Thursday, September 21, 2017

Yoyo Cina—— Paparan Kenyataan Kehidupan


          Pandanganku menapak pentas yang sibuk dengan orang Cina yang masing-masing tunduk, bertungkus-lumus mengangkat dan menurunkan batang kayu di tangan untuk memusingkan Yoyo Cina selaju-lajunya. Wajah mereka setegang benang yang direntangkan; tangan mereka terayun selaju aliran kecemasan akan kegagalan menghantar kerja kursus pada hari esok. Seorang mengejar irama tangkas seorang lain. Ketangkasan  mereka tidak dapat dikawal mereka sendiri tetapi terpaksa disesuaikan dengan kelajuan pakar-pakar lain. Yoyo Cina itu berputar ligat, menanti saat kecemerlangannya…

            Kegagalan dalam kalangan bijak pandai amat memalukan orang. Lihatlah seorang lelaki berkaca mata berbingkai hitam tebal yang berdiri di belakang pentas dengan wajah kekoknya itu. Dia melambungkan Yoyonya tetapi Yoyo itu tidak tersambut, berguling di atas pentas sedang orang lain dapat mengayunkan Yoyo Cina ke kiri dan ke kanan dalam lingkungan yang besar sehingga kehebatannya ini mendapat tepuk dan sorak “woooo” yang mengiktiraf wibawanya dalam pemainan Yoyo Cina. Kini, badan lelaki yang berkaca mata hitam tebal itu tidak tahu hendak bergerak ke mana. Wajahnya kekal tenang, menahan kemaluan yang memerahi pipi, dihiasi senyum “alamak”. Dia tersenyum tegang dan kekok dengan kemesraan penuh, terpaksa mengangkat tangan lalu undur ke belakang pentas, mengakui kekalahannya.

            Kegagalan di pentas Yoyo Cina begitu biasa pada pemain-pemain Yoyo Cina. Seorang wanita Cina yang tinggi langsing badannya tidak sengaja menjatuhkan Yoyo Cinanya ketika memusingkan Yoyonya. Apabila menyedari bahawa irama pantasnya terputus daripada irama pantas orang lain, dia lekas berhenti, berdiri tegak, mempamerkan wajah serius kepada khalayak lalu mengangkat tangan. Tangannya tegak dan yakindia langsung tidak malu akan kekalahannya. Dia terang menghantar mesej kekalahannya kepada khalayak dengan riak wajah seriusnya. Wajahnya berkata: “Minta maaf, aku telah kalah.” tanpa segan silu. Setelah itu, langkahnya tetap undur ke belakang pentas. Dia menganggap bahawa kegagalan itu begitu biasa dalam dunia perlumbaan yang sibuk ini lalu mencapai Yoyo Cina tambahan yang terbiar di atas pentas, meneruskan pemainan Yoyonya yang mencemaskan orang dan menuntut kemenangan. Dia tentu berasa malu dalam hatinya kerana gagal menyamai gaya orang lain yang tangkas dan sempurna itu.

            Inilah pentas Yoyo Cina. Pemain-pemain Yoyo masing-masing keras memberikan persembahan terbaik di hadapan khalayak. Mereka menggetarkan tangan yang kurus sehingga tersembul tulang untuk memusingkan Yoyo ke tahap paling laju dan Yoyo yang berputar ligat itu sedang sabar menunggu detik kecemerlangannya. Yoyo Cina yang sabar berputar ligat, laksana roda basikal yang tidak terlihat kekisinya kerana berputar terlalu laju, semakin menyerlahkan cahaya kegemilangan seterusnya dan apabila kesempatan yang paling sesuai itu sampai, Yoyo Cina terus melonjak tinggi ke puncak, mendepangkan tangan, mendakap setiap sorak dan jerit takjub yang menerpanya. Saat itu memerlahan pada mata penonton. Saat itu diabadikan oleh cahaya kamera dalam sejarah peradaban Cina.

            Namun begitu, saat seterusnya selepas saat puncak itu berlalu paling penting dalam suatu persembahan Yoyo Cina. Hati pemain Yoyo pasti berdebar-debar dan keyakinan yang merudum terpaksa dihelanya bersama nafas tatkala Yoyo Cina yang berputar pantas di udara kian mendarat. ‘Aku mesti menyambut Yoyo ini,' dia bertegas dalam hati. Kalau Yoyo itu tersambut, jerit takjub dan sorak menggetarkan kebanggaan dalam hatinya. Bagaimanakah keadaannya kalau Yoyo Cina itu gagal tersambut? Pasti malulah dia! Namun demikian, apatah dayanya? Manusia tidak sempurna, persembahan Yoyo Cina ini tidak tentu dan tidaklah Yoyo Cina itu dapat disambut setiap kali kerana manusia tidak sempurna sekalipun perlatihan berkali-kali diusahakan! Maka mereka terpaksa reda, tiada masa untuk membelai rasa gundah-gulana dalam hati. Mereka hanya perlu menghiris kehampaan, kemaluan dan kekesalan, meneruskan persembahan dengan mencapai Yoyo Cina yang lain, terus menggoyangkan tangan yang memegang kayu ke atas, ke bawah untuk memusingkan Yoyo yang dikawal tali yang berikat pada kayu itu sehingga bahawa saraf hijau menonjol pada tangannya, pada tepi dahinya pun tidak diendahkannya…

            Aku bersimpati terhadap mereka sebenarnya. Pemain-pemain Yoyo terlalu tertekan dalam hati dan hanya mengejar ketinggian pelambungan Yoyo Cina, ketangkasan, kemenangan, sorak dan nama baik sehingga mengabaikan tiga rasa yang paling penting dalam kehidupan yang manusiawi: kegembiraan, kemarahan dan kesedihan. Mereka telah dilatih menjadi robot yang keras menggenggam hatinya yang kian merudum sebagai akibat tidak tersambut Yoyo Cina yang telah dilambungkannya; mereka telah dilatih menjadi pelumba yang mengejar kepantasan, tidak berhenti-henti tangkas mengangkat dan menjatuhkan kedua-dua belah tangannya yang memegang kayu yang berikat tali yang mengawal Yoyo Cina ke atas dan ke bawah sekalipun tangan sudah letih, sudah menonjolkan saraf hijau sebagai tanda kerajinan yang melampau. Mereka juga terpaksa berlari, berlari dan terus berlari untuk menyamai irama pantas orang lain yang begitu berjaya pada mata penonton. Pemain Yoyo seperti akubekerja siang malam sehingga keletihan pun dibiasai dan perlu disuntik dengan semangat positif untuk terus berjuang; sehingga kesedihan dianggap kecacatan; sehingga kegembiraan dianggap melalaikan usaha…


            “Jom, kita pergi minum teh.” Ajakan aku ini pasti mengail air mata para pemain Yoyo Cina kerana mereka bagai tidak terminum air terjun bening yang terbentang di hadapan mereka ini.

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...