Tuesday, March 13, 2018

Kecelaruan, Kederitaan, Keindahan Permainan Perasaan

     Ini coretan daripada perasaan yang kalut tidak teratur. Karangan ini tidak diatur malah tidak mampu diatur kerana perasaan yang berbelit-belit, saling menolak antara moral dengan keperluan diri itu mesti dihamburkan begitu sahaja; kalau diatur dalam rangka karangan, lagi tertekanlah permainan hati yang gila.

     Kalut. Sungguh kalutlah aku pada hari ini. Aku harus melawan perasaan itu. Tidak hendaklah aku menanggung kederitaan yang memamah hatiku perlahan-lahan; sedetik demi sedetik; sehari demi sehari. Sungguh terseksalah jiwa yang menunggu sesuatu yang tidak pasti. Di bilik C2, tiba-tibalah aku termenung begitu sahaja; memandang lantai yang kekosongan makna. Aku tiada kerja. Kerjaku hanya memotong huruf. Orang lain mewarna dan mengecat huruf, melukis dan memotong bendera, menghiaskan gemerlap pada pakaian dan papan nama pasukan. Sampai setakat ini sahajakah bakat aku? Mungkinlah aku hanya berbakat dalam pemotongan huruf. Aku tidak pernah memajukan diri dalam kesenian.. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan tetapi entah-entah aku hendak meneruskan perdirian di tempat yang sama sampai bila-bila macam ini? Bagaimanakah aku hendak berfungsi dalam penghiasan rumah sukan yang akan datang? 

     Antara pengekalan kebolehan diri, pengakuan kelemahan diri dengan pemajuan diri dengan pemaksaan...kalut. Sungguh kalut. Itu pikiran yang sungguh berat dipikirkan.

     Yang lebih berat berpusar dalam benakku bersangkut dengan sesuatu yang paling halus, paling mudah membinasakan semangat di dalam tubuh——hati. Tidak kusangkalah bahawa aku telah mengeyakan perasaanku yang terselindung dan tertekan oleh kenyataan dunia bahawa aku menyukai dia. Aku telah menyukai kawan baik perempuan sendiri. Aku berasa selesa ketika bergaul dengannya. Ketawanya bersinarkan kelapangan. Bicaranya berpedangkan kebenaran. Tindak-tanduknya bertombakkan keberanian. Dia tidak pernah berbohong di hadapanku malah menghamburkan segala falsafah dan nasihat yang bermanfaat kepadaku. Matilah aku pada kali ini. Memang tidak terselesai olehku simpul yang berselirat sekarang. Dulu, aku bertegas menetapkan niat yang suci dalam pergaulan dengannya, iaitu hanya bersahabat dengannya, tidak akan mengambil kesempatan untuk memikatnya. Kalau setiap pergaulan itu bertujuan memikat hati, bukankah itu persahabatan yang tidak suci sebaliknya mementingkan nafsu diri? Sekarang, aku terperangkap dalam dilema ini. Aku telah melanggar moral sendiri; menjadi orang yang tidak berakhlak namun perasaan cinta itu fitrah manusia; tidak dapat dielakkan! Aku tidak bersalah! Aku hanya tunduk kepada fitrah!

     Entah-entah tiada persahabatan yang kudus antara lelaki dengan perempuan? Mengapakah rentak kecintaan mesti dimainkan?

     Malam tidak pernah tenang. Dia pasti tidak akan menerimaku malah kaget akan kejutan daku ini kalau aku berterus terang dengannya. Dia pasti kekok setiap kali berjumpa dengan daku. Aku tidak hendak merobohkan persahabatan yang begitu melapangkan hatiku dan terus terang ini...Ya Allah, hambatlah alur percintaanku yang semakin membuak-buak...sungguh aku tidak sengaja...minta maaf, kawan...

     Aku tidak dapat melupai kenanganku bersamanya. Kerelaannya terbang denganku dalam peredahan alam; senyum terbukanya yang tidak pernah kisah tentang kesensitifan pendampingan lelaki dengan perempuan; malam menonton wayang buat kali pertama dalam balutan hawa segar...semuanya terhambur begitu indah dan wangi dalam saraf kenanganku, begitu mengasyikkan, menyelesakan daku dalam kesempitan kehidupan yang semakin tidak memberi aku kebebasan berkarya ini. Aku berasa bebas dengan perempuan ini. Dia perempuan yang sangat terbuka, sangat positif dan sangat berani. Dia berani melancar laju bersendirian pada malam yang sunyi. Jika sesiapa meminta bantuannya, dia pasti menerimanya dengan seruan sasa lelakinya: "Jom!". Tidak pernahlah dia menghampakan jiwa yang ikhlas meminjam kudratnya. Senyumnya menyimbahkan keterangan cahaya hatinya. Cahaya senyumnya memancarkan kerapian raut wajahnya yang begitu cantik, sesuai dengan keperibadiannya. Walau bagaimanapun, pada masa itu, aku hanya menganggapnya kawan. Tidak kudugalah bahawa gelora percintaan mengganas tiba-tiba pada malam ini ketika aku duduk di belakangnya, menemani belakangnya yang rajin menjahit pekerjaan...

     Malam ini resah. Aku berasa ingin mengelakkan dunia ini sahaja.

     Aku tidak boleh mencintainya. Sekali-kali tidak boleh kerana kesudahan pasti sama seperti pengalaman dahulu——diabaikan, dibelakangi, dilupai dalam kemeriahan orang-orang yang rancak rentak sifatnya. Siapatah aku? Aku hanya hamba lelaki lemah dalam kalangan lelaki yang sasa dan periang. Adakah dia akan memandangku? Aku tidak sanggup menanggung penolakan dan pengabaian lagi. Ya, percintaan itu hanya karma penderitaan, seperti watak Zainuddin yang menjahit kesetiaan pada sulaman kasih dengan Hayati tetapi apakah yang didapatnya pada akhir? Kehampaan, khianat, hati Hayati yang sudah tersenyum leka dalam permandian wang dan sentuhan hina yang menjanjikan kebahagiaan lahiriah sementara. Percintaan, oh percintaan! Engkau hanya benda yang merimaskan seseorang yang menaruh harap yang terlalu banyak dalam kesempurnaan sedang dunia ini tidak pernah sempurna!

     Perasaanku seolah-olah dikesannya. Dia seakan-akan mengelakkan daku. Dia tidak pernah berpaling kepala lalu berbual denganku tetapi masih rajin menjahit pekerjaan. Aku tahu bahawa aku tidak patut berpikir demikian kerana ada kemungkinan bahawa aku terlebih berpikir; dia tidak berpikir demikian...dia menganggap aku kawan; kawan yang dapat dipercayai...namun aku telah mengkhianati kepercayaannya dengan percintaan yang tidak mampu ditanggungnya...minta maaf, kawan...

     Dia masih rajin menjahit pekerjaan...sesekalilah dia menegur orang dengan keterangan hati dan suaranya. Aku pula semakin terhimit dalam keintrovertan dan khayal yang mengesyakkan kawan terdekatku bahawa aku ini sakit jiwa...

     Ya...bahawa dia mengelakkan daku, sengaja tidak bercakap dengan daku hanya khayalku dalam ketakutan kehilangan persahabatan dengannya...

     Malam ini larut dan renyah. Aku terpaksa berjuang dengan iblis hati yang selalu menghantar kantuk dan menghasut aku tidur untuk menangguhkan kerja. Aku tidak ada pilihan lain. Kehidupan di Institut Pendidikan Guru terlalu payah. Setiap langkah ditarik dan dikawal urat-urat lesu dan had masa yang ada dalam sehari. Zikir memang amat diperlukan untuk menenangkan gelora renyah.  Agama memang diperlukan untuk menguatkan kepercayaan akan harap. Apakah makna setiap hari jika setiap sela masa dipenuhi tanggung jawab yang mesti dilangsaikan segera tanpa kebebasan meneroka minat yang berfaedah? Falsafah kehidupan ini pulalah yang kurenungkan pula——lebih dalam, lebih kurang waras daripada pemikiran manusia-manusia biasa. Itulah punca kerenyahan. Kerenyahanku berkisar di keliling amanah dan percintaan. Sudahlah kerja cukup membebani jiwa; kini datang pulalah percintaan yang tidak terselesai. Memang terhimpitlah jiwaku sepanjang malam ini. Tidak dapat kuunjurkan perasaan ini kepada sesiapa kerana siapa-siapa pun tidak dapat mengerti kerunsingan daku sekarang...

 




1 comment:

  1. Wahh Pui sudah dilamun cinta. Siapakah yang berjaya menawan hati

    ReplyDelete

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...