Friday, June 30, 2017

Dulu...Sekarang...

     Dulu, apabila dipanggil makan keropok lekor yang berasap terhidang di meja makan, aku yang menghadap komputer, menonton sesuatu tayangan yang menarik minat menggelengkan kepala sahaja. Aku tidak hendak meminyaki tangan —— leceh, nanti aku terpaksa mengangkat punggung yang sudah tetap dengan dukungan minat YouTube.

     Sekarang, aku tidak memandang komputer pun, terus ke dapur apabila dipanggil. Batang keropok lekor yang paling banyak aku makan. Tambahan pula, batang keropok yang berasap, anjal yang dipersedap oleh kicap keropok lekor yang manis pedas itu memang menyelerakan daku! Nikmat nyata pada mulut itu kembali kurasai semula!

     Dulu, mak selalu menyeru: "Hang, mari ke Ten Ten!" Walaupun aku mengetahui niat ibu yang menghendaki aku mengambil angin sekejap, aku masih menggelengkan kepala kerana tayangan YouTube lebih menarik minatku manakala perjalanan di pusat membeli-belah...sudahlah. Aku tidak suka melihat patung dan baju yang tidak beroh.

     Sekarang, aku tidak hendak menduniakan komputer dan telefon, maka aku melebarkan pintu hati, setuju keluar membeli-belah dengan ibu. Hatiku terbuai-buai, seperti bakul yang sedang kupegang pada pergelangan tangan sekarang. Aku berasa tidak berapa dikongkong setelah aku meninggalkan ketagihan telefon dan komputer. Mungkinlah dunia nyata membenarkan bahawa aku bernafas lebih banyak daripada dunia khayalan Internet yang mencederakan orang melalui kata yang setajam lidah. Walau bagaimanapun, aku tetap tidak suka memandang benda-benda yang tetap! Aku memang memandang jualan tetapi pandanganku menembusi jualan itu, kosong, bukan menghinggapi jualan. Pandangan yang menembusi jualan tidak memberikan apa-apa makna malah terasa tidak beroh, tidak seperti pandangan terhadap seorang wanita yang bergincu merah: itu bukan penembusan tetapi penghinggapan! Itu sebab utama bahawa aku hampir menyeret setiap langkah di MyDin sambil menguap-nguap pada hari ini!

     Mengapakah aku rela keluar? Mungkinlah aku sudah bermula menyedari berharganya setiap detik semasa kehidupan.




Thursday, June 29, 2017

Mainan Amali yang Pernah Membosankan Daku...

     "Abang, mari bermain UNO!"

     "Abang, mari bermain Jutawan!"

     Itu rayuan adik bosan terhadap aku yang sedang berhadapan dengan komputer setiap kali, setiap hari pada waktu dahulu. Setiap kali mendengar rayuan itu, hatiku serta-merta lelah dan kering kerana UNO dan Jutawan terlalu bosan! Bayangkanlah: empat orang duduk di keliling papan Jutawan, pandang-memandang, mengulang laku yang sama, iaitu melemparkan kad. Menarik hatikah kehidupan seperti itu? Lebih-lebih lagi, aku sudah dewasa, tidak dapat merasai keghairahan bermain UNO dan Jutawan lagi seperti masa dulu. Pada masa dahulu, aku, adik sulung dan dua orang adik sepupu perempuan sanggup bersengkang mata sampai 12.00 tengah malam demi bermain Jutawan di bilik komputer mak saudara yang terletak di tingkat ketiga rumah. Aku masih mengingat suhu bilik yang sejuk itu. Oleh itu, aku mengangkat tangan atau terus terang berkata "tidak" kepadanya. Hati ini sudah melekat pada Facebook, jadi tentu seksalah darah daging yang dipisahkan berdikit-dikit daripada maya oleh orang lain.

     Sekarang, keadaan sudah terbalik. Adik bosan suka mengangkat kedua-dua belah kaki ke sofa sambil mengalaskan kakinya kepada papan mainan yang semacam I-Pad tetapi berjenama lain yang dipegangnya. Apabila aku meminta dia bermain UNO, dia tidak menjawabku sebaliknya terus terpesona oleh gerak-geri gambar tabletnya. Minatnya terhadap UNO barangkali sudah mengalir kering. Dia lebih suka akan mainan mujarad dalam papan mainan elektroniknya kini jika mainan mujarad dibandingkan dengan mainan amali seperti UNO. Dulu, dia mengalirkan minat yang tebal tetapi mungkin oleh penolakanku yang terus-terusan, dia membuang diri dalam alam papan mainan yang lebih menarik minatnya setelah minatnya mengembara di dunia sudah mengalir kering; setelah dia putus asa meminta penemananku dalam UNO dan Jutawan.

     Sekarang, akulah yang membeli UNO semula, mencuba memenuhi permintaannya masa dahulu tetapi tampaknya dia sudah mencari kecintaan yang lebih sesuai dengannya.

     Aku begitu berharap agar minatnya terhadap UNO masih mengalir. Aku begitu mengharapkan masa senggang yang tidak mencemaskan orang supaya orang tidak selalu cemas membelek WhatsAppnya pada setiap selang lima minit. Dulu, kami: aku, adik, abang sepupu dan dua orang adik sepupu perempuan dapat bermain Jutawan seharian tanpa gangguan telefon pintar, tanpa berasa jemu akan aturan mainan yang berulang-ulang. Sekarang, WhatsApp meresapi jiwa setiap makhluk bumi, sebati dengan erti manusia, menjadi penyakit yang tidak kita sedari pun. Kita cemas memindahkan setiap detik kehidupan dalam alam yang tidak tersentuh sehingga alam nyata kita abaikan kerana takut terlangkau satu detik yang menarik hati dalam maya khayalan; kita berdebar hati membaca setiap berita dan pesanan ringkas menarik dalam Facebook dan WhatsApp tetapi kita lupa bercakap dengan kawan yang mengajak kita ke rumah terbuka di hadapan mata, seakan-akan rumah terbuka itu dimaksudkan untuk penyelaman laut maya sekali lagi. Kita berasa sangat tidak selesa apabila meninggalkan alam palsu itu kerana segala detik kehidupan kita dan kawan sudah dimuatkan dalam sana sehingga tidak tinggallah apa-apa yang berbaloi dikenang dalam alam nyata. Tidakkah kita berasa begitu?

     Aku sendiri juga sedang mencuba membuang penyakit itu dengan menetapkan bahawa aku hanya boleh membaca pesanan ringkas pada pukul 9.00 malam. Ketagihan membaca pesanan ringkas itu menggigit aku setiap 15 minit. Aku mengakui titis ingin tahu yang mengocakkan tasik hati yang baru ditenangkan apabila terdengar seruan nada dering pemberitahuan WhatsApp. Nada dering itu bagai loceng yang membangkitkan hantu —— sungguh ajaib sehingga dapat menyeru hantu hati penagih WhatsApp yang baru kuusir semula. Penggera sahaja sudah mampu memancing kegatalan ingin tahu: ingin tahu sama ada aku dihantari pesanan ringkas kerana aku dipentingkan; ingin tahu sama ada gadis idamanku menghantar pesanan ringkas kepadaku tiba-tiba dengan berkat Tuhan...Ringkasnya, sungguh deritalah untuk aku bertahan sampai 9.00 malam! Aku mencuba meneruskan pembacaan novel itu tetapi sesekali dualah kata-kata yang tertera itu kehilangan makna. Aku menutup novel, mencari kegemaran lain dengan  membaca buku tebal antologi rencana Cina pula tetapi rencana-rencana itu tidak mencungkil keghairahan terus membaca cerita seterusnya pun. Aku jelas benar akan keinginanku dalam WhatsApp tetapi aku tahu bahawa kewarasan itu sebenarnya tidak waras; keinginan yang seakan-akan betul itu sebenarnya salah! Ketagihan akan mewaraskan segala tindak kita tetapi lama-kelamaan, kita akan mendapati kesalahan itu! Orang sekarang merasakan bahawa permainan telefon bimbit di meja bulat makan waras kerana setiap orang berlaku begitu tetapi lama-kelamaan, aku merasai kegilaan kehidupan begitu setelah mengerti bahawa manusia dapat membisu di samping manusia yang lain dengan cahaya telefon bimbit menerangi muka sehari suntuk! Oleh itu, aku sanggup menggeleng akan kederitaan sementara itu untuk bertahan hingga pukul 9.00 malam —— bukan bertahan kerana sudah lama tidak menyeksakan badan tetapi bertahan dengan satu matlamat yang agung.

     Begitu berharaplah aku agar adik masih suka bermain UNO. Mainan amali yang pernah membosankan daku menjadi makna penting yang hanya kuerti kini. Aku tidak ingin menjalani kehidupan yang tampaknya waras tetapi sebenarnya gila itu lagi. Aku lebih rela bosan dalam mainan amali seperti UNO daripada tersenyum sendirian di hadapan cahaya telefon.



  

Sugus

     Sugus —— nama yang mesra pada waktu dahulu; nama yang kuingat sampai waktu kini.

     Aku masih ingat bahawa pada masa dahulu, ibu akan membelikan daku dan adik Sugus sebagai kunyahan pada masa senggang —— kunyahan yang tidak bermakna tetapi isi masa terluang yang memuaskan hati. Aku tidak berapa mengingat kenangan budakku tetapi apabila Sugus tersebut, kenangan menggambarkan empat orang budak yang kabur bawah terjahan sinar mata hari di kedai runcit Terengganu muncul dalam pikiranku. Seorang budak sedang memegang sebatang bungkus Sugus, berkongsi batang bungkus itu dengan tiga orang budak lain. Barangkalilah itu aku; barangkalilah peristiwa itu tidak pernah berlaku. Aku ingat jelas bahawa di tepi kedai runcit itu, sebuah peti aiskrim terdiri dan setandan pisang tergantung pada kayu melintang di atas.

     Ya, mungkinlah aku sudah melupai segala kenangan budak-budakku tetapi kunyahan Sugus masih mesra di dalam mulutku hingga tempoh sekarang. Selepas makan roti canai di Kedai Makan Alif, adik bongsuku yang gatal mulut membeli Sugus lalu mengunyah Sugus di kereta. Itu kebiasaan seorang kanak-kanak yang memang menyukai kemanisan. Pada hari-hari dahulu, aku tidak tertarik lagi oleh Sugus kerana Sugus terlalu biasa pada aku dan barangkali sudah besar, jadi tidak berapa suka mengunyah gula-gula lagi. Sungguhpun begitu, kinilah aku hendak mengimbas kenangan yang sudah terbenam bawah pasir kehidupan.

     Maka aku meminta Sugus daripada adik. Adik tentu berasa agak aneh kerana abangnya yang tidak suka makan gula-gula meminta gula daripadanya tiba-tiba. Aku mengunyah Sugus bersahaja, hanya ingin mencari rasa silam. Ya, rasa Sugus tidak pernah luput, tidak pernah berubah kerana peredaran zaman. Sugus masih begitu keras tetapi apabila dikunyah beberapa kali, menjadi anjal dan terpercik perisa oren yang tentu bercampur dengan air liur. Percampuran itu menjadikan Sugus jus oren yang istimewa. Aku pernah bertanya dalam hati: mengapakah kita meminum jus oren lagi sedang jus Sugus sudah ada? Itu pertanyaan yang membodohkanku barangkali. Mungkinlah Sugus sekarang tidak setebal Sugus dahulu tetapi rasa masih sama —— rasa keanak-anakan itu masih ada.

     Dulu, Sugus tidak penting pun dalam kehidupanku kerana terdapat di mana-mana dan ibu akan membelikan aku Sugus di mana-mana pun. Entah mengapa, sekarang, Sugus menandai keringkasanku pada zaman itu —— keringkasan seorang budak yang mudah puas akan kehidupan setelah Sugus dikunyahnya di dalam mulut. Dulu, nikmat itu kurasai dan dirasai adik sulung; sekarang, nikmat itu diwarisi adik bongsu yang sedang mengunyah Sugus sesuka hati dengan kedua-dua belah kaki diangkatnya ke atas tempat duduk. Barangkali kerana dirangsang oleh Sugus, adik menendang tempat duduk adik sulung di hadapan tiba-tiba lalu menyentuh tengkuk abangnya, ingin mengacau abangnya walaupun tahu bahawa diri akan digeletek oleh abangnya itu sebagai balas dendam. Selepas itu, adik sulung menoleh ke belakang dengan jelingan dan senyum jahat. Adik bongsu terkekeh-kekeh, mengetahui maksud jelingan dan senyum jahat itu. Maka adik sulung berpaling ke belakang, menghulurkan tangan tiba-tiba, ingin mencapai lalu mencuit pinggang adik bongsu tetapi adik bongsu tangkas mengelak dengan ketawa terkekeh-kekeh lagi lalu mengunyah Sugus semula, menunggu peluang mencuit tengkuk adik sulung lagi.

     Dunia mungkin sudah berubah; sudah rumit; sudah terdiri pencakar langit yang lebih banyak tetapi Sugus tetap semudah masa dahulu: kunyahan yang tidak bermakna tetapi memuaskan hati pada masa senggang sampai sekarang.

      

Lari daripada Maut yang Berkejar

            Aku masih gementar walaupun tahu bahawa itu hanya mainan. Dua orang yang menjadi hantu pengejar itu seiras Paul Simon dan Art Garfunkel yang berbaju putih panjang! Seorang tinggi, seorang rendah. Hantu yang serupa dengan Art Garfunkel itu berambut panjang sehingga beberapa utas rambut hadapan menutupi dahi. Mukanya berbedak serba putih dan bawah matanya bergaris celak merah, mulutnya dihitamkan. Dia memakai jubah panjang yang hanya khas dipakai hantu. Hantu yang serupa dengan Paul Simon pula lebih rendah, berdiri di kiri Art Garfunkel. Mukanya tidak berapa jelas kerana terlindung oleh Art Garfunkel yang berhadapan dengan lampu mentol bulat zaman nenekku yang memancarkan cahaya kekuning-kuningan yang lemah. Namun, yang terlindung itu lebih mengerikan daku: samar-samar kelihatanlah bahawa beberapa ketul dagingnya terkeluar dari muka sehingga menampakkan darah dan daging dalam ; sebatang gigi pontianak yang tajam dan panjang terjongol dari mulut. Bedak putih dan garis merah di bawah mata Art Garfunkel lebih nyata kerana lampu memancar ke mukanya.


            Kini, kami aku dan dua orang hantu itu berada di sebuah bilik gelap yang semacam bilik stor. Di belakang dua ekor hantu, terdirilah pintu yang ada tanda lampu hijau yang menerangi kata “KELUAR” di atas. Jelaslah bahawa ini bangunan terbiar yang dijadikan tapak mainan. “Kamu berlari dahulu, nanti kami mengejarmu,” Art Garfunkel mengangkat tangan, menunjukkan lubang paip besi segi empat yang begitu gelap itu. Mereka berbelas kerana bukan hantu sebenarnya. Ini hanya lakonan; mainan.

            Aku tahu bahawa saat ini mereka manusia tetapi saat seterusnya mereka akan terbang macam hantu. Mereka akan menghayati permainan, jadi itu petanda buruk. Aku segera berlari ke dalam lubang paip besi segi empat yang mungkin dipasang di atas sesebuah atap itu. Kerana ruang yang sempit, aku terpaksa merangkak. Paling menakuti ruang sempitlah aku kerana sesak nafas. Walau bagaimanapun, aku tidak menoleh lagi, terus merangkak dengan debar hati yang kuat setiap detik. Jangan-jangan mereka menarik kakiku sekarang! Aku terlihat simbahan lampu biru yang lemah dari pojok atas paip itu sepanjang perangkakan. Ternyatalah bahawa paip ini tidak gelap sepenuhnya.

            Di hujung paip itu, aku tiba di sebuah bilik stor lagi yang agak serupa dengan bilik stor tempat permulaan tadi tetapi lebih lapang. Selapis habuk yang diterangi di bawah cahaya lampu segi empat panjang yang telah berhabuk berpuluh-puluh tahun di atap yang telah berkesan air itu. Di hadapan yang tidak jauh dari tempat berdiriku, terdirilah pintu yang ada tanda yang berlampu hijau dengan kata “KELUAR” di atas juga. Aku tidak ada masa mengamati persekitaran lagi, tidak ada masa untuk berasa negeri akan persendirian di tempat yang tidak berpenghuni ini, terus menuruni tangga yang ada di hadapan mataku sekarang. Aku menuruni tangga yang terbentang sekali demi sekali sekalipun aku sudah berlari melengkung tangga demi tangga. Tangga itu seolah-olah tidak ada akhir. Bilik stor yang serupa asyik muncul di setiap aras. Dalam pergegasan itu, aku terkelip wajah hantu Art Garfunkel dan Paul Simon yang sudah menunggu aku di suatu aras. Debar hatiku tidak ada masa berhenti tetapi bertambah kuat. Aku perlu sampai di hujung sebelum mereka menangkap aku!

            Setelah menuruni 12 aras, akhirnya aku sampai di luar bangunan. Hatiku lega sedikit apabila aku melihat cahaya mata hari. Aku memandang atas tangga yang melengkung ke kiri dan ke kanan sambil berpikir: “Agaknya mereka sedang berkejar ke mari?” Namun begitu, derak kaki mereka masih tidak kedengaran lagi tetapi terngiang-ngiang di tepi telingaku. Aku tahu bahawa itu hanya khayal tetapi khayal itu seakan-akan membenar pada saat seterusnya. Aku berlari ke sebelah tangga itu. Di hadapan mataku, terbentanglah palang-palang besar yang bersusun jingga yang umpama palang monyet tetapi lebih tebal, seperti palang untuk pertandingan memanjat antara bangsa yang menguji kecepatan kesampaian seseorang ke titik tamat. Di palang atas itu, terhantarlah pemegang demi pemegang yang dari jauh yang berbentuk segi empat panjang. Pemegang itu meluncur dari pita penghantar yang terletak di bawah palang atas itu ke arah aku. Adalah yang berbentuk segi tiga. Itu menandakan bahawa peserta banyak telah terlepas ke seberang.

            Di tepi palang mainan itu, bertaburanlah pasir pantai. Aku tertampak Sanjay Menon, kawan Program Latihan Khidmat Negara (P.L.K.N.) aku yang duduk di sebuah batu yang menjulur dari pasir dengan beberapa orang peserta lagi yang berbaring di atas pasir, berteleku di atas pasir. Aku tidak hairan kerana kecemasan itu melupakan aku akan kehairanan hairan akan kebetulan pertembungan aku dengan kawan P.L.K.N. yang lama tidak ditemui itu. Mereka seolah-olah sedang menunggu sesuatu seolah-olah menunggu giliran bergayut pada pemegang itu kerana bukan sahaja pantailah yang sesak manusia tetapi palang besar itu pun sama. Sekarang, dua pandangan ada di hadapan mataku: kiri pantai yang berpasir kasar; kanan sistem palang yang dilatari hutan. Semua calon pertandingan tergesa-gesa melonjak dari pentas perlepasan lalu bergayut pada pemegang yang menghantar mereka ke tujuan seterusnya. Tampaknya mereka takut akan hantu pengejar mereka juga, aku berpikir.

            Aku memanjat pentas kecil perlepasan lalu menunggu terhantarnya bentuk pemegang yang sesuai kepadaku. Tiba-tiba, satu suara yang pernah begitu mesra kedengaran di tepi telingaku: “Ha, jangan pilih pemegang itu, terlalu sempit untuk tangan awak.” Dalam kesibukan orang demi orang yang bergayut pada pemegang segi empat itu, aku berpaling ke kiri. Itu Shankaar Singh kawan P.L.K.N. juga! Peliknya pertandingan ini. Pertandingan ini seolah-olah takdir yang mempertemukan daku dengan kawan lama. Shankaar menggelengkan kepala, merintih: “Matilah aku, aku mendapat hantu...”. Aku tidak ingat akan nama hantu yang tersebut olehnya kerana tumpuanku pada pemegang yang mungkin membawa lebih dekat ke garis tamat. “Ha, ha, jangan pilih yang itu,” dia melarang aku apabila aku hendak mencapai satu pemegang yang agak sempit lubangnya juga tetapi aku tidak mempedulikannya. Tidak kusangkalah bahawa dia, seperti waktu dahulu, suka mengajar orang. Wajah Simon dan Garfunkel yang terkelip dalam akal mengingatkan bahawa aku tidak memunyai masa pemilihan yang banyak. Dengan mengabaikan leternya, aku terus mencapai satu pemegang yang berantara sempit untuk letak jariku. Yang ajaib bahawa jariku dapat menembusi antara sempit itu. Aku bergayut pada pemegang itu kuat-kuat, mengharapkan peluncuran yang lebih pantas tetapi nyatalah aku perlu meneran kesabaran kerana peluncuran itu agak pantas sahaja. Sepanjang peluncuran, kepalaku asyik memancarkan kilat wajah Simon dan Garfunkel yang telah terkelip-kelip lalu menjadi hantu yang berbaju labuh putih kini.

            Aku gementar walaupun tahu bahawa itu mainan. Mainan itu seakan-akan nyata orang yang tertangkap oleh hantu akan digigit, dikunyah dan dilapah oleh hantu tersebut. Entah mengapakah aku berpikir demikian? Mainan itu sepatutnya bersahaja tetapi aku menseriuskan mainan itu tidak semena-mena. Yang aku ketahui sekarang bahawa aku hanya perlu terus-terusan berlari sepantas-pantasnya untuk terus hidup. Setelah pemegang itu menghantar aku ke sebuah pentas lagi yang menandakan kemenangan aku yang sampai di hentian kedua, aku menaiki sebuah kereta yang berjalan di laluan tengah udara yang terhantar di tengah sistem palang itu. Aku memandu kereta itu, mengikut laluan yang ada. Tiba-tiba, orang sebelahku yang juga memandu kereta menjerit: “Tekanlah pedal itu sekuat-kuatnya!” Aku mendengar arahannya yang mendadak, menekan pedal itu sehingga pedal itu sampai ke dasar. Keretaku melancar laju; melancar jauh daripada ugutan hantu Simon dan Garfunkel. Aku berasa bahawa aku seolah-olah sedang melancar di udara dengan angin yang menerjah muka dari arah yang bertentangan. Yang terlihat olehku hayna garis-garis yang berlari sepantas kilat ke belakang. Rasa itu sungguh menyeronokkan daku, sementara melupakan daku akan kecemasan hantu!

            Kereta yang meluncur demikian laju itu memerlahan. Sekarang, kelilingku jalan raya yang tepi ditumbuhi pokok yang berdaun lebat. Pokok-pokok yang berundur menandakan bahawa aku sudah terlepas dari palang-palang dan pemegang itu. Ketika berpikir tentang itu, aku sambil mengangkat tangan di tengah udara yang bertiup songsang, meraikan dan meraih jaya ini. Sungguhpun begitu, aku tidak mengamankan kehati-hatikanku tetapi pada kali ini, aku dapat memandu kereta lebih perlahan daripada pemanduan tadi. Simon dan Garfunkel pasti tidak sampai begitu jauh, pikirku.

            Pemanduan itu panjang masanya, seakan-akanlah aku sudah memandu kereta untuk seminggu. Walau bagaimanapun, bak kata cendekiawan, keamanan tidak kekal, jalan juga tidak semestinya lurus sepanjang perjalanan. Tiba-tiba, aku sampai di simpang yang curam seperti busut. Keretaku menemukan halangan. Adakah Tuhan sengaja menguji aku dengan simpang busut ini? Aku bertanya dengan kecemasan. Mengapakah Tuhan menimpakan ujian ini pada saat yang begitu gelisah ini? Kalau aku terus memijak pedal sekuat-kuatnya untuk memanjat simpang kanan yang agak naik itu, dua ekor hantu itu pasti sudah sampai. Hantu itu pasti menggigit leherku, menjamah aku sebagai makan malamnya. Aku tidak hendak merasai kesakitan yang tentu sengsara dan menggigitku itu sekali-kali! Aku tidak peduli. Aku berusaha melawan kesongsangan, memijak-mijak pedal sekalipun kereta ini begitu sukar naik, seperti dibebani seekor gajah. “Cepat lagi, cepat!” aku berteriak dalam hati, menekan pedal itu lebih kuat lagi tetapi pedal itu sudah sampai ke dasar. Matilah, matilah aku kalau kereta itu masih demikian perlahan! Entah dari mana, terpancarlah isyarat peta jalan yang bergaris-garis di tengah udara, menunjukkan jarak bintik merah dan bintik kuning. Bintik merah itu keretaku; bintik kuning itu kereta...kereta hantu! Bintik kuning itu baru berada beberapa meter di belakang bintik merah!

            Keretaku masih demikian perlahan biarpun hatiku sudah berkocak malah berombak! Aku dapat merasai angin berisyarat dari belakang. Terasa olehkulah kuasa dan nafas dua ekor hantu itu. Mulut ternganga Garfunkel terkelip sebentar dalam otakku. Bayangan ini diikut oleh kelip gambar perterbangan rambut dan jubah putih hantu Simon dan Garfunkel yang berdiri sambil menganjur ke luar dari kereta. Tidak kusyaki lagilah rasaku yang aneh itu lagi. Tidak salahlah bahawa mereka begitu dekat dengan daku sekarang! Aku perlu menekan pedal lebih kuat lagi, lebih kuat lagi.... Lidah mereka semakin panjang, semakin liar, mendahagai tubuh remajaku...

            “Bangun, bangun, bangun! Pukul 10, pukul 10, pukul 10!” satu jerit yang amat membencikan daku itu melatarkan keadaan sekeliling bilikku kepada khayal bahawa aku masih memanjat busut simpang kanan itu. Aku dapat melihat pendingin hawa, kipas bilikku dan langsir yang dicerahkan oleh cahaya mata hari yang tidak tertembus sekalipun keretaku sedang susah menaiki bukit sekarang. Aku berada di sempadan antara kenyataan dengan khayal namun aku lebih rela melelapkan mata, ingin mengekalkan gambar kereta itu. “Bangun, bangun, pukul 10, pukul 10, pukul 10!” jerit yang diselitkan dengan ketawa itu menyusuli jerit pertamanya tadi. Tampaknya budak itu tidak takut akan tamparan yang akan kuhadiahkan nanti! Kecohlah, kejamlah dia menyedarkan seseorang dengan panggilan yang tidak disaring terlebih dahulu dengan otak!

            Setelah menyedari bahawa aku bukan di kedudukan kereta tetapi di katil, kereta dalam mimpiku hanya bergerak di tempat yang sama sahaja walaupun roda masih berputar. Tidak dapat diteruskan lagilah mimpi yang pantas mendenyutkan hati itu. Maka aku bangun, ke tandas, menjeling adikku yang menjelirkan lidah, menggoyangkan kepalanya kerana telah berjaya mempermainkan daku. Aku berdengus tetapi tidak mempersalahkan budak yang naif itu. Sebenarnya, menarik jugalah permainan itu walaupun aku cemas dikejar Simon dan Garfunkel, hantu bersolek yang penyanyi kegemaran 70-anku sebenarnya. Itulah alaman lari daripada maut yang agak pelik juga, aku berpikir.

           

           

           

Tuesday, June 27, 2017

Mencari-cari

     Sambil duduk di sofa, aku menonton rancangan televisyen 90-an. Aku senang hati akan kualiti paparan yang buruk, jambul besar lelaki yang kolot, pakaian yang menutupi seluruh badan...dan pelbagai seni yang tentu tidak dihayati oleh manusia ikan sekarang. Babak demi babak berlegar dalam pikiranku. Mereka begitu gembira, begitu senang menari-nari, melonjak-lonjak mengikut rentak lagu sambil memeluk bahu kawannya, seakan-akan tidak membimbangi dunia yang mungkin kiamat esok. Aku melayan khayal sendiri, membiarkan khayal itu menerawang. Dalam khayal itu, aku mencari-cari...entah mencari apa. Aku sedang mencari sesuatu yang dapat mendamaikan gelora hatiku —— laut hati yang entah berkocak kerana apa?

     Aku suka berkhayal dalam wayang lama, mengharapkan bahawa diri menjadi watak wayang lama itu. Aku masih mencari-cari dunia yang sesuai bagiku. Dunia kini menggelorakan hatiku. Hatiku tidak aman oleh pesanan ringkas yang berbunyi bertalu-talu, memancingkan rasa ingin tahuku, mengganggu naluriku setiap hari sekalipun pesanan ringkas itu menyenangkan hati.... Ketika melihat bahawa lelaki dan perempuan yang berjambul besar itu melonjak-lonjak, mengikut rentak lagu sambil menyanyi serampangan, khayalku terpantul ke permukaan tasik dunia ini...

     Dunia sekarang terlalu malu saling memeluk. Mereka menakuti bahawa bancuhan keikhlasan tertuang terlalu banyak sehingga rupa telanjangnya berbuat malu di hadapan orang yang dipercayainya, sehingga orang yang dipercayainya mentertawakan kebodohannya, tidak menghargai
keikhlasan berlebihan yang tidak diperlukan itu. Lihatlah dunia 90-an. Mereka dapat berpeluk sambil bernyanyi, tidak menakuti bau busuk mulut masing-masing. Itulah persahabatan yang tidak berdinding.

     Aku ingin melihat bahawa seorang wanita yang sayu duduk di bawah lampu jalan kejingga-jinggaann sambil memeluk tubuhnya, menghadapi kedinginan ini berseorangan. Aku ingin melihat bahawa dia membelai dan melayan kemasyghulannya yang menerawang, meminjam cahaya bulan purnama sebagai teman sementara yang digantikan kepada teman lelakinya yang tidak berguna. Sekarang, manusia hanya berbaring dalam kegelapan, meminjam keempukan tilam sebagai pujukan dan tidak tentu menggesel skrin telefon, mengharapkan terusirnya kemasyghulan seiring dengan malam yang kian larut...

     Aku ingin melihat bahawa sekumpulan kawan yang duduk sejejer, menyanyikan karaoke sambil berlanggar bahu di dalam ruang yang sempit itu. Kawan-kawan itu tidak kisah sama ada bahunya dilanggar sekuat dan sesakit mana pun, asalkan mereka benar-benar bermesra —— benar-benar bermesra, benar-benar berlanggar bahu, bukan bermesra melalui perkataan yang tidak melambangkan suara hati dalam telefon yang kononnya pintar! Mereka tidak kisah betapa nyaringnya dan ngilunya nyanyi mereka, asalkan kemeriahan itu terus kekal dan membara, menyalakan obor remaja mereka. Sekarang, pengajakan keluar pun disusahkan dengan pelbagai alasan lapuk: "Aku malas"; "Kerja kursus"; "Sibuk". Yang diingini mereka terperuk di asramanya sambil menggosok telefon sehingga mereka berkesan  mengusir kebosanan yang bersarang, baru mereka mengangguk kepada undangan ke karaoke. Sarang kebosanan itu tidak akan dimusnahkan jika mereka tidak bergerak, tidak menyingkap jendela dunia luar!

     Aku ingin melihat bahawa lelaki menyorokkan bunga di belakangnya sambil memanjat tangga rumah kekasih wanitanya lalu menekan loceng. Aku ingin melihat betapa nyaringnya debar hati yang memukul dinding dalam badan lelaki itu semasa dia menunggu bahawa kekasihnya membuka pintu. "Kejutan!" lelaki itu menjerit sambil menghulurkan sejambak bunga mawar kepada perempuan yang memegang pipinya dengan mata terbeliak. Kemudian, mereka berpeluk-pelukan dan lelaki itu memusingkan badan kekasihnya yang yakin menggantungi dakapannya. Sungai percintaan mereka tidak terhenti begitu sahaja tetapi turut bersambung dengan lelehan sampul surat yang berisi suara batin masing-masing: betapa cintanya mereka antara satu sama lain, betapa rindunya mereka apabila mereka tidak dapat bertemu sehari, betapa dahaganya mereka akan sentuhan jiwa ketika mereka merenung cahaya purnama yang tidak bermakna apa-apa tanpa mereka bersama. Sekarang, yang meleleh hanya sesuatu yang tidak tersentuh; sesuatu yang tidak nyata. Pesanan ringkas yang berikut sepucuk demi sepucuk akan hilang dihimpit oleh pesanan lain pula. Di manakah jaminan kasih yang berpanjangan daripada pesanan ringkas yang tidak tersentuh itu?

     Aku ingin melihat bahawa sekumpulan kawan berduyun-duyun mendatangi seseorang kawan lalu menarik-narik kolar baju kawan itu sambil kecoh menanyakan rahasianya di menara yang dibelai angin. Yang tidak ingin kulihat bahawa seseorang lelaki yang tidak pernah keluar dari rumahnya berabad-abad gila dan cemas menaip sesuatu dengan mulutnya yang ternganga dan senyumnya yang separuh jadi, menanyakan rahasia kawannya dalam kumpulan Whatsapp. Biarpun sudah mengetahui rahasianya, adakah anda segembira saat bahawa anda menarik kolarnya,  mencabut rambutnya, menderanya supaya dia membongkar rahasia itu?

     Orang kini semakin kecut. Mereka tidak berani saling memeluk kerana takut dikecam sebagai orang yang menyukai jenis yang sama; mereka tidak berani kasar menarik kolar kawannya kerana itu biadab, tidak sopan dan mereka takut akan pemulauan kawan yang kecil hati itu; mereka tidak berani berlanggar bahu di karaoke kerana tidak ingin keluar pun ke karaoke! Untuk apakah mereka keluar sedang adanya nikmat di tangan! Whatsapp, nikmat tangan mereka itu kononnya dapat menyalurkan suara yang diikhlaskan daripada batin; dapat menjalin hubungan dengan pelbagai emoji yang tidak diberanikan pada muka pun semasa mereka bersemuka! Mereka sering mencari alasan untuk menikus, mengecut sehingga antara orang dengan orang, yang tinggal hanya kehormatan. Yang tidak senonoh digilakan dalam telefon pintar yang kononnya tidak mencela peribadi mereka kerana orang lain tidak sempat melihat ketidaksenonohan laku mereka dengan mata telanjang. Yang tidak senonoh hanya perkataan yang tertaip!

     Kawan-kawan. Lekapkanlah kek ke atas kepalaku —— lekapkanlah, aku membenarkan. Sesungguhnya, aku hanya ingin mendengar gelakmu sekali lagi —— sekali pun kupuasi. Dunia semakin sunyi, aku pun semakin layu. Aku semakin layu dihimpit kesunyian dunia yang terlalu serius sehingga manusia melindungkan kenakalan; menonjolkan sikap tunggul kayu yang hanya menurut perintah, yang mengantukkan semua orang. Sesungguhnya, dunia ini bukan zaman yang kucari-cari lagi. Aku masih mencari-cari; mencari-cari dunia nyata yang penuh kehangatan manusia...




    
    

Hikayat Manusia Ikan

     Begitu mudah dicarilah kegembiraan. Kegembiraan hanya di hujung jari pada abad ke-21. Setelah seseorang kanak-kanak yang baru berusia lima tahun bangun, dia terus mencari I-Padnya kerana ingin melayari perkarangan mainan yang warna-warni. Seseorang remaja yang selalu meneriakkan keghairahan cuti, apabila apa-apa yang menarik perhatiannya di keliling rumahnya tidak ada, dia terus mengisi kebosanan itu dengan memeluk telefon bimbitnya. Asalkan tenggelam dalam kolam yang penuh manusia yang suka berbicara itu; asalkan tidak diganggu kebosanan dunia nyata, manusia abad ke-21 puas, tenang.

     Bagaimanakah tindakan seseorang kalau permainan itu terhenti? Keseksaan itu pasti bukan calang-calang keseksaan. Apabila seseorang ingin bebas daripada kolam laman sosial, dia akan berasa sesak nafas. Akalnya terkelip-kelip kilat gambar beri tahuan Facebooknya, pesanan ringkas Whatsappnya, wayang-wayang menarik yang belum sempat ditontonnya dalam Facebook. Kerana tidak tahan akan kerinduan itu, dia terpaksa melayan jalaran nafsunya, merendami kolam itu semula dan melupai bahawa dia hendak berehat; melupai niat ingin membuang ketagihan itu. Kalau dibuanglah telefon pintar dan I-Padnya, dia bagai ikan yang keputusan air. Khayal yang asyik berlegar dalam pikirannya menyeksakan batinnya, menyeru batinnya supaya dia mendapat telefon dan I-Padnya semula. Dia hendak mengawal nafsu batinnya yang meluap-luap bagai air panas yang mendidih berasap tetapi dia tidak dapat. Dia tidak dapat menguasai dirinya. Tangannya gatal dan tidak selesa apabila tidak memegang telefon pintar. Hatinya gatal dan disentap-sentap, mengeluarkan semacam suara rayuan yang ghaib, yang mengganggu kelenaan tidurnya, yang menganggu keinginan makan tengah harinya apabila dia tidak membaca pesanan ringkas terbaharu Whatsappnya. Itulah manusia abad ke-21 yang dicemeti oleh jentera. Dunia sudah terbalik. Tujuan penciptaan jentera sudah kesasar.

     Bersimpatilah aku terhadap saudara mara di kelilingku. Muka mereka bercahaya tetapi bukan disimbahi cahaya kegembiraan tulen tetapi cahaya buatan telefon pintar dan I-Pad. Pak Cik begitu asyik, adik-adik sepupu yang berusia dalam lingkungan enam hingga sembilan tahun pun begitu. Mereka benar-benar bagai ikan yang tidak dapat keputusan air sedang mereka dapat menghirup udara dunia. Mereka memilih penenggelaman kolam maya, tidak mempedulikan kewujudan udara semula jadi. Kenapa? Kerana itu cara yang menggembirakan mereka. Apabila kanak-kanak sepupuku hampa dimarahi ibunya, wayang Youtube yang lucu dapat menggelakkan mereka; gerak cergas dan gambar warna-warni I-Pad dapat memukau mereka, sementara melupakan  mereka akan kesedihan dunia yang begitu nyata. Bayangkanlah yang akan terjadi kepada mereka kalau mereka keputusan telefon pintar hanya untuk tiga hari —— bukan seminggu pun? Mereka pasti rela tidur tiga hari daripada menghadapi dunia ini dan berkongsi senyum dengan orang lain selama 24 jam. Pak Cikku, adik-adik sepupuku, adikku, ayahku, ibuku, Mak Cikku terlalu biasa akan kolam. Mereka melupai dunia yang perlu ditanggungjawabkan oleh mereka. Dunia terlalu tertekan pada Pak Cik dan Mak Cikku yang bekerja. Mereka selalu berkedut dahi, menggelengkan kepala apabila mengadukan kesombongan ketua syarikatnya, perlambakan kerja yang menimpa dada mereka yang sudah sesak pada asalnya, kelicikan teman sepejabat.... Mungkin baik jugalah untuk Pak Cik dan Mak Cikku yang bekerja ini berendam sejuk dalam kolam sebentar. Kesianlah mereka yang selalu ditumpahi darah caci maki.

     Pada suatu petang di kampung Terengganu, aku dan adik-adik sepupu perempuanku akan mengambil bola keranjang dan bola kanak-kanak ke gelanggang bola keranjang untuk melantunkan dan menendang bola —— melakukan apa-apa sahaja terhadap bola itu. Kadangkalalah kita menendang bola keranjang tanpa mempedulikan betul salah yang membelenggu kebebasan kami. Itu budaya kami dari waktu kecil aku lagi. Nasib baik kami masih mengekalkan budaya yang menghidupkan kami di dunia ini, bukan dalam kolam maya. Namun begitu, adik sepupuku yang sebaya denganku dan adiknya itu sudah malas tulang sendinya, tidak secergas dahulu. Pada masa dahulu —— pada masa bahawa pengaruh maya tidak begitu kuat,  mereka sanggup berlari pusingan demi pusingan di keliling gelanggang sambil mengejar bola yang dilarikan. Mereka tidak kisah akan tercungap-cungapnya. Sekarang, mereka kisah benar. Keletihan itu begitu pantang pada mereka sehingga sanggup dielakkan mereka hari demi hari kerana mereka dapat hidup dengan cara yang lebih mudah tanpa perlu seksa dengan perlatihan sukan, iaitu dengan duduk bersimpul sambil menggesel-gesel skrin telefon, membiarkan bahawa pikiran bebas menerawang mengikut kehendak dan khayal mereka.

     Itu kenangan kekuning-kuningan yang penuh senyum dan ketawa. Sekalipun terkelip-kelip dalam celah saku akal yang sarat keduniaan yang mengugut kenaifan, aku masih mengeluh apabila menyedari bahawa kebudak-budakan yang telanjang itu tidak dapat kembali lagi.

     Adik sepupu perempuan yang sebaya denganku itu menendang bola itu sekejap sahaja, barangkali sekali sahaja lalu kembali ke bulatan ghaib yang dilukisnya sambil memeriksa pesanan ringkas terbaharunya. Adiknya lebih teruk, hampir tidak melantunkan bola keranjang sekali pun. Dia lebih selesa ketawa kecil sambil menunjukkan berita lucu dalam telefonnya kepada kakaknya, iaitu adik sepupu yang sebaya denganku itu. Entah bilakah tercapainya impian betis berototnya? Yang cergas berlari, tidak tahu tertawa-tawa cemas akan apa itu hanya sekumpulan budak pendek sepupuku yang berusia dalam lingkungan enam hingga sembilan tahun. Ketawa mereka yang mengiringi bola yang dilarikan dan ditendang tidak menghiburku. Aku tidak tahu apakah yang patut dighairahi apabila sebiji bola dilarikan. Aku tidak berasa ingin mengejar bola, menjadi pemenang yang menguasai bola itu. Dulu, memanglah aku bangga menjadi johan yang menendang dan membawa bola sepak kanak-kanak itu sambil mengelak lincah sehingga kedua-dua orang adik sepupu perempuanku tidak dapat merebut bola itu. Sekarang, aku sudah melupai kebanggaan itu. Aku tidak dapat mencari keghairahan menjadi johan itu kembali. Barangkalilah aku sudah besar, sudah terpisah daripada darah daging seorang kanak-kanak. Pohon hatiku sudah melayu, barangkali.

     Apakah yang ingin kurintihkan lagi? Manusia sudah kalah. Adik sepupu pun membawa telefon bimbit ke gelanggang, nyata tidak selesalah dia kalau meninggalkan alam mayanya sekejap. Khayalnya tidak hendak bertapak di dunia nyata. Dunia nyata terlalu bosan; dibosankan oleh sekumpulan lain yang turut merenangi kolam maya dan pada kumpulan itu, dunia juga demikian bosan kerana dibosankan oleh sekumpulan lain yang turut berkhayal dalam alam maya...begitulah kebosanan dan kehilangan harap terhadap dunia merebak. Aku memahami seksanya batinnya tatkala dia tidak menggesel skrin telefon. Rasa itu seperti menjelajah dunia asing yang tidak selamat dan hendak kembali ke negara asal; rasa itu laksana ikan yang terkapai-kapai ekornya dan sesak nafas tatkala terkeluar dari air; rasa itu umpama kehilangan beruang yang dipeluk semasa tidur. Aku paham. Jangan ragu-ragu, aku paham.

     Aku juga seksa apabila mendirikan rancangan membaca buku untuk menenangkan gelora hati yang disebabkan pesanan-pesanan ringkas dalam Whatsapp. Pembacaan dapat mengubati kekacauanku kepada pesanan ringkas, pikiran daku. Memang dapat menganggu akulah pesanan-pesanan ringkas itu kerana aku ingin asyik mengejar dan mengikuti perkembangan baharu kawan-kawanku yang hanya tampaknya begitu mesra dalam alam maya. Itu satu-satunya peluang untuk aku merasai kemesraan mereka sedang mereka tidak berbual pun di bilik kuliah. Pada beberapa ketika, kata-kata buku yang dikesan oleh mata tiba-tiba tidak dimaksudi oleh akal. Kata-kata buku hanya kekal sebagai kata-kata, kulit yang tidak berisi. Akalku terkelip-kelip telefon pintar yang sengaja ditinggalkan di rumah dan pesanan ringkas yang mungkin berisi luahan cinta seseorang gadis terhadapku. Daging hatiku tertekan sehingga menjadi bentuk sebelah tangan yang terkapai-kapai, ingin mencapai telefon bimbit di atas meja rumahku yang jauh dari kampung yang kudiami sekarang. Mataku terlalu berat untuk terus menanggap kata-kata pada halaman buku yang telah kuning itu. Pesanan ringkas dalam Whatsapp seolah-olah lebih bermakna daripada kata-kata pada halaman kuning buku yang telah ketinggalan zaman itu. Pada detik itu, aku berasa seolah-olah telah membuat keputusan yang salah dengan meninggalkan telefon di rumah dan menyisihkan diri daripada dunia ini, menjadi orang aneh dengan membawa buku kuno yang tidak dibaca oleh orang zaman sekarang ini. Namun begitu, kesedaranku yang tinggi akan kebenaran itu memaksa aku terus melakukan perkara yang betul. Pembacaan dapat diisikan kepada masa lapang, kata hatiku. Itu tabiat orang zaman silam. Kita mesti mempelajari orang zaman silam kerana kitalah warisan orang silam. Itu pikiranku. Manusia zaman yang serba canggih ini bukan manusia yang jati tetapi ikan —— ikan yang mudah lemas tanpa air.

     Aku tahu. Aku tahu bahawa anda rela bermimpi dalam kolam maya kerana anda pernan ditoreh hati; pernah dikecewakan. Tali persahabatan yang suci, yang pernah teguh anda pegang itu sudah putus tiba-tiba kerana temanmu sudah mencari seorang kawan yang lebih lucah, lebih lucu sifatnya sehingga anda sendiri seakan-akan tidak berharga, umpama tunggul kayu yang lurus yang bosan digauli. Janji-janji manis yang sudah diabadikan pada suatu malam yang diterangi cahaya purnama dan disaksikan oleh bintang-bintang yang bertaburan di cakerawala sudah tidak dibenakan oleh lelaki sempurnamu yang bahunya sudah tidak seteguh bahunya masa dahulu, tidak dapat anda sandari lagi kerana bahunya sudah ditempah khas oleh wanita lain yang lebih tajam gemerlapan permatanya. Anda hampa. Hati anda sedang diparas. Perpisahan tiba-tiba itu begitu menganggu ketenangan rohmu, begitu menggigit kepercayaanmu, membingungkanmu, meragukanmu tentang erti kewujudan diri di dunia ini. Sungguhpun hati diparas berkali-kali, air mata tetap tidak dapat diparas keluar. Kelaraan itu terlalu biasa sehingga air mata tidak perlu dibazirkan, berpikirlah hatimu yang terlatih waras. Maka anda mencari-cari makna diri dalam kehidupan dan akhirnya, anda menemukan laman maya. Dalam laman itu, anda tidak akan dimaki, dihampakan, disekat. Anda bebas. Anda lebih senang mengalirkan suara batin melalui jari daripada melalui mulut. Anda lebih senang ketika tidak menghadapi manusia yang begitu meletihkan dan selalu menghampakan jiwa. Maka lebih relalah anda berkediaman di taman itu, biarpun taman itu menjadi kolam yang menenggelami anda sehingga lama-kelamaan anda menyesuaikan diri, menjadi ikan —— ikan yang malu dan kebuntuan perkataan apabila bersemuka dengan ikan ayu tetapi gila mencurahkan rasa dalam Whatsapp apabila bersendirian.

     Siapatah yang telah mengakibatkan bahawa seorang manusia yang waras, yang bertempiaran di bukit bukau yang hijau menikus sebagai ikan yang bergantung pada zat air? Manusia sendiri —— manusia tidak berperikemanusiaan yang menghampakan janji diri terhadap manusia lain.


    


Kekemasan Bermula daripada Kekacauan

     Jejeren bintik cahaya lampu yang berselerak di jalan raya sebenarnya berasal daripada satu sistem yang kemas. Dapat ditafsirkan jugalah bahawa jejeren bintik cahaya lampu jalan itu membayangkan perselerakan yang kemudian membentuk satu sistem kemas. Bintik-bintik cahaya lampu yang berselerak sebenarnya menggambarkan bentuk jalan yang tertentu. Bintik-bintik cahaya yang melengkung ke atas menandai selekoh. Selekohlah sistem kemas yang diterangi bintik-bintik cahaya lampu yang kacau. Maka itu, segala kekemasan, seperti selekoh yang sempurna berasal daripada kekacauan, umpama jejeren bintik cahaya lampu jalan yang berselerak. Kekacauan membentuk kekemasan.

     Apakah yang kurepekkan ini? Susah dipahami, betul tak?

     Dengan ringkasnya, aku hanya hendak memberitahukan bahawa segala kekemasan yang disebut sistem itu bermula daripada pikiran dan keadaan seorang sarjana yang kacau.

     Pada suatu hari, semasa aku bercuti di rumah nenek yang berada di Terengganu, aku terkejut sekali lagi oleh lagak rajin adik sepupu perempuanku yang menyayangi telefon pintarnya  lebih daripada segala-galanya selama ini. Nota Sains terbentang kemas di hadapan matanya yang tidak menjeling nota itu sedikit pun sebaliknya dia sungguh-sungguh menulis jawab soal Matematik pada buku lain. Barangkali itulah yang dikatakan bahawa manusia tidak menghargai keindahan milikan di hadapan matanya, aku berpikir. Itu kepura-puraan juga —— menyombongkan nota yang kemas kepada orang lain untuk memercayakan orang lain bahawa dia rajin bahkan dia menambah-nambah seri lakonannya dengan membuat kerja rumah lain, aku mencebik dalam hati. Aku tenggelam dalam khayalku, berpikir: begitu mudahlah anak sekarang mendapat nota yang lengkap —— hanya dengan membayar duit tuisyen maka sampailah 'hidangan' yang setimpal bayaran itu.

     Nota yang bertaip kemas itu menyebabkan bahawa aku terbayang jejeren bintik cahaya lampu yang berselerak di jalan raya. Satu sistem yang tersusun berasal daripada kekacauan pikiran pengatur sistem itu. Nota juga sama. Aku dapat membayangkan bahawa guru tuisyennya sedang meramas-ramas rambutnya sambil memikirkan cara menyusun ilmu cariannya supaya maklumat-maklumat itu menjadi nota yang tertata mengikut bab yang berbetulan dengan sukatan pelajaran. Aku terbayang beberapa malamnya yang terpaksa disedarkan dengan cawan demi cawan kopi, dengan mata yang serik akan keterangan cahaya komputer riba, dengan lampu bilik yang sentiasa hidup dan jika lampu bilik dipadamkan, itu bermakna ketumbangannya ke dalam kawah kegagalan. Oleh itu, bayaran tuisyenlah ganjaran usaha guru itu.

     "Nota sekolahkah?" aku bertanya, mengingini kepastian sama ada guru sekolah begitu rajin.

     "Begitu lengkapkah nota sekolah?" dia menjelingku. Ejekannya itu seperti merendahkan taraf guru sekolahnya.

     Jawab itu membayangkan pikiran tetap seorang keturunan Y bahawa seseorang pelajar keturunan Y hanya perlu duduk di kerusi yang beralas empuk sambil menunggu terhidangnya sehelai kertas tebal yang berikat dengan ubat pengokot, yang lengkap semua maklumat sesuatu bab sehingga pelajar hanya perlu membenamkan hafalannya dalam semua maklumat yang, pada pendapat guru itu, tidak boleh ditinggalkan walaupun sepatah kata. Apatah erti pemelajaran kalau akal tidak dirangsang ? Gear jentera yang tidak digerakkan berkarat juga akhirnya. Lebih-lebih lagi, di manakah mungkinnya keadaan nota yang lengkap tanpa pencarian, pengumpulan dan penyusunan ilmu yang berterusan?

     Aku menyanggah pemelajaran berdasarkan nota guru. Itu seperti orang tidak berakal yang tugasnya hanya merakamkan semua maklumat itu dalam akal tanpa berpikir dan menapis maklumat yang 'terhidang'. Aku pernah menjadi perakam sehingga ayat yang kuperah daripada otak dipadamkan semata-mata kerana tidak bertepatan dengan ayat dalam nota dan jawab guru. Pemelajaran memerlukan pemikiran, bukan perakaman bulat-bulat daripada nota! Seperti yang telah dijelaskan awal tadi, kekemasan bermula daripada kekacauan. Untuk menjalin satu rangkai ilmu yang tuntas mengenai sesuatu bab pelajaran, kita bermula dengan meramas-ramas kepala, bengal memikirkan maklumat yang perlu diteroka di perpustakaan dan rujukan lain. Setelah mencari-cari maklumat dengan tidak tentunya —— tanpa hujung pangkalnya (perkara manakah yang bermula dengan susunan pikiran yang teratur?), kita mencatat maklumat yang berkaitan dengan pelajaran daripada rujukan. Selepas itu, kita merujuk beberapa buku lain untuk mengumpulkan maklumat yang lebih banyak dan untuk mengesahkan maklumat dahulu. Kemudian, kita menyusun maklumat itu mengikut urutan sukatan pelajaran dan maka terjadilah satu nota lengkap yang kemas, yang bermula daripada kekacauan yang bertalu-talu dikemaskan dengan usaha kita. Itulah pahaman yang benar mengenai sesuatu pelajaran.

     Kita memahami sesuatu pelajaran melalui pencarian, bukan hidangan nota yang berasap keluar dari ketuhar. Kita paham benar tentang pelajaran yang kita siasat dengan merujuk buku-buku di perpustakaan kerana setiap patah kata dicatat melalui coretan yang memunyai sentuhan khas kepada akal dan jiwa. Setiap sentuhan khas itu membawa kita kepada satu ingatan. Maka itu, tidak menghairankan kitalah bahawa orang yang menulis dan memetik ilmu daripada buku sehingga petikan itu berkumpul menjadi satu karangan yang rapi kata-katanya mampu menghafal semua pelajarannya tanpa merujuk nota lain pun.

     Adik sepupuku, mungkinkah satu nota yang begitu lengkap senang disediakan? Itu juga melalui penyiasatan orang dahulu. Siasatan orang itu menjadi ilmu yang tertera dalam buku teks. Orang berenang-renang ke tepian dahulu sebelum berakit-rakit ke hulu —— berenang sebelum mendapat kendaraan. Pelajaran sekarang begitu lancar dan sempurna kerana ilmu yang tersusun sudah dihidangkan dalam nota guru tuisyen. Jika segala-galanya tersedia, apakah kerja pelajar yang bertalian rapat dengan kata 'belajar'?

     Pemelajaran memang tidak mungkin lancar. Itu proses yang susah, yang bermula daripada semangat ingin tahu, kemudian diikut perujukan, pencatatan maklumat, penyusunan maklumat dan akhirnya terbentuklah nota yang lahir daripada ketuhar pahaman sendiri. Nota itulah sistem yang kemas. Sistem itu kemas itu bermula daripada pencarian yang kacau, yang tidak tentu. Tahukah anda bahawa apakah dan berapakah buku yang perlu anda rujuk untuk memahami sesuatu ilmu? Tidak tahu, kan? Jadi, terimalah kecacatan dunia ini; terimalah kenyataan bahawa segala-galanya tidak datang dengan kemudahan.

     Aku juga pernah mengharapkan bahawa bau asap minyak goreng dari dapur tidak melekati bajuku ketika aku turun dari tingkat atas rumah tetapi asap minyak yang terlalu halus untuk mengelakkan bajuku itu tetap tersebar, melekati bajuku, membusukkan daku dan menyesakkan hidungku. Itulah kecacatan zarah minyak yang tidak dapat dielakkan —— aku terima juga akhirnya.

Ketenangan Tulen Tidak Pernah Ada

     Entah mengapa, adik sepupu perempuanku berlagak rajin pada hari ini. Pada ribanya, terbentanglah buku Kimianya dengan alat tulis di tepinya. Dia tunduk menjawab soal-soal Kimia. Biasalah dia sibuk memegang telefon bimbitnya, mencari berita kehidupan orang lain untuk mengecam berita mereka. Kalau orang mendedahkan perutnya sambil berswafoto, dia akan mengedutkan dahi sambil menudingkan jari ke perut orang itu: Eh, orang ini tergila-gila akan lelaki!

     Pada kertas soal Kimianya, terteralah dua ayat. Ayat bahasa Melayu tersusun di atas ayat bahasa Inggeris. Setelah melihat adanya bahasa Melayu, aku pun senang hati lalu merepekkan beberapa istilah yang telah kumelayukan sendiri: susunan lelapan (octet arrangement), susunan dedua (duplet arrangement) dan membaca ayat-ayat soal bahasa Melayu Kimia itu. Adikku yang meyakini bahasa Inggeris sebagai bahasa pendidikan antara bangsa pula membaca ayat bahasa Inggeris semasa mengajar adik sepupu perempuan, melawan aku diam-diam. Aku tidak puas, meninggikan sebutanku dalam bahasa Melayu. Walaupun memercayai bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan kebangsaan, aku kadangkala agak kecewa dan kesal akan terjemahan istilah Kimia bahasa Melayu kerana terjemahan itu menelanjangkan keinggerisan, seperti oktet, duplet, neutralisasi (sedang adanya penawaran, kata yang berbau bahasa Melayu).

     Kesenanganku itu memancing satu tanda tanya daripada laut hati. Mengapakah aku berasa senang? Aku menyukai bahasa Melayu, maka apabila melihat adanya ayat bahasa Melayu dalam Kimia yang biasa diajarkan dengan bahasa Inggeris, hatiku senang, bagai dialiri sungai yang menghembuskan irama seruling yang tenang di samping mengalir. Bahasa Melayu dimartabatkan. Hatiku lebih senang apabila aku melihat bahawa ayat bahasa Melayu mengatasi ayat bahasa Inggeris. Itu menandakan bahawa tingkat bahasa Melayu lebih tinggi daripada tingkat bahasa Inggeris. Sungguhpun begitu, apabila aku meninjau buku-buku rujukan tebalku yang bercetak dengan bahasa Melayu, aku tidak begitu ghairah tatkala membaca ayat-ayat bahasa Melayu malah lama-kelamaan bengal kepala oleh putar belitnya ayat-ayat bahasa Melayu itu. Keanehan itu berlaku barangkali kerana ayat bahasa Melayu yang berulang-ulang terlalu biasa padaku? Apabila aku cepat membelek buku-buku rujukan bahasa Melayu yang akan kupelajari pada penggal hadapan, setiap detik hatiku berdenyut dengan makna kerana aku akan mempelajari semua kursus ini dengan cara pemikiran dalam bahasa Melayu, bukan bahasa Inggeris yang diagung-agungkan, istimewanya dalam pemelajaran Sains dan Matematik. Namun begitu, setelah beberapa ketika berlalu, hatiku tidak berdenyut untuk buku-buku bahasa Melayu itu lagi bahkan terlupa olehku. Mengapatah kesayanganku begitu mudah kulupai?

     A. Samad Ahmad dalam novelnya, Hujan Pagi pernah menulis: "Sesuatu nikmat kehidupan akan hanya lebih besar ertinya sesudah kepahitan. Orang hanya akan lebih tahu tentang erti untung apakala sudah melalui pengalaman rugi." Aku menyetujui kata-kata itu. Apabila selonggok buku bahasa Melayu kumiliki, aku menyusun longgok buku itu di bawah katil sahaja, tidak memberatkan isi dan bahasa buku itu. Namun begitu, apabila aku mengintai kertas soal adik sepupu yang ada ayat bahasa Melayu di samping ayat bahasa Inggeris, hatiku terpujuk. Tidak pernah begitu dalamlah kecintaan dan penghargaanku kepada bahasa Melayu. Ingin sekali kupadamkanlah ayat bahasa Inggeris itu supaya bahasa Melayu benar-benar terserlah cahaya martabat sebagai bahasa pelajaran Malaysia.

     Aku merasakan bahawa bahasa Melayu menjalani nasib yang sama dengan perkataan A. Samad Ahmad. Kerana ancaman bahasa Inggeris itu ada, semangat memperjuangkan bahasa Melayu lebih kuat dalam kalbu cendekiawan bahasa Melayu. Bayangkan: kalau bahasa Melayu aman berkuasa sebagai bahasa pentadbiran dan bahasa pelajaran, adakah kerajaan akan terus-menerus memikirkan ikhtiar untuk memperkembang bahasa ini? Tidak. Mengapa? Jawab bagi soal ini: tiadalah tenaga penggerak; tiadalah kuasa berlawanan yang merebut jaya yang melekakan semua orang itu. Kita mesti kehilangan sesuatu milikan terlebih dahulu untuk merasai betapa tingginya nilai milikan itu. Jika milikan itu damai terhantar di sisi kita, kita tidak mengeling benda itu pun kerana keghairahan dan kesayangan yang timbul semasa kita pertama-tama memiliki benda itu sudah beransur-ansur hilang, seiring dengan peredaran masa. Kita tidak begitu bena tentang benda yang kita miliki tetapi tidak berhenti-henti mendahagai benda yang belum kita miliki kerana manusia makhluk yang sentiasa memandang hadapan.

     Aku menyedari bahawa kehidupan itu tidak dapat selalu lancar berpaksikan rancangan sendiri. Rancangan ini akan terganggu pada bila-bila masa dan kita mesti menerima kelumrahan alam itu. Bahaya dan keselamatan saling melengkapi untuk memberikan nilai kepada sesuatu benda atau perbuatan. Kita tidak mungkin selamat dan berjaya selama-lamanya ——kalau kita terlalu selamat, kita akan berasa bagai berjalan di puncak bukit —— gawat dan bimbang bahawa diri akan ditolak orang bila-bila masa ke bawah puncak sehingga kita benar-benar menginsafi kesakitan kegagalan. Dalam keselamatan, kita pasti menemui bahaya dan bahaya itu memaksa kita berikhtiar memperbaik yang selamat itu, sebagaimana pertapakan bahasa Inggeris dalam pendidikan Malaysia mengocakkan semangat pencinta bahasa Melayu, memaksa mereka berikhtiar mempertahankan nilai bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan.

     Keadaan ini sama dengan percintaan. Memang berahi benarlah hati kita tatkala kita menemui kekasih buat kali pertama. Kentutnya pun kita anggap wangi. Segala-galanya begitu baik. Walau bagaimanapun, seiring dengan peredaran masa, segala kebaikan itu dianggap kebiasaan yang kian memudarkan hati kita yang sentiasa melihat hadapan; menjengah untuk mencari kebaharuan. Maka kekasih kita menjadi orang yang tidak begitu penting lagi. Namun demikian, pada suatu hari, tiba-tibalah seorang lelaki yang lebih kacak dan tegap daripada kita berniat meragut kekasih kita dari sisi kita. Pada masa itulah cahaya harga teman wanita kita terserlah kembali dan denyut hati pada waktu kali pertama bahawa kita menemuinya hidup lagi.

     Bahaya dan ancaman sentiasa ada. Walaupun memaksa kita mengorbankan kesayangan, bahaya juga melengkapi kehidupan kita diam-diam. Adalah hikmah di balik bahaya itu. Daripada merisaui bahaya yang kian menimpa usaha, bukankah lebih baik kita menerima bahaya sebagai bauran dengan keselamatan dan jaya? Air juga bauran ketenangan dan bahaya kerana air berkocak juga pada tempoh tertentu.

    

    

Monday, June 26, 2017

Penderitaan Aku yang Bijak tetapi Derhaka

     Pada malam ini di asrama, aku sedang menelaah buku. Aku berazam dalam hati bahawa aku hendak menghidupkan gaya kehidupan 80-an yang hanya ada buku dan catur di tangan, tidak memiliki Internet yang dapat mengasyikkan keturunan abad ke-21 setiap hari, seperti jentera yang tidak berhati; kelainan tiada. Aku memaksa diri membaca, membaca dan membaca buku kendatipun hati sedang meneran angin bosan yang sedang naik dan memenuhi salur dari perut ke kerongkong. Hatiku yang terlalu damba akan jaya pembacaan ini tidak ingin mendengar sebarang gangguan pun yang dapat menghambat usaha keras ini, jadi, tidak peliklah bahawa perutku berangin —— angin tekanan. Aku menetapkan matlamat bahawa aku mesti membaca 10 halaman buku hikayat tipis ini sehari untuk memanfaatkan masa lapang dengan cara tersihat. Hatiku merintih: "Hang, bermainlah telefon! Tak ada salahnya melayari Facebook untuk seketika. Meringankan beban saja, kan? Buat apa sungguh-sungguh membaca buku? Nanti orang mengejek awak ulat buku lagi!" Aku sudah kebal akan hatiku ini. 'Peringangan' sementara pasti berpanjangan kepada keasyikan yang tidak terputus. Aku paham benar akan hatiku ini. Jadi, aku mengekang diri memegang telefon bimbit biarpun menjeling telefon bimbit sekalipun.

     "Hampir dicapai...hampir dicapai!" hatiku berteriak. Aku sudah membaca beberapa halaman yang mendekati bilangan 10 halaman. Batu hatiku turun sedikit, membiarkan angin menembusi perutku yang tertekan. Aku lega sedikit kerana berjaya membaca hampir enam muka surat. Aku puas berasa bahawa aku bagai cendekiawan yang membetulkan kaca mata sambil menelaah lautan ilmu yang dalam daripada buku yang berselerak di meja. Aku tidak serupa dengan orang lain yang dangkal —— hanya tahu membelek-belek Facebook yang memang serupa beritanya jika dibelek seribu kali. Entah-entah keselamatan apakah yang dicari mereka daripada Facebook dan Whatsapp yang tidak bermesej baharu dan berulang-ulang berita!

     Pada saat ini, telefonku berdering. Hatiku tersentak sejenak, terus terduga pemanggil itu. Dengan tangan yang berpeluh sejuk, aku melihat jam telefon bimbit. Jam menunjukkan 8.30 malam. Matilah, aku terpaksa menahan kemarahan lagi supaya tidak terlajak!

     "Helo? Ha, po (aku menggelar nenek "po" dalam bahasa Mandarin), helo," aku menyahut sapaan nenek dari hujung talian dengan nada selamba.

     "Hang (nama timang-timanganku "Hang") ah! Sudah makan? Awak berada di asrama sekarang?" nenek bertanya dengan semangat ingin tahu yang tidak pernah luput dari hari ke hari. Entah bagaimanakah nenek mengekalkan keingintahuannya setiap hari!

     "Ya, ya," aku hanya mampu mengeyakan pertanyaannya kerana kecuali "ya", aku tidak berdaya memikirkan ayat lain oleh kekacauan yang bergelora dalam hati sekarang. Cita-cita kecendekiawananku sedang diganggu!

     Selepas ini, nenek seakan-akan melengahkan masa perbualan, mencungkil masa yang lebih banyak dengan daku. Nenek mencari tajuk lain yang terlalu biasa padaku pula. "Rakan ada di bilik?"; "Kuncikan bilik rapat-rapat ya, nanti pencuri mencerobohi bilik sekali lagi. Nanti barangmu hilang sekali lagi. Awak pun tahu, kan, bahawa awak pelupa..."

     Tiba-tiba, aku diserang seribu pertanyaan sehingga hatiku semakin tertekan, bagai tuala yang dipulas. "Bersabarlah...bersabarlah," aku mencuba meredakan ketegangan hati yang kian meledak. Aku hampir menjerit kepada nenek, memperhentikan leternya tetapi aku sedar benar bahawa itu kederhakaan. Selain menjaga ilmu, aku perlu menjaga budi bahasa juga. Orang muda mesti menghormati dan menyopani orang tua. Kalau tidak berlaku demikian, aku akan dilaknat Tuhan dengan kilat atau direbus di dalam sup neraka.

     Tekanan hatiku tidak jadi meledak tetapi diteran berkali-kali lalu bertukar kepada suara rimas yang memunyai kebiadaban yang terendah: "Ya, ya, saya tahu nek, saya pandai menjaga diri, tak perlu mengingat-ingatkan saya selalu. Jangan risau, nek." Suaraku pada masa itu nyata kedengaran rimas dan tidak sabar. Hati nenek tentu tergetar oleh kekejaman itu...

     "O...tak apalah, Hang, saya cuma berbual-bual senggang saja. Maklumlah, popo (= kata bahasa Mandarin yang bererti nenek) tidak ada hal untuk dibuat, terlalu banyaklah masa senggang. Haha...baiklah, saya tak berbual lagi. Jaga diri baik-baik...ok...jumpa lagi," nenek tersengih. Gelaknya kekok dan dipaksakan di hujung talian untuk melayan aku, cucu yang derhaka, aku tahu. Aku tahu bahawa hati nenek tidak gembira tetapi hatiku yang tiba-tiba sedar akan kehampaan nenek dan kehinaan budiku tidak mampu memuntahkan apa-apa pujuk dalam beberapa saat perkataan "jumpa lagi" itu. Ingin kuteriakkan: "Saya tidak bermaksud begitu...." tetapi maruah yang menutupi lubuk hatiku yang terbenar memengaruhi aku hanya mengujarkan: "O, baik, jumpa lagi." Teranglah bahawa nafsu membaca bukuku lebih kuat mencengkam hati daripada simpatiku terhadap nenek sehingga aku hendak cepat menamatkan gangguan itu untuk meneruskan gaya kehidupan 80-anku yang kononnya berciri kecendekiawanan daripada pembacaan dan penyiasatan ilmu. Hatiku berasa adanya semacam hasrat yang tidak tersampai tetapi gagang sudah diletakkan nenek, meninggalkan kekaburan bunyi yang tidak bermakna.

     Yang lebih merupakan kejahatanku bahawa hatiku lega daripada tekanan setelah nenek meletakkan gagang kerana itu bermakna bahawa aku dapat terus menikmati persendirianku yang memerlukan tumpuan sepenuhnya untuk aku mencapai matlamat 10 halaman sehari. Namun begitu, hatiku bingung pada masa yang sama sambil memikirkan soal adab. Apakah guna rupaku yang bijak jika hatiku tersiratlah kebusukan? Nenek tentu menganggap kesambalewaanku dalam perbualan dengannya sebagai tabiat biasaku. Pada mata nenek, aku memang sambalewa sehingga bahawa tualaku hilang, dompet yang tercicir pun tidak kusedari.... Sungguhpun begitu, aku tahu bahawa hatiku ini derhaka. Aku tidak mengingini bahawa nenek membudakkan aku sehingga sentiasa tidak jemu mengingatkan aku akan kekurangan aku, iaitu pelupa setiap hari. Daripada suatu ceruk hati, aku yakin bahawa aku bukan pelupa sepenuhnya dan aku mampu berdikari mengendalikan kehidupan seharian. Aku bukan budak empat tahun, seperti sangkanya lagi. Aku tidak memerlukan peringatan. Oleh itu, sungguh-sungguhlah aku mengelakkan dan mengikis segala nasihat yang berbunyi kebudakan, seperti "jangan lupa sentuh-sentuhlah saku seluar untuk memastikan bahawa dompet masih ada..."

     Aku meletakkan buku di atas meja, tercungap-cungap daripada kegelisahan hatiku yang berpeluh. Aku bermula tidak mengenal diri sekarang. Adakah aku ilmuwan yang sopan atau sebenarnya ilmuwan yang dilapisi kesopanan tetapi berisi derhaka? Adakah aku budiman yang tersergam megah di puncak bukit atau serigala yang merangkak tamak? Tergamaklah aku derhaka terhadap nenek yang selalu bimbang mengikut dan memperhatikan aku yang berusia empat tahun yang memanjat sofa untuk mengambil kertas minyak lampu dinding supaya aku tidak jatuh! Kedut dahinya selalu terbayang jelas dalam ingatanku —— terlalu nyata, mustahil dipadamkan. Sekarang, bukan sahaja aku tidak mengurangkan kedut itu malah menambah kedut hatinya dengan suara rimas yang ingin segera menamatkan perbualan 15 minit itu. Apatah guna kebijakan jika seseorang tidak tahu tentang adab dan kelemahlembutan? Apatah guna kebijakan, apatah guna...

     Sampah —— semuanya sampah! Aku memukul kulit bukuku. Begitu dahsyatlah aku; yang lebih dahsyat bahawa nenekku tidak mengetahui bahawa aku ada hati yang demikian dahsyat! Orang mengenal aku sebagai pelajar sempurna yang bijak dan berbudi bahasa namun mereka tidak tahu tentang kederhakaanku terhadap nenek. Kesesalan berakar dan mencengkam hatiku yang terbayang hati nenek yang tertoreh sehingga berdarah. Begitu berdosalah aku yang daif ini!

     "Apatah guna kebijaksanaan kalau...kalau budi... budi bahasa demikian hina!" aku meregangkan seluruh badan, mengetapkan setiap kata sambil memukul-mukul tanganku sekuat-kuatnya dengan harapan bahawa aku dapat menghukum diri yang berhati serigala itu.

     Aku hendak memaksakan tangisan yang mungkin mampu meredakan kesesalan. Namun begitu, aku gagal. Tangisan hatiku tanpa suara dan air mata. Yang tergigil hanya hatiku yang hitam dan tidak berguna.

    

Keterbalikan Manusia Merentas Abad

     "Dik, habiskanlah telur bawang itu! Tinggal sedikit lagi!" nenek menyuruh.

     "Tak naklah, nek, saya dah kenyang," adik sulung meraba-raba perutnya yang masih kenyang.

     "Eh, apalah kamu ini. Dulu, kami nak makan paha ayam pun susah, kamu pula...," sebelum sempat nenek menghabiskan perkataannya, adik sulung sudah hendak menarik punggungnya dari kerusi untuk mengelakkan dentam dentum leter neneknya.

     Pada suatu makan malam lagi...

     "Mari, Hang, makan banyak sedikit: makan ayam!" nenek terus mengapit ketulan besar ayam tanpa menanyakan kemahuanku ke pinggangku.

     "Nek, apitlah yang kecil sedikit: ketulan besar ayam menjijikkan saya!" saya berkedut dahi, punggung hampir melonjak-lonjak kerana kemualan dari kerusi tetapi aku menahan kejijikan hati kerana nenek pasti tergores hatinya.

     Rungutanku seakan-akan tidak disambut oleh orang tua yang berkhayal dalam kekayaan dunia sendiri dahulu. "Dulu, ayam mi kari kami besar-besar belaka, tidak macam ketulan ayam kini: kecil dan kecut sementara harga masih naik...," nenek bersungut kepadaku.

     Nenek menceritai kami bahawa pada zaman kecilnya, dia hanya terpaksa merenung paha ayam yang besar dan berkilat di tengah meja sehingga berupaya mencungkil air liur yang akan meleleh tanpa boleh menghulurkan tangan untuk mengambil paha itu. Mereka perlu menunggu sempurnanya semua orang di meja, barulah boleh memulakan pemakanan. Namun begitu, paha ayam di atas meja bukan hak mereka tetapi hak Pak Cik dan Mak Cik yang lebih berkuasa daripada mereka. Nenek hanya dapat menghisap air liurnya yang meleleh semula lalu makan nasi putih. Nasi putih pun nikmat padanya. Adanya nasi putih lebih baik daripada tiadanya nasi putih. Adalah beberapa kali bahawa nenek dan adik-adiknya hanya boleh menghabiskan sisa makanan di atas meja. Pada mereka, itu kegembiraan yang ringkas juga.

     Barangkalilah kemewahan zaman ini telah melekakan keturunan Y sehingga keturunan Y tidak tahu menghargai paha ayam. Makanan, pada mereka, bagai pakaian: apabila tangan dihulurkan, mendapat pakaianlah mereka. Di atas meja keluarga sekarang, terhidanglah pelbagai makanan berasap wangi yang susah didapat pada zaman silam: ayam goreng, nugget, sup ABC, wedges...dan berbagai-bagai hidangan Barat lagi. Mereka terlalu biasa akan rasa makanan itu sehingga muak ketika melihat terhidangnya makanan itu di atas meja pada hari seterusnya. Maklumlah bahawa manusia yang serba canggih ini menghendaki kesegaran dan kebaharuan yang seolah-olah dapat dipetik dengan jari setiap hari. Kepelbagaian makanan menyebabkan tabiat pemilihan makanan. Selalulah aku mendengar: "Aku tak nak ayam ini!" yang dirungutkan oleh adik bongsu dengan kepalanya dijauhkan dari pinggangnya; "Aku dah kenyang, nek!" yang dijujurkan oleh adik sulung dengan senyum tersengihnya sambil adik sulung meraba-raba perutnya yang belum bulat berkembang sepenuhnya pun.

     Dunia telah terbalik. Manusia silam menagih paha ayam; manusia sekarang mencebik kepada paha ayam, meminta kepak ayam pula. Adanya pilihan mengurangi kesyukuran.

     Sekali lagilah aku terbayang:

      "Dik, habiskanlah telur bawang itu! Tinggal sedikit lagi!" nenek menyuruh.

     Jika nenek menuturkan ayat ini sekali lagi, tindak balas adik bongsu pasti sama sungguhpun kenyang atau tidak: dia akan meraba-raba perutnya dengan senyum tersengihnya sambil menjawab: "Nek, tak mahulah, saya dah kenyang."

     Nenek tentu tersinggung oleh tolakan itu kerana kami tidak menghargai makanan hasil peluhnya di dapur. Nenek menagih penghargaan daripada kami tetapi kami kejam menolak undangan itu dengan mengatakan bahawa kami sudah kenyang. Apakah kesalahan jika kita menahan kekenyangan yang sedikit itu untuk menghabiskan sisa makanan di atas meja? Betulkah kami sudah kenyang ataupun kami malas hendak menyuap diri lagi setelah nasi di atas pinggang sudah habis? Sudah menjadi tabiat yang mengawal akallah bahawa setelah nasi habis di pinggang, pemakanan pun tamat, tidak boleh diteruskan lagi. Siapakah yang mencipta undang-undang itu? Kita masih boleh makan sisa lauk setelah habis makan nasi! Yang menjadi masalah bahawa adakah kita sanggup sabar di kerusi untuk beberapa detik lagi?

     Tanpa menolak undangannya lagi, aku merebut pinggang telur bawang itu ke hadapanku lalu mencucuk telur bawang dengan garpu, menyumbatkan telur bayang ke dalam mulut. Kunyahanku memaknai segala-galanya. Nenekku, akhirnya, tersenyum dengan menampakkan gigi besarnya yang kekuning-kuningan daripada jelingan ekor mataku.

    

Pengubahan yang Paling Berkesan: Jinak? Galak?

    Pada hari ini, aku bermesyuarat dengan Ustaz Gazis (nama palsu) tentang forum merokok yang bakal dijalankan. Tiba-tiba, muncullah seorang tegap dengan misai garangnya dari dalam pejabatnya dengan sampin yang mengeliling pinggangnya sebagai tanda bakal menyambut Hari Raya. Wajahnya tidak semuram wajahnya pada hari peperiksaan tetapi berkilat-kilat dengan senyum. Entah mengapakah anginnya begitu baik pada hari ini? Adakah Encik Badrul (nama palsu) akan naik angin lagi seperti hari itu?

     Setelah tamatnya peperiksaan pada hari itu...

     "Duduk semula! Duduk!" Encik Badrul menjerit dengan ketegasan kepada calon-calon peperiksaan yang lekas berdiri lalu berbuat kecoh selepas masa peperiksaan tamat.

     Kami terpinga-pinga, mengangakan mulut, tidak tahu tentang sebab bahawa Encik Badrul memerintah kita duduk semula tetapi aku dapat merasai bahawa perintah itu dikeluarkannya kerana adab kita...

     "Tahukah awak semua akan adab? Peperiksaan juga ada adab. Bolehkah awak semua bising selepas peperiksaan tamat? Kami telah mendapat laporan daripada atasan bahawa PPISMP tidak beradab...," Encik Badrul meleter tetapi setiap leterannya berhenti sejenak dengan ketegasan yang menghantuk hati kami.

     Aku paham tentang kemarahan Encik Badrul. Ketegasan Encik Badrul ada kebaikanwalaupun mendatangkan desas-desus bisik dengan muka semendung awan. Dia ingin mengubah adab buruk kami. Orang dahulu tidak laksana orang kini: mereka mengetahui adab kerana ibu bapa mereka begitu garang sehingga mereka akan diherdik dengan mata terbeliak yang merah bernyala apabila hampir mencucuk makanan dengan garpu sebelum ibu bapa mereka berbuat demikian. Sedang orang lain bermuka masam di bawah meja terhadap Encik Badrul, aku mengangguk kepada segala nasihatnya, seperti tidak bising sebelum meninggalkan tempat peperiksaan, menjaga adab terhadap pengawas peperiksaan dan...aku sudah lupa. Aku mencuba menangkap setiap baris nasihatnya tetapi aku pelupa yang tidak teringat perkataan seseorang ilmuwan selepas mengangguk sungguh-sungguh, mengeyakan pendapatnya.

     Pikiranku tidak menyerapi kenangan itu sepenuhnya kerana ketawa berdekah-dekah Encik Badrul menganggu khayalku. Dia meninggikan suara dengan senyum yang mengumpulkan kedut sebaris dua pada matanya, entah berjenaka tentang apa kemudian tertawa berdekah-dekah dengan suaranya serendah paluan gendang yang bertalu-talu. Aku merenungnya sementara Ustaz Gazis sedang menasihati kawanku tentang forum merokok. Telingaku sedar akan adanya suara Ustaz Gazis tetapi aku tidak menangkap perkataannya. Tumpuanku pada Encik Badrul. Aku tahu bahawa aku biadab kerana tidak memandang Ustaz Gazis. Setelah Encik Badrul ketawa, seorang dua kaki tangan perempuan yang berumur dalam lingkungan 40 tahun dipengaruhi ketawanya yang berjuntai di udara sehingga turut tertawa sambil melambai-lambaikan tangannya. Mungkinlah mereka hanya tertawa untuk melayan orang garang ini agar keadaan tidak seperti burung kakak tua yang memecahkan kesunyian udara. Barangkalilah mereka tertawa sambil berpikir: "Hahaha, lucunya tapi lawak tak jadi."

     Namun begitu, persoalan utamaku tidak terjelas. Aku menyetujui ketegasan Encik Badrul pada hari itu kerana ketegasan mampu menakutkan seseorang, seterusnya mengubah keburukannya. Sementelah itu, semua adab buruk yang dimarahinya, seperti bergegas menyandang beg lalu menjerit dan berbual bising, memang berlaku dalam kalangan kami. Hanyalah mereka yang lahiriah, memandang kemarahannya daripada segi luar akan menganggapnya sebagai "Pak Cik yang tidak pernah mengenal kasih sayang". Sesungguhnya, ketegasannya berpatutan. Sungguhpun begitu, aku pernah menyaksikan seorang pensyarah peramah yang sentiasa menyelami jiwa keremajaan, umpama tertawa tergigil seperti remaja; berjenaka kuat sehingga suaranya dilontarkan ke belakang dan menarik kegelian hati kami; mengajar kami menarikan tari kanak-kanak untuk mengusir kebosanan sekalipun tari itu memang membodohkan kami sehingga adalah yang menari dengan sendi yang lemah dan muka hitam. Ya, beliau pernah memarahi kami sesungguh-sungguhnya suatu kali sehingga kami tidak berani menggerakkan sebarang anggota badan kerana kami takut akan jelingan matanya yang mengancam kami, yang mungkin menusukkan celanya kepada batin yang sudah cedera sekali lagi. Herdik dan beliak matanya pada hari itu memang mengubah kami seratus peratus sehingga kami menghabiskan kerjanya tepat pada masa tetapi yang lebih penting, kami belajar dalam suasana santai dengannya dalam kebanyakan hari.

     Sifat periang pensyarah itu memengaruhi kami sehingga kami sentiasa cergas bergaul dengannya di bilik kuliah. Mata kami tidak pernah ingin lelap kerana menakuti bahawa kami akan terlangkau satu detik lucu. Pengajaran beliau sungguh mengesani kami. Beliau tidak mengajar, mengubah kami yang suka memberontak dengan memarahi kami, menakutkan kami semata-mata, umpama yang dilakukan oleh Encik Badrul. Cuba bayangkanlah keadaan kalau Encik Badrul mengajar kami. Adakah kami akan berubah setelah terpaksa menyumbatkan herdiknya kepada kemalasan kami berkali-kali ke dalam telinga setiap hari? Tidak. Itu akan memburukkan keadaan. Mahasiswa nakal akan terus mengumpat tentangnya dalam Whatsapp selagi Encik Badrul mengajarnya biarpun mereka duduk tegak dengan muka biri-biri di hadapannya sebaliknya mereka menghormati pensyarah periang yang tersebut itu sebagai insan yang menghormati maruah seseorang manusia, baik apabila bersemuka ataupun dalam Whatsapp. Pensyarah periang itu telah menelanjangkan sifat seorang manusia yang ingin berdekah-dekah setiap masa di samping menegakkan hati kepada pemelajaran yang serius. Ketawa berdekah-dekahnya, yang kedengaran seperti paluan kompang juga memengaruhi cara gelak kami dan menyebabkan bahawa kami ingin menghormati, mentaatinya secara tidak langsung.

     Ketegasan ada kebaikan; kelonggaran pun ada kebaikan. Ketegasan mengubah dan mengingatkan seseorang akan bahaya sesuatu kerana hati yang pernah ditusuki maki hamun itu tiba-tiba sedar benar dan menjadi berhati-hati; kelonggaran pula memengaruhi seseorang untuk seseorang berubah daripada kejahilan dalam gelak ketawa seorang pengasuh dalam kesantaian. Yang manakah yang lebih berkesan? Kalau seseorang pensyarah terlalu lembut dan suka berjenaka, mahasiswa yang kental kulitnya tetap melawannya dan memanjatnya juga; kalau seseorang pensyarah terlalu mementingkan adab sehingga kedudukan mahasiswa juga dikira setiap hari, hari-hari pemelajaran mahasiswa seperti paku yang dipukulkan pada papan hitam —— suara menukul yang mendatar terpaksa diserapkan tiap-tiap hari. Yang terbaik: tegas apabila seseorang berbuat salah; tertawa sehendak-hendaknya apabila belajar?

Friday, June 23, 2017

Apakah Perkataan Buku-buku di Perpustakaan?

Apakah Perkataan Buku-buku di Perpustakaan?

Sehari berdingin di Perpustakaan Lokman Musa
Sekumpulan buku rapi tersusun
Tidak disentuh; menguning, menua
Membiarkan masa menghanyutkan kegemilangan cerita lama
Lautan ilmu baharu mengguling dari belakang
Menenggelami dan mengganti lautan ilmu kolot.

Buku di sana tampan belaka
Masing-masing angkuh terdiri megah
Berhias dengan kulit istimewa
Lebih kaya pelbagai ilmu rahsia

Namun begitu
Mereka sunyi
Mahasiswa tidak menjeling mereka langsung
"Beleklah aku! Selamilah aku!" buku-buku merayu
Setiap kali mahasiswa berlalu
Dia berkata
Sungguhpun berusia
Aku masih bernilai dan berisi kekayaan sarjana.

Mengapatah engkau tidak datang?
Adakah sini penuh udara sejuk yang bosan?
Membuai mimpi meleraikan tumpuan?
Berpuluh-puluh tahunlah buku-buku mendukung harap
Namun hanya daunlah yang diterbangkan memasuki perpustakaan.

Dunia ini memang nyata
Manusia berteraskan lahiriah bukan rasa
Maranya kerja kursus maka diambil buku sini sana
Buku dibelek sepintas lalu
Hanya mencari ayat yang terjitu
Selepas nilai buku habis dipergunakan
Dibuang di meja merata-rata
Tanpa usaha menyusun
Menghargai nilai sebuah buku.

"Beleklah aku! Selamilah aku!"
Itu rayuan sebuah buku
Mengharapkan datangnya seorang ilmuwan
Membaca mereka bukan kerana kerja
tetapi menghayati keklasikan dan perhargaan
yang terbenam dalam muka surat yang tidak pernah dibelek
yang dihinggapi debu yang menghilangkan sinar.








Wanita yang Berjalan dalam Angin

     Pusat pengajianku ada seorang wanita. Bibirnya halus, sehalus budinya dan matanya tajam memperhatikan laku setiap orang diam-diam. Menawanlah matanya, seperti ada sihir apabila dia memakai purdah. Aku yang Cina pun terpaksa berhenti lalu terpukau oleh matanya yang berahasia itu.

     Wanita itu seakan-akan bersendirian setiap hari walaupun dia kadangkala tertawa dalam kumpulannya. Dalam kumpulannya, dia memilih berdiam sementara kawan-kawannya saling memeluk dalam satu puak, membincangkan dan menertawakan apa-apa sahaja. Dia lebih selesa dalam kumpulan kecil. Aku masih ingat akan hari pembersihan gelanggang. Dia duduk dengan tangan santun diletakkan pada lutut. Matanya lembut sahaja jika dibandingkan dengan matanya yang tajam semasa dia berada di bilik darjah. Senyum ikhlas rela disumbangkannya pada masa perbualannya dengan seorang kakak. Geranganlah dia merasai keikhlasan orang lain kepada diri, maka senyumnya juga lembut, tidak dipaksakan.

     Dia langsung tidak kisah akan pandangan orang lain terhadap diri. Kiriman Facebooknya begitu banyak tetapi dua orang sahajalah yang menyukai kirimannya. Kirimannya begitu sunyi malah sampailah tahap bahawa tiadalah orang yang kisah akan beri tahuannya; tiadalah orang yang menyukai kirimannya. Dia terpinggir sepenuh-penuhnya. Sungguhpun hakikat begitu kejam, wanita yang bermisteri itu tidak kisah akan bilangan kesukaan; dia tidak menulis kiriman demi menjadi jutawan yang kaya bilangan kesukaan tetapi semata-mata kerana ingin menulis. Kebanyakan kirimannya bersifat batiniah, menyalurkan suara hatinya tetapi apabila menulis kiriman nasihat, seperti "Cintailah lelaki yang benar-benar mencintaimu, bukan lelaki yang mucintai sahaja", dia akan meletakkan emoji tergelak sedang aku tahu bahawa hatinya terasa —— pernah merasai kekecewaan khianat kekasih lamanya. Aku tahu.

     Pada hari mesyuarat Kowaris di Dewan Aminuddin Baki, dia rela menjadi pengira undi. Pada hari itu, gincunya sungguh merah dan tebal, mempamerkan kewanitaan yang mengagumkan hatiku. Aku kagum kerana dia pandai menjaga kewanitaannya sekalipun orang mungkin menikam belakangnya. Dia memang sunyi, aku tahu. Apabila suka relawan lelaki mengumumkan undi, sekalian hadirin lelaki dan perempuan tergelak berdekah-dekah dan terbongkok-bongkok sehingga gelak kita tinggi bergema di udara oleh kekekokan suka relawan lelaki itu tetapi apabila wanita itu mengumumkan undi, kita senyap sahaja sehingga yang kedengaran hanya suaranya yang jelas bergema di dewan besar itu. Semasa wanita itu berdiri, kawan wanita tepinya pun mengikis senyum gelinya untuk lelaki sebelum itu lalu menjelingnya, seakan-akan terapunglah semacam dendam antara mereka. Adakah persendirian itu salah? Mengapatah kalian diam? Kalian tidak menyenanginya? Mengapatah kalian, sarwa wanita yang jelita dan berbudi perlu memulaukannya?

     Walau bagaimanapun, riak wajahnya tenang sahaja. Dia mengumumkan bilangan undi dengan suara yang tenang dan berpatutan: tidak mengandung jenaka, tidak mengandung kemaluan. Wanita itu tentu sedang berpikir: "Aku hanya menjalankan tanggung jawab, bukan menghibur orang lain." Dia yang istimewa, tidak seperti orang lain yang berlagak malu untuk mengharapkan ketawa yang berjuntai-juntai di udara, hanya duduk diam dengan senyum sederhana yang dikuatkan oleh kemerahan samar-samar pada pipinya tatkala wanita lain sedang tertawa sehingga melonjak-lonjak dari kedudukan dalam majlis kerana menginginkan perhatian.

     Aku ingat bahawa dia manusia pelik di bumi ini sahaja tetapi tidak kusangkalah bahawa dia juga sama. Biasalah aku akan mengunjungi perpustakaan untuk membelek buku yang telah kuning dan rapuhlah halamannya untuk menghayati bau kesilaman itu. Terperanjatlah aku yang melihat bahawa dia sampai di sana lebih awal daripadaku. Pada masa itu, tiadalah kerja kursus, jadi dia tidak mungkin datang ke sana untuk merujuk buku. Hatiku mendetikkan keghairahan yang pantas apabila mengetahui bahawa dia sama dengan aku —— orang sunyi yang benar-benar menghayati pembacaan sebenar, iaitu membaca semata-mata kerana suka membaca, bukan membaca kerana maklumat banyak yang terdapat dalam buku perpustakaan dapat meninggikan markahnya dalam kerja kursus.

     "Eh, awak datang ke sini untuk apa?" aku mengujinya.
     "Hai Pui. Taklah, sekadar membaca saja. Nah, ini: etnik Sarawak. Wah, tengok...," dia pun membuka buku, tenggelam dalam khalayan sendiri sambil menunjukkan kata demi kata dan merungutkan istilah yang tidak kupahami.

     Sebenarnya, aku kesian ketika melihat persendiriannya. Bukankah dia memunyai kawan? Pada hari-hari biasa, dia berganding dengan kawan perempuannya. Mengapakah dia mesti mendera diri dengan bersendirian di perpustakaan seperti aku? Aku sudah biasa, entah-entah dia juga biasa?

     Dia wanita yang berjalan dalam angin —— terus berjalan dan berjalan sahaja, melalui orang ramai yang mengerutkan dahi, mengejeknya melalui jelingan yang berbunyi: "Eh, berpura-puralah dia, tidak hendak bercakap dengan orang lain!" Sekalipun angin itu hampir menerbangkannya ke kawah terdalam yang menyesatkan peribadi dirinya; sekalipun angin itu bertukar kepada ribut taufan, dia tetap di tanah, dia tetap melunaskan amal Allah sebagai hamba-Nya yang kerdil. Dia tahu bahawa dia kerdil, maka menjaga peribadi senyapnyalah dia. Wanita itu mengetahui bahawa kelahirannya ke dunia ini bukan untuk menghibur orang. Orang ramai itu ibarat angin, hanya bertiup melepasinya, tidak sanggup singgah untuknya. Dapat diibaratkan jugalah dia sebagai angin yang tidak kelihatan tetapi hanya dirasai kewujudannya oleh orang tetapi dialah wanita yang paling menawan dan penuh misteri padaku.

     Dia memakai purdah mungkin untuk mengelakkan fitnah kerana kemuliaan hatinya, tidak hendak menyengsarakan orang lain dengan orang lain atau dia sendiri perasan bahawa dia cantik? Dia juga mungkin memakai purdah untuk mengelakkan pandangan rendah orang lain; mungkin untuk melindungi diri yang kerdil ini...sesungguhnya, aku tidak terduga lautan hatinya itu —— hati wanita yang berjalan dalam angin malah menjadi angin itu sendiri.

Perpisahan yang Rela?

 Perpisahan? Kalau berpisah, mengapakah saya tidak mempunyai rasa, malah bersikap rela?  Aku sendiri tidak tahu tentang cara mengungkapkan p...