Sunday, July 2, 2017

Suasana Pulang di Perhentian Kereta Api Tanah Melayu

     Di kejauhan, pencakar langit yang begitu kecil terdiri di bawah awan gemuk yang berkepul-kepul. Langit dilatari warna biru muda yang menenangkan pelihat. Ketenangan di langit tidak cocok dengan kesesakan di perhentian Kereta Api Tanah Melayu (K.T.M).

     Kesesakan di perhentian K.T.M. tidak huru-hara sebaliknya tenang kerana khalayak berdiri sambil merenung masalah kehidupan masing-masing untuk mengisi kekosongan penungguan. Orang ramai yang rapi berkumpul sedang menanti kereta api yang masih lama lagi kesampaiannya. Sementara menunggu kereta api, kelihatanlah bahawa perempuan-perempuan Melayu cergas menggerakkan kepalanya ke kiri, ke kanan sambil berbual supaya tidak dirayapi kekosongan semasa merenung hadapan yang tidak bermakna. Beberapa orang perempuan dan lelaki India pula duduk di tangga sambil mengunyah biji-bijian di dalam bungkusan. Seorang lelaki Melayu duduk di hadapan pagar dengan kaki berlipat, pandangannya ke hadapan tidak menghinggapi apa-apa pun: kosong, menerawang. Dapat kurasailah kebosanannya. Beberapa orang perempuan Melayu dan Cina pula tunduk sambil menggesel-gesel telefon bimbitnya, seperti amal biasa orang sekarang. Aku menduga bahawa rentak hati setiap pemulang ini tentu sayu tetapi di samping melayan kesayuan biola dalam hati, mereka ada keberanian untuk menghadapi tekanan kehidupan yang akan datang esok.

     Aku duduk di lantai belakang pagar juga lalu meletakkan bagasi yang begitu besar dan berat, melayan kehidupan tanpa hiburan; melayan kepudaran kehidupan dengan merenung lalu-lalang lautan manusia yang berulang-ulang dan tidak istimewa. Mata hari tiba-tiba memancar dari belakang. Aku menoleh, tidak dapat terus melihat mata hari yang begitu terik dan menyilaukan mata di tengah langit. Tengkuk dan tanganku merasai kesuaman yang agak panas, bukan kepanasan yang membakar kulit. Aku tidak paham mengapakah pengarang buku suka menyifatkan kepanasan mata hari sebagai kebakaran! Sekali kala terdengar oleh akulah deram kereta api dengan roda yang berguling-guling, memberikan rentak yang teratur kepada landasan. Walaupun rentak itu selesa dan teratur kedengaran, keresahan tetap tertanam dalam hati orang ramai yang tidak tahu menikmati bunyi alam semula jadi: apabila bunyi pergolekan roda itu teratur menghasilkan rentak, dengan semula jadinya, yang membimbit bagasi menguatkan pegangan; yang bertangan kosong segera membimbit beg batu mereka, takut bahawa mereka terlangkau kereta api yang datang setiap selang 15 minit. Sungguhpun begitu, bagasi mereka yang besar itu terjatuh ke lantai sekali lagi apabila mereka mendapati bahawa itu hanya kereta api di belakang.

     Di samping melayan kepudaran kehidupan di perhentian, aku agak bingung juga apabila terbayang bahawa aku menunggu kereta api sampai malam. Aku terbayang rasa berjalan balik pada waktu malam bawah penyaksian bulan pisang yang tergantung jernih. Entah bagaimanakah rasa sebegitu? Aku khuatir bahawa aku yang keseorangan di sana bakal ditelan kegelapan malam yang tidak terperi kedahsyatannya!

     Setelah beberapa minit, desas-desus sudah timbul. Itu tanda bahawa kereta api yang sedang berjalan dari jauh akan tiba. Pergeseran roda bagasi pada lantai sudah kedengaran di sana sini dan seperti kebiasaan, para penumpang yang hanya memandang untung diri itu berasak-asak ke hadapan kereta api tanpa tolak ansur kerana kalau bertolak ansur, mereka tentu kehilangan peluang keemasan ini dan perlu menunggu kereta api sekian lama lagi! Penungguan itu keseksaan pada mereka yang tergesa-gesa ingin pulang lalu rebah ke katil sebagai persediaan esok. Sesetengah orang berhimpit masuk ke celah orang ramai yang terpaksa mengecutkan bahu, mencondongkan badan, merapati belakang orang lain untuk menawarkan ruang sedikit sekalipun kereta api sudah sesak benar. Perasak (orang yang berasak) begitu tidak kisah sama ada diri ditolak, disentuh, sesak nafas di dalam kereta api asalkan mendapat tempat. Aku pula tahu bahawa kereta api pasti sesak pada kali ini, jadi untuk apakah aku berebut dengan mereka? Namun begitu, aku masih menjinjing bagasi besar ke hadapan, mencari kemungkinan tempat kosong. Akhirnya, aku terpaksa duduk semula di atas sebuah bangku.

     Syukurlah aku mendapat bangku yang menyelesakan punggung: lebih baik daripada lantai. Kini, kesesakan sudah tinggallah kekosongan. Selesa jugalah aku diramas angin yang lembut bertiup dari belakang sambil menghirup udara bebas yang tidak sesesak udara tadi. Untuk apakah kita resah menunggu peluang pulang sedang kita dapat duduk tenang sambil mengamati setiap ciptaan Tuhan, setiap bunyi semula jadi? Biarkanlah bahawa orang yang resah jiwanya itu terus resah sampai berasak-asak ke dalam kereta api, berhimpit-himpit di dalam kereta api asalkan kita tahu memperhentikan jejak tergesa-gesa, duduk sebentar untuk mendengar ketenangan bunyi alam. Apakah salahnya berhenti setelah kita sekian sibuk setiap hari? Asalkan kita tahu meneruskan perjalanan, cita-cita tidak melorot daripada genggaman sekali-kali.

    

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...