya kereta api di belakang.

     Di samping melayan kepudaran kehidupan di perhentian, aku agak bingung juga apabila terbayang bahawa aku menunggu kereta api sampai malam. Aku terbayang rasa berjalan balik pada waktu malam bawah penyaksian bulan pisang yang tergantung jernih. Entah bagaimanakah rasa sebegitu? Aku khuatir bahawa aku yang keseorangan di sana bakal ditelan kegelapan malam yang tidak terperi kedahsyatannya!

     Setelah beberapa minit, desas-desus sudah timbul. Itu tanda bahawa kereta api yang sedang berjalan dari jauh akan tiba. Pergeseran roda bagasi pada lantai sudah kedengaran di sana sini dan seperti kebiasaan, para penumpang yang hanya memandang untung diri itu berasak-asak ke hadapan kereta api tanpa tolak ansur kerana kalau bertolak ansur, mereka tentu kehilangan peluang keemasan ini dan perlu menunggu kereta api sekian lama lagi! Penungguan itu keseksaan pada mereka yang tergesa-gesa ingin pulang lalu rebah ke katil sebagai persediaan esok. Sesetengah orang berhimpit masuk ke celah orang ramai yang terpaksa mengecutkan bahu, mencondongkan badan, merapati belakang orang lain untuk menawarkan ruang sedikit sekalipun kereta api sudah sesak benar. Perasak (orang yang berasak) begitu tidak kisah sama ada diri ditolak, disentuh, sesak nafas di dalam kereta api asalkan mendapat tempat. Aku pula tahu bahawa kereta api pasti sesak pada kali ini, jadi untuk apakah aku berebut dengan mereka? Namun begitu, aku masih menjinjing bagasi besar ke hadapan, mencari kemungkinan tempat kosong. Akhirnya, aku terpaksa duduk semula di atas sebuah bangku.

     Syukurlah aku mendapat bangku yang menyelesakan punggung: lebih baik daripada lantai. Kini, kesesakan sudah tinggallah kekosongan. Selesa jugalah aku diramas angin yang lembut bertiup dari belakang sambil menghirup udara bebas yang tidak sesesak udara tadi. Untuk apakah kita resah menunggu peluang pulang sedang kita dapat duduk tenang sambil mengamati setiap ciptaan Tuhan, setiap bunyi semula jadi? Biarkanlah bahawa orang yang resah jiwanya itu terus resah sampai berasak-asak ke dalam kereta api, berhimpit-himpit di dalam kereta api asalkan kita tahu memperhentikan jejak tergesa-gesa, duduk sebentar untuk mendengar ketenangan bunyi alam. Apakah salahnya berhenti setelah kita sekian sibuk setiap hari? Asalkan kita tahu meneruskan perjalanan, cita-cita tidak melorot daripada genggaman sekali-kali.

    

Hikmat Bas

     Bas memunyai semacam kuasa ghaib. Penumpang bas pasti tidur seketika nanti biarpun mereka memandang kanan, belakang sambil berbual cergas sekarang. Siapa-siapa pun tidak dapat lepas daripada nasib ini.

     Kepala-kepala yang begitu pilu selepas terpisah daripada anggota keluarga mereka tergoyang-goyang ke kiri, ke kanan seiring dengan getaran bas yang membunyikan semacam dengung yang menyeru mimpi. Perlahan-lahan, kepala-kepala yang tergoyang-goyang tidak bernyawa ini melentok ke bahu setelah dibuai ke dalam mimpi.

     Aku yang membesarkan mata sambil membaca buku untuk menghilangkan rasa mengantuk pun hairan kerana getaran dasar bas di punggungku menghasilkan semacam keselesaan lama-kelamaan yang  makin melenakan mataku. Tambahan pula, dengung bas yang senada selama-lamanya itu mengebaskan pikiranku malah letihlah otakku yang mencuba menduga makna di balik dengung senada itu. Otakku terumbang-ambing di sempadan kenyataan dengan mimpi, menyeru supaya aku tidur sekejap, merehatkan otak, nanti baru membaca buku.

     Aku mengira itu sebagai hikmat bas yang tiada terjelas. Namun begitu, apabila bas berhenti membayar cukai perjalanan, aku tercelik segar, seolah-olah terlepas daripada lambaian dengung mimpi. Getaran dan dengung baslah punca mengantuk, aku mengira.

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...