Sunday, December 17, 2017

Kebahagiaan pada Subuh

     Bunyi penggera yang merundung mimpi tenang membingkaskan aku dari katil. Dalam kemamaian, aku ingat bahawa itu bunyi mimpi. Semasa melilau di keliling, aku mendapati bahawa hari masih gelap; langit masih menayangkan latar malam yang tenang. Lekaslah aku mensyukuri Tuhan kerana Dia membangunkan daku pada subuh. Aku meminta petunjuk dan rahmat-Nya dalam kemamaian yang sedang aku lawan dengan kesedaran. Udara segar subuh aku hirup. Aku percaya bahawa waktu ini waktu yang paling dirahmati Tuhan kerana hanya orang yang kuat rohani sahajalah yang sanggup bangun awal demi-Nya.

      Aku sedar pada waktu bahawa orang lain masih menyelinap dalam mimpi yang paling melenakannya. Tidak mudahlah aku melawan godaan tidur kembali sebagai akibat mengantuk. Sesudah berserah kepada-Nya, aku duduk di sofa yang dibahangi udara petang semalam sambil membaca buku. Angin kantuk semakin menekan rongga kepalaku; kelopak mataku semakin berat dan lena oleh baki mimi semalam. Rasa mengantuk itu bertambah tebal tatkala digoda oleh puputan angin subuh yang masih mentah benar. Aku hampir tidak tahan. Minda ini akan rebah dalam kekalahan nafsu tidur tidak lama lagi. Dalam beberapa hari pada waktu subuh, aku tertidur di atas sofa, seperti kura-kura yang melindungkan diri di dalam kerang sendiri. Aku mengakui kekalahan tersebut tetapi tetaplah aku berjuang bangun subuh setiap hari. 

         Selain membaca buku, aku mencuba menulis novel pada waktu subuh kerana aku percaya bahawa itu waktu yang didatangi bayu rahmat Allah yang paling segar. Namun demikian, beberapa kalilah aku sudah kalah akan kelemahan manusia: mendahagai perbuatan tidur ketika masa beristirahat badan tidak cukup dan perlu ditimbus segera. Aku putus asa menulis novel, menyerah kalah kepada kantuk lalu membuang diri ke sofa, memeluk diri dengan tangan dan kaki yang telah dikecutkan, menenggelamkan jiwa dan raga dalam keempukan sofa untuk merasai hikmah subuh. Aku memberikan kelonggaran kepada sendiri supaya aku tidak terlalu tertekan oleh azam kuat bahawa aku harus bekerja keras pada setiap subuh. 'Tidurlah sekarang; hari ini kecualian. Esok barulah berjuang lagi/pagi nanti baru meneruskan perjuangan,' aku memujuk diri.

            Sungguhpun subuh begitu mengantukkan daku, aku merasakan bahawa kebangunan subuh itu kebahagiaan. Aku mengecap kebahagiaan pada waktu subuh. Apakah kebahagiaan itu? Selepas bangun subuh, jiwa dipenuhi kepuasan kerana aku merasakan bahawa aku insan hebat yang memenuhi cita-cita penulisan dengan bekerja keras pada waktu bahawa orang masih tidak sanggup bangun lagi. Ini kekuatan batinku yang luar biasa. Setelah menulis novel sambil diganggu kantuk bayu subuh, aku lekas mengganjari diri dengan membenarkan diri tidur semula pada masa menyingsingnya fajar. Perasaan itu sungguh bahagia dan tenang. Aku dibaluti kebahagiaan itu ketika membalut tubuh sendiri dengan mengecutkan kaki dan tangan, bak ular yang membalut tubuh sendiri semasa tidur. Kebahagiaan itu sungguh menenangkan dan melenakan hati yang gelisah akan masa depan kerana selepas berusaha, akhirnya aku mendapat ganjaran tidur dan selepas bangun, aku berpeluang terus berjuang untuk cita-cita penulisanku lagi. Ketiduran kembali pada kala menyingsingnya fajar itu ganjaran untuk aku yang mencelikkan mata pada subuh yang paling melenakan orang. Pada kala itu, kabus dan bayu lembut yang berlegar di ruang gelita subuh menghimbau kemamaian kembali.

             Setiap hari, aku terpaksa menghadapi ketidaktentuan yang amat menggelisahkan hati. Hampir setiap pagilah mak akan membawa aku berlatih memandu kereta tepat pada pukul 7.00 pagi. Ibu akan bangun tepat pada pukul 6.45 pagi dan bermain telefon pintar untuk menunggu sampainya masa 7.00 pagi. Pada waktu penungguan itu, mengerumuni ibulah semacam 'aura pembunuhan'. Aku berasa sungguh gelisah akan 'aura pembunuhan' itu kerana 'aura pembunuhan' ibu seakan-akan memaksa aku memandu kereta dalam keadaan bingung yang kesudahan tiada terjangka. Memanglah pemanduan tidak terjangka! Pemanduan itu berpaksikan kebijaksanaan dan kelincahan bertindak balas kepada suasana semasa; putusan pemanduan itu suratan Allah——aku memahami hakikat ini tetapi hatiku masih takut. Jadi, untuk mengusir ketakutan itu, aku bersarang di sofa pada pukul 6.45 pagi sekejap. Ketenangan luar biasa kuperoleh selepas aku mengembara dalam mimpi bawah kesedaran. Setelah bangun, barulah aku menggagahkan jiwa yang masih rapuh untuk menghadapi kebimbangan pemanduan (aku bukan pemandu yang hebat). Sekurang-kurangnya, mimpi ini mampu menjadi persinggahan sementara untuk aku menghadapi kegelisahan masa hadapan yang tidak terduga.

            Bangunnya aku pada subuh memberikan nikmat yang tidak terkata. Nikmat itu hanya bertamu dalam kamar hati yang kecil sahaja; tidak sebesar nikmat berjaya membeli rumah besar. Sungguhpun kecil, nikmat itu cukup mensyukurkan jiwa yang hanya mengemis waktu istirahat yang singkat untuk perjuangan masa hadapan yang lebih panjang.

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...