Saturday, June 17, 2017

Keselamatan

     Apakah keselamatan? Yang aku maksudkan bukan langkah keselamatan untuk pencegahan sesuatu bencana tetapi rasa selamat. Dengan sesetengah orang, aku berasa selamat bergaul.

     Pada hari ini, aku keluar dengan kawan itu. Kawan itu berhati lurus, berpikiran mudah, sangat mudah dihubungi.

     Keselamatan aku rasai apabila seseorang kawan tidak kisah, tidak menguap dan menghitamkan muka yang bosan apabila aku tidak bercakap dengannya. Dengan itu, aku tidak perlu memerah otak untuk mencari tajuk kesukaannya dan membimbangi bahawa dia akan bosan dengan daku apabila aku enggan berkata sepanjang hari. Kawan aku itu jenis ini, sama seperti aku: berjalan-jalan di pusat membeli belah dengan muka bosan tetapi sebenarnya sedang menikmati keringkasan suasana di sana.

     Keselamatan aku rasai apabila seseorang kawan tidak begitu banyak permintaan: hendak makan ayam goreng ini, hendak membeli baju Padini, tidak suka bergaul dengan orang yang sekaku kayu yang tidak tahu berkomunikasi. Kawan yang sikit permintaan paling senang digauli kerana apa-apa yang anda cadangkan pasti dianggukinya. Kalau aku hendak makan makan malam di Food Court, aku akan bercadang dengan suara yang berhati-hati kerana takut bahawa cadanganku bercanggah daripada cadangan yang telah ada dalam hati mereka sehingga mereka berdengus atau menghitamkan muka. Walau bagaimanapun, kawan aku itu mengangguk sahaja lalu berkata: "Jom, sebenarnya aku nak makan di sana juga, murah." Dia begitu sikit pintaannya sehingga hanya makan makanan yang murah. Kalau anda selalu mengundangnya ke Midvalley, KL Gateway, dia pasti menolak pelawaan anda dengan alasan hendak menjimatkan duit.

     Pada hari ini, aku menonton wayang dengan kawan aku itu. Aku agak bimbang bahawa penemananku akan membosankannya kerana apabila aku berjalan-jalan di pusat membeli belah, aku tidak tahu hendak berbual tentang apa. Kebetulanlah dia diam juga. Oleh itu, kita bagai dua orang asing yang tidak berkenalan: dia berjalan di hadapan, aku berjalan di belakang. Hatiku terasa juga kerana kegagalan aku dalam perhubungan. Aku berharap agar aku pemidato yang petah berkata, pandai mencari tajuk hangat. Namun begitu, itu bukan daku. Aku sebenarnya pendiam yang malas membuat reaksi besar, malas melanjutkan percakapan. Perkataan yang ringkas sudah mencukupi perhubungan aku dengan kawan.

     Di dalam panggung wayang, aku tidak selesa sebenarnya. Pikiran yang kalut berlegar dalam otak kepalaku: adakah dia bosan dengan daku? Adakah dia lebih suka bergaul dengan kawanku yang suka bercakap itu? Kami berdiam sahaja, merenung papan layar panggung wayang yang menayangkan iklan. Entah kenapa, senyum syukurku mudah diukirkan pada bibir apabila aku dengannya. Mungkinlah aku menyukai orang yang mudah pintaannya. Gurau pun menjadi mudah. Titik lucunya mudah dicuit. Suara berdekah-dekahnya selalu kedengaran di panggung wayang apabila kawanku itu  menonton babak yang melucukannya sedang babak itu tidak begitu lucu padaku.

     Terima kasih kerana menemani jiwa yang kering ini, kawanku.

Friday, June 16, 2017

Meletakkan Kecemburuan

Kehidupan yang ringkas sering menambat senyum pada wajah. Aku tidak cemburu lagi akan kawanku. Pada hari ini, daripada kawanku itu sendiri, aku mendengar bahawa dia mendapat CGPA 3.71. Dulu, hatiku akan berpikir: "Eleh, hebatlah, hebatlah, aku tahu, aku orang yang lebih lemah daripadanya, tidak dapat berubahlah hakikat ini." Sekarang, aku hanya tersenyum, hatiku tenang sekalipun CGPAku hanya 3.57, besarlah jurang markahku daripada markahnya. Hatiku menumpang kegembiraannya. Kehidupan tidak perlu begitu meletihkan diri dengan kecemburuan dan pembandingan. Hiduplah ringkas, hiduplah dengan diri yang sebenar-benarnya.

Wednesday, June 14, 2017

Yang Berisi Muka Dibosankan; Yang Kosong Tangan Ditepuk

     Sikap manusia seperti mata hari terbit pada waktu malam; bulan terbit pada waktu siang. Dalam satu bulatan, pecakap yang terkenal hanya perlu mengangkat tangannya sambil terbatuk-batuk, berpura-pura mengeringkan kerongkong sahaja untuk mendapat sorak dan tepuk yang menggegarkan telinga padahal isi percakapannya mudah dan tidak lahir daripada hati ikhlas dan pikiran dalam tetapi mengikut perkataan orang lain, seperti: "Hai, nama saya XXX, saya gembira berkenalan dengan awak semua, harap saya menjadi guru cemerlang, itu sahaja." Orang yang tiada terkenal terpaksa mencabut lapis malu mukanya lalu berkata dengan hematnya, meluahkan pikiran hatinya yang benar dengan kata-kata yang serius sehingga orang mencondongkan kepala, mengedutkan dahi, menyokong kepala dengan belakang telapak tangan atau berbual-bual dengan kawan lain untuk mengusir kebosanan. Segelintir orang memalsukan sikapnya dengan memandang orang itu dengan mata tertumpu sepenuhnya pada pantulan cahaya bebola mata pecakap itu tetapi dia curi-curi menguap kerana hatinya jemu benar mendengar kata-kata yang serius, yang tidak disertai jenaka. Perkataan yang bermakna tidak berminat didengar tetapi diangguki sebagai tanda melalainya; perkataan yang kosong dengan badan digoyangkan sedikit pula ditertawakan dan mendapat tepuk dan sorak. Sekarang, yang didengar orang atau isi orang itu? Patutkah kita serius meluahkan pikiran hati atau menaruh lapis tutup pada lubuk hatinya lalu berjenaka untuk memuaskan keinginan orang, bukan memuaskan hati diri?

Tidak Sanggup Meninggalkan Tanah Kegembiraan Fana

     Aku tidak sanggup meninggalkan tanah kegembiraan itu —— memang tidak sanggup. Aku tidak terbayang tahap kesakitan roh setelah rohku dicabut daripada khayalan untuk ditapakkan di bumi kenyataan.

     Pada hari ini, aku bergembira dengan rakan kumpulan baharu. Aku mengenal perempuan yang cantik-cantik dan selalu tersenyum, suka bercakap dan bermesra dengan orang: perempuan rakan sekelas lama Jeffrey yang memakai gincu merah untuk diri kelihatan seperti wanita dewasa anggun ada; (Fariah?) yang matanya bulat melilau sekeliling, sangat comel ada; Naniah yang berlagak dingin, lawak tetapi sebenarnya hati hendak sangat bermesra ada; Khuzaimah yang selalu mengelipkan matanya yang bijak terang ada; Hanis yang tunduk malu, bermuka murung juga ada tetapi aku mengetahui bahawa dia ingin bergaul dengan kita, cuma dia menjaga batas lakunya dengan berpegang teguh pada syariat Islam.

     Aku lebih suka berkawan dengan perempuan kerana mereka sangat mesra, suka melukiskan senyum pada wajah semasa bercakap dengan daku. Aku berasa bebas berjenaka dengan mereka sekalipun tetap menangkap perkataan yang melangkaui batas kesopanan percakapan, tiada ketegangan; tiada kesyakan. Dengan lelaki, aku menjaga adab sedikit kerana takut melangkaui sempadan kesantunan agama Islam mereka, takut memijak pantang mereka. Maklumlah bahawa mereka tidak akan tergelak atau tergelak sambalewa sahaja apabila aku bergurau dengan mereka. Perempuan pula tidak sama: apa-apa pun digelakkan, sangat lurus.

     Aku memilih perwatakan sambalewa pada hari ini. Sebenarnya, kesambalewaan itu telah muncul dalam diri sekian lama, hanya ditunjukkan apabila aku tidak bertenaga melayan kesukaan kawan lagi. Aku tiada tenaga tetapi berlawak dengan kelemahan badan itu. Apabila kaunselor, Cik Sally bertanya: "Minta jelaskanlah maksud susunan barang awak." Dalam kelemahan, aku berani berdiri, menegakkan kepala lalu berkata: "Pada kami, barang yang paling penting pembacaan, jadi saya menetapkan buku ini pada kedudukan pertama. Menurut Islam, dalam wahyu pertama, Allah menyuruh umat-Nya membaca buku, haaa, jadi itulah yang terpenting. Dengan membaca buku, kita ada ilmu. Selepas itu, kita baru ada ilmu untuk mencari untung, jadi 10 sen yang kecil itu saya atur pada kedudukan kedua..."

     Sebelum aku sempat menghabiskan perkataan, kawan Islam aku pun meletakkan telapak tangan di tepi mulut lalu bersorak, bertepuk tangan dengan daya sekuat-kuatnya, memejamkan mata mengangakan mulut seluas-luasnya. Mereka tidak menyangka bahawa aku yang beragama Buddha begitu ahli dalam hal ehwal Islam. Aku memang arif pun kerana aku pernah membaca Sejarah Tingkatan 5 serta beberapa rangkap surah.

     Aku berjaya menggetarkan badan kawan dengan jenaka keterlaluanku ini. Sungguh gembiralah aku kerana dapat menyiram jiwa mereka yang hampir layu oleh kebosanan ceramah hari suai kenal.

     Selepas hari ini lepas, kita akan belajar seperti kebiasaan. Senyum dan gelak tidak dapat dilihat lagi tetapi kembali kepada wajah serius dengan buku di tangan dan mata yang sibuk melilau sekalian ilmu dalam buku itu. Aku tidak hendak melepaskan hari ini. Aku ingin bertapak di tanah kegembiraan ini selama-lamanya walaupun  kegembiraan itu fana. Namun begitu, dalam lubuk hati yang sedalam-dalamnya, aku, dengan rasional, menyedari bahawa kegembiraan tidak selalu ada, sementara sahaja. Yang lebih penting cara bahawa kita mengendalikan tekanan daripada kerja kursus yang berlambak-lambak pada suatu masa nanti.

Tuesday, June 13, 2017

Rasa Berpuasa

     Buah pinggang bermula mengecut, mengering sehingga tinggallah lapis luar sahaja. Lidah dilekati air liur yang sama suhu, tidak merasa setitis air segar sehingga kering kontang perlahan-lahan, ditumbuhi lumut. Badan terhenyak ke lantai, bersandar pada kerangka katil Srigaanth. Tangan lemah, umpama tiada darah sehingga telefon hampir lucut daripada pegangan.

     Badan hanya mampu berpeluh sejuk apabila saya terpikir bahawa saya terpaksa menunggu berjayanya ujian baharu itu.

Sunday, June 11, 2017

Aku Tidak Riak

     Aku tidak riak, serius. Aku membuat perkara mulia semata-mata demi tujuan baik.

     Kadangkalalah aku akan menulis kesalahan tata bahasa yang kurang disedari orang ramai dalam Facebook. Tujuan baik aku mengingatkan mereka agar mereka tidak mengulang kesalahan kecil yang mampu mencemari rupa bahasa Melayu. Semasa melihat bilangan kesukaan orang yang semakin hari semakin banyak, aku puas kerana orang ramai mengambil berat soal bahasa.

     Maka aku mendapat galakan untuk menulis kesalahan tata bahasa yang lebih banyak. Namun begitu, setiap kali aku mengirim tulisanku, aku akan memeriksa kiriman itu semula setelah menutup Facebook lima minit tadi. "Hmm, 15 kesukaan," hatiku puas lalu aku menutup Facebook. Selepas beberapa minit yang singkat berlalu, aku membuka Facebook semula untuk menyemak bilangan kesukaan —— semata-mata untuk menyemak bilangan kesukaan supaya aku mendapat kepuasan dan keagungan kerana tulisanku bermutu tinggi, bukan puas kerana kesukaan yang lebih banyak bermakna bahawa orang yang lebih banyak mendapat manfaat daripada kirimanku!

     Aku pernah memberi tahu hatiku: "Aku tidak riak." Apakah yang sedang kubuat sekarang?

Pembencian Keburukan yang Kekal?

     Apakah kebencian yang kekal? Seorang yang anda benci mengganggu anda setiap hari dengan sindirnya, lawak kuningnya. Anda membencinya kerana dia tidak bermoral, maka anda menjauhinya setiap hari.

     Pada suatu hari, anda berasa sunyi. Anda hendak mencari kawan berbual tetapi apabila melihat puak demi puak yang hanya tertawa dalam puak masing-masing, anda tidak berdaya mencari siapa-siapa pun. Pada masa ini, musuh anda mendatangi anda lalu menepuk bahu anda: "Eh, si ulat buku! Membaca buku lagikah? Marilah, malas sikit tak apa, kehidupan hanya sekali,..." Selepas menghalang anda menjadi diri sebenarnya, dia memulakan lawak kuning tanpa memedulikan kesudian anda. Rentak sayu bermain dalam hati. Rupa-rupanya, pada saat paling sunyi, musuh andalah yang terapat dengan anda.

     Oleh itu, anda mencuba melembutkan hati, bergaul dengannya. Musuh anda ini, walaupun menjengkelkan orang di kelilingnya kerana sering menyindir orang lain, dia mengambil berat anda. Anda ingin mencecah sinarnya agar dikenal ramai juga.  Maka itu, anda belajar menyindir orang di keliling dan orang bermula melengkungkan kening: "Eh, si baik sudah menjadi jahatkah?" Maka menerima andalah mereka sebagai orang terkenal. Namun begitu, pada akhir, anda masih dipandang rendah oleh orang lain kerana mengikut gelagak musuh yang anda benci pada mula.

     Anda tidak rela mengikut musuh anda itu lagi tetapi anda mengira bahawa dialah yang mengambil berat anda pada saat bahawa anda paling sunyi. Namun begitu, mulutnya busuk, matanya kuning. Adakah kawan sebegini baik digauli? Tidak. Maka anda meninggalkannya. Anda tidak menyahut sindir dan jenaka kuningnya. Dia yang payah memercikkan air liur kepada anda setiap hari pun semakin hari semakin renggang dengan anda lalu menggauli kumpulan terkenal yang lain.

     Anda hendak mencari kawan yang mulia budinya tetapi anda bermula perasan bahawa setiap orang ada kumpulan sendiri, memang tidak dapat disertai kecuali anda menjadi seperti mereka: bercakap seperti mereka, bergaya seperti mereka. Anda tidak menghendaki pemalsuan diri umpama itu.

     Jadi, anda pun bersendirian. Musuh yang anda benci pada mula terus anda benci.

     Walau bagaimanapun, perkara pokok dalam tajuk ini: adakah kebencian itu kekal? Jika musuh anda mengambil berat anda, anda tentu terharu lalu memperbaikinya sekalipun dia jahat dan anda memang tidak suka akan perangainya. Hal ini berlaku kerana dia teman pada saat terpenting anda ——— saat kesunyian, Pelik betullah manusia ini! Orang yang dibenci, yang berakhlak buruk disukai semata-mata kerana menyindir diri pada saat sunyi.

     Aku bermula meragui: adakah orang baik yang sebenar-benarnya di dunia ini? Orang baik sepatutnya membenci orang buruk tetapi sifat ragu-ragu manusialah yang telah menjadikan bahawa orang baik menyukai orang buruk kerana biasa akan sindir dan kata kesatnya sehingga menjadikan segala perkataannya penawar kesunyian. Betulkah perbuatan itu? Adakah pembencian keburukan yang kekal?

Saturday, June 10, 2017

Kegembiraan Asli yang Tidak Kembali Lagi


Aku penat mengejar jaya dan cita-cita. Setiap hari, aku menulis novelku. Apabila bermula menulis, aku pun bermula lari daripada tekanan penulisan seketika dengan Tetris Battle. Oleh hal demikian, aku mencari cakera padat Gamehouse untuk memuat turun Diner Dash semula yang aku mainkan pada zaman kanak-kanak untuk mencari kegembiraan yang asli, yang lahir daripada hati kanak-kanak.



     Walau dengan apa ragam aku bermain Diner Dash pun, aku tidak tercari kegembiraan ringkas itu lagi. Dulu, aku akan cepat mengklik meja ini, meja itu dalam mainan untuk memastikan bahawa setiap pesan pelanggan diterima dan pelanggan tidak marah lalu pergi, seterusnya bintang capaian pun berkurang dan markah sasaran tidak tercapai. Tambahan pula, adik dan saudara mara akan mengelilingku, melihat permainanku dengan mulut separuh ternganga. Kehidupan dulu memang sangat meriah.

 

     Sekalipun tidak ingin, aku terpaksa menghadapi kedewasaan juga. Aku telah besar. Kegembiraan asli zaman itu sudah hilang setelah diuji dengan pelbagai cabaran, kemalangan dan kesedihan. Entah ke manalah rasa gembira itu melayang. Kegembiraanku sekarang pada waktu bermain Diner Dash bercampur dengan kebimbangan bahawa kerja tidak disiapkan. Kegembiraan sekarang tidak tulen lagi sebaliknya berbaur dengan berbagai-bagai kerisauan yang sebenarnya tidak diperlukan dan pemalsuan yang disengajakan dengan harap bahawa pemalsuan itu memperdaya hati yang resah.



     Aku telah mencuba beberapa cara untuk mencari kegembiraan asli kembali tetapi gagal. Aku hendak bermain The Sims 2 semula, mencari kegembiraan apabila melihat seisi keluarga dalam mainan itu bersama; apabila membina rumah kaya. Namun begitu, cakera padat itu tidak ada dalam pasaran lagi. Ibuku menanyai kedai demi kedai tetapi kebanyakan kedai menafikan keadaan mainan elektronik itu. Jika The Sims 2 ada pun, mereka tidak termuat turun mainan yang rumit dengan Windows 10 canggih yang tidak sesuai dengan umur mainan itu.



     Apatah daya? Hati sudah dewasa, sudah mengenal pelbagai falsafah yang memperlagakkan aku sebagai pemikir yang murung, petindak yang waras. Kanak-kanak yang suka meluru lebih gembira daripada orang dewasa yang selalu berpikir.


Penilik Nasib

     Kita tidak memercayai penilik nasib kerana ibu bapa sudah memakukan pernyataan bahawa mereka merepek untuk mengaut wang sejak kecil lagi pada pikiran kita. Oleh itu, kita benci akan sikap mereka yang tidak jujur dan tidak pernah melayan panggilan mereka. Segala ajaran mereka khurafat dan tidak berasaskan sains yang menilai logik berlakunya sesuatu kejadian dunia. Namun begitu, kalau ramalannya tepat, adakah anda akan mengubah tanggapan buruk anda terhadap penilik nasib? Jika anda memercayai kuasa ketuhanan penilik nasib, ke manakah perginya akhlak mulia anda yang hanya memercayai Tuhan yang esa? Ke manakah pertimbangan kita yang rasional?

     Walaupun begitu, jika tilikannya memberikan manfaat kepada anda, adakah penilik nasib ini anda kira sebagai pekerjaan yang mulia, yang memberikan kegembiraan kepada orang lain?

     Seorang pemudi 21 tahun yang berpelajaran tidak memercayai penilikan nasib. Dia sudah muak menyaksikan penilik nasib yang berlagak pandai, kononnya dengan menyentuh telapak tangan, tukang nasib itu dapat menilik nasib seseorang. Padanya, pelajaran mereka lebih rendah daripada pelajarannya. Maka itu, orang sebegini hanya memandang wang, tidak mementingkan akhlak dan hubungan antara manusia.

     Pada suatu hari, seorang penilik nasib yang memakai kain guni buruk di luar baju santainya memanggil dan menggamitnya. Dia tidak peduli kepada panggilannya kerana ramalannya pasti tidak tepat. Penilikan nasib hanya membazirkan masa dan wang. Apabila dia degil membelakanginya untuk pergi...

     "Cik, bapa awak berkahwin lagi, kan?" penilik nasib itu bertanya.

     Gadis itu terperanjat. Bagaimanakah dia tahu? Adakah pada belakangnya, terpahatlah tulisan ghaib yang hanya mampu dilihat peramal nasib itu? Dengan rasa ingin tahu, gadis itu perlahan-lahan mendekati penilik nasib itu dengan muka tidak percaya lalu menghulurkan telapak tangannya.

     Melalui wajahnya dan garis telapak tangannya, penilik nasib itu meramalkan suratannya. Dia mengecilkan mata, mengamati muka gadis itu. Diberitahukannyalah bahawa pemudi itu akan menemui lelaki takdirnya pada malam ini. Pemudi itu tidak percaya tetapi tetap segan mengangguk dan membayar khidmatnya.

     Sudah banyaklah kali bahawa dia mendengar bohong begitu. Di manakah mungkinnya bahawa dia memperoleh teman lelaki? Dia yang sederhana ini tidak dipandang oleh bungkusan luar yang cantik pun...

     Namun begitu, keajaiban berlaku pada malam itu. Semasa memandu kereta ke restoran, dia membeliakkan mata, menekan berek sekuat-kuatnya kerana seorang nenek menyeberang jalan tiba-tiba. Seorang lelaki yang bulat matanya, rambutnya labuh ke dahinya memapah nenek itu menyeberang jalan. Lelaki itu agak kacak juga, menyentuh hati pemudi itu sehingga matanya bulat bersinar-sinar ketika memandangnya.

     Di restoran, dia menjumpai lelaki itu sekali lagi. Lelaki itu duduk di sudut kirinya. Pemudi itu bermula berpikir: "Adakah ini takdir?" Dia bermula meragui ketepatan perkataan penilik nasib itu.

     Tali takdir masih tidak ingin melepaskannya. Di panggung wayang, gadis itu tidak menyangka bahawa orang yang duduk di sebelahnya lelaki yang ditemuinya di restoran tadi! 'Apakah sebab kebetulan itu daripada sudut sains?' gadis itu mencondongkan kepalanya, berpikir. Dia menertawakan diri, menggeleng, tidak terdapat jawab.

     Walau bagaimanapun, perkataan penilik nasib itu khurafat, tidak mengikut kewarasan sains! Bagaimanakah penilik nasib itu dapat memperoleh kuasa ghaib sedemikian?

     "Selamat petang. Saya menemui Cik tadi di restoran. Kebetulan ya?" lelaki itu menyapanya.

     "Ya, saya pun. Pelik, kan?" gadis itu tersenyum segan.

     Akhirnya, mereka menjadi kawan rapat, berkembang kepada kekasih. Apabila memikirkan pemandangan rendahnya terhadap penilik nasib, dia sesal. Ramalannya yang  menjadi nyata ini memenuhi hatinya yang gersang setelah ayahnya lari dengan wanita lain dengan kasih yang tertakdir ini. Oleh itu, adakah penilik nasib selalu salah, tidak bermoral kerana menipu wang orang lain? Kalau tilikannya yang baik dapat membahagiakan orang, apakah salahnya penilik nasib? Kalau bukan peringatan peramal itu, pemudi itu mungkin masih bingung mencari teman kehidupannya. Dia  bermula meragui kerendahan nilai khurafat...





Friday, June 9, 2017

Mimpi

Mimpi
Menghampakan hati
Berganding bahu
bawah siraman mata hari
Ditemani
tiang lampu sunyi
Saling bersandar
sebagai pasangan habibi
Namun tersentak daripada mimpi
Tiada lagi.

Mimpi
Mensyukurkan diri
Leter kesayangan
ditangkis ke tepi
dihebatkan dengan rasa benci
Lalu tersenyum melambai kembali
hilang di awan bersemadi
Tuhan murka bergegarlah bumi
Tidak menghargai sesal abadi
Namun tersentak daripada mimpi
Kesayangan masih ada lagi.
Mimpi
Mencabut gari
Melompat berlari
Mencapai awan tinggi-tinggi
Terbang sebebas burung nuri
Angin bertiup meresapi hati
Tidak terperilah kebebasan hakiki
Namun tersentak daripada mimpi
Belenggu kehidupan masih menggari diri.
Mimpi
kadangkala mengelirukan diri
Melancar di atap tengah hari
Dikejar bayang misteri
di tingkah rumah tidak berpenghuni
Kemudian muncullah pemandangan ini
Aku menggelongsor di papan ke kanan dan ke kiri
Jatuh ke lopak air yang terpercik ke pipi
Kemudian bangkit berlari-lari
memanjati papan gelongsor lagi
Gembiranya hati buatan asli
Namun tersentak daripada mimpi
Menggaru kepala menepuk naluri
Rupa-rupanya aku hanya orang dewasa yang menyimpan duri.
Mimpi
Ubat penenang keresahan
Ubat penidur kepiluan
Jalan mencari kebahagiaan
Alam meredah keanehan
Wadah peringatan Tuhan
dan yang penting sekali
Jalan menikmati penjadian diri.
Mimpi
Tidak terduga
tetapi menyelamatkan jiwa
Sekurang-kurangnya
selamat di dunia
yang tidak dilanda nestapa.
Pui Wen Hang
4 Jun 2017
Kuantan, Pahang.

Di Sempadan Kehilangan

     Bukan semua remajalah yang memiliki keluarga yang bahagia dan sempurna. Hal ini disyukuri oleh Kesuma kerana ibu bapanya masih sihat. Namun begitu, kehidupan mereka berubah selepas ayahnya, Rahman mendapat satu panggilan rahasia. Peristiwa itu diperumit oleh Farhan, bekas kekasih ibunya, Intan yang tidak putus asa merebut Intan daripada Rahman.

     Demi kebahagiaan ayahnya, Kesuma telah menyimpan satu rahasia. Supaya rahasia itu tidak
diketahui ayahnya, Kesuma berlakon dan melindungi rahasia itu, sekali demi sekali…

     Adakah ibunya, Intan akan berbaik semula dengan Farhan, kekasih lamanya? Apakah yang akan berlaku kepada keluarga Kesuma jika perbaikan itu berlaku?

     Rahman tidak akan kehilangan Intan kali kedua. Di sempadan kehilangan, dia akan melawan Farhan diam-diam sehingga pembunuhan pun disanggupinya…

Yang diperkenalkan di atas ringkasan novel terbitan pertama saya yang bertajuk Di Sempadan Kehilangan. Nantikanlah wajahnya di pasaran.

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...