Friday, December 22, 2017

Kehilangan Sebab Berharap

Kerinduanku kepada kamu
memanjang menjadi seruan panjang
merintih dalam udara malam yang dingin sepi
tetapi tidak kedengaran
oleh orang yang tidak memahami kegelisahan ini
hanya kuerti
dalam kesyahduan yang tebal.

Tiap-tiap malam
hatiku resah
mengulang pembancuhan kesunyian
yang kamu kacau dengan perisa pengabaian yang pekat
Satu pesan
satu pesan sahajalah yang kupinta
untuk melangsaikan kerinduan
yang telah mencuri seketul daging hati.

Namun begitu
seruanku tidak berjawab
Kerinduan melarat menjadi keberahian
yang membara terang dalam malam yang sunyi
menghanguskan hati yang merah berharap
Yang aku takuti
bahawa harap yang bernafas sekarang
hanya saki baki keikhlasan
yang dijalari urat-urat darah kebencian
Aku sudah melupai
sebab bahawa aku berharap
Harapku hampa
Penungguanku resah.

Hati yang Lapang

Hati ini sebak
ketika mengenang bahawa diri dipergunakan
untuk kepentingan tertentu seseorang
Namun demikian
hati ini lapang
ketika mengenang bahawa diri pernah dipergunakan
untuk menyebarkan haruman
di taman ilmu.

Sunday, December 17, 2017

Kebahagiaan pada Subuh

     Bunyi penggera yang merundung mimpi tenang membingkaskan aku dari katil. Dalam kemamaian, aku ingat bahawa itu bunyi mimpi. Semasa melilau di keliling, aku mendapati bahawa hari masih gelap; langit masih menayangkan latar malam yang tenang. Lekaslah aku mensyukuri Tuhan kerana Dia membangunkan daku pada subuh. Aku meminta petunjuk dan rahmat-Nya dalam kemamaian yang sedang aku lawan dengan kesedaran. Udara segar subuh aku hirup. Aku percaya bahawa waktu ini waktu yang paling dirahmati Tuhan kerana hanya orang yang kuat rohani sahajalah yang sanggup bangun awal demi-Nya.

      Aku sedar pada waktu bahawa orang lain masih menyelinap dalam mimpi yang paling melenakannya. Tidak mudahlah aku melawan godaan tidur kembali sebagai akibat mengantuk. Sesudah berserah kepada-Nya, aku duduk di sofa yang dibahangi udara petang semalam sambil membaca buku. Angin kantuk semakin menekan rongga kepalaku; kelopak mataku semakin berat dan lena oleh baki mimi semalam. Rasa mengantuk itu bertambah tebal tatkala digoda oleh puputan angin subuh yang masih mentah benar. Aku hampir tidak tahan. Minda ini akan rebah dalam kekalahan nafsu tidur tidak lama lagi. Dalam beberapa hari pada waktu subuh, aku tertidur di atas sofa, seperti kura-kura yang melindungkan diri di dalam kerang sendiri. Aku mengakui kekalahan tersebut tetapi tetaplah aku berjuang bangun subuh setiap hari. 

         Selain membaca buku, aku mencuba menulis novel pada waktu subuh kerana aku percaya bahawa itu waktu yang didatangi bayu rahmat Allah yang paling segar. Namun demikian, beberapa kalilah aku sudah kalah akan kelemahan manusia: mendahagai perbuatan tidur ketika masa beristirahat badan tidak cukup dan perlu ditimbus segera. Aku putus asa menulis novel, menyerah kalah kepada kantuk lalu membuang diri ke sofa, memeluk diri dengan tangan dan kaki yang telah dikecutkan, menenggelamkan jiwa dan raga dalam keempukan sofa untuk merasai hikmah subuh. Aku memberikan kelonggaran kepada sendiri supaya aku tidak terlalu tertekan oleh azam kuat bahawa aku harus bekerja keras pada setiap subuh. 'Tidurlah sekarang; hari ini kecualian. Esok barulah berjuang lagi/pagi nanti baru meneruskan perjuangan,' aku memujuk diri.

            Sungguhpun subuh begitu mengantukkan daku, aku merasakan bahawa kebangunan subuh itu kebahagiaan. Aku mengecap kebahagiaan pada waktu subuh. Apakah kebahagiaan itu? Selepas bangun subuh, jiwa dipenuhi kepuasan kerana aku merasakan bahawa aku insan hebat yang memenuhi cita-cita penulisan dengan bekerja keras pada waktu bahawa orang masih tidak sanggup bangun lagi. Ini kekuatan batinku yang luar biasa. Setelah menulis novel sambil diganggu kantuk bayu subuh, aku lekas mengganjari diri dengan membenarkan diri tidur semula pada masa menyingsingnya fajar. Perasaan itu sungguh bahagia dan tenang. Aku dibaluti kebahagiaan itu ketika membalut tubuh sendiri dengan mengecutkan kaki dan tangan, bak ular yang membalut tubuh sendiri semasa tidur. Kebahagiaan itu sungguh menenangkan dan melenakan hati yang gelisah akan masa depan kerana selepas berusaha, akhirnya aku mendapat ganjaran tidur dan selepas bangun, aku berpeluang terus berjuang untuk cita-cita penulisanku lagi. Ketiduran kembali pada kala menyingsingnya fajar itu ganjaran untuk aku yang mencelikkan mata pada subuh yang paling melenakan orang. Pada kala itu, kabus dan bayu lembut yang berlegar di ruang gelita subuh menghimbau kemamaian kembali.

             Setiap hari, aku terpaksa menghadapi ketidaktentuan yang amat menggelisahkan hati. Hampir setiap pagilah mak akan membawa aku berlatih memandu kereta tepat pada pukul 7.00 pagi. Ibu akan bangun tepat pada pukul 6.45 pagi dan bermain telefon pintar untuk menunggu sampainya masa 7.00 pagi. Pada waktu penungguan itu, mengerumuni ibulah semacam 'aura pembunuhan'. Aku berasa sungguh gelisah akan 'aura pembunuhan' itu kerana 'aura pembunuhan' ibu seakan-akan memaksa aku memandu kereta dalam keadaan bingung yang kesudahan tiada terjangka. Memanglah pemanduan tidak terjangka! Pemanduan itu berpaksikan kebijaksanaan dan kelincahan bertindak balas kepada suasana semasa; putusan pemanduan itu suratan Allah——aku memahami hakikat ini tetapi hatiku masih takut. Jadi, untuk mengusir ketakutan itu, aku bersarang di sofa pada pukul 6.45 pagi sekejap. Ketenangan luar biasa kuperoleh selepas aku mengembara dalam mimpi bawah kesedaran. Setelah bangun, barulah aku menggagahkan jiwa yang masih rapuh untuk menghadapi kebimbangan pemanduan (aku bukan pemandu yang hebat). Sekurang-kurangnya, mimpi ini mampu menjadi persinggahan sementara untuk aku menghadapi kegelisahan masa hadapan yang tidak terduga.

            Bangunnya aku pada subuh memberikan nikmat yang tidak terkata. Nikmat itu hanya bertamu dalam kamar hati yang kecil sahaja; tidak sebesar nikmat berjaya membeli rumah besar. Sungguhpun kecil, nikmat itu cukup mensyukurkan jiwa yang hanya mengemis waktu istirahat yang singkat untuk perjuangan masa hadapan yang lebih panjang.

Monday, December 11, 2017

最好的爱 Cinta Terbaik

Ini seni kata lagu Cinta Terbaik - Cassandra Band yang telah diterjemahkan kepada bahasa Mandarin:
* Baris pertama seni kata asal dalam bahasa Indonesia; baris kedua terjemahan dalam bahasa Mandarin; baris ketiga ejaan bunyi bahasa Mandarin dan baris akhir terjemahan maksud bahasa Mandarin dalam bahasa Melayu.
最好的爱 (zui hao de ai - Cinta Terbaik)
Jujur sahaja kutak mampu
多么想他有谁在乎
duo me xiang ta you shei zai hu
Siapakah yang kisah sekalipun aku demikian merinduinya?
hilangkan wajahmu di hatiku.
一个人的无助 一个人哭
yi ge ren de wuzhu yi ge ren ku
Aku berasa lemah sendirian, menangis sendirian.
Meski malam mengganggu
寂寞把我给征服
Kesunyian telah menakluk aku.
hilangkan senyumu di mataku
再痛也说不出 自己清楚
zai tong ye shuo bu chu zi ji qing chu
Sekalipun hati demikian derita, kederitaan itu tidak terperi, hanya kupahami.
Kusadari aku cinta padamu.
过完甜蜜 就像电影已结束
guo wang tian mi jiu xiang dian ying yi jie shu
Tamatlah kemanisan, maka tamatlah sandiwara percintaanku.
Meski kubukan yang pertama
也许爱不用太过复杂 用简单的方法
ye xu ai bu yong tai guo fu zha yong jian dan de fang fa
Sekiranya saya menggunakan cara yang lebih mudah, percintaan tidak akan demikian rumit,
di hatimu tapi cintaku terbaik untukmu.
就不会让自己太受伤
jiu bu hui rang zi ji tai shou shang
maka aku tidak terluka demikian dalam.
Meski kubukan bintang di langit
如今,爱不再厮守到天荒
ye xu ai bu zai si shou dao tian huang
Kini, percintaan kita sudah tidak terjaga sampai surga.
tapi cintaku yang terbaik.
爱与不爱都已成过去
ai yu bu ai dou yi cheng guo qu
Pilihan cinta atau tidak cinta tidak penting lagi kerana percintaanku sudah menjadi sejarah.
Jujur saja kutak mampu
多么想他有谁在乎
duo me xiang ta you shei zai hu
Siapakah yang kisah sekalipun aku begitu rindu kepadanya?
tuk pergi menjauh darimu
一个人的无助 一个人哭
yi ge ren de wu zhu yi ge ren ku
Aku berasa lemah sendirian, menangis sendirian.
Meski hatiku ragu
寂寞把我给征服
ji mo ba wo gei zheng fu
Kesunyian telah menakluk aku.
kautak di sampingku setiap waktu
再痛也说不出 自己清楚
zai tong ye shuo bu chu zi ji qing chu
Sekalipun hati demikian derita, kederitaan itu tidak terperi, hanya kupahami.
Kusadari aku cinta padamu.
过完甜蜜 就像电影已结束
guo wang tian mi jiu xiang dian ying yi jie shu
Tamatlah kemanisan,  maka tamatlah sandiwara percintaanku.
Meski kubukan yang pertama
也许爱不用太过复杂 用简单的方法
ye xu ai bu yong tai guo fu zha yong jian dan de fang fa
Sekiranya saya menggunakan cara yang lebih mudah, percintaan tidak akan demikian rumit,
di hatimu tapi cintaku terbaik untukmu
就不会让自己太受伤
jiu bu hui rang zi ji tai shou shang
maka aku tidak terluka demikian dalam.
Meski kubukan bintang di langit
如今,爱不再厮守到天荒
ye xu ai bu zai si shou dao tian huang
Kini, percintaan kita sudah tidak terjaga sampai surga.
tapi cintaku yang terbaik.
爱与不爱都已成过去
ai yu bu ai dou yi cheng guo qu
Pilihan cinta atau tidak cinta tidak penting lagi kerana percintaanku sudah menjadi sejarah.
O...meski kubukan yang pertama
哦...也许爱不用太过复杂 用简单的方法
O...ye xu ai bu yong tai guo fu zha yong jian dan de fang fa
O...sekiranya saya menggunakan cara yang lebih mudah, percintaan tidak akan demikian rumit,
di hatimu tapi cintaku terbaik untukmu
就不会让自己太受伤
jiu bu hui rang zi ji tai shou shang
maka aku tidak terluka demikian dalam.
Meski kubukan bintang di langit
如今,爱不再厮守到天荒
ye xu ai bu zai si shou dao tian huang
Kini, percintaan kita sudah tidak terjaga sampai surga.
tapi cintaku yang terbaik.
爱与不爱都已成过去
ai yu bu ai dou yi cheng guo qu
Pilihan cinta atau tidak cinta tidak penting lagi kerana percintaanku sudah menjadi sejarah.
O...meski kubukan yang pertama
哦...也许爱不用太过复杂 用简单的方法
O...ye xu ai bu yong tai guo fu zha yong jian dan de fang fa
O...sekiranya saya menggunakan cara yang lebih mudah, percintaan tidak akan demikian rumit,
di hatimu tapi cintaku terbaik untukmu
就不会让自己太受伤
jiu bu hui rang zi ji tai shou shang
maka aku tidak terluka demikian dalam.
Meski kubukan bintang di langit
如今,爱不再厮守到天荒
ye xu ai bu zai si shou dao tian huang
Kini, percintaan kita sudah tidak terjaga sampai surga.
tapi cintaku yang terbaik
爱与不爱都已成过去
ai yu bu ai dou yi cheng guo qu
Pilihan cinta atau tidak cinta tidak penting lagi kerana percintaanku sudah menjadi sejarah.
tapi cintaku yang terbaik.
爱与不爱都已成过去
ai yu bu ai dou yi cheng guo qu
Pilihan cinta atau tidak cinta tidak penting lagi kerana percintaanku sudah menjadi sejarah.
Bermaknanya seni kata terjemahan bahasa Mandarin...lebih bermakna daripada seni kata bahasa Indonesia .

Sunday, December 10, 2017

Menantimu di Pulau Ini

Aku menantimu di pulau ini
menanti satu saat ajaib
namun engkau tidak berpaling
berdiri kaku merenung laut
Tampaknya engkau sudah terpesona
oleh laut indah yang mendepangkan dadanya
mengalu-alukan penerpaanmu ke dalam rangkulannya
Perlahan-lahanlah engkau pergi
bersama deru angin yang bertiup sayu
bersama pasir pantai yang menggulung
mengaburi pandangan asyikku
Engkau mengutip tiram dan bunga
dan segala keindahanmu yang berbaki
lalu pergi
menuju laut, persembunyian jejaka impian
Pohon ditebang, tumbang
Kilat menyambar bumi, menderam
Gunung meletus, mengamuk sia-sia
Tinggallah aku
seorang
di pulau ini.

Pui Wen Hang
22.11.2017
IPG Kampus Bahasa Melayu, pada musim peperiksaan akhir tahun.

Nafas Baharu untuk Kanvasku

Burung berkicauan pada pagi hari,
Meredah awan mencari pelangi; 
Nafas baharu kurnia yang disyukuri,
Melakarkan kanvas kehidupan diri.


Saturday, December 9, 2017

Terbitnya Fajar Merah dari Ufuk Sana

Terbitlah seruan panjang dari ufuk sana
membawa khabar yang amat ngeri
Itu bukan laungan azan
yang menenangkan hati
tetapi semboyan bangunnya
semangat kesetanan serigala yang mencari mangsa
Itu bukan fajar yang selalu menyingsing
tetapi cahaya mata merah setan yang mengugut
hati yang percaya
kepada cahaya yang dirahmatkan-Nya.

Serigala-serigala yang bertangan panjang
melelehkan air liur
ingin membaham apa-apa di hadapannya
membengiskan wajah
dada membusung bernanah dendam
Sebelah tangan mencengkam tanah
sebelah tangan merobek manusia
mengelar, menyiat dan menggali daging dada
menggigit, mengorek dan melumatkan
cebisan demi cebisan rasa hampa dan lara
Bangkitlah kejahatan yang melata
di alam suci yang dikurniai-Nya
dengan buah-buahan pelangsai rasa dahaga
pada kala bermaharajalela para serigala
pada kala bahawa senja bukan sisa keindahan-Nya
tetapi tanda bermulanya
malam yang gelita.

Serigala-serigala penakluk ini merampas
hak hati dan jiwa
hak memiliki sebuah tanah
tanah untuk mereka berserah diri, menyucikan hati

dan bersujud kepada pencipta mereka
Tubuh ini
lemah longlai
Bangkai-bangkai manusia yang hanyir dan berdarah
hanya mampu mempertahankan nafas akhir
yang tercungap-cungap lemah.


Derita!
Sungguh derita!
Namun begitu
selagi kita bernafas di hujung nyawa
jangan kita matikan
kepercayaan kepada kecintaan-Nya
Roh berjuang rakyat yang sudah meninggal
pasti terus-menerus menghantui
jasad serigala-serigala jahanam yang hanya tinggal
nafsu hina yang masih ingin menggenggam kuasa
sehingga gerombolan rakus itu sakit jiwa
dan dibutakan kepada nikmat di dunia
ditulikan kepada nyanyi yang paling indah
dan serigala-serigala hanya bisa merayau
sebagai bangkai kosong yang hanya menunggu maut
dan percayalah
yang jahat pasti disambut oleh sepasang tangan
api neraka yang membakar kulit
sehingga urat dan tulang
Padan muka
sang penakluk durjana!


Pui Wen Hang
10.12.2017
di rumah saya, Kuantan, Pahang.

Laungan Hampa Mereka

Api bola bergulung gila,
Menelan pulau seribu cerita;
Gelak haloba pemimpin durjana,
Laungan gusar rakyat tak berdaya.

Saturday, December 2, 2017

Meraikan Hari Ini

Aku meredah pasar malam ini
mencuba memetik aroma persatuan
"Ini hari...ini hari...mangga segar!"
Seru ini berlagu
ketika seorang penjual Melayu
menyesuaikan lenggok bicaranya
untuk sekumpulan suri rumah tangga Cina
yang mengelilinginya.

Aku mencuba menghirup udara di sini
udara 1 Malaysia
Aku melihat terukirnya senyum
seorang lelaki penjual Cina yang gemuk
ketika mendengar bicara wanita tua India
yang melenggokkan kepalanya
dengan bahasa yang berputar lincah.

Ah...
Lapangnya hati ini
ketika tiadalah jarak antara kita
Kecurigaan dan kehati-hatian
langsung terhapus
ketika Cina, Melayu, India
hanya berkumpul
untuk membeli
mempelam yang sama.

Ah...
Lalu-lalang ini tidak sesak
sebaliknya
dalam hati
berkembanglah kesyukuran
Syukurlah
aku masih mencium laut manusia
dan kita masih berteduh
di bawah langit kelam yang sama
bersama-sama membimbangi
hujan yang kian turun
Ini bukan pasar perasaan
tempat bahawa kita memainkan perkataan
yang lahir daripada nafsu dan angkara semata-mata
tetapi gabungan kenaifan
yang mengikatkan kemesraan
dan kemesraan ini membuahkan erti
1 Malaysia.

Friday, December 1, 2017

Betapa Hati Ini Tidak Betah

Betapa hati ini
asyik terpaut
pada harap senja
yang menyata
menjadi fajar yang menyingsing
dalam hati yang percaya.

Betapa hati ini
merindui
raut wajah dan gelak ketawamu
setiap kala.

Betapa hati ini
resah menunggu pesan ringkasmu yang tidak kesampaian
menatang ketakutan bahawa
kamu akan meninggalkanku
pada suatu hari
yang tidak kupastikan.

Ya Allah
ubatilah kerinduan ini
Betapa hati hamba-Mu ini tidak betah
menyokong keberahian yang melanda hati
Aku kalah sepenuh-penuhnya di
lembah yang menayangkan setiap wajah si dia
Wajah si dia
sentiasa mengutus getaran kecil
kepada hati yang tidak kuerti ini.

Sunday, November 26, 2017

Terkumpulnya Sebuah Laut Ilmu

Megah berdiri para-para buku,
            Mendengar hikmah seorang pencerita;
Dari laut terkumpul ilmu,
            Tutur tersulam lebih bijaksana.

Monday, November 20, 2017

Fatamorgana

Aku mencuba bersengkang mata
menghindarkan kamu menjadi fatamorgana
Biarpun selimut kecewa membalut jasadku yang berharap
penantianku tetap berlaut setia di pulau derita.

# Tiga baris pertama dalam sajak ini idea Puan Ramlah. Saya menyempurnakan sajak ini dengan baris
   akhir. Indahnya percintaan Puan Ramlah. Puitisnya kekecewaan ini!


泡影

我试着睁开眼睛
怕一闭眼
你就变成泡影
虽然失望包围我充满希望的身体
我的爱依然伴着那痛苦的孤岛。

Thursday, November 16, 2017

Ketika Pasar Seni Masih Menguap dan Menggeliat...

     Cahaya 8.00 pagi yang suci ria memancarkan cahaya mula ke dunia ini, mengalu-alukan pagi baharu yang menyuntikkan wawasan baharu kepada setiap orang. Matahari menggeliat. Wajah matahari dihiasi senyum syukur. Maka matahari pun, dengan syukurnya, menimbal-Nya mengawal hari yang baharu ini. Awan masih belum bangun, kelihatan kabur dan ditudungi kabus pagi mentah separuh lut sinar yang mengantukkan orang. Segala-galanya beredar berpaksikan rancangan-Nya. Entah apakah kejutan yang akan dihadiahkan oleh-Nya pada hari ini?

     Di Pasar Seni, kebanyakan gerai masih belum dibuka. Aku, Seng Fa dan Jia Wei yang berjalan sepanjang lorong itu pun ikut malas. Tiadalah apa-apa yang menyukakan kami. Segala-galanya begitu awal, muda dan mengantukkan kami. Cahaya mentari masih cerah, belum bertukar warna kepada warna kekuning-kuningan yang panas dan meresahkan orang.  Lihatlah, lampu sebuah kedai pintu pagar besi lesu bersuluh, mengekalkan kenangan semalam. Kelihatanlah bahawa kedai itu sudah usang dengan cat dinding yang lekang dan lantai mozek kecil rekaan zaman silam. Siapakah yang lupa menutup lampu ini sehingga tertinggallah kemeriahan semalam yang menjadi nostalgia pada hari ini? Bawah lampu yang berkerdip lemah itu, terasalah bahawa kedai itu begitu mengantuk dan belum bersedia untuk bangun lagi, umpama budak yang merajuk ingin menyelinap ke dalam selimut semula.

    Walau bagaimanapun, aku menggeliat dalam kesyukuran, membiarkan bahawa sinar matahari pagi yang sihat dan sesuci cahaya surga ini menembusi setiap liang romaku, memberikan tenaga permulaan yang cukup kepadaku pada hari ini. Syukurlah aku kerana Tuhan mengurniakan kesegaran hati kepadaku bagi aku menghadapi pagi yang masih muda mentah ini, yang belum melarat menjadi senja yang memilukan pandangan.

     Seketika lagi, gerai dan jalan pun bermula meriah dengan kehadiran kereta dan orang yang makin banyak. Pagi tidak begitu mengantukkan orang dan mentah lagi. Di jalan, dapat kita lihatlah bahawa kereta yang lebih banyak lalu-lalang, menyibukkan jalan dan kadangkala memasuki jalan sepanjang Pasar Seni, menyukarkan perjalanan orang ramai. Juga bersualah kami dengan pekedai yang berseri muka pada pagi kurnia Tuhan ini, mengalu-alukan kedatangan pelanggan dengan senyum mesra pagi dengan tenaga dan harap yang penuh, dengan mendukung kepercayaan teguh bahawa mereka akan menjalani perniagaan hari ini dengan kegembiraan sehingga mendapat untung yang lumayan.

     Lihatlah ketua gerai perempuan Yao Ca Guai. "Selamat datang, berapakah bilangan orang?" dia menyapa pelanggan yang lalu-lalang dengan salam berulang-ulang. Sibuklah dia mengesat meja dengan kain buruk sambil mendongak cemas, melihat sama ada adanya pelanggan yang hendak menjamah hidangan keahliannya, ——Yao Ca Guai. Yao Ca Guai batang rangup yang wujud dalam pasangan yang dibuat daripada tepung. Batang tepung ini digoreng sehingga menjadi sungguh rangup. Anda dapat merasai minyak, kerangupan dan kewangian sekaligus yang tersebar dan kekal di dalam mulut ketika mengunyah Yao Ca Guai. Di sini, meja sudah dipenuhi pelanggan. Mereka datang ke sini untuk memulakan pagi dengan kepuasan mengunyah Yao Ca Guai yang lazat dan hangat. Kami pun. Ramainya gerai ini——bukan kerana kebisingan suara pelanggan tetapi kepenuhan di setiap meja kedai itu.

     Aku suka meihat lalu-lalangnya orang yang melukiskan kekeliruan pada wajahnya, memikirkan apakah yang patut dimakannya dan dicarinya di Pasar Seni pada pagi ini. Semasa tunduk mengamati bubur ikan yang menyelerakan daku dan Yao Ca Guai yang berkulit rangup dan menggoda orang menelannya, aku terdengar bualan seorang pelanggan. Pelanggan itu nenek yang berusia sekitar 50 tahun. Dia sangat bangga kerana anaknya 'terjinak' olehnya. Kata nenek itulah bahawa cucunya sangat cerewet dan nakal. Dia menyambung ceritanya dengan senyum yang puas dan bangga: "Apabila aku mengangkat rotan, dia takut. Jadi, patuh pada sayalah dia." Aku tersenyum tidak semena-mena, menggeleng. Tidak aku sangkalah bahawa ibu bapa Cina masih terikat oleh pengajaran kuku besi yang kaku begini. Bilakah mereka hendak maju? Bilakah mereka hendak menganjalkan cara pengajaran mereka? Pendidikan sekarang bukan perotanan tetapi pendidikan kasih sayang, bukan sekadar pemarahan dan kepatuhan. Kita harus menjiwai pendidikan kanak-kanak dengan kasih sayang dan rasa bertanggung jawab yang penuh supaya kita turut gembira semasa mengajar kanak-kanak berhadapan dengan liku-liku dan kerenah dunia ini. Kasih kita turut memengaruhi kanak-kanak-kanak kita menjadi manusia yang berperi kemanusiaan penuh——peri kemanusiaanlah yang semakin hilang pada hari ini! Aku menggeleng lagi. Bukankah kadangkalalah pengekalan jati diri kecinaan ini lebih baik? Untuk apakah kita menyengsarakan warga zaman lama dengan perubahan demi perubahan yang begitu menyerlahkan sikap mementingkan diri kita yang tidak memedulikan pandangan dan perasaan orang lain? Untuk apakah kita perlu menghapuskan wajah kebengisan orang Cina yang menjadi kemegahan kami, orang Cina ini? Biarkanlah bahawa budaya kejam ini terus mekar dengan indahnya di dunia yang telanjang kehodohan kemanusiaan ini!

     Dari tempat jauh, jelas menusuk telingalah teriak daripada perakam: "Mari, mari! Kuih Mua Ci yang sedap, kuih Mua Ci yang lekat (Kuih Mua Ci kuih Cina yang lekat dan manis ketika dikunyah)!"Teriak itu berulang-ulang. Dulu, saya menganggap bahawa itu gangguan tetapi pada hari ini, itu kebahagiaan yang kudengar. Terima kasih Tuhan kerana memeriahkan pagi ini dengan masih mengekalkan manusia yang walaupun tidak sempurna, turut mencorakkan kehidupanku! Tidak mengapalah bahawa dunia ini selalu dinodai, dilalimi asalkan kita berusaha mengindahkan dan melakarkan peribadi kita yang istimewa kepada dunia ini bersama-sama: bersama-samalah kita bertikam lidah; bersama-samalah kita menangis!

     Kami meneroka jalan baharu di Pasar Seni pada pagi ini. Terasalah kesegaran ketika kami bergambar pada pagi. Istimewa sungguhlah perasaan itu. Denyut nadi pergambaran Jia Wei tidak berhenti-henti malah meluap-luap, mengimbau raksasa nafsunya. Dia tidak putus menyuruh Seng Fa menolongnya menangkap gambar dengan berlatarkan bangunan ala Inggeris abad 90-an yang putih dan masjid yang agung. Pada asalanya, aku segan bergambar tetapi kemudian kerana tertarik oleh pandangan yang cantik, aku turut segan meminta Seng Fa merakamkan jejak ke sini untuk aku. Setelah menangkap gambar, Jia Wei akan meragut telefon pintar dari tangan Seng Fa lalu membelek-belek tangkapan-tangkapan tersebut. Seterusnya, matanya yang sebulat guli itu akan terbeliak dan jerit ngilunya akan menyerang telinga: "Weh, tengok! Muka aku gemuk! Ini tak cantik, tolong aku tangkap gambar sekali lagi!" Kemudian, Jia Wei menyumbatkan telefon pintar ini kembali ke dalam tangan Seng Fa. Seng Fa mencebir dalam senyum lesunya, reda sahaja akan kerenah kawannya itu. Tidak mengapa...kita tidak patut berkira sangat dengan kawan! Ini anugerah Yang Maha Esa, syukurlah! Syukurlah dan anda akan mendapat barang lebih banyak yang anda ingini——percayailah aku.

     Penangkapan gambar pada waktu pagi perasaannya begitu luar biasa. Semasa aku melihat bangunan besar beracuan London yang lama terbiar tetapi terpamer muda pada pagi ini; semasa aku melemparkan pandangan ke masjid suci yang besar dan agung di tepi laut sambil mencecah tuah pandangan dari masjid itu, segala-galanya begitu mensyukurkan daku akan kehadiranku di dunia ini. Bangunan London dan masjid sedang memakai secarik sutera putih daripada mentari pagi yang sentiasa indah dan menyuamkan tubuh. Kerana mendapat nikmat itu, kedua-dua buah bangunan itu tersenyum syukur dalam cahaya. Bangunan London dan masjid laksana bangunan di taman surga yang disirami cahaya surga-Nya——indah, tidak terperilah perasaan syukur ini.

     Pada suatu sudut lagi, aku menyaksikan kegelapan dunia yang menggelisahkan jiwa. Sungai yang lebar mengalir deras, bagai raksasa yang ingin menelan semua benda yang hanyut di hadapannya. Raksasa ini berlaku rakus pada pagi yang disirami cahaya surga pagi. Sungguhpun begitu, kerakusan yang serba kecil ini tidak mampu mencemari keindahan pagi. Kehodohan itu hanya hiasan kecil dunia yang mengingatkan kita bahawa dunia ini tidak sempurna: kejahatan dan kecantikan perlu saling melengkapi untuk melahirkan kebahagiaan. Lihatlah. Sungai sepatutnya lemah lembut, mengalir dengan ketenangan, membawa air jernihnya ke laut. Sekarang, sungai yang tidak bening lagi ini mengalir deras, terburu-buru menenggelami batu, sampah yang ada di hadapannya, menghanyutkan segala kotoran dengan kegusaran, tidak sabar lekas sekali ke laut untuk menamatkan riwayat. Kebencian dan kemarahan yang tidak sepatutnya ada pada sesebuah sungai dibangkitkan oleh manusia yang lalim merobek keindahannya. Ketika merenung sungai yang dalam dan mengalir rakus ini, meremanglah hatiku. Sesiapa yang jatuh ke dalam sungai itu pasti ditelan oleh sungai itu terus, kehilangan tulang empat keratnya.

     Sebagai penutup, "syukur!" ingin aku infakkan kepada pagi ini sambil aku menggeliat, mengantuk sambil mengiringi cahaya pagi yang begitu memalaskan daku. Ya Tuhan, terima kasih kerana mengurniakan pagi yang begitu indah sebagai permulaan hari baharuku yang baik. Aku berjanji bahawa aku akan terus mengamati ciptaan-Mu yang tersiratlah pelbagai keindahan yang mengatasi kerdip emas dan omong kosong yang hina semata-mata.
   




Sunday, November 12, 2017

Seiring dengan Angin

Indahnya sehelai percintaan
ketika perasaan dan harap
melayang mengikut angin.


Aku berjalan
seiring dengan angin
melihat lesapnya bayangmu
ke balik pintu
hati
Sambil memejamkan mata
aku mendepangkan tangan
membiarkan
angin mengayunkan sekeping keikhlasanku
yang kuserahkan nasib kepada-Nya.


Segala-galanya terjadi
begitu indah
begitu semula jadi.


Untuk apakah aku
menjadi kelekatu
sengaja membuang diri ke pelita rasa
berahi yang memaksa aku mencurahkan
pujuk dan cumbu yang dibalut indah belaka
Mengindahkan senyum berlaku mulia
bagai budiman menyokong perut
mengheret langkah secermat-cermatnya.


Segala-galanya berlaku
begitu kaku
begitu palsu.


Seandainya percintaan hanya lakonan termulia
yang menutupi aib dan kelemahan biasa manusia
Lebih relalah aku berpaling muka
berpaling mata
agar seutas kecintaan hina tidak lulus
ke jarum nafsu hina terburu-buru
yang dihantar ke matamu
kerana kecemaran ini
hanya menodai kecantikanmu
Maka hilanglah makna
hilanglah suluh
dongeng percintaan yang kudendangkan selama ini.


Ayuh kita terbangkanlah
segumpal kerinduan yang sudah lama terperangkap
dalam sangkar sukma yang menderitai
gelap gelitanya seribu malam
Katakanlah
betapa dambanya kamu
kepada rangkulanku yang sentiasa terbentang luas untukmu
agar aku mampu
berkongsi kesusahanmu
sekurang-kurangnya.


Indahnya sehelai percintaan
ketika aku berjalan
seiring dengan angin
fitrah
dan ketetapan-Nya
Mudah-mudahan
sehelai idaman kecil ini
bukan khayal bertepuk sebelah tangan
tetapi bertukar kepada sehembusan rasa rindu
yang dititipkan kepada angin
Moga-moga angin membawa
penantian aku
kepada pengabadian pada papan ketentuan-Nya.


Pui Wen Hang
13.11.2017
IPG Kampus Bahasa Melayu
 

 

Friday, November 10, 2017

Sekumpulan Pemuram dan Peresah

Beluncas hijau mengunyah daun,
                Gemuklah badan tidak jemu;
Menelan buku saban tahun,
                 Tekanan ujian kepala digaru.

Mendukung kepayahan sambil berlari,
               Mengejar juara bercahaya pipi;
Lihatlah hasil pendidikan kini,
              Isi buku tidak pernah dihayati.

Dikulumlah sandwic yang amat tebal,
                Sakit perut pemasak dipersalahkan;
Tebalnya buku bukan untuk dihafal,
                Penerokaan kemanusiaan yang sepatutnya memuaskan.

Renungan: Apakah yang telah dibentuk daripada pendidikan masa kini? Sekumpulan pemuram yang merenung buku dengan tekanan penuh; sekumpulan peresah yang membelek-belek buku tanpa tujuan; mengejar masa tanpa penghayatan.         

Teruskanlah. Teruskanlah peperiksaan. Teruskanlah penghafalan yang membutakan makna buku yang benar; yang mengeringkan jiwa yang mengingini kelainan. Bijaknya manusia: pemaksaan tangga kejayaan.




Soil Fun Run: Monolog Aku dengan Alam

     Salam sejahtera. Mudah-mudahan angin pagi menitipkan salam kekasih tercinta kepada anda.

     Izinkanlah aku tenggelam dalam dunia ciptaan yang serba indah ini dengan monolog sendiri. Aku terdengar nyanyi pokok, bisik angin; aku merasai perlindungan redup daun-daun yang besar terhadapku, seakan-akan ingin merangkulku, membuaiku dalam dunianya.

     Pada asalnya, ini persaingan yang patut mencemaskan sukma tetapi aku memutuskan untuk tidak menyusahkan hati yang mengingini kesenangan pada hari ini dalam perlumbaan yang mengakibatkan bahawa manusia mendambakan kecemerlangan fana ini sungguhpun usaha keras masih diperlukan supaya diri tidak menjadi malas dan undur dalam balutan kenegatifan. Terlalu indahlah daun-daun ini melambai perlahan sehingga terpaksalah aku meluangkan masa untuk leka dalam sirap mabuk ini.

     Aku leka dalam sirap mabuk alam yang melambai mengikut fitrah.

     Mula-mula, hatiku bagai disinari rahmat-Nya: seceria matahari. Aku merangkul semangat yang diperlapang oleh senyum yang sengaja aku ukirkan dengan harap bahawa senyum ini menjadi sedekah yang mampu menggembirakan setiap pelari yang bertembung mata dengan daku. Keceriaan aku disebabkan oleh keyakinan daku akan penjagaan-Nya. Walau bagaimanapun, di pertengahan jalan, semakin terasalah tersekatnya pancaran sinar hati yang ingin meneruskan perjuangan dan langkah yang pasti membawa kemanisan di akhir. Dalam kepayahan memajukan langkah, aku masih mendukung doa dan kepercayaan kepada-Nya. Aku percaya bahawa kepenatan ini hanya ujian kecil yang ditimpakan-Nya kepadaku supaya aku menentang kelekaan, menyemarakkan semangat ingin merangkul juara. Aku percaya bahawa Dia akan membawa aku ke hujung jalan: jalan kemenangan asalkan saya bertahan dan terus bertahan.

     Maka secara tidak sedar, memasuki taman yang ajaiblah aku. Di sana, aku meredah dedaun yang beristirahat, meredupkan sebahagian besar bumi. Maka terhiaslah bumi redup ini dengan gemerlap bayang celah daun yang berselang-seli. Dedaun redup menghantar isyarat indah yang hanya dipahami oleh manusia yang sanggup menghaluskan jiwanya, merendah diri kepada pohon bunga yang kerdil kewujudannya dalam pandangan manusia. Aku tidak sengaja melangkah dalam fantasi Alice in The Wonderland. Tidak tahulah aku di mana sekarang. Begitu merdulah bisik antara pokok; begitu inginlah aku berbisik kepada pokok-pokok beristirahat yang menunggu perbualan manusia dengannya; yang menunggu kesedaran manusia akan kewujudannya. Pepohon yang berbatangkan emas berlenggok ayu, melambaikan daun perak yang berkerlipan. Lambaiannya meniupkan ketenangan kepada jiwaku yang ingin disucikan dengan kuasa menyelinap dalam dunia alam untuk aku meniti perasaan mereka; mengintai dunia mereka yang penuh rahasianya. Sesalnya aku. Sesallah aku kerana hatiku dilapisi habuk dan kotoran keduniaan yang menghambat penghayatanku tentang alam. Alam juga hidupan seperti kita; ciptaan-Nya. Mengapakah kita tidak pernah mencuba memahami dunia pokok bunga? Mengapakah kita tidak pernah mencuba memedulikan lambaian ciptaan yang hidup itu?

     Senangnya air terjun yang menggelongsor melalui batu licin yang memantulkan cahaya matahari lalu terjun ke dalam takungan jernih, kembali ke tempat asalnya. Begitu rialah air terjun yang  menggelongsori batu, melompat ke dalam kolam. Tempat ini bagai taman surga yang ceria tiap-tiap hari tanpa bertamunya nestapa dan kerunsingan.

     Aku tergelak sendiri, amat ingin akan dunia yang mengizinkan aku beria-ria setiap hari juga tetapi masih tersimpanlah kesyukuran bahawa aku bertapak di dunia nyata ini dengan cabaran demi cabaran yang mematangkan daku.

     Beruntunglah aku pada hari ini kerana dapat berkawan dengan alam! Sungguhpun tidak mendapat salah satu tempat dalam sepuluh tempat, hasil yang kuperoleh melebihi nikmat nama dan usaha yang memaksa kita memerah keringat...

      Izinkanlah aku mengungkapkan keindahan alam dengan pantun berikut:
                                     
                                    Pohon pisang tumbuh di darat,
                                               Dipetik tuan dijadikan kesayangan;
                                    Indahnya pepohon mengelipkan isyarat,
                                               Lembutnya angin membuai bulan.

     Lupalah aku memberi tahu anda bahawa pantun ini kuperoleh inspirasinya daripada anak pokok pisang yang kudapat percuma daripada perlarian ini. Telah aku anak tirikanlah pokok pisang itu sebagai teman berbisikku pada kala malam yang merusuhkan jiwa yang, pada fitrahnya, ingin lena setiap malam.
   
     Aku leka dalam sirap mabuk alam yang melambai mengikut fitrah——sekali lagi.

     Begitu indahlah alam ciptaan-Nya; begitu ajaiblah cara bahawa Dia mengatur dan membentangkan alam ini untuk kita menikmati tanda-tanda keagungan-Nya.

    Perkawanilah alam kerana alam sanggup menjadi teman yang diam dan sabar mendengar segala luahanmu. Temankanlah alam dan Dia pada saat-saat kehampaan supaya anda memperoleh sehelai jiwa yang benar-benar mengerti keindahan di balik kota yang sibuk dengan kebisingan jentera dan paip ekzos yang mengamuk terus-menerus tanpa sasaran.

     Semoga aku ada peluang bermonolog lagi dengan pokok bunga dan alam yang terbentang saujana ini.

     Terima kasih juga kepada Seng Fa dan Badrul kerana dengan kehadiran mereka, hari aku lebih cerah. 



                                              Gambar 1: "Selamat datang ke Soil Fun Run!"

 
                                  Gambar 2: Muka aku paling gempak, macam badut McDonald!


                                                  Gambar 3: Dua orang insan biasa yang
                                                  berlagak segak dengan harap mendapat
                                                  jodoh pada hari ini
 



  

  

Thursday, November 9, 2017

Pada Malam Ini, Aku Sepi

Pada malam ini, aku sepi
Bayu bertiup dari dunia gelita
membelai pipiku
Aku berpaling menjengah malam
Malam begitu lena
setia ditemani kerdipan bintik-bintik cahaya
Terbayanglah diri yang terbalut dengan selimut
bertemankan ketenangan kegelapan malam
mendengar desir bayu dingin yang menjagaku
Ah, alangkah baiknya kehanyutan dalam balutan selimut!
Malangnya kerjaku masih tidak siap
Pemandangan latar komputer yang penuh dokumen
cukup menertekankanku.

# Catatan: Ini catatan perasaanku pada suatu malam kerja kursus.

Sunday, November 5, 2017

Tercabut

Aku
berkeliaran
tanpa hala
tanpa rancangan.

Jiwa
tercabut daripada mimpi
memerlukan masa
menyesuaikan diri.

Ya
Biarlah aku berpijak di bumi nyata
menyusuli langkah kebanyakan manusia
asalkan pembisuan menyelamatkan daku
di tengah keramaian kota.

Rahmat Hujan

Hujan
Segala yang jelas menjadi kabur
Segala yang nyata menjadi syahdu.

Hujan
Pokok berlenggok
melambai mengikut irama.

Hujan
Tiga orang gadis menekup mulut
berjalan seiring tersenyum silu
Hati tertawar oleh kesegaran hawa
Jiwa tercium bau hujan yang harum.

Hujan
Tiga orang lelaki menyeberang jambatan
Bibir diketapkan, langkah dideraskan
berlari sambil menjerit ke hujung
Ah!
Hujan membawa rahmat
Yang runsing menjadi keanak-anakan
Yang serius melonjak-lonjak ria.

Hujan
Segala yang jelas menjadi kabur
Segala yang nyata menjadi syahdu.


Lambaian Malam

Ketika malam datang menguncup diri
langitlah hiasan yang paling indah
dengan bintang bertaburan pada latar terbentang ini
dan mimpi datang menggamit kerinduan 
pengembaraan bersama kesayangan
mendayung sampan

di laut fantasi aku denganmu

dan langitlah hiasan yang paling indah.

Thursday, October 19, 2017

Kian Lemas

Mataku semakin kecil
Pandanganku semakin kabur
Jiwaku semakin sempit
tidak tertampung simpati sedikit.

Terkandaslah aku
di hadapan benteng yang mubina
Seksalah aku
di sempadan
keinginan meluahkan kata
namun tidak mampu.
Memandangmu
Aku kebuntuan kata
semakin bingung
di peti sejuk dunia
Asing, tidak selamat, sunyi
Meninggalkan balutan kasih yang suam
Meneroka dunia bersendiri
Hanya dapat kupandanglah kamu
di hadapan kabus dingin
yang membatasi aku denganmu
keluargaku.

Memandangmu
Baru kurasai
kedinginan
yang menyelinap menerusi tulang
ke jiwa.
Madu bicara yang tidak pernah disiram
membeku dan kelat.
Sekian lama aku kebas
Kini baru kusedari
kesejukan
kelemahan
kecacatan
dalam permainan perkataan
Hanya mampulah aku melambai
meminta kasih dalam kebisuan
di hadapan benteng
di hadapan kabus
di antara aku denganmu
keluargaku.

Jalan di bawah kakiku
penuh onak dan lubuk
Sesekalilah aku terperangkap
Sesekalilah aku terhenyak tak pulang.
Maka bermulalah aku khuatir
Maka bermulalah aku hati-hati
 Dengan tiap-tiap langkah, aku perlu berhati-hati
merangkak di jambatan tergantung
kerana andai jalan ini diteruskan
aku dan kamu
akan berpusar
dalam khayal keduniaan
yang kita ingat akhir dongeng yang gembira
Oh, keluargaku.

Mungkin
hanya dapat kutintakanlah
kecintaan kepadamu
yang kuukirkan dengan darah
pada kertas saksi kedambaan ini
bahkan kecintaan ini
kadangkala kering dan hilang
tidak terasa, tidak tercari
dalam sanubari
yang kadangkala tidak kuerti
yang kadangkala kutakuti.

Kian terasalah
kakiku yang tenggelam
perlahan-lahan
ke dalam lumpur kebisuan
ke dalam keranda kebahagiaan
bawah kesedaranku.
Hatiku tertutup
Mataku tertutup
Naluriku berhenti mencari
harap yang tidak pasti
Pandanganku tergoda
oleh warna-warninya telefon pintar
Lemas
dalam dunia bahagia yang kusangka hakiki.

Thursday, September 21, 2017

Yoyo Cina—— Paparan Kenyataan Kehidupan


          Pandanganku menapak pentas yang sibuk dengan orang Cina yang masing-masing tunduk, bertungkus-lumus mengangkat dan menurunkan batang kayu di tangan untuk memusingkan Yoyo Cina selaju-lajunya. Wajah mereka setegang benang yang direntangkan; tangan mereka terayun selaju aliran kecemasan akan kegagalan menghantar kerja kursus pada hari esok. Seorang mengejar irama tangkas seorang lain. Ketangkasan  mereka tidak dapat dikawal mereka sendiri tetapi terpaksa disesuaikan dengan kelajuan pakar-pakar lain. Yoyo Cina itu berputar ligat, menanti saat kecemerlangannya…

            Kegagalan dalam kalangan bijak pandai amat memalukan orang. Lihatlah seorang lelaki berkaca mata berbingkai hitam tebal yang berdiri di belakang pentas dengan wajah kekoknya itu. Dia melambungkan Yoyonya tetapi Yoyo itu tidak tersambut, berguling di atas pentas sedang orang lain dapat mengayunkan Yoyo Cina ke kiri dan ke kanan dalam lingkungan yang besar sehingga kehebatannya ini mendapat tepuk dan sorak “woooo” yang mengiktiraf wibawanya dalam pemainan Yoyo Cina. Kini, badan lelaki yang berkaca mata hitam tebal itu tidak tahu hendak bergerak ke mana. Wajahnya kekal tenang, menahan kemaluan yang memerahi pipi, dihiasi senyum “alamak”. Dia tersenyum tegang dan kekok dengan kemesraan penuh, terpaksa mengangkat tangan lalu undur ke belakang pentas, mengakui kekalahannya.

            Kegagalan di pentas Yoyo Cina begitu biasa pada pemain-pemain Yoyo Cina. Seorang wanita Cina yang tinggi langsing badannya tidak sengaja menjatuhkan Yoyo Cinanya ketika memusingkan Yoyonya. Apabila menyedari bahawa irama pantasnya terputus daripada irama pantas orang lain, dia lekas berhenti, berdiri tegak, mempamerkan wajah serius kepada khalayak lalu mengangkat tangan. Tangannya tegak dan yakindia langsung tidak malu akan kekalahannya. Dia terang menghantar mesej kekalahannya kepada khalayak dengan riak wajah seriusnya. Wajahnya berkata: “Minta maaf, aku telah kalah.” tanpa segan silu. Setelah itu, langkahnya tetap undur ke belakang pentas. Dia menganggap bahawa kegagalan itu begitu biasa dalam dunia perlumbaan yang sibuk ini lalu mencapai Yoyo Cina tambahan yang terbiar di atas pentas, meneruskan pemainan Yoyonya yang mencemaskan orang dan menuntut kemenangan. Dia tentu berasa malu dalam hatinya kerana gagal menyamai gaya orang lain yang tangkas dan sempurna itu.

            Inilah pentas Yoyo Cina. Pemain-pemain Yoyo masing-masing keras memberikan persembahan terbaik di hadapan khalayak. Mereka menggetarkan tangan yang kurus sehingga tersembul tulang untuk memusingkan Yoyo ke tahap paling laju dan Yoyo yang berputar ligat itu sedang sabar menunggu detik kecemerlangannya. Yoyo Cina yang sabar berputar ligat, laksana roda basikal yang tidak terlihat kekisinya kerana berputar terlalu laju, semakin menyerlahkan cahaya kegemilangan seterusnya dan apabila kesempatan yang paling sesuai itu sampai, Yoyo Cina terus melonjak tinggi ke puncak, mendepangkan tangan, mendakap setiap sorak dan jerit takjub yang menerpanya. Saat itu memerlahan pada mata penonton. Saat itu diabadikan oleh cahaya kamera dalam sejarah peradaban Cina.

            Namun begitu, saat seterusnya selepas saat puncak itu berlalu paling penting dalam suatu persembahan Yoyo Cina. Hati pemain Yoyo pasti berdebar-debar dan keyakinan yang merudum terpaksa dihelanya bersama nafas tatkala Yoyo Cina yang berputar pantas di udara kian mendarat. ‘Aku mesti menyambut Yoyo ini,' dia bertegas dalam hati. Kalau Yoyo itu tersambut, jerit takjub dan sorak menggetarkan kebanggaan dalam hatinya. Bagaimanakah keadaannya kalau Yoyo Cina itu gagal tersambut? Pasti malulah dia! Namun demikian, apatah dayanya? Manusia tidak sempurna, persembahan Yoyo Cina ini tidak tentu dan tidaklah Yoyo Cina itu dapat disambut setiap kali kerana manusia tidak sempurna sekalipun perlatihan berkali-kali diusahakan! Maka mereka terpaksa reda, tiada masa untuk membelai rasa gundah-gulana dalam hati. Mereka hanya perlu menghiris kehampaan, kemaluan dan kekesalan, meneruskan persembahan dengan mencapai Yoyo Cina yang lain, terus menggoyangkan tangan yang memegang kayu ke atas, ke bawah untuk memusingkan Yoyo yang dikawal tali yang berikat pada kayu itu sehingga bahawa saraf hijau menonjol pada tangannya, pada tepi dahinya pun tidak diendahkannya…

            Aku bersimpati terhadap mereka sebenarnya. Pemain-pemain Yoyo terlalu tertekan dalam hati dan hanya mengejar ketinggian pelambungan Yoyo Cina, ketangkasan, kemenangan, sorak dan nama baik sehingga mengabaikan tiga rasa yang paling penting dalam kehidupan yang manusiawi: kegembiraan, kemarahan dan kesedihan. Mereka telah dilatih menjadi robot yang keras menggenggam hatinya yang kian merudum sebagai akibat tidak tersambut Yoyo Cina yang telah dilambungkannya; mereka telah dilatih menjadi pelumba yang mengejar kepantasan, tidak berhenti-henti tangkas mengangkat dan menjatuhkan kedua-dua belah tangannya yang memegang kayu yang berikat tali yang mengawal Yoyo Cina ke atas dan ke bawah sekalipun tangan sudah letih, sudah menonjolkan saraf hijau sebagai tanda kerajinan yang melampau. Mereka juga terpaksa berlari, berlari dan terus berlari untuk menyamai irama pantas orang lain yang begitu berjaya pada mata penonton. Pemain Yoyo seperti akubekerja siang malam sehingga keletihan pun dibiasai dan perlu disuntik dengan semangat positif untuk terus berjuang; sehingga kesedihan dianggap kecacatan; sehingga kegembiraan dianggap melalaikan usaha…


            “Jom, kita pergi minum teh.” Ajakan aku ini pasti mengail air mata para pemain Yoyo Cina kerana mereka bagai tidak terminum air terjun bening yang terbentang di hadapan mereka ini.

Sunday, September 17, 2017

Kita Tidak Dapat Melawan-Nya

     Sekeluar aku dari perpustakaan Universiti Malaya, hujan padat yang senget diterbangkan angin sudah mengaburi deretan pokok yang menghijaukan mata dan pencakar langit yang terbiar dan lekang catnya. Angin yang menerpa pipi turut membawa batang-batang hablur hujan yang melanggar pipiku serentak, meninggalkan titis-titis pada kaca mataku——sungguh tidak menyelesakan daku. 

     Aku mendongak, memandang langit yang kelam. Di balik kekelaman langit, seakan-akan terjadilah pergolakan yang sungguh dahsyat di Arasy. Di Arasy yang sungguh jauh, berderumlah guruh yang seakan-akan gertakan antara dewa. Cahaya kilat melitupi sebahagian besar awan kelam itu, ragu-ragu hendak menyambar bumi. Cahaya itu menjadi panah, turun sebagai kilat setelah dibenarkan-Nya, merakamkan segala cela dan kehodohan manusia yang selalu berdosa tanpa disedari . Tuhan berniat memalukan kita, mengingatkan kita akan betapa tidak sempurnanya dan bebalnya kita. Bendera berkibar galak, kehilangan tertib yang sopan. Hatinya gelisah ketika menyaksikan kedatangan bencana ini, lekas berkibar sekuat-kuatnya untuk mengalu-alukan kebesaran-Nya. Semua orang menekup pipi dengan belakang telapak tangan. Inilah kebesaran Tuhan! Tuhan menghendaki bahawa kita menyembah-Nya dan sesiapa pun tidak dapat melawan-Nya.

     Tiba-tiba, batang-batang hablur hujan memanjang dan menajam, menjadi lembing yang berbisa, menusuk atap kereta yang tersekat di jalan. Sekarang, barulah aku menyaksikan hujan yang turun deras seperti lembing perang yang menerjah tanah, sebagaimana yang disifatkan oleh Shahnon Ahmad. Angin yang menyedari perubahan ini turut memadankan diri dengan taraf hujan, menjadi lebih kencang, lebih kejam menampar orang. Penghentakan yang kejam ke atas atap kedengaran lebih lantang dan tegas——niat pembunuhan lembing hujan lebih tegas sekarang. Maka, teksi sudah sampai. Aku, Ah Chai, Pokjim dan Emang terpaksa meredah hujan untuk mencapai sasaran. Sekeluar dari atap di depan pintu perpustakaan, lembing-lembing hujan itu menerjah tekukku, bajuku, begkku, rambutku tanpa peri kemanusiaan. Setiap penerjahan menyertakan angin yang kencang yang menghantar semacam kedinginan ke tulang. Aku menggigil, lekas menjeritkan: "Sejuk!" di dalam teksi. Sudahlah angin kencang mendinginkan tubuhku; sekarang lembing-lembing hujan yang dingin ini melemahkan sendiku pula.

     Di Kafe 12 Universiti Malaya, aku termenung kepada lembing-lembing hujan yang menyerang bumi serentak. Penyerangan yang padat dan kejam itu menjatuhkan kebingitan kepada suasana. Semua pemakan di sana terpaksa menahan nafsu bercakapnya mereka sehingga tekanan tenggelam dan timbul dalam hati kerana mereka tidak dapat melawan daulat Tuhan terhadap bumi ini. Aku langsung kehilangan keinginan untuk berkata. Meluatlah aku ketika melihat kawan di depanku yang asyik merenungku, merenung makananku dengan tangan yang saling menggenggam, dengan wajahnya yang berharap penuh. Dia seakan-akan ingin membuka mulut untuk berbual denganku. Aku meluat bukan kerana membencinya tetapi tekanan dalam hatiku daripada kebingitan penerjahan hujan memaksa dia diam kerana sesungguhnya, aku tidak dapat melawan Tuhan! Sekalilah aku bercakap malah menjerit untuk memperdengarkan suara, sekalilah Tuhan menderumkan kafe ini dengan guruh, menyuruh kami diam dan mendengar-Nya, menyembah Dia yang jauh lebih sempurna daripada kami. Kata-kata kami hina; hanya nasihat-Nyalah yang termulia.

     Tuhan tidak murka. Dia hanya menekankan ketegasannya sebagai tuan kepada kita. Dia hendak mengingatkan kita bahawa Dialah tuan kita——sesiapa pun tidak dapat melawan lembing hujan-Nya yang kejam menerjah tubuh; sesiapa pun tidak dapat menjerit lebih kuat daripada bunyi padat lembing-lembing hujan yang dihentakkan-Nya serentak ke atas bumi. Kebesaran Tuhan yang diturunkan ini menghormatkan dan menghambakan kita akan-Nya.

Saturday, September 9, 2017

Maghrib atau Magrib?

                "Maghrib" atau "magrib"? "Ghaib" atau "ghaib"? Dalam Indonesia, bagi kata pinjaman yang ada gh غ, huruf rangkai pinjaman Arab, gh غ akan disesuaikan kepada g ݢ, konsonan asli bahasa Melayu. Maka dalam Indonesia, yang baku "magrib" dan "gaib" (Andi Dwi Handoko, 2011).

            Bunyi asing disesuaikan kepada bunyi jati Melayu kerana orang Melayu tidak dapat menyebut bunyi Arab. Kesusahan menyebut huruf asing pernah berlaku pada abad ke-15 dalam Sejarah Melayu. Makhdum Arab yang bernama Makhdum Sadar Jahan menyebut "kunyit" sebagai "kuzit" (ny پ bahasa Melayu disebut z ز bahasa Arab); "nyiru" sebagai "niru" (bunyi Melayu ny ڽ dihilangkan dan diganti dengan n ن); "kucing" disebut "kusyin" (bunyi Melayu ng ڠ disebut bunyi Arab sy ش). Orang Arab itu tidak dapat menyebut ny پdan ng ڠ kerana ny ڽ dan ng ڠ bunyi Melayu, tidak terdapat dalam bunyi bahasa Arab, oleh itu lidah kearabannya tidak betah lalu tertukar bunyi kepada bunyi Arab sy ش (kusyin) dan z ز (kuzit). Kerana bunyi ny ڽ tiada dalam bahasa Arab, makhdum itu menghilangkan bunyi ny dalam "nyiru" lalu menyebut "niru" (A. Samad Said, 2015:247).

            Kisah di atas mendorong usaha penyesuaian bunyi asing kepada bunyi jati bahasa sendiri. Oleh sebab orang Melayu tidak dapat menyebut gh غ yang hanya terdapat dalam bahasa Arab, gh غ patut disesuaikan kepada bunyi kemelayuan g ݢ yang agak dekat bunyinya dengan gh ع. Oleh itu, orang Melayu menyebut "ghaib" sebagai [gaib] dan "maghrib" sebagai [magrib]. Itu orang Melayu yang tidak mempelajari Arab. Jika orang Melayu itu mempelajari bahasa Arab, dapatlah dia menyebut bunyi gh غ itu. Namun demikian, oleh sebab gh ݢ bukan bunyi Melayu jati tetapi bunyi bahasa Arab, kita tidak boleh sesuka hati menyerapkan bunyi gh ݢ kerana ini akan mengarabkan bahasa Melayu sehingga bahasa Melayu kehilangan wajah asal! Lagipun, penerimaan bunyi Arab tidak adil untuk penutur orang Melayu jati yang tidak pernah mempelajari bahasa Arab dan mengenal bunyi-bunyi bahasa Arab. Bahasa Melayu bahasa Melayu; bahasa Arab bahasa Arab--berbeda, masing-masing ada bunyi tersendiri, tidak boleh dicampuradukkan sesuka hati.
Oleh itu, mengikut bunyi Melayu, "maghrib" daripada bahasa Arab hendaklah disesuaikan menjadi bentuk bahasa Melayu "magrib" yang berbunyi [magrib/ماغريب]] manakala "ghaib" daripada bahasa Arab juga harus disesuaikan kepada bentuk bahasa Melayu "gaib" yang berbunyi [ghaib/غايب]. Ejaan yang sepatutnya baku "magrib" dan "gaib".

Rujukan:
A. Samad Said. (2015). Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Andi Dwi Handoko. (2011). Maghrib atau Magrib. Dicapai pada 9 September 2017, daripada: https  ://dapurimajinasi.blogspot.my/2011/12/maghrib-atau magrib.html?m=1



Monday, July 17, 2017

Dengung Loceng Rindu di Pangsapuri Mak Saudara

          Rumah baharu mak saudara terlalu besar. Di ruang tamu, lantai dibuat daripada hablur yang memantulkan cahaya. Di lelangit, terlekatlah sebuah pendingin hawa empat segi yang berkekisi yang hanya digunakan di pusat membeli-belah. Apabila anda duduk di sofa kulit yang berbentuk U itu sambil menonton acara televisyen yang melekat pada dinding, anda akan merasai hawa dingin dari atas kepala yang merebak ke seluruh ruang tamu, mencipta suasana yang begitu selesa untuk seseorang terlelap semasa menonton rancangan televisyen. Aku berasa gembira untuk mak saudara kerana akhirnya dia tidak perlu terikat oleh sewa pangsapuri dan memiliki rumah banglo sendiri yang mencakar sebidang tanah yang luas.
          
           Ya, rumah ini memang kaya; memang raya. Kalau pergi ke sana sini, aku pasti terbau kekayaan; bau udara segar yang berbaur dengan bau kulit sofa yang segar. Namun begitu, kesunyian bermula bersarang dalam hati apabila sekian lama menetap di sini. Beberapa kilat gambar terkelip begitu sahaja dalam gedung kenanganku komputer Windows XP di dalam bilik komputer, PS2 di ruang tamu sampingan tepi bilik komputer, bilik orang gaji, ruang tamu pangsapuri tempat bahawa aku selalu terlena setelah menonton Pink Panther hingga 12.00 malam. Ya, aku mengakui bahawa aku sesungguhnya merindui kenangan perhubungan bersama di pangsapuri lama. Begitu besarlah rumah ini tetapi perhubungan kami sekarang begitu terpencil, hati begitu kecil...
            
           Aku paling rindu akan tingkat ketiga pangsapuri mak saudara. Tingkat ketiga itu tempat ajaib pada aku yang masih kecil pada masa dahulu. Rumah orang lain tiada tingkat ketiga, hanya rumah mak saudaralah yang ada. Lantai luar tingkat ketiga sempit sahaja, dilapisi kayu cengal yang berbau harum. Aku ingat akan bau itu sampai sekarang. Tingkat ketiga ada tiga buah pintu. Pintu kiri bilik “kakak” atau orang gaji; pintu tengah bilik komputer; pintu kanan ruang tamu kedua atau ruang tamu sampingan untuk tamu. Pada masa kecil, aku dan adik selalu terperuk di dalam bilik komputer untuk bermain komputer yang digerakkan oleh Windows XP. Aku merindui bunyi Windows XP. Bunyi itu mengingatkan daku kepada Zuma dan Pin Ball dua  mainan komputer yang merindukan daku kepada zaman kanak-kanakku.
            
                Pada masa kecil, aku dan adik yang nakal akan masuk ke bilik tidur “kakak” (orang gaji) untuk bermain. Bilik tidur kakak sebenarnya bilik membasuh pakaian yang ada mesin basuh bulat yang memusingkan segumpal baju. Lelangit bilik basuh itu berbau lembap, ada tingkap atap yang membiarkan penyelinapan cahaya. Kerana itu, tengah bilik itu selalu ada bulatan cahaya. Tali yang berselang-seli pula tergantung ke sana sini, penuh bajunya sehingga mukaku sering terlanggar baju itu. Pada waktu itu, Zhi Yu, saudara perempuanku akan memasuki bilik itu sambil tersenyum, bertanya: “Abang Hang, Abang Jie, apakah yang kalian buat di sini? Nanti aku memberi tahu kakak, ha....” Kami tidak peduli. Selepas itu, kami pun bermain bersama-sama, menyelak setiap baju yang berjuntai sambil berlari atau membongkokkan kepala lalu melepasi baju yang berjuntai itu.
            
            Bilik komputer itu dilapisi kayu cengal juga tetapi warna kayu cengal itu merah sedang kayu cengal di luar tingkat ketiga berwarna coklat muda. Bilik itu bagai tempat perlindungan sejuk kami, aku dan adik daripada gangguan tamu yang sering mengunjungi rumah mak saudara. Di kiri bilik itu, terletaklah sebuah sofa yang bergaris badan zebra hitam putih. Sofa itu sering menjadi tempat melompat aku dan adik. Kadangkalalah aku akan memukulkan “bantal zebra” itu ke atas adik dan adik juga berbuat begitu. Di hujung tengah bilik itu, sebuah komputer ada. Aku merindui bunyi penghidupan Windows XP yang sungguh istimewa itu dan juga butang Start hijau, gambar latar langit biru dan lembah hijau Windows XP. Komputer sekarang amat canggih tetapi terlalu canggih sehingga membosankan daku. Aku masih ingat bahawa aku dan adik akan bergilir-gilir bermain komputer itu. Aku kadangkala begitu berang akan adik yang berhadapan dengan komputer itu begitu lama sehingga aku tidak memunyai peluang bermain! Sebagai akibat itu, aku akan meleter dan merungut kepada adik, mencebirkan bibir, memaksa adik memberikan permainan kepada aku. Beberapa mainan menjadi nostalgiaku yang tidak terubat hingga kini: Zuma, mainan penembakan bola kepada bola yang sama warnanya; Pinball, mainan bahawa bola yang lincah memantul ke palang ini, lubang itu dengan sepasang palang di dasar yang perlu dikawal untuk mengekalkan bola itu, mengelakkan kejatuhan bola ke dalam lubang; Restaurant City, mainan restoran dalam Facebook dan sebagainya. Pendek kata, bilik komputer itu tempat bahawa aku dan adik meluangkan masa sehari.
            
               Bilik komputer itu ada sebuah pintu yang amat berahasia, yang dapat “menghantar seseorang ke surga” pada ingatan aku pada waktu budak. Pintu itu pernah dibuka sekali oleh mak saudara. Yang kulihat cahaya putih surga yang amat kuat sehingga mengaburkan mataku kepada pandangan luar. Dalam kesamaran, aku hanya melihat birai dan lorong di luar. Aku dan adik pernah tidak sengaja membuka pintu itu sekali. Pintu itu biasa terkunci. Apabila kami bertenjet-tenjet ke pintu itu lalu membuka tombol pintu, tiba-tibalah angin yang kuat menyerang rambutku dan menolak aku ke belakang. Cahaya putih yang amat terik muncul sekali lagi sehingga aku hanya melihat keputihan di luar. Aku dan adik ditakutkan oleh cahaya putih dan angin kuat yang ngeri itu, oleh itu kami lekas menutup pintu. Angin itu seakan-akan menegah pencerobohan kami ke tempat keramat itu. Hingga masa sekarang, aku masih tidak mengetahui rahasia yang terlindung di balik pintu itu. Adakah itu pintu ke alam lain; pintu ke surga; pintu ke neraka atau hanya lorong biasa yang dijalani untuk seseorang lari daripada kecemasan?
            
            Bilik komputer itu tidak sebesar begitu sahaja. Bilik di tepi bilik komputer lebih besar. Bilik di tepi bilik komputer sebenarnya ruang tamu kedua selain ruang tamu di tingkat dasar. Untuk memasuki ruang tamu itu, kami perlu membuka “pintu meluncur” yang besar sampai lelangit yang berbingkai putih dengan petak-petak separa lut sinar yang menyebabkan kesukaran pelihatan keadaan ruang tamu itu dari bilik komputer. Aku perlu menggunakan tenaga seluruh badan untuk menolak pintu besar itu, barulah pintu itu sanggup meluncur perlahan ke kanan payah! Ruang tamu itu juga berlantaikan kayu cengal yang berwarna coklat muda, seperti warna kayu cengal di lantai tingkat ketiga. Kenangan yang paling terang di sana bahawa aku bermain PS2 dengan adik dan Zhi Yu, adik perempuan saudaraku, anak mak saudara. Aku akan memasang dawai-dawai PS2 pada belakang televisyen. Proses itu amat melecehkan daku. Aku selalu terhenyak ke sofa apabila disuruh memasang dawai PS2 oleh adik. Aku akan memerintah adik berbuat demikian dan biasalah adik akan berdengus lalu akur sahaja. Aku suka bermain mainan elektronik gusti yang bernama WWE (World Wrestling Entertainment) dengan adik. Aku dan adik akan duduk di atas lantai kayu cengal yang amat mewah itu sambil menekan-nekan butang pengawal mainan.  Perbuatan pegusti-pegusti itu telah menjadi mainan tabiat dalam otakku sehingga aku dapat mencontoh setiap perbuatan seseorang pegusti kegemaran. Kenangan itu aku ingini sekali lagi di banglo mak saudara sekarang tetapi televisyen sering digunakan dan PS2 sering lupa dibawa, jadi tidak jadilah harap itu.
            
            Selain pintu ajaib di bilik komputer, ruang tamu itu juga ada keajaiban! Di belakang ruang tamu itu, adalah dapur yang berlantaikan petak-petak putih supaya lantai itu tidak rapuh setelah dititisi air. Kewujudan dapur itu tidak kami pahami kerana pada kami, dapur sudah ada di bawah, mengapakah dapur diperlukan di atas lagi? Siapakah yang akan membina dapur di atas rumah? Bukankah dapur di bawah rumah? Soal-soal itu menjadi simpul yang tidak terurai pada kami yang masih kecil. Pada waktu pagi, kami akan bermain di dapur ajaib itu. Zhi Yu akan menyertai kami. Di kiri dapur itu, sebuah meja makan ada; di kanan dapur itu, terdiri pulalah sebuah buah bar tempat bahawa orang minum arak. Buah bar itu tidak diduduki bekas-bekas arak tetapi di bawah buah bar yang ada almari, tersimpanlah pinggan-pinggan kaca yang digunakan oleh tetamu pada waktu penyantapan.
            
           Aku, adik dan Zhi Yu sering bersembunyi di balik buah bar itu sambil menyelak almari dan mengeluarkan pinggan demi pinggan lalu meletakkan pinggan-pinggan itu di atas meja kaca putih untuk merupakan bahawa kami akan makan masakan selepas ini. Aku sering membuka pili air untuk melihat keluarnya bongkah air ke sinki. Aku suka merenung air yang berputar-putar di keliling lubang lalu menyelinap ke dalam lubang. Lubang pili itu rahasia pada aku juga. Aku sering bertanya: ke manakah air itu pergi setelah memasuki lubang? Adakah dunia baharu di dalam lubang itu? Kadangkalalah aku, Zhi Yu dan adik akan menyemburkan air di dalam tapak tangan yang tertadah di bawah pili kepada satu sama lain sehingga berlari-lari dan berkejar-kejaran. Bongkah sinki itu sering ada titis-titis air besar yang berselerak sehingga mak saudara menaiki aras ini lalu bercekak pinggang kepada kami.
            
            Ruang tamu utama juga menjadi kerinduanku pada waktu senggang. Sambil duduk di kerusi beroda di dalam bilik komputer banglo luas yang berbau kayu cengal juga, aku terbayang ruang tamu pangsapuri yang menyelimuti badan itu. Aku masih mengenang bahawa aku akan berbaring di atas sofa sambil bersengkang mata di hadapan televisyen yang berkaki di atas meja hingga lewat malam, semata-mata untuk menonton kartun. Pada waktu itu, aku demam. Aku lupa akan masa bahawa aku terlena di atas sofa itu. Pada waktu malam, aku juga akan menonton televisyen bersama Zhi Yu yang kecil dan gempal pada waktu kecilnya. Aku masih mengingat pipi gemuknya. Kerinduanku terikat pada tiang masa itu pada masa bahawa aku, adik dan Zhi Yu hanya hendak duduk dengan bahu bertembung dengan bahu sambil menonton rancangan televisyen tanpa merisaui hari esok. Di kiri ruang tamu, adalah meja bulat hitam yang dibuat daripada batu. Setiap kali bahawa kami balik dari rumah orang lain, benda pertama yang kupandang meja bulat batu hitam itu. Beg plastik demi beg plastik belian pasti diletakkan di atas meja itu.
            
           Begitu inginnya hatiku akan masa bahawa kami banyak bergerak itu merebut komputer, meneroka pintu berahasia, bermain pili air, menonton televisyen, bermain PS2.... Sekarang, kami sudah besar: sudah memunyai dunia peribadi masing-masing; sudah memunyai kumpulan WhatsApp masing-masing. Tulang pun sudah berat, hanya hendak membebani kerusi sepanjang hari, malas bangkit untuk bersapa. Oleh itu, tidak menghairankan oranglah bahawa pergaulan kami terbatas kepada pergaulan dengan kawan-kawan dalam alam maya sahaja. Tanpa telefon bimbit dan I-Pad dalam dukungan, kita bagai ikan yang sesak nafas, tercungap-cungap kerana mendahagai udara dunia maya yang begitu sebati dengan kita. Kerana suka menyalurkan hati dalam kata, kita lupa berhubung dengan orang nyata di dunia nyata. Ya, rumah mak saudara kini begitu besar, begitu mewah, berdikari di sebidang tanah besar tetapi apakah makna kebesaran itu jika rumah itu sunyi sepi sahaja sekalipun ada manusia yang menginap di dalam? Di banglo yang maha mewah itu, kita mengabaikan kehadiran masing-masing, terhenyak di sofa dengan pandangan kepada cahaya telefon terpantul ke muka kita.
            
            Ya. Rumah kini lebih luas daripada pangsapuri dahulu tetapi hatiku terpencil di sini, besar di sana. Loceng rindu sedang berdengung, menyeru aku supaya aku kembali ke bilik komputer pangspuri itu...
           

            

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...