Tuesday, November 27, 2018

Satu Peringatan yang Indah

Aku masih ingat tentang satu peristiwa yang menghantuk kesedaran semua orang. Pada waktu dahulu, seorang kawan aku masuk ke rumah sakit kerana disahkan adanya ketumbuhan barah di dalam otak. Semua orang terkilan; tidak mampu mengatakan apa-apa. Ada yang meluru ke luar bilik kuliah untuk melepaskan air mata ketika menyambut berita WhatsApp tersebut; ada yang mengumat-ngamitkan doa sambil matanya bengkak merah sambil mengalirkan air mata; ada yang mengumpulkan kawan-kawannya untuk menulis doa kepada kawan daku itu dalam laman sesawang; ada yang terdiam sahaja, menahan gelora yang menghempaskan kepiluan bertalu-talu dalam laut hatinya. 

     Itulah kebesaran Allah. Itulah ketentuan-Nya. Tiada seorang pun yang dapat mengubah hakikat ini, hatta orang yang paling sombong yang mengakui bahawa diri berkuasa.

     Ajaibnya: langsung tidak terlukis awan mendung pada wajah kawan aku itu. Dia menghadapi semua orang dengan senyum simpul sahaja. Bersimpul kakilah ia di atas katil sambil mengedipkan mata dengan comelnya lalu ceria berkata: "Aku tak ada apa-apa, insya-Allah, akan sembuh cepat, jangan risau you ooools!" Kemudian, ia memeluk kawan rapatnya. Kawan rapatnya itu mengedutkan dahi sambil tersenyum semasa dipeluk; kedut dahinya itu hampir meramas air mata kerana dia terlalu kasihan akan nasib malang yang menimpa kawanku tiba-tiba. Kawanku itu macam sihat sahaja; yang berbeda hanya bibirnya yang sudah pucat dan wajahnya yang terlalu lesu untuk tersenyum. 

     Barah; barah, tahu! Itu bukan penyakit biasa-biasa. Itu penyakit yang memang akan menyeksa seseorang hingga tempoh mautnya jika sampai ke tahap keempat. Tetapi, luar biasalah semangat kawanku ini. Sampai waktu pembedahan, kawan daku yang sakit itu masih percaya kepada Allah. Tiada satu rungutan pun yang keluar dari mulutnya. Ceria sahajalah dia bagai purnama empat belas yang tergantung di langit malam di luar rumah sakitnya. Lidahnya dibasahi puji-pujian kepada Allah. Sekalipun seluruh nadi badannya terloncat-loncat gelisah sepanjang malam, alhamdulillah, dia berjaya mengharungi pembedahan dengan lancarnya; dia berjaya mengusir ketakutan dengan bertasbih kepada-Nya setiap saat dalam keadaan sedar semasa tempurung kepalanya dikerat terbuka dengan pisau yang tirus dan tajam. Sewaktu kepalanya sudah terdedah kepada udara, debu dan kuman, ketumbuhan itu pun dicabut dan dipotong oleh para doktor yang cekap dan tangkas. Bayangkanlah ketakutan yang amat sangat itu! Kalau ubat bius tiba-tiba hilang, betapa seksanya kesakitan yang hanya dapat diredakan dengan dia meronta sekuat-kuat hati...

     Dan, itulah perkara yang paling indah tentang Islam: iman; semata-mata iman.

   "Benarlah, dia insan pilihan-Nya. Sampai bilakah kita melupai Allah jika tidak diuji begitu? Entahkan esok, entahkan lusa nyawa kita sampai ke noktah, tetapi kita tidak bersedia. Sesungguhnya, Allah menguji kita untuk memudahkan kita ingat tentang-Nya." Saya terbaca pesan ini yang ditinggalkan oleh seorang kawan kepada kawan daku itu dalam Facebook.

     Allahuakbar. Betapa murninya, betapa sucinya dan betapa luhurnya niat orang Islam semasa mereka menghadapi penyakit berat yang ditimpakan-Nya. Biarpun bibir sudah pucat, wajah sudah kehilangan seri dan semangat untuk melukis riak, kawan aku itu masih memercayai adanya hikmah di balik bencana yang berat itu.

     Benarlah, Allah Maha Penyayang. Setiap ujian yang ditimpakan menyimpan hikmah yang terbaik untuk seseorang. Kita lemah. Kelaparan dan kedahagaan sahaja mampu membunuh kita. Kita memerlukan air, memerlukan makanan, memerlukan udara...dan segala-galanya itu anugerah Allah: kalau ditiadakan segala anugerah itu, kita mati juga. Untuk apakah kita sombong?

     Dan akhirnya, dia menahan kederitaan dengan cahaya iman sebagai suluh kekelaman hati sehingga sembuh. Alhamdulillah. Bukankah itu keistimewaan Islam: memandang segala peristiwa dengan kaca mata positif?


Thursday, November 22, 2018

Terakamnya Babak yang Membahagiakan

Pada 17 November 2018, hari Jumaat, terakamlah babak yang membahagiakan daku. Sekalipun menjadi pemerhati gelagat nakal mereka, aku tersenyum lega dan syukur. 

     Sudah setahun setengah kami bersama. Berbagai-bagai peristiwa suka duka, manis pahit, dengki-mendengki, salah-menyalahkan telah kami lalui. Kini, sekelip kenangan manis dirakamkan dengan kamera benak. Moga-moga kami sentiasa berpimpin tangan, melalui hujan dan ribut seperti saat ini...

     Alhamdulillah, Faal sanggup menjemput aku ke tempat makan hot pot. Kami bercadang mencelup sup periuk dengan sosej, daging dan kerang pada malam ini. Pertemuan malam ini diadakan untuk kami meraikan tamatnya penggal ketiga kumpulan C10. Di dalam kereta, Faal, seperti hari-hari biasa, menusuk telinga kami dengan suara nyaringnya apabila Ezzy mengusiknya. Dia selalu berteriak kelam-kabut macam ini; butir-butir perkataannya akan menjadi tidak keruan kerana terlalu cepat ditembakkan. Yusra juga, seperti tabiat biasanya, bahunya terenjut-enjut kerana berasa terhibur mendengar amukan Faal yang kelam-kabut.

     Faal ini, sebenarnya, jika diamati perangainya, tidak kasar pun. Dia bagai buah kelapa: keras di luar, lembut di dalam. Dia suka berterus terang tentang perasaannya; bukan orang yang suka melapis kelemahannya. Mulutnya bagai senapang mesin apabila dia berkongsi ilmu agama atau pelakon lelaki Korea. Tampaklah kesungguhannya menyampaikan sesuatu yang berfaedah. Aku menggeleng sahaja sambil pecah ketawa ketika memperhatikan gelagat comelnya itu. Sekeras-kerasnya wanita, ada tompok lembut di dalam hatinya juga. 

     Di tapak hot pot yang hanya menuntut RM30 daripada kami, memang kecohlah meja aku kerana Nania ada di tepi. Kekecohan itu terjadi kerana aku tidak pandai memasak telur. Aku melontarkan telur itu ke dalam kuali di keliling periuk hot pot itu sehingga kuning telur itu sudah lari bentuknya. Nania mengedutkan muka sambil tertawa, bertanya: "Apa ni, Pui?" Tambahan pula, Nania memang takut kepada percikan minyak. Dia menjerit dan segera mengecutkan tangannya ke dadanya apabila kedengaran desis percikan minyak. 'Haih, dia memang tidak pernah masuk ke dapur!' aku berpikir. Semua orang memandangnya dan dia memalukan kami sahaja. Walaupun begitu, aku tidak kisah. Aku berasa seronok kerana melihat rupa kecut Nania. Dia sangat lurus. Haha. 

     "Awak ni tak pandai masaklah!" Nania terus merungut. Aku tersengih. 

    Di meja aku, anda juga dapat menyaksikan bahawa Aiman sedang mengejek Pipah. Aiman membeliakkan matanya, menuturkan satu per satu kata sindiran terhadap Pipah yang 'lemah' dengan bibir yang diketap-ketapkannya. Dengan nada pura-pura, Pipah bertanya: "Kenapa meja aku kotor eh? Kenapa awak buang semua sampah ke meja aku?" Aiman pula menjawab: "Meja hang ni memang layak dikotorkan dan hang memang sesuai untuk benda-benda kotor macam ni." Memang terus terpancut air liur kami ketika kami menyaksikan gelagat 'pasangan manis ' (mereka memang suka bertengkar tentang yang bukan-bukan) yang suka berpura-pura bertengkar itu. Pipah berdiam sahaja sambil tersenyum, menahan geramnya, walhal pada hari-hari biasa, dia akan terus meluahkan 'perkataan lembut yang palsu' untuk membidas Aiman. Aiman pula tampak serius apabila memarahi orang, sedangkan dia hanya berpura-pura garang. Setiap kali setelah dia mencela orang, dia pasti terenjut-enjut bahunya dan ketawanya akan berterusan selama satu jam. Tambahan pula, matanya yang sentiasa ditemani gelang hitam itu mengkhianati kegarangannya yang dicuba ditonjolkannya sungguh-sungguh itu. 

     Yusra pemerhati yang paling setia. Dia menyandarkan dagunya pada tangan sambil mendengar bualan Pipah, Nania, Aiman. Yusra terkadang-kadang akan terus membeliakkan mata, mengangakan mulut, membuat muka pelik sambil mengatakan sesuatu jenaka lalu terkekeh-kekeh dan bahunya akan terenjut-enjut; seluruh badan kecilnya akan terenjut-enjut apabila dia berasa geli hati. Aku memperhatikan dia sahaja. Terbayanglah kelibat mulianya di dalam benakku. Dia sememangnya sahabat yang sangat bertimbang rasa. Bertuahlah Pipah, Nania, Ezzy, Faal kerana ada Yusra sebagai sahabat. Aku masih ingat tentang keadaan yang begitu meremukkan hati bahawa dia meluru ke luar bilik kuliah untuk menangis ketika mendapati bahawa Faal sudah memasuki rumah sakit. Pada masa itu, hatiku berkerunyut seperti kertas yang direnyukkan. Aku seolah-olah dapat merasai perasaan kaca terhempas ke batu itu.

     Aku juga terbayang bahawa saudara yang mulia ini pernah sabar memimpinku mengenal agama Islam. Dengan air muka yang tenang, dia menjelaskan keislaman kepadaku biarpun aku melontarkan pelbagai soal KBAT. Dialah teman istimewa yang menemani aku mendaki bukit, menuruni lurah pada saat-saat genting ketika pengislamanku hampir bocor. Alhamdulillah. Allah perancang yang Maha Bijaksana. Rancangan-Nya sentiasa sempurna.

     Meja lelaki senyap sahaja. Badrul Amin sebelah tangannya memegang telefon pintar yang menyiarkan perlawanan bola sepak, sebelah tangannya menyuap mulut. Badrul Naim pula beralih tempat ke tempat perempuan, berbual dengan Kuzek. Amirul pula senyap menjamu selera sambil membaca Instragram (Instagram teman wanitanya? Oops!). Said yang berbadan besar itu tidak berhent-henti menaruh daging, kerang di atas kuali. Kuali berdesis; asap tipis naik berkepul-kepul. Amirul menyertai pesta itu, turut menaruh daging dan kerang. Mereka memang pandai makan hot pot! Aku tidak mampu. Aku sudah muak! 

     Akhirnya, kami bergambar di hadapan kedai makan. Yang melucukan kami bahawa Aiman (rasanya, atau Nania?) memanggil pelayan sebagai "abang" terus supaya pelayan itu menolong kami menangkap gambar, tambahan lagi pelayan itu berbangsa Bangladesh (rasanya) dan kurang memahami bahasa kami. Selepas itu, terakamlah babak C10 yang amat membahagiakan orang.

     Alhamdulillah, pertemuan ini bukan kebetulan seperti perkataan Ebit Liew. Kami dipertemukan oleh Allah di tempat itu, pada masa itu, dengan kemesraan begitu dengan kesempatan yang sesuai. Aku bersyukur kepada Allah atas kebahagiaan yang dienugerahkan-Nya dan sungguh berasa bahagia menjadi sebahagian daripada keluarga ini. 14 ragam tersendiri telah melengkapi susun suai gambar pertemuan malam ini. Ah, akan kutiliklah kalian dengan pandangan mesra; akan kuterimalah kalian dengan pelukan terbuka. Mudah-mudahan hubungan kami terus laksana kuih muaci sampai penggal kelapan, insya-Allah!




     

Tuesday, November 13, 2018

Hidup Saling Bergantung

     Alhamdulillah, dengan berkat-Nya, aku dapat duduk semula di hadapan komputer riba untuk mengetik karangan peribadi ini. Rindu benar aku akan bunyi padat papan kekunci yang diketik: kalau satu hari aku tidak menulis, memang aku akan merasai sirnanya kekuatan kuasa menulis yang menyangga jiwaku sehingga jiwa merayau tanpa hala tuju. 

     Sebenarnya, diari ini sudah lama hendak aku siapkan. Kerana khuatir bahawa penulisan melalaikan daku akan tugas rasmi IPG, khuatir bahawa penulisan membazirkan masa mengulang kaji pelajaran dan mengerjakan amanah di IPG, aku mencari berbagai-bagai dalih untuk mengelakkan kerja yang tidak berfaedah ini. Tetapi, kalau tidak mengarang, aku mendapati bahawa aku kehilangan roh 'Pui Wen Hang' yang dapat menabur kata di langit senja, melakarkan kecintaan di atas pasir pantai. Aku akan kehilangan jati diri. Aku akan berasa kosong. Oleh itu, aku mengarang semula dan begitulah bunyi ceriteranya.

     Alkisah dulu, aku hendak berdikari dalam segala urusan kehidupan. Aku tidak hendak makan pandangan enteng orang lain; aku tidak hendak dibantah: noktah. Aku terlalu kerap telah dibasuh otak, dipaksa melakukan sesuatu yang tidak rela, seperti mencaci, dipaksa menjadi orang lain, ditekan oleh suasana sehingga terpaksa meniru langkah orang lain. Semua tekanan ini melenturkan acuan peribadi aku, menghilangkan tonggak prinsip yang paling penting yang membentuk acuan daku yang berdikari dan tabah. Aku berjalan ke Amjal sendiri, makan sendiri, membeli-belah sendiri, membeli makanan sendiri dan degil tidak menerima pertolongan orang lain menempah nasi untuk aku: perbuatan itu memalukan daku, seolah-olah aku kurang upaya. Tak payah!

     Aku akui bahawa kesombonganku melangit. Aura tegang itu berselisih bahu dengan orang lain setiap kali aku melewati mereka. Namun, setelah ditimpah kisah-kisah yang menundukkan daku kepada kuasa Yang Maha Esa, barulah aku malu kerana telah sombong selama ini. Baru kusedari bahawa aku tidak dapat membantu diri pun. Pada saat-saat susah itulah Allah menghantar sahabat untuk mengingatkan daku: aku tidak berseorangan dan jangan angkuh kerana pada saat-saat aku tumbang, orang yang kuangkuhilah yang akan membantu aku! 

     Aku masih ingat tentang malam itu. Aku tidak gerun langsung akan malam yang larut. Ingin aku siapkan buku log Bulan Sabit Merah atas kudrat sendiri sekalipun badanku ingin benar bergesel dengan katil, merasai kelenaan daripada bantal. Jia Wei memasuki bilik dan agak terperanjat ketika melihat bahawa aku masih menulis nota pada hari sebelum hari penghantaran buku log.

    "Cetaklah. Nah, buku log aku ada di sini, fotostat saja."

    Aku menggeleng sambil berterima kasih kepadanya.

  "Aiyo, engkau pasti perlukan buku log ni. Esok pulangkan kepada akulah." Aku membiarkan bahawa buku lognya terlantar di atas mesin pencetak hijauku sambil terus rajin menyalin nota daripada internet dengan tangan. Tidak akan sesekalilah aku meniru cara orang lain. Aku ada maruah. 

     Sampai pukul 4.00 pagi, naluri memberitahuku bahawa aku memang sudah tidak sempat menyiapkan keseluruhan nota buku log kalau terus berdegil begini. Bukankah pencetakan mempercepat kerja? Akhirnya, aku mengalah. Aku mengalah dan rebah dalam kelesuan jiwa dan raga. Terima kasih Jia Wei. Tetapi, aku tidak menyalin notanya, sebaliknya mencontoh caranya: mencetak nota. Argh, terasalah bahawa egoku ditewaskan, ditindas, dipijak-pijak begitu hina oleh kawanku yang awal menyiapkan buku log! Aku tidak reda, namun mesti menundukkan kepala kepada caranya juga kerana ini jalan terakhir! Aku mencetak nota terus daripada internet. Itu pun tidak mencukupi masaku menyiapkan buku log. Sampai pukul 7.00 pagi, aku masih mencetak nota. 

     Lamalah aku berdiam. Lamalah aku bertafakur sendirian dengan pandangan yang sayu dan hampa, Rupa-rupanya, kadang-kadang kita ingin bertabah, ingin kuat, tetapi Allah tidak mengizinkan kita. Maka kita kalahlah dengan sekalah-kalahnya, kalah kepada cara orang lain; hina sehina-hinanya, terpaksa tunduk kepada takdir-Nya. 

     Aku masih ingat tentang detik-detik yang mencemaskan daku sewaktu ujian menyimpulkan tali kian tiba. Kami berkhemah di Hutan Ulu Bendul, Negeri Sembilan pada masa itu untuk memenuhi kerja kursus Unit Beruniform. Ujian dijalankan pada waktu malam. Simpul manuk, ikatan balak, ikatan suraya...hanya pandai bermain di dalam kepalaku, tetapi tidak pandai diterjemahkan melalui tangan! Kegelisahan itu bukan kegerunanku yang paling mendahsyatkan daku. Sewaktu kembali ke khemah untuk mencari tali, aku mendapati bahawa taliku telah hilang!

     'Bertenang, bertenang.' Aku tidak gelisah kerana yakin akan rahmat dan kasih sayang Allah. Semua ini berlaku dengan hikmah. Hatiku tenang; lakuku hemat dan tangkas mencari tali yang hilang. Namun demikian, meski sudah beberapa kali berulang-alik dari dewan ujian ke khemah untuk membelek beg plastik dan mencari tali, aku masih tidak mengesan kewujudan tali itu. Aku bermula gelisah. Hatiku bermula bergoncang. Walaupun Allah merahmati aku, aku tahu bahawa aku masih perlu menaruh usaha untuk mencari tali itu semula. Allah tidak akan membantu seseorang jika seseorang itu tidak bergerak. Hal itu berlaku kerana kecuaianku dan Allah menghendaki aku bertanggungjawab. Aku masih tidak percaya. Sekalipun urat hijau sudah timbul pada tangan, aku masih rajin membelek setiap sudut beg plastik itu untuk memastikan bahawa taliku benar-benar hilang.

     Matilah, matilah. Aku ingat bahawa aku memang akan mendapat 0 dalam ujian mengikatkan tali itu. Reda sahajalah aku kepada-Mu, ya Allah. 

     Tetapi, rupa-rupanya tidak. Allah telah menghantar Amir untuk dia membantuku. 

   "Kenapa serabut sangat?" Amir yang melewatiku pada malam itu bertanya. 

   "Aku kehilangan tali," aku mencuba menenangkan suaraku, tetapi suaraku jelas tertekan oleh musibah yang besar. 

   "Alah...ambillah tali aku ni. Aku tak guna malam ni. Ujianku masa lain," Amir terus menghulurkan tali dengan wajah yang tenang dan endah tak endah. Pada malam itu, air mata kesyukuranku memang hendak menitis. Amir Syazwan yang kupandang rendah, yang selalu bersikap acuh tak acuhnya akan pelajaran, berbaring dan terlantar pada kerusi begitu sahaja pada tiap-tiap waktu kuliah; yang malas ingin membuka mulut, malas ingin memedulikan kuliah ganti dan hanya ingin tidur sepanjang hari itu, dengan murah hatinya, meminjamiku tali pada waktu aku leta dan susah! Ya Allah, betapa sombongnya aku akannya pada waktu dahulu sehingga berbagai-bagai sangka buruk tentangnya berkeliling dan meracuni pikiranku. Maka sejak hari itu, aku tidak berani memandang rendah orang lain. Mana tahu orang itulah yang kita perlukan pertolongannya ketika kita terpalit oleh kesusahan?

     Dari hari itu, aku selalu tersenyum sambil menundukkan kepalanya sedikit, menyapanya: "Amir." Aku tidak akan lupa bahawa orang yang kusangka teruk itu orang yang berjasa kepada aku yang hina kerana disesakkan angin sombong. Astaghfirullahalazim.

     Seorang yang berjasa kepadaku lagi Nabil Azfar. Hatiku sejuk ketika aku mengenang budiman itu. Orangnya begini: selalu hadir ke surau 10 minit sebelum azan dilaungkan; selalu mengedutkan dahi sambil menadah tangan, mengumat-ngamitkan sesuatu setelah bersolat, seakan-akan ada dosa yang besar yang diminta diampunkan; selalu bersendiri membaca al-Quran di surau; selalu memuat naik keagamaan dalam story sehingga semasa bercakap pun, dia tersenyum santun sambil bersuara rendah. Dia lain daripada yang lain sehingga Yusra yang sejawat dengannya sebagai Setiausaha Kelab Rakan Islah pun perasan dan dengan terharunya, dia bertanya: "Kenapa dia baik sangat?"

     Aku paling susah hendak menguasai kemahiran menyimpulkan tali. Pada malam ujian pada minggu perkhemahan unit beruniform, aku bercadang menangguk di air keruh, berpura-pura ahli mengikatkan tali semasa orang lain sedang sibuk mengikatkan tali juga. Namun begitu, Cik Asiah dapat mengesan bahawa aku lembap dalam hal mengikatkan tali lalu  menyuruh orang membantu aku.

     Mula-mula, aku memang tidak mahu bahawa orang membantu aku. Cukuplah aku dan Allah sebagai penolong. Tidak disangka bahawa setelah membelitkan tali berkali-kali, simpul dan ikatanku masih gagal. Maka, Nabil Azfar menghulurkan tangan. Dia sanggup mengorbankan kesibukan mengikatkan tali yang sempurna. Pada masa itu, aku memang terharu. Orang lain berkedut dahi, sibuk mengejar masa untuk lekas menyempurnakan ikatan dan simpul supaya mereka dapat menjulang tali yang sempurna berkilauan itu untuk pengaguman Cik Asiah. Nabil tidak. Dia sanggup memerlahankan langkah untukku; mengajarku cara mengikatkan tali yang betul. Sebagai akibat, penyimpulannya cacat tetapi dia hanya tersenyum apabila melihat kecacatan itu. Dia hanya menggaru kepala apabila Cik Asiah mengatakan bahawa simpulnya tidak kemas. Ya Allah, menyesalnya aku...menyusahkan orang saja aku. Pada masa itu, aku memang hendak mengorek tanah untuk menyembunyikan muka yang tidak tahu malu itu. Ahli surga; ahli surga di dunia, ya Allah!

     Kerana dia, ujian aku lulus. Aku dapat menangguk di air keruh namun aku kesal akan diri. Sampai sekarang, aku masih tidak dapat menghafal pengikatan tali. Aku juga malu kerana tidak menyantuni Nabil dulu. Tentu aku akan ingat menyapanya setiap kali menemuinya nanti. Dia orang yang berjasa besar kepadaku.

     Ada satu kisah lagi: kisah ada kasih yang bermuara di celah keruntuhan kota jiwa; ada kesayangan yang terselit di celah lalu-lalang manusia yang sibuk. Selepas minggu perkhemahan unit beruniform, kita sibuk dengan buku log: masing-masing sanggup bersengkang mata pada waktu malam, membiarkan bertaburannya kertas di atas lantai simen asrama; menggunting kertas dari 12.00 tengah malam sampai waktu azan subuh berkumandang. Di celah detik-detik yang merebahkan jiwa raga ini, aku menyaksikan bahawa Yusra sanggup menemani Kuzek ke Kowaris untuk membeli kertas balut untuk buku log. Yusra juga berjanji bahawa dia akan menemani Kuzek menghabiskan buku log pada malam itu juga, padahal dia juga sibuk dengan kerja kursus dan buku log! Ah, betapa murninya kasih persahabatan mereka, seperti pantun berikut:

    Malam-malam dingin rawan,
                     Bertiup pawana menggeletar badan;
Malam kelam ada teman, 
             Kasihnya setia tiada padan. 

     Ada daun kuning yang gugur ke atas tanah kering; ada kasih bening yang gugur di kota gering! Sekuat-kuatnya manusia, apabila tiba malam, jiwanya tetap merintih mencari seorang teman. Benarlah perkataan Hamka dalam buku Lembaga Hidup

"Sehingga seorang peneliti atau ilmuwan yang beroleh pendapat baru, tidaklah dia mendapatnya semata-mata daripada pencariannya sendiri, tetapi sebelumnya dia menyelidiki pendapat ilmuwan lain yang terdahulu, lalu dipersambungkannya dan dikiaskannya yang dibuatnya sekarang pada yang dibuat perdahulunya." - m/s 6

"...kerana tiap-tiap manusia itu tidak mampu hidup sendiri. Orang yang hendak hidup sendiri, ertinya ialah hendak membunuh dirinya." - m/s 9


     Tampaknya, aku tidak patut berdegil lagi. Sudah sampailah masa untuk aku membuka tangan, mengalu-alukan orang lain ke dalam duniaku. Kerana jasa budiman-budiman itu, banyak kejayaan yang telah saya kecap. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkah; kecil bakat kepandaian, pantun saya hadiahkan:

Hijau muda buah mempelam, 
              Tumbuh tinggi di atas bumbung;
   Tuan cahaya menyorot malam, 
         Budi tinggi hendak disanjung. 
     

Saturday, October 20, 2018

Gambaran dan Coretan Perasaan Sejenak Pesta-I 12.10.2018 (Jumaat)

Di sungai seekor burung pekaka,
   Bertenggek-tenggek menangkap ikan;
Ini padang kita bersua suka,
   Mencatat kenangan sesama taulan. 

Menjajar air di jalan raya,
   Penawar haus cuaca panas;
Ini pasar menjual kata, 
   Tidak kira dendam lepas.

Tepi telaga dara dipikat, 
   Duduk di bangku bercumbu-cumbuan;
Manusia harus bertopeng malaikat, 
   Demi menimba untung lumayan. 

Dalam keluarga ada nakalnya,
   Mengapa masih dibela manja;
Dalam lagu ada riangnya,
   Mengapa masih berair mata?

Sebuah bangunan megah terbina,
   Roboh kerana rangka yang semu;
Terlalu mencari sisi sempurna, 
   Sahabat sejati tidak ketemu. 
   

Wednesday, October 17, 2018

Persahabatan yang Tiada Galang Ganti

     Semanis kenangan terukir senyuman. Alangkah indahnya bayangan cogan kata yang menjadi tema Makan Malam Perdana tahun 2018 yang bertemakan taman itu.

     Sesungguhnya, aku berjaya melakarkan kenangan indah pada malam ini. Di antara laut manusia, aku mencari beberapa orang sahabat sejati dan bergambar bersama mereka. Aku ingin mengabadikan pengalaman suka duka bersama mereka dalam gambar.

     Senangnya hati aku apabila meniatkan perkawanan dengan siapa-siapa sahaja. Tiada musuh; tiada teman istimewa. Semua orang setara. Yang mengisi hati hanya air terjun kegembiraan yang mengalir dari puncak keikhlasan. Falsafah Yusra ini memang betul. Asalkan kita berniat baik, bersangka baik, sesiapa dalam majlis Makan Malam Perdana ini dapat dirangkul sebagai sahabat.

     Aku tidak perlu memedulikan sensitiviti antara lelaki dengan perempuan, apatah lagi fitnah yang akan dilontarkan oleh orang yang tidak mengenalku ketika aku berdua-duaan dengan perempuan. Aku mencari perempuan yang kusukai sebagai sahabat lalu bergambar dengannya: mudah. Aku tidak mengambil kesempatan kerana aku hanya ingin mencari keikhlasan. Beberapa orang kawan perempuan yang agak akrab dengan daku Atihra, Arifah (baru berkenalan), Kak Pavi, Hijanah dan Yusra. Aku bergambar sahaja dengan mereka: baik dengan kawan mereka atau berdua-duaan dengan kawan perempuan tersebut. Pada pandanganku, mereka hanya kawan yang senang aku gauli. Tiada maksud lain. Aku senang bersembang dengan mereka sehingga tidak takut berjenaka.

     Yusra—alangkah anehnya persahabatan kami. Kawan akrab bukan; orang asing bukan; jauh lagi kekasih! Kami hanya kawan yang belajar bersama di Perkim. Jarang-jarang kami berjalan bersama, bersembang bersama, jadi tidak dapat dikira kawan rapat. Kami sering bersembang tentang penulisan dan agama dalam WhatsApp pula, jadi tidak dikira orang asing. Apakah hubungan kita? Kawan biasa yang sama-sama memburu ilmu. Namun begitu, aku tahu bahawa persahabatan daku dengan dia tiada galang ganti di dalam hatiku. Ya. Telah aku menangkap gambar Makan Malam Perdana yang ketiga dengannya. Setiap kali Makan Malam Perdana, Yusra pasti tidak melepaskan peluang bergambar dengan daku. Aku sangat suka bahawa dia menghargaiku sebagai kawan. Inginlah aku berkawan dengannya sepuluh tahun lagi. Semoga kita dapat menangkap gambar Makan Malam Perdana pada tahun depan lagi. Insya-Allah!

     Semanis kenangan, terukir senyuman. Mudah-mudahan senyum sahabatku sentiasa abadi dalam gambar malah antara asam garam kehidupan!

Tuesday, October 16, 2018

Penyeri Kehidupan

     Pada asalnya, hati bergelumang dengan noda; pada asalnya, hati berlindung bawah cahaya suram. Hati ini asyik mempersalahkan diri yang tidak berguna. Sudahlah aku tidak tahu menghias sudut bergambar, inikan pula memotong acuan bunga. Oleh itu, sepanjang Shahrol sedang mengarahkan orang menghias sudut bergambar dan meminta pendapat mereka, aku merayau ke sana sini atau berdiam sahaja semasa Shahrol bertanya. Aku berasa sangat tidak berguna. Aku bukan guru yang serba boleh dan aku sungguh merasai kekurangan sendiri itu walhal guru harus memiliki sifat kreatif.

     Hatiku memang bergelumang dengan noda dan kekelaman. Aku melayan kebosanan sendiri sebagai akibat tidak dilayan oleh orang lain. Namun begitu, dua orang kawan menjadi penyeri kehidupan.

     "Abang Pui, tak ada kerja? Mari duduk, bantu kami memotong bunga."

     Atihra perempuan yang bercakap seperti lelaki yang sasa. Gaya berjalannya pun seperti Hudaina: gaya lelaki sasa. Dia sangat pandai bergurau dan tergelak. Ada-ada sahaja perkara yang ingin ditanyakannya, seperti petua saya menjadi dekan (sedangkan saya bukan), petua menulis cerpen yang baik, adakah kemasukan ke IPG itu atas paksaan atau kerelaan. Tidak pernah lekanglah air liur bualan di dalam mulutnya. Atihra mengingatkan saya tentang Hudaina. Sesungguhnya, dia kawan yang sangat mesra dan senang didekati.

     Arifah pula perempuan yang manis apabila tersenyum. Yang istimewa tentang dia bakat menulisnya. Ia mendapat naib johan dalam pertandingan cerpen hari kemerdekaan di IPG Kampus Bahasa Melayu yang bertemakan "Aku dan KBM". Bukan kepalang orangnya dia. Arifah juga sangat mesra kerana selalu tersenyum. Dia juga lemah lembut ketika bertutur, umpama wanita Melayu dahulu. Sangat gembira saya berkenalan dengannya. 

     Terima kasih, Atihra dan Arifah kerana bersembang dengan daku. Sekurang-kurangnya, dengan kehadiran mereka, aku masih merasai nilaiku sebagai manusia di Dewan Aminuddin Baki ini. 

Tuesday, October 9, 2018

Wanita Besi yang Memperjuangkan Cita-citanya

     Terpegun daku. Terpegun.

     Insan di hadapanku: Datin Mastura pernah hamil sambil belajar; hamil sambil berulang-alik dari menara tempat belajarnya ke asramanya!

     Aku tidak dapat membayangkan betapa susahnya seseorang mengandung sambil belajar. Sudahlah aku mengalami tekanan darah tinggi ketika menyalakan dian malam untuk menyiapkan kerja kursus, inikan pula seorang bakal ibu yang sedang mengandung? Bahang peluh, darah tinggi, kesesakan nafas yang dialami oleh Datin Mastura untuk beliau mengejar tempoh penyerahan kerja kursus semasa beliau mengandung...tidak terjangkau! Beliau menambahkan bahawa beliau sentiasa berjuang untuk menghantar kerja kursus lima hari sebelum tarikh penyerahan!

     Datin Mastura menceritakan bahawa setelah melahirkan anak, kerja pertama yang dilakukannya selepas kuliah tamat bukan tidur di asrama; bukan keluar ke MidValley tetapi mendapatkan anaknya. Beliau melarat sehingga membawa anaknya ke kuliah untuk belajar bersama-sama. Ibu muda ini harus menyusu anak sambil menelaah pelajaran. Takdir tidak memberikan pilihannya kepadanya. Ujian ini bukan tekanan pada pandangannya tetapi telah mencekalkan perjalanan kehidupan beliau sebagai guru yang bertanggungjawab dan berusaha.

     Ah, lihatlah sinar jayanya pada hari ini! Datin Mastura telah berjaya duduk di takhta Ketua Jabatan Pengajian Melayu. Kagumnya aku apabila meneliti wanita yang penuh dengan kisah peluh dan air mata di balik sikapnya yang melucukan kami itu.

     Kehidupan setiap hari Datin Mastura di kampusnya menaip kerja kursus. Datin berjuang untuk menyiapkan kerja kursus. "Jika dibandingkan dengan saya, kamu pun dah dikira senang kehidupannya," Datin Mastura mencebik terhadap kami. Kami pula? Kami mudah merungut, mudah mempersalahkan pensyarah dan mudah merintih pada tengah malam kerana kepenatan. Bagaimanakah Datin? Datin keras kepala ingin menyempurnakan amanahnya juga. Beliau sememangnya mempunyai puncak kecekalan yang tidak mampu kucontoh. Tiba-tiba, aku berasa hina di hadapannya. Aku ingin berubah dan meneladan beliau.

     Biarpun lelah dan tepu menaip kerja kursus setiap hari, menurut Datin Mastura, beliau sangat gembira menjalankan tugasnya, tambahan pula beliau suka mencabar diri melakukan yang mustahil. Kalau menerbitkan buku, beliau ingin menerbitkan buku ke peringkat antarabangsa. Peringkat kebangsaan tidak dipandang beliau kerana buku peringkat negara terlalu biasa, terlalu remeh. Datin Mastura juga mengatakan bahawa beliau hendak memperjuangkan sesuatu yang mustahil pada usia muda seperti kami ini.

     "Apa yang awak semua buat pada usia ini? Tahu berbaring di asrama sahaja, bermain telefon, relaks sahaja dan merungut," Datin Mastura menghantuk kami sekali lagi sementara memarahi Rancangan Pelajaran Harian kami yang teruk dan dibuat sambalewa.

     Aku malu. Bungkam aku sepanjang syarahan Datin Mastura. Kepalaku semakin tunduk, seiring dengan kesesalan. Aku tidak patut mudah mengalah. Aku tidak patut senang-lenang di katil sehingga menulis kerja kursus pada saat akhir. Aku tidak patut ada sikap mengambil mudah akan kerja kursus! Menyesal sungguhlah aku. Aku hendak berubah. Aku hendak menjadi Datin Mastura: tidak memberikan alasan untuk kepenatan!


   

Saturday, September 8, 2018

Menungan demi Menungan yang Mengebaskan Rasa...

     Sejak bilakah saya kehilangan minat mengajar; termenung tanpa makna kehidupan di hadapan semangkuk kuah cendawan yang saya minum sambil memikirkan tugas-tugas yang menerawang bertaburan di bimasakti fikiran? Saya memburu kehidupan tanpa rehat, mengulang rutin menghadap komputer yang sama setiap malam.

     Aku bermula memperhentikan langkah. Langkah yang berulang-ulang kumajukan ini kian mengaburkan pemandangan di tepi jalan yang kulewati. Aku kadang-kadang melangkah terlalu pantas dengan manik peluh gelisah sambil mendukung harap bahawa kesusahan menahan keadaan tercungap-cungap itu cepat selesai. Kerana itulah aku mengabaikan pemandangan tasik yang indah, yang sesekali berkocak oleh singgungan kaki bangau merah jambu. Terlalu gelisahlah aku memikirkan kerja yang bakal saya hadapi dalam masa yang panjang ketika mencuci baju; terlalu gelisahlah aku memikirkan kegiatan merentas desa untuk kerja kursus baharu yang bakal saya rintis esok...

     Rupa-rupanya, aku tiada masa memikirkan minat aku, impian aku dan segala yang ideal yang meromantikkan dan memenuhi rohani aku—secara pokoknya, saya tidak pernah meluangkan masa peribadi untuk diri sendiri bagi melayan mekarnya dan gugurnya bunga-bunga idealisme yang cukup membahagiakan rohani. Hati aku semakin kekosongan falsafah; hanya diisi dengan kegiatan amali yang tidak bersandar pada mana-mana falsafah yang idealis. Keadaan itu mengakibatkan bahawa aku menjadi jentera kehidupan yang hanya bergerak pantas demi perkesanan kerja dan puji atasan semata-mata sehingga tanpa kesedaran, kederitaan dan ketidakrelaan hatiku membuat kerja beransur-ansur hilang, diganti dengan kecekalan, diganti dengan kepudaran dan yang  menjadi korban senyumku.

     Aku mencuba bersengkang mata setiap malam untuk menyiapkan kerja kursus biarpun harap itu selalu tidak jadi kerana tidak tahan akan kantuk pada pukul 2.30 pagi. Kerja memang tidak akan habis tetapi azamku membulat tiap-tiap hari dalam bicaraku yang terkunci. Aku sudah letih hendak membuka bicara kerana tiada orang yang benar-benar memahami kederitaan yang kulalui. Lebih baiklah aku mengunci bicara; menggigit kelemahan untuk meneruskan kegiatan merentas desa kerja kursus yang makan masa sepanjang malam. Aku meluat terhadap kawan-kawan yang suka tersengih pada waktu akhir kerja kursus walhal kerja kursusnya belum siap, kawan-kawan yang mencetak kerja kursus pada saat akhir tanpa rasa malu akan kelembapan diri, kawan-kawan yang masih bergurau dan berpura-pura gembira, acuh tak acuh tetapi sangat tertekan, mengeraskan jari jemari di atas papan kekunci pada hari penyerahan kerja kursus (memang padan muka dia). Aku hendak meninggalkan dunia yang penuh dengan kegagalan dan kemalasan ini—akulah yang turut termasuk dalam senarai peserta yang gagal demikian. Ah, aku sudah bosan begini! Tidak pernahlah aku berjaya menyiapkan tulisan tepat pada masa; pastilah aku mengorbankan malam untuk menyempurnakan satu tulisan setiap kali; celaka!

     Kesedaranku kian lama kian kebas. Niat murni mendidik anak bangsa kian kabur dan kian dilupai di dalam hati. Yang penting sekarang menyiapkan kerja kursus, menyiapkan kerja kursus, menyiapkan kerja kursus...sudah lamalah aku tidak mengarang cerpen. Setiap kali menghadap komputer, ketakutan akan memenuhi jiwa. Aku takut bahawa aku mengarang cerpen sehingga lupa menyambung pengarangan tulisan ilmiah kerja kursus yang sepatutnya saya mustaidkan pada malam itu. Jadual yang kutetapkan pun tidak sempat kuikuti kerana satu kerja kursus makan masa tiga jam untuk pencarian maklumat sahaja! Pengarangan selalu melalaikan aku akan tugas inti; oleh itu, lebih baiklah saya berpijak di dunia nyata, melupai alam yang terlalu ideal, mengerjakan kejayaan bagai lembu yang membersihkan lalang di sawah di bawah matahari pagi yang terik. Itu lebih berlandas dan membimbing aku ke tangga kejayaan jika dibandingkan dengan penulisan yang hanya mendatangkan kepuasan tetapi tidak dinilai di institut keguruan aku.

     Aku ingat bahawa aku sudah menyukai ragam kehidupan merancang dan menaip kerja kursus yang tertib namun aku nyata lebih senang hati mencari tayangan YouTube santai yang membazirkan masa, lebih suka melayan kekosongan dan kesenggangan membaca cerita WhatsApp orang lain. Rupa-rupanya, aku ketandusan kebebasan melakukan kegemaran tanpa diikat oleh arahan dan tarikh tamat. Aku paling membenci tarikh tamat!

     Ah...sejak bilakah kerja yang terlampau banyak, yang kususun kemas sehingga menjadi tidak terlampau banyak; telah menjadi amanah positif yang kubiasai itu mengebaskan rasa sayangku kepada keluarga? Sejak bilakah aku lupa akan nikmat tersenyum ketika menilik bait sajak sendiri yang indah rasanya? Sejak bilakah hari-hari menapak rumput bersama "dia" semakin kabur dan pudar ketika aku semakin menumpukan perhatian pada pengarangan kerja kursus? Adakah jalan yang kujejak betul? Adakah kerasionalan tindakan mewakili segala-galanya dalam kehidupan pusat pengajian tinggi? Adakah percintaan itu haram; adakah penolakan penontonan wayang itu belenggu kebebasan diri yang tidak betul?

     Sejak bilakah aku merasakan bahawa ajakan nenek ke rumah mak saudara untuk pengisian hari cuti telah memberatkan langkahku, menambah keragu-raguan akan kemampuanku menyiapkan tiga kerja kursus dalam satu hari...?

     Aku tidak tahu. Sampai hari ini, hatiku menyatakan bangkangannya apabila aku hendak memulakan penaipan. Sebelum menaip kerja kursus di hadapan komputer riba, aku akan membaca novel. Dalam detik-detik yang berlalu itu, senang sahajalah hatiku tetapi apabila sudah tiba masa menghadap komputer, hatiku memberontak. Berontakan itu tidak hilang biarpun dicuba dirasionalkan, diceriakan dengan fikiran-fikiran positif dan khasiat markah yang cemerlang. Mungkinlah ini petanda bahawa aku tidak menjiwai keguruan dan tidak berapa suka mengendahkan kecomelan kanak-kanak kerana lebih suka berkhayal dalam penulisan. Di sekolah pun, aku takut akan murid-murid. Murid-murid pasti menyimpan udang di balik hati: termenung khusyuk kepadaku di hadapan namun di dalam hati, dia mencaciku—sama seperti manusia-manusia lain. Entahlah.

     Pada pandanganku, kerja rasmi dan minat mesti diseimbangkan. Namun begitu, berpaksi pada kehidupanku sekarang, tampaknya kerja rasmi lebih berat pada neraca saya. Kegiatan mengarang telah kujelikkan kerana selalu membawa padah—lewat menghantar kerja kursus. Aku ada mencuba meluangkan masa untuk mengarang cerpen atau rencana, iaitu sela masa yang terulang selepas aku menyiapkan esei. Namun begitu, sela masa itu tidak kunjung tiba. Setiap kali setelah aku menyiapkan esei, jam sudah menunjukkan 12.00 pagi atau 1.00 pagi dan semangat yang lemah memaksa aku tidur.

     Ya, aku mengakui bahawa makna kehidupanku semakin pudar, tidak sewarna-warni zaman dahulu. Kehidupan yang berulang-ulang telah melupakan aku mencari seri dalam keputihan cahaya...



   

Thursday, August 16, 2018

Menyaksikan Kekasihanan yang Tidak Terbantu

     Sharif ada kawan yang banyak. Selalulah dia keluar makan dengan kumpulan kawannya. Semasa makan, pastilah dia menangkap gambar untuk memberitahu kawan-kawan rapatnya yang lain untuk mencemburukan mereka. Kemudian, akan rancaklah kejadian saling mengejek dan berjenaka antara Sharif dengan kawan-kawan lelaki dan perempuannya. Namanya di pusat pengajian tinggi ini begitu lantang sehingga ada kawan perempuan Cina yang tidak segan silu, tidak mengira batas antara lelaki dengan perempuan, menghidupkan panggilan bersemuka. Tergelak-gelaklah Sharif kerana kebodohan laku kawan perempuannya itu.

     Sharif sihat sahaja. Orangnya pun baik sangat bahkan suka berjenaka dengan mengejek perempuan. Yang pelik tentang Sharif hanya gelung hitam di keliling matanya. Gelung matanya yang tebal itu selalu membuat orang lain merasakan bahawa Sharif tidak tidur seharian. Sharif pasti akan mengeluh: "Ah, mengantuklah!" di bilik kuliah. Entah apakah yang dilakukannya sepanjang malam? Mengapakah dia asyik tidak cukup tidur? Soal yang lebih penting yang menghairankan daku: kenapakah dia tidak mahu tidur awal-awal setiap malam? Pada suatu kali, aku pernah mendatangi biliknya pada pukul 11.30 malam untuk membuat kerja tutorial berkumpulan. Aku melihat bahawa dia bersenang-lenang sahaja, melunjurkan kakinya di kaki katil lalu bermain telefon, berjenaka dengan kawan-kawan lelakinya yang selalu membuat laku-laku yang melampau sehingga Sharif geli hati lalu tergelak-gelak bagai bola yang tidak berhenti-henti melantun di atas lantai. Tidak terasalah keletihannya bersengkang mata pada waktu malam namun pada hari esok, pastilah mata Sharif terkedip-kedip apabila merenung pensyarah dan perlahan-lahanlah mata itu akan terkatup kemas.

     Sharif orangnya baik. Dia selalu mendekati kawan perempuan untuk menolong mereka membuat slaid PowerPoint dalam kerja kumpulan. Setiap kerja berkumpulan pasti dibincangkannya dengan rakan sekumpulannya. Yang kurang tentang Sharif tabiat terbatuknya. Dia sering terbatuk-batuk tanpa sebab. Aku pernah menanyakan penyakitnya tetapi dia menafikan bahawa dia berpenyakit. Dikhabarkannya dengan senyum bahawa itu tabiat terbatuk-batuk itu tabiat semula jadinya: tidak ada apa-apa pun. Namun begitu, aku yang sering melihat terbatuk-batuknya itu hampir dapat merasai betapa kering dan sakitnya tekaknya.

     Dulu, apabila kita membaca doa, kita berasa tidak ada apa-apa. Wirid selepas solat itu kewajiban yang menghormatkan kita kepada Pencipta. Semasa berdiri sambil menahan kantuk semasa membaca doa qunut, kita meminta kesihatan, meminta rezeki, meminta pengekalan iman dalam hati...dan kekerapan berdoa itu sudah semakin menawarkan iman dalam hati bahkan menambah kepayahan menahan kesedaran sepanjang subuh. Maka itu, bahawa kita sekadar menadah tangan untuk berdoa sudah pun berpada untuk membuktikan bahawa kita beriman sedikit. Namun demikian, pada hari ini, setelah menyaksikan kejadian Sharif, barulah aku benar-benar merasakan betapa perlunya kita harus  berdoa kepada Allah, meminta kesihatan, meminta rezeki, meminta kekuasaan sepatah demi sepatah dengan jelasnya dan takzimnya kerana ini bukan perkara main-main...

     Sharif lain sikit pada hari ini. Pucat mukanya. Dia asyik terbatuk-batuk sehingga terpaksa menutup mulutnya untuk meringankan getaran badannya. Apabila mendengar syarahan pensyarah, Sharif tidak dapat bertahan lagi lalu mendongak, menyandarkan kepala pada kerusi dan bebola mata hitamnya terlontar ke balik mata ketika dia hampir memejamkan mata sebagai akibat rasa mengantuk yang amat sangat.

     "Awak tahu tak aku sudah makan berapa biji gula batuk?" Sharif memandangku dengan mulut terkatup dan mata yang tertancap tepat pada pandanganku. Aku dapat merasakan bahawa dia tidak berjenaka sekarang. Sharif memang semakin serius penyakitnya.

     "Jumpailah doktor," aku mencadangkan. Namun demikian, jawab yang selalu kudapat: "Tak, doktor berkata tak ada apa-apa. Ini bukan penyakit tapi memang lahir macam itu." Ubat tidak berguna; doktor pun tidak berguna. Apakah cara lain yang dapat meredakan penyakit teruk si pelawak yang amat dialu-alukan lelaki dan wanita nakal itu?

     "Bacalah ayat Quran, ayat penyembuh itu. Hanya Allahlah yang Maha Penyembuh," hanya nasihat itulah yang paling baik untuk memujuk hati rawannya.

     Sharif diam, memandang arah lain. Dia menerima nasihat aku tanpa membalas apa-apa pernyataan lucu lagi, seperti yang selalu dibuatnya dahulu. Rasanya dia memandang kehidupannya serius pada kali ini.

     "Awak tahu tak, semalam aku mengerjakan kerja kursus. Selepas itu, kepala aku memang sangat berat dan pening. Aku tak mampu lagi, jadi aku tidur dulu. Aku bangun, terus membuat kerja sedikit-sedikit tapi tertidur lagi. Pada waktu petang, aku tidur panjang tetapi selepas bangun malam, batuk aku semakin serius sampai tekak pun kering dan sakit. Aku tak tahu kenapa. Ah, tak tahulah macam mana nak meneruskan kerja kursus pada malam ini," Sharif meluahkan rungutannya dalam keadaan tidak bermaya.

     Aku menepuk-nepuk belakangnya, mencuba melembutkan hatinya yang tidak berdaya. Ya Allah, rawannya hati ketika aku mendengar luahan demikian. Seorang yang amat ceria, yang terbaring dalam kapukan seribu orang sahabat setia itu, tanpa kesediaan pun, tersungkur ke lembah takdir yang menyengsarakannya itu. Seri wajahnya memang sudah hilang. Gelung hitam matanya masih ada. Dia masih kelihatan begitu mengantuk seperti masa dahulu. Hanya yang berbeda sekarang bahawa Sharif sakit teruk.

     Aku lama berkedut dahi setelah menghantar Sharif pulang. Aku ingin dalam merenungkan kehidupan ini; kekurangan diri dalam kehidupan ini. Perlahan-lahan meresaplah rasa kerdil diri di hadapan Allah Yang Maha Besar. Makin jelaslah kesedaran dalam nurani bahawa rupa-rupanya, setiap tindak gerak kita, sakit sihat kita, sedih gembira kita dikawal sepenuh-penuhnya oleh Allah. Dahsyatnya Allah ini. Begitu megahlah kuasa-Nya. Dengan satu jentikan "kun fa ya kun", si Sharif yang ceria tidak mampu tergelak-gelak lagi. Dia hanya mampu menahan kantuk sambil membeliakkan bebola mata hitamnya, selepas itu dikejutkan oleh batuk hebat yang menyerangnya tiba-tiba. Dia hanya mampu terus terbatuk-batuk sementara menunggu masanya memuntahkan darah bawah deraan-Nya. Kawan-kawan di sampingnya pun tidak dapat membuat apa-apa. Kawan-kawan yang, pada masa dahulu, melafazkan ikrar setia akan ketawa bersama-sama Sharif, melepak bersama-sama Sharif, beriringan ke koperasi dengan Sharif selama-lamanya, kini, tidak berada di sampingnya lagi. Ke manakah perginya kawan-kawan yang berikrar setia pada suatu masa petang dulu? Semua orang sudah hilang. Itulah sebab bahawa manusia perlu bergantung pada Allah sahaja. Manusia memang tidak berkuasa saling membantu...

     Lamalah aku membancuh simpati untuk Sharif sementara menggaulkan ketakutan kepada Allah kembali...

Monday, June 11, 2018

Air Mata yang Mendap

     Tidakkah anda bosan?

     Dalam 24 jam, kita hanya berhadapan dengan telefon pintar. Diam sahajalah kita. Itu kerja kita setiap hari. Kita tergelak di hadapan pemapar telefon, dipandang nenek yang sedang melipat baju sebagai orang gila; kita murung di hadapan pemapar telefon, menunggu pesan ringkas yang tidak kesampaian—kadang-kadang menunggu orang khas itu sampai terlentang, meniarap, terlena...

     Diam. Diam sahajalah ruang tamu. Hanya kedengaranlah deru kipas. Hanya kipaslah yang tidak malu meluahkan pikirannya. Demikianlah kehidupan kita setiap hari—kita sedang teruja menunggu kemunculan berita yang menarik hati, pesan ringkas yang meromantikkan jiwa setiap hari yang tidak kesampaian. Walaupun kita tahu bahawa keindahan itu tidak kesampaian, kita masih degil melukiskan kemurungan pada wajah, setia menunggu perlakuan kemustahilan itu di hadapan pemapar telefon...

     Sedih...aku sedih sungguh ketika menyedari mutu kehidupan begini tetapi apatah yang dapat dibuat? Aku juga menurut arus yang sesat ini. Biarpun jiwa merintih rawan, aku masih menyeka air mata, terus tabah menunggu keajaiban di hadapan pemapar telefon pintar; terus menunggu keajaiban—entah apakah keajaibannya: ayat cinta? ayat manja? luahan hati kawan akrab? amukan tentang keduniaan?

     Aku masih berlumuran dengan kerawanan. Kadang-kadanglah aku hendak merobek hati yang dilanda kerawanan itu. Tidak berguna lagilah hati yang sering tidak bermaya itu. Orang yang ditunggu tidak kesampaian; berita yang menarik tidak disiarkan. Berita yang menarik? Berita menarik apa? Aku pun tidak tahu. Dunia terlalu membosankan daku.

Wednesday, May 23, 2018

Saat Pamitan yang Dijangka

     Adakah aku salah tampak? Aku melihat bahawa abang penggal kelapan itu sedang menangis. Aku melihat bahawa hati abang itu sedang menangis. Dia menyanyikan lagu "Dan tak...seharusnya aku...menemui dirimu...di dunia ini" dengan suara yang merdu dan bergetar sayu, seolah-olah ini kali terakhir pernyanyiannya. Dia mendedikasikan lagu ini kepada malam yang tenang; bulan yang menerangi buana.

     Pada malam yang tenang dengan bintik-bintik yang menyala di tempat jauh; dengan kereta yang aman menyusur jalan-jalan di tempat jauh, aras ke-11 mengadakan jamuan aras. Oh, apabila berkata tentang makanan, terus melelehlah air liurku: dari perut terus meleleh keluar dari bibir kering yang retak. Orang yang berpuasa memang begini: apabila melihat sosej, nuget, ayam goreng, nasi, air oren...oh! Terus tidak sabarlah dia hendak berbuka puasa. Itulah aku!

     Suasana sepatutnya menggembirakan semua orang namun semua orang senyap makan sahaja. Biasalah: makanan lebih penting daripada perhubungan. Lebih pentinglah kita mengisi perut yang lapar, haha! Namun begitu, berdasarkan tujuan sebenarnya, jamuan ini, sebenarnya, diadakan untuk menyambut perpisahan abang-abang penggal kelapan selepas cuti. Ini kali terakhir bahawa aku menatap muka abang yang menyanyikan lagu "Dan tak..." dengan suara yang tinggi dan merdu. Ini kali terakhir bahawa dia akan memasuki bilik aku lalu meminjam cecair pelekat gajah. Ini kali terakhir bahawa aku akan mendengar dia memanggil aku "adik".

     Semua orang sedang sibuk menonton permainan badminton Lee Chong Wei dan ada yang berborak di sofa. Hanya abang penggal kelapan yang memanggil aku "adik" itulah yang mentaatkan nyanyiannya kepada gitar seorang abang lagi. Aku perasan bahawa nyanyiannya sedang menangis. Aku perasan bahawa gitar turut menangis. Tidak dapat kubayangkanlah betapa tidak sanggup abang penyanyi itu meninggalkan kolej kediaman yang sudah lekang cat ini yang sudah menemaninya lima tahun; meninggalkan bilik kuliah yang sudah hangat dengan persahabatan sejati; meninggalkan air pancur yang sentiasa menjadi lambang bermulanya kuliah; meninggalkan perpustakaan yang selalu melenakan semangat membaca rujukan yang diazami...

     Dia menangis melalui nyanyian. Air mata menitis perlahan dalam nyanyiannya.

Thursday, May 17, 2018

Suatu Makan Malam Istimewa: Hati Bertimpuh dalam Kesyukuran

17/5/2018 (Khamis)
    
     Ini Ramadan pertamaku yang rasmi. Dulu, aku pernah berpuasa selama seminggu sahaja dan dengan senangnya, aku berjaya menyempurnakan puasa sehari penuh. Puasa senang sahaja padaku: tahan akan kelaparan dan tidak perlu berpikir untuk makan petang di mana nanti.

     Tirai subuh Ramadan kuselak dengan sajian kasih daripada Puan Yati. Puan Yati ibu angkat yang sungguh prihatin dan kasih akan daku. Beliau sudah menyediakan sajian subuhku: sup ayam, nasi dan pulut pada pukul 11.00 malam semalam. Sambil berjengket-jengket, beliau menitipkan pesan secara berbisik kepada rakan sebilikku, menyuruh Seng Fa menyerahkan hidangan ini kepadaku. Selepas itu, berjengket-jengket pulalah beliau dengan hati yang cermat dan syukur, dengan niat tidak ingin disedari orang lalu lenyap dalam lembayung malam. Malam kembali sunyi dan rendah diri; serendah hati Puan Yati yang hanya hendak menyalurkan kasih. 

     Alhamdulillah. Sup berkhasiat ayam yang pekat dengan kasih Puan Yati itu kusyukuri malah kutangisi dalam hati dengan penghargaan. Kalau bukan kerana sajian subuh Puan Yati, mungkinlah aku cepat lapar dengan tiga biji kumar sahaja. 

     Pada bulan Ramadan, pada waktu lohor, orang yang tidak pernah muncul di surau merajinkan diri muncul di surau; orang yang tidak pernah mengalunkan azan orang pertama yang sampai di surau lalu mengalunkan azan dengan cara yang berlebih-lebihan: menopang kedua-dua telinganya dengan telapak tangan dan menjerit sekuat-kuatnya dan kepalanya berayun perlahan dan lembut ke kiri dan ke kanan, menghayati makna azan. Surau pada waktu subuh tiba-tiba dipenuhi orang. Semua orang hendak mengejar pahala berganda bulan Ramadan yang teramat mulia. 

     Pada aku, kewajiban kita sebagai Muslimlah penghadiran surau setiap hari, bukan kerana Ramadan menjanjikan untung yang berganda tetapi kerana itu tanggung jawabku sebagai Muslim.

     Lembahyung rahmat datang meliputi malam dengan izin dan keredaan-Nya. Di atas meja di Kedai Makan Murni, SS2, terhidanglah Chicken Chop yang berasap-asap, berlauk Mi Indo yang menggoda selera dengan kemasaman rasa mi maggi yang pekat. Alhamdulillah, kawan-kawanku: Seng Fa, Zheng Lian, Jackson, Xiao Qing, Albert, Jia Wei dan Chai Lee sanggup menyambut hari pertama berbuka puasaku. Terasalah bahawa kini, mereka begitu dekat denganku. Keterharuan itu meluap-luap daripada setitis kesedaran: kesedaran bahawa mereka menghargai aku sebagai kawan yang sudah kembali kepada fitrah Islam. 

     Alhamdulillah, malam Ramadan pertama datang dengan rahmat yang penuh. Ya Allah, kuatkanlah hati, penuhkanlah hatiku dengan iman supaya aku terus tabah dan taat menjalani hari-hari seterusnya yang tentu lebih mencabar dengan pelbagai godaan kesenangan dunia pada bulan Ramadan.

Wednesday, May 16, 2018

Solat Tarawih bagi Kali Pertama

     Aku tidak menyangka bahawa solat tarawih demikian susah. Pada bayangan saya, Muslim tunggang-tonggek 10 rakaat cepat dan lancar sekali, jadi solat itu cepat siap. Tidak kusangka bahawa kelajuan solat lapan rakaat itu dengan setiap dua rakaat sebagai seperangkat itu biasa seperti solat biasa. Tidak kusangkalah bahawa aku perlu melayan setiap gerak perlahan dengan mengekalkan keluhuran iman yang timbul tenggelam tidak tentu kerana terganggu sedikit!

     Kelajuan itu tidak menjadi masalah. Yang menghambat saya mengkhusyuki solat kelaparan. Aku belum makan malam kerana terlalu letih hendak bangun tidur petang setelah memerah otak untuk memikirkan jawab peperiksaan Pensejarahan Malaysia. Sekarang, solat tarawih menyeksa aku pula! Aku hendak taat kepada Allah, melunaskan tanggung jawab sebagai Muslim yang bersolat tawarih. Oleh itu, pada aku, kelaparan bukan alasan; kelaparan bukan penghambat kesetiaanku kepada Allah. Maka aku menekan perut sambil terus menumpukan kerendahan diri terhadap Allah.

     Aku memang hamba yang lemah. Kelaparan semakin mendera aku sehingga tumpuanku terjejas dan yang kupikirkan hanya perut yang kian leper dan menyengsarakan daku. Imanku semakin lama semakin lemah. Penzikiran yang pendek tetapi perlahan setelah al-Fatihah sudah bermula menguji kesabaranku. Kelaparan mudah memarahkan seseorang; mengurangi kesabaran seseorang. Pada pikiranku sekarang, penzikiran yang perlahan bukan tanda takwa tetapi kejelikan imam yang melengahkan masa makan. Aku bermula tidak sabar akan imam. Menjalarlah kegelisahan menghendaki imam cepat menghabiskan zikir surah!

     Astaghfirullahalhazim. Aku tidak patut berpikir begitu tetapi perutku terlalu lapar. Aku mencuba mengikis bisik jahat dalam otakku, menumpukan perhatian pada puji-pujian terhadap Allah; mencuba menghayati makna agung di balik "Ar-Rahmanirrahim". Pada mula-mulanya, aku memang mencengkamkan kakiku pada lantai, bagai pasak iman yang diteguhkan di atas tanah takwa namun kemudian, bangunnya dan sujud aku bermula longlai dan sambalewa sehingga aku hampir tersungkur ke tanah kerana kekurangan zat yang membekalkan tenaga di dalam badan. 

     Allah bersifat sempurna. Dia tidak mungkin menyeksa aku dengan kelaparan. Dialah pemberi kurnia. Namun demikian, bahawa Dia tidak memberikan makanan kepadaku bukan kesalahan-Nya tetapi kesalahanku. Akulah yang bebal, tidak makan malam dulu. Walau bagaimanapun, di celah-celah usaha tidak menyamakan Allah dengan manusia yang suka menyeksa orang, timbul jugallah bisik-bisik yang mencuba menyelinapi iman, mempersalahkan Allah. Kerana solat tawarih, aku terpaksa menahan kelaparan! Kerana gila akan agama, aku terpaksa menyeksa diri demikian dengan cara yang demikian bodoh! Astaghfirullahalzim, manusia memang mudah lalai dan syirik semasa lapar!

     Aku tidak patut mempersalahkan Allah. Allah bersifat sempurna. Alhamdulillah, Allah telah memilih dan mengumpulkan daku di sini untuk beribadat kepada-Nya. Aku patut bersyukur. Maka aku terus menabahkan hati dan perut yang memang menguji kelemahan seseorang insan lalu terus merafakkan puji kepada-Nya. Bacaanku semakin kuat kerana melawan nafsu lapar yang ingin mempersalahkan Allah!

     Ini ujian; ini ujian! Allah sedang menguji keyakinanku kepada-Nya!

     Aku terus beribadah, terus bersujud dan bangun semula. Kerana aku lapar, aku mempersalahkan Allah? Terlalu rendahlah iman begini! Aku terus menabahkan hati demi Allah; demi Allah! Aku percaya bahawa di hujung kesusahan, adalah kemanisan yang menungguku!

     Alhamdulillah, nasib baiklah mereka memang menyediakan juadah ringan pada pukul 11.00 malam. Aku memang agak hairan ketika yang disediakan mereka hanya jagung dan keropok lekor yang tidak cukup mengenyangkan perutku yang mengamuk ini. Walau bagaimanapun, syukurlah aku kerana makanan yang sedikit itu memaniskan iman kembali. 

     Kelaparan memang dapat membunuh niat suci beribadah. Manusia begitu mudah lemah kerana ketiadaan makanan sahaja. Apakah yang akan terjadi semasa Dajjal datang nanti, menawarkan makanan kepada kita pada waktu kemarau dengan syarat menuhankannya walhal Allah tidak berbentuk, tiada permulaan dan akhir?

Wednesday, May 9, 2018

Begitulah Engkau, Sahabat

Pada saat
sarang lebah penuh dengan madu
engkau mencuri segala madu
untuk minuman lazat kelak
sehingga sarang itu hanya tinggal
sebagai cengkerang kontang tidak berguna.

Pada saat
bunga mekar harum
engkau lebah
yang menyedut segala manisan
sehingga bunga layu
dan tidak dikunjungi lagi.

Begitulah engkau
sahabat
engkau menetap lama di teratak
ketika setiap saat itu butir emas
dan tatkala matlamat tercapai
engkau pun pergi
menghempaskan pintu.

Aku bunga
yang merelai wangian
namun engkau hanya lebah
yang fitrahnya singgah.



Pui Wen Hang
9 Mei 2018
IPG Kampus Bahasa Melayu

Tidak Penting Pun! Aku Sahaja-sahaja Fanatik

     Tidak pernahlah dunia ini terbentang sekian lapang dan sepi. Air pancur di hadapan memancurkan air acuh tak acuh, seperti kebiasaan, macam tiada apa-apa yang berlaku sahaja. Pohon yang rimbun pun terus pegun di sana sahaja, langsung tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan keadaan ini. Semua benda pegun di dunia yang luas dan sepi ini. 

     Tidak pernahlah aku berasa sesepi, sepahit dan sekeliru ini. Aku bukan hendak membesar-besarkan perasaanku, menjadi ratu dramatik tetapi aku memang ingin tegas mengakui perasaanku kini: kegusaran meluap-luap yang berbaur dengan kepiluan yang lemah dan kepahitan yang semakin menikam hati. Aku tidak hendak berpura-pura memelihara kehormatan diri lagi!

     Tiadalah orang ke surau pada waktu asar!

     Aku mencuba bersangka baik: oh, mungkinlah semua orang sudah balik ke kampung untuk mengundi tetapi pada masa yang sama, aku teringat beberapa orang Muslim yang tidak balik. Inilah ciri akhir zaman manusia dan aku terbayang manusia-manusia yang terus terlentang di atas katil dengan mulut ternganga, dengan dengkurnya, dengan tangan terkulai ke bawah katil; terus leka di hadapan komputer sambil melayan permainan komputer; terus mengabaikan azan yang tidak berapa penting jika dibandingkan dengan topi keledar, motosikal, tempat yang sedang dituju sekarang.

     Solat mudah sahaja. Kita pun sudah menghafal solat sehingga sudah menjadi robot yang kaku bertakbir, berukuk, bersujud setiap hari. Tidak mengapalah iman kita sudah pudar seiring dengan perkembangan menjadi robot asalkan kita bersolat—asalkan kita bersolat! Hati kita masih tersisa iman selagi kita masih mengingat solat! 

     Surau tiada orang! Tulang tanganku bergetar dan getaran itu merebak ke kaki bersama perut yang berkeroncong tetapi tidak diendahkan semata-mata kerana aku ingin menghadap Ilahi.

     Siapakah aku untuk menghukum orang? Aku pun pernah lalai dalam solat juga. Sudah berpuluh-puluh kalilah aku tertidur sewaktu azan subuh dan azan asar sedang dilaungkan sehingga tidak menyedari laungan yang begitu kerdil dalam laut mimpiku yang lebih indah dan selesa itu. Aku lebih hebat kerana sewaktu orang sedang lena, aku datang bersendirian ke surau. Aku sepatutnya diberi tepuk dan ditaburi puji kerana iman yang tinggi. Tidak! Aku tidak patut berpikir begitu sebaliknya aku lebih patut sedih kerana Muslim akhir zaman demikian teruk!

     Mungkin kelalaian ini berlaku pada hari ini sahaja; buat apa kita kecoh sangat? Semua orang tidak sempurna, bukan? Pada aku, penghadapan Allah itu soal yang besar dan hormat sekali. Sekarang, aku seperti orang bodoh yang tercegat di permaidani hijau surau, menghadap papan elektronik yang masih bersemangat memaparkan masa solat; menghadap balai berceramah ustaz yang sepi yang ditemani buku yang terbentang begitu sahaja dan dihinggapi debu yang pegun itu begitu sahaja tanpa diendahkan siapa-siapa pun. Tiadalah orang yang membelek-belek kitab itu: biasalah, orang akhir zaman malas; ketampanan pada wajah hanya diiringi senyum kosong tanpa ilmu; tanpa ilmu! Apakah guna bersolat macam orang alim jika tiada ilmu, tidak membaca buku?

     Tidak berguna langsung. Keluar melepak dengan motosikal? Tidak berfaedah, aku tak nak. Keluar makan? Tak nak, bukan sudah adakah Amjal di berdekatan? Amjal itu dekat lagi menjimatkan masa walaupun aku memang jemu berhadapan dengan ruang sempit, cat merah dinding, meja merah yang sama dan televisyen lesu yang sama, seolah-olah itu ruang pergi balik aku di dunia ini sahaja; seolah-olahlah duniaku Amjal—asrama—menara—Amjal—asrama—menara sahaja. Sudah lamalah aku tidak balik ke kampung; sudah semakin kaburlah wajah ibu dan ayah; sudah semakin kaburlah ingatan tentang peristiwa-peristiwa lampau...

     Ya Allah, adakah aku bersalah? Aku bergerak bersendirian, tidak mengajak orang ke jalan surga. Aku mementingkan ibadah dan pahala sendiri sahaja; akulah yang paling jahat antara mereka. Sekurang-kurangnya mereka tahu bergurau sambil menepuk bahu, berjalan beriringan dengan kawan-kawan ke surau. Aku pula lebih mulia, menjaga tingkah laku dan sangat berhati-hati ketika menemui orang. Aku tidak akan menyapa wajah-wajah yang jelik. Aku tidak akan tersenyum langsung kepada orang yang kuanggap sombong malah suaraku pun lemah sahaja ketika menjawab soal bodohnya.

     Itu prinsipku! Itu pasak kemanusiaanku; bukan kesombongan! Engkau tidak mengerti prinsip teguhku! 

     Malaslah aku hendak berlari ke asrama untuk merempuh tangan semua orang ke surau. Gilakah! Aku tidak mampu; itu urusan mereka dengan Allah. 

     Setiba aku di surau, puaslah aku meronta-ronta sebelum azan, menekan punat ini, punat itu, mencuba menghidupkan mikrofon. Lampu di sana sini sahajalah yang menyala; mikrofon masih mati. Aku tidak tahu dan bingung. Kalau Pak Cik Jonit ada, dia pasti membimbingku. Pak Cik Jonit pun tidak ada sekarang. Mungkin dia tidak bertugas pada hari ini. Ketika menekan suatu punat, tiba-tibalah papan elektronik itu melaung—membingitkan telinga! Aku cemas sebentar, tidak tahu hendak ke mana tetapi kemudian sabar menunggu membisunya suara yang membingitkan telinga. Mungkin orang akan berlari ke surau sambil berkedut dahi, memandang aku yang suka membuat hal? Tidak, tidak ada orang pun di sini. Akhirnya, aku berjaya mencari punat yang menghidupkan suara pembesar suara dan mikrofon sekaligus. Punat itu terletak di atas sebuah peti suara yang sudah berkarat dan berhabuk itu.. Aku membenci benda yang berhabuk; seolah-olah benda itu mengingatkan daku akan ketuaanku—ketuaan pikiranku yang selalu bekerja sama dengan duka.

     Akhirnya, aku melaungkan azan sambil membimbangi bahawa waktu asar akan berlalu. Begitu sukalah aku akan kemerduan suara sendiri. Aku juga kekok kerana terlupa mengulang "Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah" untuk kali kedua. 

     Tidak mengapalah aku salah. Tiada orang yang peduli pun.

     Allah, aku bodoh, bukan? Mungkin mereka sudah merancang tidak bersolat pada hari ini kerana anggota-anggota Kelab Rakan Islah ada acara di luar, jadi mereka terus bersolat di masjid luar. Mungkin semua orang keluar ke MidValley sebelum lemas dalam deret kata yang rapi dalam buku lalu terus mendera diri dengan tekanan sebelum peperiksaan akhir penggal? Semakinlah aku berpikir, semakinlah aku merasakan bahawa pikiran aku tidak logik. Aku pun marah, tidak hendak menipu diri lagi. Aku sedih kerana aku bodoh sendirian, berpura-pura alim dengan mata yang berkilau-kilau dengan air mata takwa, datang ke surau bersendirian lalu terharu sendirian. Bahawa aku tidak mengajak orang kepada kebaikan pun dosa. Orang Islam mesti bergerak bersama-sama—aku teringat kata-kata ustazah. Aku berdosa; sungguh dan aku tidak tahu bagaimanakah aku hendak membaikkan sikap terus mengunci diri dalam loteng peribadi diri...

     Sampai bilakah aku hendak menyembunyikan gelora hati dan cita-cita, mengurung diri dalam khayal yang demikian indah memujuk hati? Aku membenci setiap tiang, asrama, rumput, pohon, udara, langit di sini. Sepi, tidak berhuni. Tiang-tiang di Kolej Kediaman Dato' Razali Ismail berpeluh-peluh menyokong lelangit bersendirian. Lif masih begitu bodoh; rajin memainkan rentak membuka dan menutup pintunya untuk mengangkut orang, melunaskan kewajibannya. Itu kesepian yang membodohkan diri. "Bodoh," aku memarahi tiang dan lif itu. Tiada orang yang nak tengok awak rajin pun, lif! Tiada orang yang nak meneliti urat usia pada tubuhmu pun, tiang!

     Pohon itu masih pegun. Air terjun itu masih memancurkan air tanpa perasaan. Menara masih menjamah udara dingin yang menderu tetapi tiadalah orang yang berkongsi nikmat itu dengan menara itu. Birai tingkat kedua dan tingkat ketiga yang berwarna hijau itu terdiri di sana begitu sahaja. Birai itu kelihatan baharu dengan cat hijau tetapi sebenarnya sudah lama berhabuk. Tiadalah orang yang akan mengelap habuk pada birai itu kerana itu hal yang sangat remeh dan leceh. Lorong di aras atas lengang sahaja. Tiada langsung kelihatanlah siluet siapa-siapa—siluet pensyarah yang sudah terlalu lama beristiqamah dalam kerja lalu tidak menyedari bahawa zaman sudah beredar, para-para buku sudah berdebu; ibu bapa di kampung sudah lama meninggal dunia dan pepohon hijau di kampung sudah lama diterbang. Pencakar langit tidak kelihatan di sini; hanya akulah yang bodoh terkurung di dalam ruang terhad yang tidak memberikan kebebasan langsung (Kebebasan apakah yang kuhendaki? Bahawa aku hendak keluar ke KL Gateway pun begitu jauh dan memayahkan kudratku.).

     Gadis itu...di manakah engkau, wahai kekasihku? Hanya engkaulah yang rela menabur senyum yang comel itu ke atas jiwaku yang sudah lama tegang, malu dan benci akan entiti yang berpura-pura itu. Datanglah wahai kekasihku! Siramlah jiwaku yang terseksa oleh kekeringkontangan! Kita keluar jauh-jauh ke hutan rimbun, ke kedai makan, ke sebuah padang yang hanya ada kita berdua untuk kita melepaskan kerinduan masing-masing; untuk mendongak ke langit, menjamah keempukan awan yang berarak perlahan bersama hatiku yang memang sudah lama ingin terbang di langit saujana mata memandang yang amat menyelesakan daku. Aku tersenyum sendirian. 

    

Monday, May 7, 2018

Senyum yang Ternganga Bahagia di Celah Awan Biru

     Senyum yang ternganga yang penuh dengan kebahagiaan diabadikan dalam gambar kumpulan bersempena dengan majlis perkahwinan anak Encik Mahdi. Senyum yang ikhlas berserta tangan yang terangkat dengan ibu jari menunjukkan "baik" itu membebaskan seorang lelaki berumur 50-an daripada belenggu kerja dan kelesuan malam-malam yang tidak membenarkannya tidur kerana pengejaran pelbagai buku dan rencana yang belum siap dibaca dan ditulis.

     Suci daripada kepenatan. Suci daripada ketidakredaan. Itulah yang dapat kusifatkan tentang senyum Encik Mahdi pada hari nikah anak lelaki sulungnya. Saya tidak pernah melihat bahawa Encik Mahdi tersenyum sebahagia begini. Senyumnya senaif budak yang baru mendapat aiskrim. Fatah dan Izzati mengatakan bahawa Encik Mahdi sangat comel dengan senyum kebudak-budakannya itu. Tidak pernahlah kami melihat senyumnya yang secomel dan seasli itu. Terharu betullah aku menatap senyum itu dan pada masa yang sama, aku turut sayu. Keterharuan dan kesayuan itu berbaur. Yang penting bahawa Encik Mahdi memperoleh kebahagiaannya dan rehatnya yang sejati pada malam ini akhirnya. Tidak perlulah aku menghalusi dan menjelaskan perasaanku yang selalu terbelit keliru lalu tersimpul mati. 

     Dia tidak perlu mengkhatam buku pada hari ini. Dia tidak perlu menulis rencana dalam komputernya pada hari ini. Pada hari ini, dia hanya berdiri di tepi pintu dengan tangan bersilang pada perutnya sambil menunggu tamu dengan harap yang penuh. Sekali-sekalalah kepalanya menjenguk keluar dari pintu sehingga dia ditegur isterinya supaya dia berdiri sopan semula di pintu asal. Ini memang harinya. Anaknya telah berkahwin. Seseorang bapa pasti berasa bahagia ketika anaknya telah menemui kebahagiannya sendiri untuk perjalanan kehidupan hingga akhir hayat. 

     Pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang bahu melekati bahu itu bagai bulan dan matahari; wajah mereka berseri-seri. Yang terutama mahkota perhiasan pengantin perempuan yang berkilau-kilau hijau. Mereka memang bagai cincin dengan permata; bagai pinang dibelah dua. Aku pun terpesona oleh kekemasan lima pancaindera pengantin perempuan itu: mata besar yang dicelaki, hidung yang muncung; mulut kecil bergincu merah yang manis memang sesuai dengan wanita manja yang kecil molek itu. Mereka memang cocok. Tengkolok hijau muda pengantin lelaki menambah kebudimanan dan ketampanannya sebagai lelaki yang mampu menyokong atap keluarganya; tudung labuh hijau muda pengantin perempuan pula menyerlahkan keanggunan dan kerapiannya menjaga aurat. 

     Ini memang hari yang paling menggembirakan Encik Mahdi. Aku berdoa agar Encik Mahdi turut segembira hari ini pada hari-hari lain. Semoga senyumnya terus ternganga begitu sehingga turut menghimbau burung-burung di celah awan biru yang turut riang berkicau. Semoga senyumnya tidak lekang dek hampa oleh anak muridnya yang selalu malas membuat kerjanya. Semoga senyumnya tidak lurut dek tindihan kertas yang semakin tinggi di atas meja pejabatnya. Aku selalu mendoakan suatu sudut yang senang dalam hati Encik Mahdi. Semoga Encik Mahdi tahu melabuhkan kepenatannya di pelabuhan waktu yang sesuai. 

     Senyum ternganga bahagianya tergantung di celah awan biru—sungguh memesonakan orang!



Thursday, April 19, 2018

Sebuah Dunia Naif

     Senang hatilah aku ketika keluar dengan Chan, Wan Xin, Angeline dan Shin Mei. Mereka gadis-gadis biasa yang berpikiran mudah. Chanlah yang mengajak aku ke bazar.

     Pada asalnya, aku berasa agak hina kerana memakai baju sukan yang tidak berapa cantik. Mereka mungkin ingat bahawa aku tidak bercita rasa atau tidak menghormati pelepakan dengan mereka, lagi-lagi aku jenis pendiam, membosankan orang, sekarang dengan baju sukan yang murah pula...aku takut bahawa mereka jemu akan daku. Pada aku, kita bukan melepak ke tempat mahal, seperti K.L. Gateway dan MidValley pun, jadi baju yang murah pun tidak mengapalah. Tempat murah baju murah, haha! Tampaknya, mereka juga 'kepasaran' seperti aku—memakai baju I-Fest yang berwarna biru dan yang berwarna kelabu yang kainnya lembut dan lebih sesuai untuk joging! Maka padanlah aku dengan keluarga ini; tiadalah isu hina dan luhur.

     Aku tidak jemu sepanjang perjalanan. Mereka bukan sahaja 'kepasaran' dalam pemakaian malah dalam perbualan. Ketegangan dengan sekumpulan perempuan semakin reda ketika mereka saling mengejek dan berjenaka—jenaka mereka pun seperti jenaka kanak-kanak: Chan membuka tadika lalu terpaksa menukar lampin yang penuh dengan tahi (Chan menyatakan bahawa impiannya sejak kecil pembukaan tadika), Chan menyuruh Shin Mei membelok ke pintu pagar hadapan lalu balik kerana Shin Mei mengatakan bahawa dia sesal berjalan dengan mereka sekarang (gurau), baju yang dipakai mereka murah, keluh tentang perut yang mudah berkeroncong (maklumlah, selain rajin bersengkang mata pada malam kerja kursus, perempuan hanya suka makan!). Mata batinku kadangkala membalikkan bebola mata hitam kerana mendengar lawak yang begitu murah dan keanak-anakan; yang tidak lawak jika berlarutan! 

    Sangat senang hatilah aku ketika melepak dengan orang yang mudah-mudah—kita tidak perlu membisu untuk menduga setiap langkah dan rancangan orang pada setiap saat. Mudah-mudahan mereka sentiasa naif seperti sekarang. Aku berdoa agar musim kerja kursus yang cepat menajamkan dan mewaraskan perwatakan mereka yang suka berjenaka murah ini tidak cepat berkunjung!

     

Perjalanan yang Penuh dengan Falsafah

     Pelepakan kali ini agak lain. Pelepakan ini bukan hasil menurut aliran nafsu yang selalu merempuh jiwa yang letih akan kehidupan di IPG. Dalam pengembaraan ini, kami bukan melepak di pusat beli-belah untuk mencari haluan kehidupan dan jati diri yang sudah hilang kerana ditelan lipatan zaman; bukan terhenyak selesa di panggung wayang untuk menunggu perginya masa secara sia-sia. Pada kali ini, aku dan kawan baik aku, Hudaina menggunakan pendekatan lain untuk melepak.

     Kami telah memilih Bukit Nanas sebagai tujuan lari daripada dunia (maklumlah, dunia mahasiswa terlalu berat dan selalu mendesak kami). Kami meninggalkan cahaya teknologi yang melesukan mata, menerpa rangkulan alam, berkenal-kenalan dengan alam. Bukit Nanas jauh daripada kebingitan bandar, menyepi di suatu sudut dunia sebagai entiti yang menyimpan ketenangan yang sangat diperlukan oleh manusia abad ini. Tidak kelihatanlah pencakar langit, komputer riba, telefon pintar di tangan sebaliknya yang kelihatan hanya pohon yang tinggi yang meliputi kawasan ini merata-rata.

     Sepanjang perjalanan, kami hanya berbicara dengan alam. Kami meniti jambatan tergantung yang tidak berapa dahsyat kerana kukuh dan tebal binaannya. Pada beberapa perhentian, terteralah kod QR yang perlu dikesan dengan perisian telefon pintar. Kod QR itu membekalkan maklumat tentang pokok. Pada mulanya, aku terkejut kerana Hudaina membawa buku catatan. Aku ingat bahawa orang sekarang paling benci membawa buku ketika bersiar-siar kerana menurut mereka, persiaran itu sesuatu yang melepaskan tekanan dan membebaskan hati. Buku hanya menambah beban! Hudaina ini lain. Dia menikmati keringanan hati yang ingin belajar sewaktu menjelajahi alam. Aku tidak berapa biasa akan keseriusan Hudaina dalam pemburuan ilmu mula-mula tetapi hatiku berasa tenang ketika aku benar-benar merasai bahawa Hudaina bersikap ikhlas dalam pencarian ilmu, bagai musafir yang sanggup mengembara ke mana-mana untuk menimba ilmu. Beriak-riaklah kekaguman dalam tasik hatiku.

     Aku sesal kerana tidak membawa buku catatan. Untuk menimbus kesesalan yang turut menyertakan kekesalan, aku meminjam buku catatan Hudaina untuk mencatat nama-nama pokok dengan alasan bahawa aku menolong dia mencatat nama pokok. Bersama-samalah kita mengesan kod QR, mengenal dan mencatat nama pokok di mana-mana sahaja. Aku meronta-ronta di atas buku catatan  yang tertadah di tanganku; berusaha membentuk tulisan yang paling kemas pada buku catatan itu. Memang tidak puaslah aku ketika melihat bahawa huruf p aku seketika panjang ke bawah, seketika pendek dan gemuk. Hendak sahajalah aku mencari sebuah tempat sandaran untuk aku menulis p perlahan-lahan dengan sempurnanya! 

     Terdapatlah pelbagai nama pokok yang pelik yang sudah kulupai sekarang. Hudaina dan daku tergelak-gelak kerana nama yang pelik itu. Kami turut menemukan Tongkat Ali. Pohon yang dahannya kurus dan langsing; yang tinggi dan tebal; pohon kecil yang menjalar; pohon kecil yang berdaun lebar...semuanya nampak sama pada mataku tetapi sebenarnya mengandung khasiat tersendiri. Hudaina juga tergelak sambil menyindir bahawa kami akan melupai segala nama pokok sebentar nanti biarpun sudah rajin mencatat nama-nama tersebut.

     Aku sangat menghargai perjalanan ini kerana perjalanan kali ini memberikan khasiat kepada otak selain menenangkan hati yang selalu resah. Penjelajahan kali ini nampak ilmiah dan berat tetapi sebenarnya berbaloi. Di samping mempersiarkan hati, kita dapat menjalani lawatan sambil belajar. Ringannya hati yang melonjak-lonjak di alam sambil belajar!

     Semoga kenangan ini sentiasa segar dalam laci ingatan, bagai aura alam yang selalu wangi dan segar. Perjalanan ini bukan sia-sia tetapi lebih patut dinamai sebagai "perjalanan yang penuh dengan falsafah"!

Friday, April 13, 2018

Minggu Neraka: Malam-malam Otak Tepu

     Sekali lagilah sehelai tisu kuremukkan, dibuang ke dalam bakul sampah. Bakul sampah itu sudah sarat dengan tisu, kotak makanan, kotak minuman, kertas yang diremukkan sehingga tisu yang terbuang ke atas permukaan tindihan sampah itu pun kadangkala melayang-layang ditiup angin. Resahlah aku mengutip tisu yang tidak hendak akur itu. Aku menyedut hingus yang terjuntai di hujung lubang hidung sehingga hingus itu mengalir ke balik kerongkongku, menyuamkan dinding tengkuk. Sungguh tidak selesalah kesuaman yang bercampur dengan lendir pekat yang melekit; seolah-olahlah hingus itu akan melekat selama-lamanya pada dinding tengkuk, menganggu keselesaan tengkukku sepanjang hayat! Hampir tercekiklah aku oleh hingus yang mengalir songsang ke balik kerongkong itu. Dalam beberapa malam ini, hingus bagai bah yang tidak pernah puas, membanjiri rongga hidung. Bukan dalam semalamlah aku terseksa, terpaksa berkali-kali menyedut hingus yang kian meleleh panjang dan pekat ke lantai. 

     Aku memandang mesin pencetak yang sedang merengek, memuntahkan kertas sekejap-kejap, seperti buruh yang sedang mengerahkan saki baki tenaganya yang akhir untuk tuan yang disetiainya. Komputer riba yang penuh dengan tekanan, pada pandanganku, pula begitu gigih bersengkang mata, menyalurkan cahaya semangat yang paling terang untuk menyokong aku yang masih menggunakannya untuk mengarang kerja kursus. Aku tahu bahawa komputer riba merahku itu sedang menahan kelesuan kuasa baterinya dan rela dicucuk kuasa elektrik pengecas yang begitu panas membakar punggungnya setiap jam. Terima kasih, si komputer riba; si mesin pencetak. Mereka memang kawan setiaku sepanjang minggu neraka ini.

       Aku ke cermin, ingin menilik wajahku yang sudah terduga dalam benak. Aku mencuba mencari gelang hitam dan kantung mata, melihat betapa kesiannya dan betapa padan mukanya seorang insan yang membuat kerja pada saat akhir. Rasa bersalah semakin memenuhi hatiku ketika aku tersenyum sinis terhadap wajah yang lesu kerana menanggung dosa dalam cermin.

     Dalam malam-malam celaka ini, nyawaku datang dan melayang; mati lalu hidup kembali. Setelah seketika sahajalah mimpi mendatangkan kelenaan, seketika sahaja jugalah penggera meragut kesenangan sempurna, membangunkan keresahan, menarik aku kepada kenyataan: aku belum menghabiskan kerja kursus esok! Lagu penggera yang sepatutnya indah, membangunkan insan dalam keindahan pagi ciptaan Allah itu serta-merta menjadi trauma yang tidak ingin dikenang. Kesesalan, tekanan, keletihan, kuap yang tidak melepaskan kesempatan menghina mulut yang sepatutnya dimuliakan dengan mutiara kata bertamu sekaligus dalam hati sehingga jari jemariku lebih selesa berhenti di tengah udara daripada terus mencipta kerunsingan di atas papan kekunci.

     Otakku memang sudah tepu, mencapai had pemikiran. Cepatlah otakku tepu ketika aku berhasrat meneliti jurnal pada waktu malam. Tiadalah mood untuk aku berpikir serius pada malam-malam kerana malam sepatutnya taman permainan mimpi untuk aku gelongsori! Ha, padan muka sekali lagi! Siapakah yang menyuruh awak bekerja pada saat akhir? Aku memang sudah mencuba memikirkan idea-idea yang bernas namun perkataan "bernas" ini pun sudah cukup menertekankan otak yang tepu sebelum aku bermula berpikir. Aku memang sudah berusaha sedaya upaya, berusaha melonjak daripada had pemikiran tetapi otakku yang terlalu letih, badanku yang terlalu lesu tidak memungkinkan pemikiran kritis yang sepatutnya dijalankan awal-awal lagi...aduh, seksanya!

     Dalam malam-malam begini, memang tiada oranglah yang akan mengasihani aku, membelai lukaku, meringankan kesesalanku. Aku menghadapi semua kesusahan hati ini sendirian malah ketika aku keluar dari bilik, ingin mencuci baju, lebih tepulah otakku yang sudah hampir tidak waras ketika aku menyaksikan bahawa wajah-wajah yang dingin, mengantuk, mata yang bergelang hitam kerana tidak tidur beberapa hari itu sedang menghadap komputer riba yang terang cahayanya, tambahan pula mereka masih berbaki keriangan untuk menyanyikan: "Dan tak, seharusnya aku..." sebagai pengubat tekanan; sebagai irama eskapisme. Aku tidak paham! Keadaan sudah demikian darurat; mengapakah mereka masih ada hati meninggalkan punggung dari kerusi panas? Sudah gilakah dunia ini? Sesungguhnya, aku tidak tahu apakah yang sedang dipikirkan oleh mereka! (Kalau aku menduga pikiran mereka, lagi sesaklah otakku. Paksi otakku mungkin menyerong ke arah lembah kegilaan yang tidak pernah dilawati mahasiswa IPG yang sekian waras ini!)

     Rintihku tidak berjawab. Tiadalah sesiapa yang datang ke bilik untuk memujuk kemalangan daku. Sekalipun datang ke bilik, mereka hanya hendak menanyakan kerja kursus. Pada 2.00 pagi, aku dikejutkan oleh penggera. Setelah sekian lama aku menghadap cahaya terang komputer pada 3.00 pagi, mataku cepat gatal dan harus digosok begitu gigih dan kuat untuk aku menghilangkan kegatalan. Sekali lagilah hingus meleleh dari rongga hidung dan segumpal tisu terbuang sekali lagi ke dalam bakul sampah yang sudah penuh dan tidak ada masa untuk dibuang sampahnya itu.  Aku benci sangat bergerak ketika menghidap selesema kerana hidung berasa sangat gatal dan badanku hanya ingin berbaring untuk meredakan seksa hingus yang mengotori badan itu!

     Sesekalilah aku memeriksa mataku dalam cermin untuk memastikan sama ada mataku yang gatal sudah dijalari rerambut merah. Ketika mataku gatal, pastilah mataku merah, penuh dengan rerambut merah yang ngeri! Aku juga terbayang buah pinggangku yang keras bekerja dan menahan tekanan bersengkang mata. Adakah aku akan kegagalan buah pinggang pada saat seterusnya? Adakah aku akan menghidap barah sebagai akibat perkumpulan tekanan dan kerunsingan akal yang terlalu kerap? Adakah aku akan lumpuh oleh kegagalan seluruh badan kerana terlalu gigih bekerja, terlalu degil bertahan sampai subuh?

     Walau bagaimanapun, minggu celaka ini memang mengajarku erti ketabahan. Aku terpaksa menguatkan jiwa yang sudah sesak dan berkali-kali lena, putus asa, merajuk lalu tumbang dalam lembah kesesalan yang tidak bersempadan. Aku mesti bangkit; mesti bangkit kerana kerja kursus mesti dihantar esok! Itu juga menjadi panduanku dalam penulisan kerja kursus kelak: jangan bertangguh walaupun hati sudah merajuk ingin tidur! Aku juga sungguh menyesali pekerjaan pada saat akhir dan aku bersumpah dengan keberangan dalam hati bahawa aku akan merancang jadual pelaksanaan kerja kursus dan menyiapkan kerja kursus dalam dua hari tanpa keragu-raguan yang meleret tentang mutu tulisan, jalan bahasa, kesahihan sumber yang hanya akan menangguhkan pengarangan! Setiap orang tidak sempurna; yang penting bahawa aku mengetik pikiranku dengan cara memasakkan setiap kata pada lembaran Microsoft Word dengan keyakinan yang teguh, tidak terpengaruh oleh bisik-bisik syak dan pendapat orang lain. Sudah terhantuk baru tengadah; aku berjanji bahawa aku akan lebih mementingkan pelajaran dan mengurangkan novel, buku bahasa, buku sastera yang tidak berkaitan secara langsung dengan pelajaran!

     Sudah sampailah masa untuk aku menyeimbangkan kenyataan dengan khayal; keluar daripada khayal seseorang pensyair yang selalu berpikir di luar kotak kehidupan kerana kehidupan ini menegah kita berpikir di luar kotak yang tidak terjamin keselamatan dan kemenangannya!
   


     

Menghitung Kemalanganku...

     Aku anak terbuang, yang diresahi ibu, dikasihani ayah...kerana memutuskan pilihan yang tidak dipahami mereka.

     Aku ditinggalkan dalam keramaian majlis mereka. Segala soalku dalam pesan ringkas tidak terjawab oleh mereka. Mereka hanya mampu salah paham.

     Dikatakanlah bahawa aku ini tidak terkenal, suka terperuk di dalam bilik sahaja, tidak memunyai kawan. Ya, memang demikianlah hakikatnya; aku tidak pernah dihargai, bagai bunga yang pernah wangi di halaman tetapi pantas dibawa pergi oleh angin. Janji temu kalian tidak pernah ada aku. 

     Kemahiran seni aku dipandang enteng malah kawan-kawan tidak akan membiarkan bahawa aku menyentuh kesenian kerana aku akan merosakkan hiasan. Kerana ini, aku murung, selalu termenung di hadapan meja selama sebulan...

     Aku terpaksa berhadapan dengan orang-orang yang berpura-pura bertanya khabar, yang bodoh menyanyikan lagu terkini yang kononnya bermakna sangat setiap hari.

     Aku terpaksa mendera ingatanku dengan kembali mengenang betapa kejamnya kawanku yang terakrab, yang memarahiku, menyalahpahamiku, meninggalkan daku ketika aku telah memilih  cara kehidupan yang paling tepat. 

     Aku orang pelik yang hanya melukiskan kedinginan dan kejemuan pada muka setiap kali berjumpa dengan senior. Tentulah mereka menganggap bahawa aku sombong.

     Aku kera yang makan pisang di hutan sendiri; tidak mengikuti perkembangan lagu terkini; tidak pernah menghadiri majlis besar-besaran Instagram.

     Aku menyimpan dendam dalam wilayah bawah sedar, menunggu masa meletusnya dan terludahnya kesumat tersebut ke wajah orang-orang yang kubenci. Padan mukalah mereka yang pernah menghinaku.

     Aku idealis yang selalu dikecewakan. Aku mengidamkan persahabatan sejati yang tidak terbina atas kepentingan sendiri. Namun begitu, sekarang, dalam persahabatan aku dengan orang lain, aku memang dipergunakan untuk kerja kursus, tata bahasa. "Pui, di manakah XX?" cukup menghunjam hati yang bertakung keikhlasan bersahabat. Jangan risau, aku sudah menerima hakikat ini sejak sekolah rendah.

     Aku terpaksa menanggung cela orang: "Pui ni sombonglah" sekiranya aku tidak menyapa senior-senior yang suka menjerit, berlagak dan membusungkan dada walhal mereka tidak menyedari siapakah diri langsung.

     Akulah raja yang bertakhta dalam hati sendiri, menghadapi segala taufan, pedang, pandangan hina, suara celaka, kota kelam, ombak resah bersendirian. Selama ini, pujuk mereka hanya rambut di permukaan kepala; tiadalah orang yang benar-benar menanyakan simpati tentang perang hatiku.

     Aku menangis sendiri, menyelimut diri pada waktu malam dan selepas mentari pagi menyingsing, aku sendirilah yang menyapu air mata di ekor mata, tersenyum menghadapi saki baki duka dalam hati, membuka jendela pagi dengan separuh kesukacitaan dan separuh kemasyghulan.

     Aku mengamuk pada waktu malam; pada waktu sunyi bahawa orang lain tidak melihat kebinatanganku yang diselaputi kulit 'orang baik' selama ini. Menjerit gila, melontarkan bantal, memukul katil, memaki orang...semuanya kubuat pada waktu sunyi yang paling menguji ketahanan iman!

     Pada setiap saat, nyawaku datang dan melayang pergi; mati lalu hidup kembali. Pada setiap saat, aku diganggu tugas dalam WhatsApp, diarahkan membuat itu dan ini atas alasan berbakti dan beramal. Tidak pernahlah aku terlelap satu saat; hanya waktu makan malam di Amjallah saatku yang paling senang hati!

     Ya, akulah penanggung segunung harapan; aku jugalah penanggung segunung kekecewaan. 
     


Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...