Thursday, March 29, 2018

Detik-detik bahawa Kaki Tidak Menjejak Bumi

     Tulang sendi menggeletar dalam hati yang kosong dan tiada pegangan.  Hormon adrenalin yang terpancut-pancut daripada salur halus entah yang mana melanda hati. Manik-manik peluh memenuhi dahi ketika tanganku gelabah membelek kertas-kertas panduan. Hormon yang galak itu menyebabkan perpeluhan tangan. Kakiku ingin bergetar bersama tulang sendi namun tangan masih menggenggam ketabahan, membelek-belek kertas panduan untuk hari besar esok. 

     Hari besar esok kian tiba, barulah aku tergesa-gesa berlari dari komputer ke komputer untuk mencetak kertas pembahagi fail yang bertulis: Biodata, Instrumen Penilaian Diri, Kolaborasi, Refleksi. Pada waktu petang, aku tidak gelisah kerana ingin menyusur irama dan angin tenang petang yang amat sesuai untuk pembacaan novel A. Samad Said. Aku memang hendak menyiapkan fail pada waktu malam. Sekalipun aku tahu bahawa ada masa yang cukup pada waktu malam untuk penyediaan fail, masih terselitlah kesesalan bahawa diri bekerja pada saat akhir.

     Dalam beberapa hari P.B.S., memanglah seluruh sarafku gelisah, bagai kian ghaib daripada badan ketika aku akan menjadi guru ganti suatu kelas. Walaupun jarak masa daripada pengajaran lama: setengah jam, aku masih tidak mampu memulakan kerja membaca yang kugemari kerana kegelisahan yang tidak tentu tanpa hujung. Aku takut bahawa murid akan membisu setelah mendengar lawak lapuk yang tidak lucu; aku takut bahawa murid akan menguap setelah aku lama berjenaka tanpa mengajarkan apa-apa yang bermakna; aku takut bahawa teriakku tidak dipatuhi murid yang nakal; aku takut, aku takut...biarpun hati sudah memasakkan keyakinan, kegelisahan masih terselit antara bara keyakinan itu.

     Aku memasuki kelas 6H, 4S, 5T—kelas belakang. Memang tabii merekalah sorak-sorai dan ketawa. Aku menyaksikan sinar yang ikhlas daripada hati ketika meneliti wajah mereka yang sesuci kain putih. Aku pernah memperhatikan pengajaran guru P.B.S. lain. Mereka terus menayangkan wajah tidak puas sambil memakukan patah demi patah arahan untuk menimbulkan ketakutan dan kepatuhan yang terpaksa dalam jiwa murid. Aku tidak menghendaki kaedah lapuk begini. Aku menghendaki pemikiran bahawa murid berasa gembira dan selesa ketika menemui saya. Ini manusia, bukan jentera! Murid-murid mesti belajar dalam keriangan, lagipun ini kelas belakang yang berpenerimaan lambat! Namun demikian, kekurangan cara berlembut dan bermesra ini bahawa murid akan melompati lalu mendaki kepala kita kerana kita tidak ada aura harimau langsung yang wajar disegani mereka. 

     Aku masih mengingat kelas 6H. Aku memang sudah kehilangan pengawalan terhadap mereka dan dari saat itulah kekalahan berakar dalam hati. Itu kali pertama bahawa aku mengendalikan bilik darjah. Mula-mula, aku menceriakan hujung hari mereka dengan menyuruh mereka berbaris sambil mengurut-urut bahu kawan sekuat-kuat yang mungkin. Memang seronoklah mereka mengurut bahu kawan malah ada yang berdekah-dekah dengan bahu yang mengecut kerana geli, haha! Kemudian, aku mencuba menerapkan kaedah pengganjaran untuk pengukuhan tingkah laku (Teori Behaviorisme) dengan mengganjari murid yang menjawab kuiz Sejarah aku dengan betulnya untuk membangkitkan minat mereka akan Sejarah. Aku memang terpujuk ketika melihat bahawa murid-murid begitu aktif menyertai kuiz ini sehingga membelek-belek buku Sejarah, berdiri lalu duduk di tempat hadapan untuk mendengar kuizku lebih jelas lagi...memang berjayalah pengajaran dan pemelajaran aku.

     Sangka riang ini tidak berpanjangan. Masalah muncul dalam kegiatan akhir. Ini waktu sejarah, jadi saya ingin menyimpulkan pengajaran dengan penyanyian lagu patriotik—Jalur Gemilang. Aku hendak menerapkan unsur kecintaan akan negara dalam pengajaran Sejarah. Namun begitu, sudah menjalarlah kedut pada dahi murid dan bangkitlah suara-suara bantahan dan jemu. Mereka mengatakan bahawa lagu patrotik kolot lalu seorang demi seorang keluar untuk menekan-nekan YouTube pada papan sentuh, bermaharajalela terhadap komputer tersebut malah berdiri sama tinggi dengan daku sekarang! Itulah mulanya bahawa kelasku kehilangan pengawalan dan aku reda sahaja kerana aku tidak hendak menjadi harimau yang mengongkong kebebasan murid (memang bukan hasratkulah pengongkongan murid dengan pelbagai arahan!) Maka aku menjerit sedapat-dapatnya, merundingkan keadilan dengan mereka yang sudah dewasa: "Boleh mendengar lagu masing-masing tapi bergilir-gilir, baik?"

     Aku memang ingat bahawa aku berkata demikian namun murid mudah lupa dan mungkir. Seorang dua orang murid Cina memesan lagu Cina. Aku memang membenarkan pemainan lagu Cina walaupun satu-satunya gadis Melayu di dalam bilik darjah, Nur sedang menopang dagunya  dan mulut terganga (kesian pulalah murid Melayu yang terpaksa mendengar lagu asing...). "Selepas lagu Cina, lagu Melayu ya!" Mereka menukar janji pula: "Selepas dua lagu Cina, dua lagu Inggeris; selepas itu baru dua lagu Melayu!" Aku tidak peduli. Selepas dua lagu Cina, aku membenarkan Nur memilih lagu. Aku hendak adil. Dia pun mengetik "Lompat Si Katak Lompat". Pada masa itu, bangkitlah suara bantahan dan kedut-kedut bermula kelihatan pada dahi-dahi yang licin itu lagi...

     Saat yang memasyghulkan daku bahawa seorang murid perempuan Cina yang berambut cendawan berkata: "Cikgu, kenapa memedulikan Nur? Dia 'Melayu'; 'Melayu!' Paham cikgu?" dia berkata sambil membengkokkan jari telunjuk dan jari hantu kedua-dua belah tangannya, seakan-akan sedang menghantar isyarat yang tidak kupahami. Aku membantah, mencuba berbahas dengannya: "Apakah perbedaan Melayu dengan Cina? Kita ada mata, hidung dan mulut yang sama; kita hidup di bumi yang sama!" (Aku bukan bergaduh dengan keberangan tetapi hanya mencuba berbahas dengan budak, melayan budak itu bagai orang dewasa) Ya Allah, inikah hasil murid sekolah jenis kebangsaan? Pengasingan bangsa semakin menebalkan perkauman dan ketidakpahaman...

     Aku tidak membenci murid itu kerana murid itu masih kecil. Aku menyalahkan sistem pendidikan vernakular ini. Aku menyokong sistem pendidikan kebangsaan! Penggunaan bahasa Melayu di sekolah kebangsaan tidak bermakna pemelayuan semua bangsa—itu hanya suara sumbang politik!  Itu bukan pemaksaan semua bangsa supaya mereka mengikut tata cara orang Melayu. Mereka bebas menggunakan sudu dan garpu untuk makan, berbicara dalam bahasa Mandarin dan bahasa India sewaktu bergaul dengan kawan-kawan sebangsa malah bebas mengadakan tarian Cina, India, Bidayuh, Iban di pentas sekolah kebangsaan.. Namun begitu, daripada segi bahasa kebangsaan, mereka berkongsi satu bahasa sahaja yang mudah dipahami dan mempersatukan bangsa—bahasa Melayu.

     Aku memang tidak berkira tentang peristiwa "Melayu" itu namun beberapa ketika kemudian, kebencian bermula timbul ketika wajah gadis berambut cendawan itu asyik terkelip dalam kotak pikiran, mengganggu kotak pikiran yang tidak ingin mengimbas kembali kemalangan itu. Ya, aku memang sangat sedih pada masa itu sehingga sapaanku berkurang; senyumku pun lekang. Tiada sinar pada wajahku. Aku duduk terpaku di tempat asal, termenung sahaja. 

     Walau bagaimanapun, hatiku yang kecewa terpujuk oleh seorang gadis dari 4S, kelas belakang juga. Terharu betullah aku ketika aku memperhatikan cara bahawa gadis itu menghargai kawannya yang berlainan bangsa. Ada seorang gadis bertudung serba putih yang bernama Lyana. Dia sangat pemalu, asyik menekup mulut sambil ketawa berdekah-dekah tidak semena-mena ketika aku menanyainya soal. Kemudian, seorang gadis Cina yang bertocang memeluk lehernya sambil tersenyum lalu berkata: "Cikgu, memang macam tulah dia, malu." Masya-Allah, pekat betullah bahasa Melayunya! Cara berbicaranya serupa dengan lenggok suara orang Melayu! Gadis Cina itu menggelikan kawannya dengan mengurut-urut bahunya sekuat-kuatnya pula. Naifnya dua orang kawan tanpa prasangka...

     Ya Allah, mesranya hatiku ketika melihat pelukan dua orang kawan daripada latar belakang yang berbeda. Adanya perpaduan di sekolah vernakular meragu-ragukan dugaanku bahawa hanya sekolah kebangsaanlah yang mampu mewujudkan perpaduan...

     Mungkinlah kita tidak perlu begitu tegas sehingga hendak memberontak, meruntuhkan sekolah vernakular. Biarkanlah berdirinya sekolah vernakular supaya bahasa ibunda masing-masing dapat ditegakkan asalkan semangat perpaduan itu masih terpasak dan tersebar!

     Di lorong, mereka berjalan tegak: ada yang tersenyum sambil bersembang, ada yang meluruskan riak wajah sambil membongkok sambil menyapa ketika menemui aku. Aku berpaling ke kiri: beberapa orang budak kecil sedang menarik telinga sambil berdiri di muka pintu. Seorang budak sedang menghulurkan tangan sambil dirotan guru. Terdengarlah lontaran herdikan guru di mana-mana. Aku melihat murid yang berjalan pula. Ada senyum yang terlakar pada wajah mereka. Di balik senyum itu, aku membayangkan wajah yang lurus yang tidak berani meluahkan apa-apa riak di bilik darjah kerana guru yang garang.

     Inikah senyum yang hendak kita hasilkan?

     Sejak menjadi guru ganti kelas 6H, memang sudah terbitlah kekalahan bahawa aku bukan guru yang baik kerana tidak dapat mengawal keadaan bilik darjah. Aku memang ingin mendongak lalu berjalan lurus tanpa menyesali apa-apa kerana menginsafi bahawa ini hanya percubaan dan manusia memang tidak sempurna! Walau bagaimanapun, cita-cita tinggi yang kupikul pada pundak memang meluluhkan keyakinan terhadap diri. Sejak hari itu, aku mengalami gangguan saraf ketika ingin mengganti seseorang guru untuk sesebuah kelas dengan pelbagai pikiran dan tafsiran yang negatif. Sarafku bagai tidak menjejak darah; kakiku bagai tidak menjejak bumi. Aku gelisah sehingga sakit perut kerana takut bahawa aku tidak dapat melaksanakan tanggung jawab sebaik-baiknya. Punggungku tidak aman menetap di atas sebuah kerusi. Aku mesti bangun lalu berjalan-jalan untuk mempersiar-siarkan hati yang dirundung kebingungan.

     Ah, biarkanlah bahawa kegelisahan ini terpahat sebagai kenangan yang wajar diimbas dalam hati!
     

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...