Saturday, March 17, 2018

Kemenangan Milik Kita Bersama: Pendekar Selama-lamanya!

     Menggenggam oborlah awak. Dengan nafas yang turun naik secara terkawal yang turut membawa kepercayaan orang ramai, awak melancar di landasan yang penuh dengan persaingan langkah yang laju, seperti meredah onak liku pada hari-hari biasa. Hatimu tidak pernah gentar biarpun langit mendentamkan bumi dengan halilintar; bumi bergegar dengan kemarahan dan kedahsyatan yang penuh; biarpun pohon hijau tidak melindungi manusia lagi tetapi melayukan daun-daun perangnya bertaburan. Awak tetap akan kepercayaan diri; berpegang teguh pada tali Allah, bersujud setia kepada Pencipta yang menentukan nasibmu; memercayai bahawa Allah akan memenangkan hamba yang berusaha. Dalam hatimu, aku melihat bara yang tidak pernah padam; daripada riak wajahmu, aku dapat menggalurkan ketabahan.

     Akhirnya, engkau memintas dua orang pelari sekaligus dalam masa tiga saat, meluru ke garis penamat. Sorak kami menenggelami padang ini; kebingitan ini semata-mata demi meraih sinar jaya yang sedang melingkungi awak sekarang. Tahniah, sahabatku, Hudaina. Usaha awak tidak pernah sia-sia. Terkelip-keliplah ketabahan berlari awak dengan daku di Bukit Cinta antara sorak-sorai dan laut manusia. Awak tidak pernah mengadu letih malah mengetapkan gigi, berlari sepanjang perjalanan dengan ketahanan yang memang terlatih mantap.

      Pada Hari Sukan ini, aku menyaksikan perpaduan. "Tarik ke sini, tarik——tarik!" "Pendekar boleh——! Go Pendekar——!" Kekuatan kita terjalin padu dalam sorak terhadap pasukan tarik tali kami. Aku melihat muka-muka yang bengis mempertahankan tali di tangan: Pavitra, Hudaina, Angeline...Mereka mengedutkan dahi, jari jemari kaki teguh mencengkam tanah dan rumput, badan pula berusaha melentik ke belakang seserong-serongnya untuk mempertahankan suatu maruah. Gigi mereka hampir berdarah kerana pengetapan yang begitu kuat. Kedut dahi yang membayangkan ketabahan, kekuatan, kesusahan itu menimbulkan simpati dalam hati; pada masa yang sama, mengharukan air mataku. Mereka rela menderitai sakit belakang selepas ini demi mencoretkan kemenangan dalam sejarah pasukan Pendekar selagi kenangan masih dicipta bersama.

     Sorak bingit menulikan telinga lagi; menerbangkan bilah-bilah rumput di padang ketika Pendekar digelar johan keseluruhan. Hidup Pendekar! Pendekar (pasukan rumah kuning) telah menjulang piala johan lima tahun berturut-turut——lima tahun! Nama agung ini cukup melekakan pemenang dalam laut jaya yang dipenuhi sirap puji, sorak, harta dan nama; maka itu aku lebih berhati-hati mengurus ketakburan yang mencuba menjalar dalam kemegahan ini. Kami melompat, menggoyang-goyangkan tangan dan punggung dan bendera yang terjulang sementara ketua pasukan mengibar-ngibarkan bendera Pendekar setinggi-tingginya; semahu-mahunya. Tekak kami hampir kehausan suara kerana memekikkan kebanggaan ini. Hati kami sudah terikat kemas dalam sorak-sorai secara tidak langsung. Kami telah membentuk satu keluarga.

     Detik-detik getir pahit terimbas dalam benak sementara sorak-sorai, lompatan, goyangan dan pelukan di hadapan mata berarak menghalus daripada pandangan. Kami hanya ada tiga hari untuk melatih perbarisan, perlarian dan menghias rumah sukan. Aku masih merasai keterikan haba matahari 5.00 petang, pelekitan peluh pada badan, kebasahan belakang baju, tergesa-gesanya keluar makan dengan hati yang bimbang, kegelisahan malam yang perlu dimulakan dengan penaipan kerja kursus yang memerlukan pemikiran kritis...semua hunjaman batin ini kutahan demi penemuan cahaya yang akan menyuluh pada masa akan datang. Tidak kusangkalah bahawa kami berjaya menggenggam cahaya itu sekarang.

     Pasukan kami dikejutkan dan dibangkitkan lagi oleh jaya Hudaina dalam pemerolehan olahragawati tahun 2018. Aku dapat menyaksikan kegirangan Syah yang melompat dari rumput, mengibar-ngibarkan bendera Pendekar lalu menaungi Hudaina yang berdiri di atas tangga pemenang sambil dikalungi pingat. Syah turut memimpin kami melompat-lompat dan bersorak-sorai di tengah padang, disaksikan dengan senyum cemburu oleh pasukan lain. Gigi putih Hudaina bergemerlapan dalam kejinggaan mentari yang terik. Hudaina sangat gembira tetapi sempat merendahkan diri tanpa pergerakan yang besar. Dia hanya tersengih bawah cahaya matahari yang cukup terang. Kami pula tidak merasai kepedihan leher yang diseksa oleh bilah-bilah cahaya suria petang lagi kerana jiwa kami dipenuhi kesyukuran akan persatuan hati dan keterharuan akan kemenangan keluarga kami yang begitu hebat memperjuangkan nama untuk Pendekar.

     Aku menyaksikan bersatunya hati melalui sukan. Terima kasih, Hari Sukan. Terima kasih, Pendekar kerana memberi erti kekeluargaan kepadaku. Terima kasih kepada tiga hari ini yang membuat aku berasa selesa dengan perasaan kekeluargaan yang istimewa. Semoga kita terus mencipta kenangan begini pada hari-hari akan datang...

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...