Friday, November 10, 2017

Soil Fun Run: Monolog Aku dengan Alam

     Salam sejahtera. Mudah-mudahan angin pagi menitipkan salam kekasih tercinta kepada anda.

     Izinkanlah aku tenggelam dalam dunia ciptaan yang serba indah ini dengan monolog sendiri. Aku terdengar nyanyi pokok, bisik angin; aku merasai perlindungan redup daun-daun yang besar terhadapku, seakan-akan ingin merangkulku, membuaiku dalam dunianya.

     Pada asalnya, ini persaingan yang patut mencemaskan sukma tetapi aku memutuskan untuk tidak menyusahkan hati yang mengingini kesenangan pada hari ini dalam perlumbaan yang mengakibatkan bahawa manusia mendambakan kecemerlangan fana ini sungguhpun usaha keras masih diperlukan supaya diri tidak menjadi malas dan undur dalam balutan kenegatifan. Terlalu indahlah daun-daun ini melambai perlahan sehingga terpaksalah aku meluangkan masa untuk leka dalam sirap mabuk ini.

     Aku leka dalam sirap mabuk alam yang melambai mengikut fitrah.

     Mula-mula, hatiku bagai disinari rahmat-Nya: seceria matahari. Aku merangkul semangat yang diperlapang oleh senyum yang sengaja aku ukirkan dengan harap bahawa senyum ini menjadi sedekah yang mampu menggembirakan setiap pelari yang bertembung mata dengan daku. Keceriaan aku disebabkan oleh keyakinan daku akan penjagaan-Nya. Walau bagaimanapun, di pertengahan jalan, semakin terasalah tersekatnya pancaran sinar hati yang ingin meneruskan perjuangan dan langkah yang pasti membawa kemanisan di akhir. Dalam kepayahan memajukan langkah, aku masih mendukung doa dan kepercayaan kepada-Nya. Aku percaya bahawa kepenatan ini hanya ujian kecil yang ditimpakan-Nya kepadaku supaya aku menentang kelekaan, menyemarakkan semangat ingin merangkul juara. Aku percaya bahawa Dia akan membawa aku ke hujung jalan: jalan kemenangan asalkan saya bertahan dan terus bertahan.

     Maka secara tidak sedar, memasuki taman yang ajaiblah aku. Di sana, aku meredah dedaun yang beristirahat, meredupkan sebahagian besar bumi. Maka terhiaslah bumi redup ini dengan gemerlap bayang celah daun yang berselang-seli. Dedaun redup menghantar isyarat indah yang hanya dipahami oleh manusia yang sanggup menghaluskan jiwanya, merendah diri kepada pohon bunga yang kerdil kewujudannya dalam pandangan manusia. Aku tidak sengaja melangkah dalam fantasi Alice in The Wonderland. Tidak tahulah aku di mana sekarang. Begitu merdulah bisik antara pokok; begitu inginlah aku berbisik kepada pokok-pokok beristirahat yang menunggu perbualan manusia dengannya; yang menunggu kesedaran manusia akan kewujudannya. Pepohon yang berbatangkan emas berlenggok ayu, melambaikan daun perak yang berkerlipan. Lambaiannya meniupkan ketenangan kepada jiwaku yang ingin disucikan dengan kuasa menyelinap dalam dunia alam untuk aku meniti perasaan mereka; mengintai dunia mereka yang penuh rahasianya. Sesalnya aku. Sesallah aku kerana hatiku dilapisi habuk dan kotoran keduniaan yang menghambat penghayatanku tentang alam. Alam juga hidupan seperti kita; ciptaan-Nya. Mengapakah kita tidak pernah mencuba memahami dunia pokok bunga? Mengapakah kita tidak pernah mencuba memedulikan lambaian ciptaan yang hidup itu?

     Senangnya air terjun yang menggelongsor melalui batu licin yang memantulkan cahaya matahari lalu terjun ke dalam takungan jernih, kembali ke tempat asalnya. Begitu rialah air terjun yang  menggelongsori batu, melompat ke dalam kolam. Tempat ini bagai taman surga yang ceria tiap-tiap hari tanpa bertamunya nestapa dan kerunsingan.

     Aku tergelak sendiri, amat ingin akan dunia yang mengizinkan aku beria-ria setiap hari juga tetapi masih tersimpanlah kesyukuran bahawa aku bertapak di dunia nyata ini dengan cabaran demi cabaran yang mematangkan daku.

     Beruntunglah aku pada hari ini kerana dapat berkawan dengan alam! Sungguhpun tidak mendapat salah satu tempat dalam sepuluh tempat, hasil yang kuperoleh melebihi nikmat nama dan usaha yang memaksa kita memerah keringat...

      Izinkanlah aku mengungkapkan keindahan alam dengan pantun berikut:
                                     
                                    Pohon pisang tumbuh di darat,
                                               Dipetik tuan dijadikan kesayangan;
                                    Indahnya pepohon mengelipkan isyarat,
                                               Lembutnya angin membuai bulan.

     Lupalah aku memberi tahu anda bahawa pantun ini kuperoleh inspirasinya daripada anak pokok pisang yang kudapat percuma daripada perlarian ini. Telah aku anak tirikanlah pokok pisang itu sebagai teman berbisikku pada kala malam yang merusuhkan jiwa yang, pada fitrahnya, ingin lena setiap malam.
   
     Aku leka dalam sirap mabuk alam yang melambai mengikut fitrah——sekali lagi.

     Begitu indahlah alam ciptaan-Nya; begitu ajaiblah cara bahawa Dia mengatur dan membentangkan alam ini untuk kita menikmati tanda-tanda keagungan-Nya.

    Perkawanilah alam kerana alam sanggup menjadi teman yang diam dan sabar mendengar segala luahanmu. Temankanlah alam dan Dia pada saat-saat kehampaan supaya anda memperoleh sehelai jiwa yang benar-benar mengerti keindahan di balik kota yang sibuk dengan kebisingan jentera dan paip ekzos yang mengamuk terus-menerus tanpa sasaran.

     Semoga aku ada peluang bermonolog lagi dengan pokok bunga dan alam yang terbentang saujana ini.

     Terima kasih juga kepada Seng Fa dan Badrul kerana dengan kehadiran mereka, hari aku lebih cerah. 



                                              Gambar 1: "Selamat datang ke Soil Fun Run!"

 
                                  Gambar 2: Muka aku paling gempak, macam badut McDonald!


                                                  Gambar 3: Dua orang insan biasa yang
                                                  berlagak segak dengan harap mendapat
                                                  jodoh pada hari ini
 



  

  

1 comment:

  1. Alamak, terleka aku dalam sirap mabuk nukilan Pui ��

    ReplyDelete

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...