Wednesday, March 28, 2018

Di Sini, Aku Menyaksikan Kekudusan

     Aku menapak kantin SJK (C) Chung Ching. Keadaan di kantin masih meriah dan penuh dengan murid-murid yang renek kendatipun waktu belajar sudah tamat. Ada yang pukul-memukul dengan sehelai kain yang melambangkan warna pasukan sukan mereka; ada yang saling berhadapan di papan catur; ada yang berlari-lari; ada yang berkumpulan...

     Di sini, aku menyaksikan kekudusan. Seorang budak perempuan yang bertudung serba putih sedang melirik seorang lelaki yang berkulit putih dan bertali leher merah dengan pandangan yang penuh dengan cinta. Seorang budak perempuan Cina yang berdiri di belakang lelaki itu pula meramas rambut lelaki itu. Budak perempuan bertudung serba putih itu tergelak. Ah, seseorang dilamun cinta tanpa pengaruh warna...

     Di sini, aku menyaksikan kekudusan. Seorang budak perempuan Melayu sedang menghadap seorang budak perempuan Cina yang bertocang di papan catur. Ah...budaya suatu bangsa milik bersama...

     Di sini, aku menyaksikan kekudusan. Seorang budak India yang gemuk tersepit di antara kawan-kawan Cinanya. Dia rancak berbual dengan mereka, sesekali tergelak sambil mengecutkan bahu, sesekali menunjuk-nunjuk, teruja berbicara dalam bahasa Mandarin. Ah...satu bahasa tanpa membedakan bangsa...

     Budak-budak pukul-memukul dengan sehelai kain kuning yang melambangkan pasukan kuning; seorang budak lelaki merentap baju kawannya sambil mengatakan sesuatu dengan lantangnya dan yakinnya; beberapa orang budak kejar-mengejar dengan kain kuning di tangan...langkah mereka tidak pernah berhenti; gelak mereka bergayut-gayut di rumah kedua mereka ini.

     Usah...usahlah kita mencemarkan kesucian kain peribadi mereka dengan warna bangsa. Usah, usah...biarkanlah bahawa mereka terus bersama, baik bertudung, mahupun bertocang; baik Melayu, mahupun Tionghua; baik kulit putih, mahupun kulit hitam...

No comments:

Post a Comment

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...